بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
                                         Bab 8. 
  Pic Timeline
                                                                                       Kejutan kesedihan

“Aisyah! Ada seseorang nak berjumpa dengan awak. Saya tak kenal siapa dia. Mungkin saudara mara awak. Hebat sungguh rupa dan gayanya. Lagak orang berpangkat besar saja. Pergilah jumpa dia. Dia tunggu awak di kantin sekolah...” Ujar cikgu Rahim berunsur perintah di hujung kalimah ayatnya.
Aisyah terkesima.
“Taknaklah saya. Entah siapalah orang tu. Saya pun bukan ada saudara mara yang berpangkat besar dan kaya. Saudara mara saya miskin semuanya cikgu. Takut saya nak jumpa orang tu…”
Berkelip-kelip se pasang mata Aisyah merenungi gurunya. Meminta agar gurunya itu memahami gelodak perasaannya yang berkocak hebat. Tidak menuruti apa yang bukan kemahuannya.
“Pergilah. Dia dah beritahu HM(Pengetua) nak jumpa awak. Katanya ada hal keluarga yang hendak dibincangkan. Sebab tu dia nak jumpa awak di kantin sekolah. Bukan di pejabat HM (Pengetua). Kebetulan saya ada di situ. Jadi HM minta saya temukan awak dengannya. Nanti HM tentu tanyakan saya sama ada saya dah temukan awak dengan lelaki tu. Apa pula saya nak jawab nanti kalau awak tak mahu...” Lunak sekali pertuturan cikgu Rahim secara diplomasi dan memujuk.
Hatinya bercelaru tidak menentu. Fikirannya tambah keliru. Nampaknya ia perlu membuat pertimbangan yang betul agar keputusannya tidak menyusahkan sesiapa.
“Siapalah agaknya ya…,” gumamnya dalam gundah.
“Pergilah. Saya yakin dia orang baik. Sekali imbas saya pandang rupanya seiras dengan Faizal. Tapi dia kelihatannya agak berumur sedikit…” Pujukan guru itu tambah menyerabuti mindanya. Apa pula kena mengenanya orang yang seiras wajahnya dengan Faizal itu dengan dirinya.
Pada anggapan gurunya itu jikalau dikaitkan sesuatu itu dengan Faizal tentulah hati Aisyah akan tenang. Kerana dia mengenali Faizal sebagai seorang yang baik. Barangkali dia akan merumuskan orang-orang yang berparas seiras akan memiliki jiwa yang seakan juga.
“Kalau ada apa-apