بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
                                                Bab 9.
                                     Tetamu Bandar KB.


Faizal terbaring di katilnya. Berseorangan. Pandangannya merayapi siling putih yang kosong. Ingatannya tiba-tiba membawanya untuk mencari wajah Marina se pupunya. Se pupunya yang manis dan amat bersopan itu, lagi disenangi keluarganya.
Jikalau dia tidak kenal Aisyah sudah pasti dia tidak keberatan untuk menerima Marina sebagai pasangan hidupnya. Sayangnya cintanya kini telah terbenam untuk Aisyah saja. Tidak boleh ditukar ganti lagi.
Dia mengenali Aisyah, semenjak gadis itu persis kudup bunga. Dan menanti dengan sabar tikanya  mengorak kelopak mekar demi menyebarkan keharumannya. Kini ia metah ingin menyuntingnya sebagai hak milik peribadi.
Hanya kerana untuk memenuhi kehendak ayahnya dia tidak akan melepaskan Aisyah dengan mudah. Sudah ditanamnya tekad dan keputusannya senantiasa dirasakan tepat. Kepastiannya tidak pernah diragui lagi hatta se besar zarah sekalipun.
“Soal teman hidup saya, hak saya. Saya yang akan menentukannya. Saya harap ayah faham. Bukanlah susah sangat nak faham pun. Ayah pun berpelajaran tinggi juga. Jangan kerana ayah hendak mementingkan status, ayah sanggup memperalatkan anak ayah sendiri. Hanya kerana hendak orang-orang mengatakan menantu ayah dari kalangan orang kaya terhormat.” Faizal membidas sikap ayahnya.
Sungguhpun dirinya terlahir sebagai anak seorang yang berpangkat, hidupnya senang lenang, ia tidak pula menganggap dirinya terlalu istimewa dan berbeza dari rakan-rakannya yang lain.
“Ayah tidaklah begitu. Ayah cuma nak ingatkan kau supaya berhati-hati memilih pasangan. Ayah sangat sukakan Marina. Mak kau juga. Takkanlah kerana budak kampung yang masih muda itu kau sanggup mengenepikan kehendak kami, orang tuamu…”
Faizal sangat tertekan dengan alasan itu. apalagi ayahnya bersuara lunak menyapa deria dengarnya. Langsung terus ke hatinya. Niatnya tidak pernah ada untuk mengguris perasaan emak dan ayahnya yang sangat dikasihinya itu.
Tetapi dia adalah seorang anak lelaki yang berprinsip. Prinsip yang dipegangnya harus dihargai dan dihormati yang lain. Bukan digugah gugat dengan sesenangnya. Apa yang tidak kena dengan Aisyah? Tanya hatinya kepada mereka yang mempertikaikan kehendaknya.
Aisyah seorang yang baik. Cantik. Berbudi bahasa. Alim dengan amal ilmu akhiratnya. Sifat dan sikapnya yang begitu telah berjaya mempengaruhi jiwa Faizal yang selama ini dirasakan terlopong bolos..
Suatu ketika dulu Faizal mengakui dirinya sangat liar. Sering ke pesta-pesta hiburan di mana saja. Sama ada di kelab-kelab malam atau dianjur secara persendirian kawan-kawan yang se kepala dengannya.
Tidak pernah kenal sejadah untuk bersujud. Meneguk arak bergelas-gelas umpama minum air sejuk yang suci mutlak. Meski dirinya diajar tentang hukum hakamnya yang haram lagi berdosa kerana tabiat itu, tetap saja berterusan dilakukan.
Semenjak kemunculan Aisyah di dalam hidupnya, segala-galanya telah berubah. Hati kerasnya berjaya dilembutkan Aisyah. Bukan dia tidak tahu hukum hakam Islam. Hatta dia memang dilahirkan dari zuriat Islam. Tetapi hanya dia yang mengambil mudah.
Aisyah membuatkannya semakin dekat dengan Tuhannya yang esa. Dengan agamanya yang suci mulia. Dia tidak lagi mengata-ngata Aisyah setiap kali dilihatnya tertonggek-tonggek sujud tika sembahyang di rumah makcik Salina. Aisyah akan bersolat menepati waktunya walau kebetulan berada di rumah jirannya itu..
Suatu waktu dulu itulah yang sangat suka dilakukannya. Katanya, apalah faedahnya bersembahyang itu? Membuang masa saja fikirnya. Dia tidak tahu nikmatnya disebalik amalan yang tidak pernah dikerjakannya itu.
Dia juga tidak tahu susun atur bagaimana hendak melakukannya. Allah memberikannya hidayah tatkala dirinya diselubungi keasyikan melihat Aisyah beribadah. Dan terbuka hatinya untuk mempelajari amalan bersembahyang itu apabila Aisyah bersedia untuk mengajarnya.
Setiap malam Aisyah akan berulang ke rumah makcik Salina untuk menjadi guru kepada Faizal, mengajarnya tentang sembahyang. Setelah itu Faizal pula yang menjadi guru metematiknya. Pelajaran metematik peringkat menengah ini agak sukar hendak difahaminya, jadi dia perlukan seseorang yang mahir untuk membimbingnya.
Mata pelajaran lain, sekadar membaca saja boleh difahami dengan mudah. Tetapi bukan pelajaran metamatik. Nampaknya ada timbal balas yang tidak merugikan usaha murninya itu.
Neneknya tidak lagi memarahinya kerana sering berulang ke rumah jirannya Salina. Alasannya kerana ingin melihat Aisyah lebih pandai di dalam pelajarannya. Aisyah pun telah lulus dengan cemerlang di dalam peperiksaan SRP. Dia amat berbangga sekali. Lagipun di dalam kampung itu hanya Aisyah seorang yang lulus. Yang lainnya kandas.
Bermakna dia adalah seorang anak yang pandai. Dia suka anak cucunya menjadi orang pandai. Orang-orang kampung pula sering memuji-muji kepandaian cucunya itu Dan membuatnya bergelombang rasa bahagia. Biarlah cucunya itu belajar tambahan daripada Zahari dan kawannya demi meningkatkan kepandaiannya.
Lagipun Aisyah sudah besar, tidak pernah pula menyusahkannya. Sentiasa pula menolongnya meringankan kerja-kerjanya. Dan tidak pernah pun bertanya tentang wang perbelanjaan persekolahannya kepadanya. Lagipun kini setiap bulan dia akan menerima kiriman wang daripada ayah Aisyah guna melunasi sara hidup Aisyah dan persekolahannya.
Dari dulu hingga kini Aisyah masih seperti itu. Berjuang sendiri untuk mencapai cita-citanya. Di samping bantuan yang tidak putus-putus daripada Faizal. Sebut saja nama buku yang diperlukan untuk dijadikan rujukan pembelajarannya pasti Faizal akan membelinya untuknya.
Kemesraan dan keakraban di antara kedua-duanya bagaikan ikatan yang mengikat dan tidak akan mudah terungkai meski tidak dipeterikan lagi secara rasmi. Dan Faizal tersepit di antara perinsip yang diagungkannya dan kasih sayang abadi kepada kedua orang tuanya. Tetapi optimis dengan keputusan yang telah dibuatnya.
“Ayah kita sambung sembang kita nanti ya. Sudah masuk maghrib ni. Biar saya pergi mandi dulu.”
Faizal meninggalkan ayahnya termangu sendirian dalam kekalutannya memikirkan apa kena mengenanya dengan wacana mereka yang hebat dibahaskan dengan kehadiran waktu itu.
Kemudian jelas terdengar deburan air yang dicebok terhempas ke lantai berubin. Pastinya anaknya itu sedang mandi, membersih diri. Dia bangun dan menapak ke jendela. Pandangannya dilontar jauh, merenungi Bandar KB. Jalan-jalannya sudah semakin lengang dari kenderaan yang lalu lalang.
Jarang-jarang satu kereta yang melintas. Orang-orangnya langsung tidak kelihatan. Dia menutup daun tingkap, memetik suis lampu dan menghidupkan suis TV.
Terdengar di cupingnya suara halus berdengung, tidak tentu butirannya dari bilik anaknya.
“Apa agaknya yang dibuat Faizal senja-senja begini?” suaranya berdesis halus membawa pertanyaan. Langkah di aturnya perlahan agar derapnya tidak berdesir menghampiri bilik anaknya itu. Lampu di bilik itu nampaknya sudah terpasang. Terang benderang cahayanya.
Tingkah ayahnya itu tidak Faizal sedari. Dia begitu kusyuk berdoa dan berzikir setelah selesai bersolat maghrib. Ayahnya terkesima. Bibirnya terbuka demi melihat itu dari pintu biliknya yang dikuak sedikit. Seakan pandanganya menipunya. Itu yang dirasakannya. Benarkah itu?
Acapkali juga dia melawat Faizal di sini. Tapi tidak pernah pula ia terserempak dengan situasi sebegini. Barulah kali ni. Dia mengurut dadanya berkali-kali. Merasa syukur dan malu bersilih ganti menggeluti minda dirinya.
Syukur teramat dirinya kerana kini anaknya itu telah menjadi seorang anak yang beriman. Mengenali dirinya dan tuntutan jiwanya, agamanya dan Khalik Penciptanya. Malu pula kerana Faizal telah mendahuluinya mengenal itu semua sedang ia sendiri jahil dan masih berada dalam ruang kegelapan.
Daripada mula hidupnya hingga kini telah mencecah setengah abad usianya, ia tidak pernah ambil tahu apa yang dibaca orang ketika sedang bersolat. Apabila datang bulan Romadhan dia tidak pernah berpuasa. Tetapi terlalu nikmat menyertai isterinya berbuka puasa dengan hidangan yang penuh se meja.
Berzakat juga tidak pernah walaupun ringgitnya beratus ribu tersimpan di dalam bank-bank perdagangan. Sudah berkali-kali genap haulnya namun zakatnya tidak juga dikeluarkan.
Cuma zakat fitrah untuk dirinya, anak isterinya yang dibayar setiap kali hendak berakhirnya Romadhan. Begitulah dia. Sangat cetek ilmunya tentang agama. Penyesalan merebak di jiwanya.
Walakian ia disegani kerana pangkat yang disandangnya, sentiasa dikagumi kerana orang-orang bawahannya cekap mengendalikan kerja membenteras jenayah yang berlaku di bandar Ipoh, kini bukan itu yang menyenangkan hatinya.
Bandar Ipoh dipertanggungjawabkan keselamatannya di atas bahunya. Lebih tepat jikalau dikatakan di atas bahu kakitangan bawahannya. Dia hanya tahu memberi arahannya saja.
Dia mulai melihat ke dalam dirinya. Mengenang segala kesilapan yang telah dilakukan dengan angkuh. Menyesali pula bersungguh-sungguh. Apalagi kerana baru saja melakukan penderaan jiwa ke atas Aisyah.
Seorang gadis remaja berwajah ayu yang dijangkanya turut membawa perubahan kepada anaknya. Justeru dia faham kerana perasaan cinta seseorang terhadap seseorang mampu mengubah sikap seseorang ke arah kebaikan atau sebaliknya.
Apa saja kesilapan yang pernah dilakukan menyerang mindanya agar mengingatinya. Berulang tayang episod demi episod di layar skrin benaknya. Amat menyiksakan sekali.
Sempatkah lagi hendak diperbetulkan kesemua kesilapan itu dan menyediakan pula bekalan amal untuk perjalanan menuju ke akhirnya? Sedang saat hidup yang dilalui kini semakin berhujung? Pertanyaan-pertanyaan sebegitu menghantuinya.
Faizal telah berdiri di hadapannya. Lamunan yang mengganggu, menakutkannya dan menimbulkan rasa risau dihatinya terhenti.
“Saya dah siap solat. Ayah kalau nak bersolat pergilah. Saya tunggu ayah siap. Lepas tu kita pergi makan di luar. Saya ni memang ayah tahu pun, malas nak masak. Kita pergi makan di kedai. Kalau lambat nanti takut kedainya tutup pula. Di sini kedainya tutup awal.”
Ayah Faizal melangkah lemah. Meninggalkan kesan panas pada kusyen yang didudukinya. Tidak ada sepatah kata pun yang terluncur dari bibirnya. Bergegas ke bilik, mencapai tuala untuk menuju ke bilik air.
Sebentar kemudian terdengar air pancuran bersemburan dan jatuh ke lantai. Tahulah dia kini bahawa ayahnya sedang mandi. Dia menanti dengan sabar ayahnya selesai mempersiap diri untuk membawanya  makan malam di sebuah restoran terkemuka di pusat bandar.
Sambil menantikan ayahnya bersiap dia mencapai se buah majalah di bawah meja. Pandangannya terjeling singgah pada se buah buku yang dibelinya siang tadi. Akan diberinya buku itu kepada Aisyah kerana ia tahu Aisyah amat memerlukan buku itu sebagai rujukannya.
Dia tersenyum-senyum sendiri. Membalikan ingatannya tentang pertemuannya dengan Aisyah siang tadi, seorang gadis ayu yang lembut yang amat beruntung sekira dimilikinya.
Sungguh pun dipertemuan itu Aisyah tidak menjanjikan apa-apa kepadanya namun pada firasatnya Aisyah tidak menolaknya. Harapannya, Aisyah berperasaan sepertinya. Sedang diamuk rasa cinta yang menggelora.
Ayahnya kelihatan berjalan ke arahnya. Faizal bangun dan terus mencapai kunci keretanya. Sebelum melangkah ke destinasi seterusnya ia menjengah dulu ke persekitaran rumahnya. Mempastikannya selamat untuk ditinggalkan hatta sekejapan.
“Faizal bawa kereta ayah saja.”
Ayahnya menghulurkan kunci kereta Mers miliknya yang sering digunakannya hanya ketika berwisata bersama keluarganya. Jikalau untuk ke pejabat dan menguruskan perihal perkerjaannya dia hanya akan gunakan kenderaan hak milik kerajaan. Kereta miliknya digunakan untuk keperluan peribadinya.
Faizal mulai menghidupkan enjin kereta itu. Dia pasti sebab musabab ayahnya yang memintanya memandu ke tengah bandar KB. Ayahnya tentu merasakan anaknya itu sangat arif tentang jalan-jalan di sini.
Anaknya itu sudah lama di sini. Tentu dia sangat maklum corak, rentak jalannya. Dia pasti tahu di mana ia boleh memandu dengan laju dan di mana pula ia mesti memperlahankan kelajuannya dan memandunya dengan lebih berhati-hati.
Jikalau di Ipoh dia tentunya seorang pemandu yang cekap. Di sini dia adalah orang baru. Sesekali berkunjung ke sini tidaklah melengkapkan pengetahuannya tentang kota ini sepenuhnya. Memang dia harus akur bahawa tidak semua yang dia tahu.
Mers putih susu itu telah mengisi dua orang lelaki di dalamnya. Bunyi enjinnya mencemari keheningan alam sekitar situ. Awal malam mengiringi kereta yang mulai bergerak menuju destinasi yang dihajati. Malam itu tidak ada bintang yang mengerdip cahaya di langit.
Angin yang berhembus teramat dingin dirasa mencengkam kulit, sebagai petanda awal bahawa musim tengkujuh telah bertandang. Seperti pada tahun tahun lalu. Tidak pernah ada senggangnya (berselang).

14 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 9...."

Sylarius Yusof delete icon 17 Mac 2014 11:38 PG

Masalah kalau kahwin sepupu-sepupu ni, keturunan tak berkembang. Dari sudut genetik pun, tak berapa elok jugak, sebab takut penyakit keturunan masih lagi diturunkan ke generasi yang seterusnya.

paridah delete icon 17 Mac 2014 11:49 PG

ya setuju dgn pendapat tu tapi biasalah org dulu2 suka berkelompok sendiri kerana kepentingan mrk sendiri tanpa fikirkan hal2 yg lebih baik.....tq Sylarius Yusuf ikuti juga novel kak.

Kakzakie delete icon 17 Mac 2014 1:00 PTG

Harap-harap Faizal tak beralih arah. Ayahnya juga menurut kehendak Faizal.
Eh... kakak nak jadi pengarangnya pulak hihi...

Kakzakie delete icon 17 Mac 2014 1:01 PTG

Ada sentuhan agama di sini moga mana yg lalai berzakat harta segera tunaikan bila dah cukup haul. Baru 2.5% aje pun... tak berkudis kalau yg kaya-raya tu..

paridah delete icon 17 Mac 2014 1:26 PTG

insya Allah...xmengapa mencipta karya ikut selera kita tapi kisah Aisyah ni diluarjangka perkiraan kita ...ikuti bab 10 pula ya minggu hadapan....tq Kakzakie.

paridah delete icon 17 Mac 2014 1:31 PTG

adalah sikit2 sentuhan agama tu nak tulis banyak2 xberapa arif n terpaksa buat banyak rujukan...jd tulislah simple2 saja n biasa dlm pengetahuan ramai....tq Kakzakie.

Nucky P.rayanta Natalius delete icon 17 Mac 2014 2:52 PTG

saya selalu hadir di sini artikelnya simple namun penuh makna sist ..

paridah delete icon 17 Mac 2014 3:04 PTG

terima kasih Nucky P.rayanta Natalius selalu hadir blog karyaku yg simple ini.

mitrabibit delete icon 18 Mac 2014 9:35 PG

ijin nyimakk :D

paridah delete icon 18 Mac 2014 9:46 PG

terima kasih mitrabibit rajin singgah menyimak...

Kesuma Angsana delete icon 18 Mac 2014 1:24 PTG

wah makin hebat & tajam gaya penulisan akak ni !

paridah delete icon 18 Mac 2014 1:38 PTG

yeke xdelah KA...menulis biasa-biasa saja...terima kasih Kesuma Angsana.

Khai♥Rin : anies delete icon 18 Mac 2014 7:17 PTG

kawin sepupu? sy rs mcm zaman skrg da x ada lg hal2 sebegini ;-)

paridah delete icon 18 Mac 2014 10:14 PTG

mungkin masih ada anies tp novel ni retrospektif kisahnya....tq Khairin anies....

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”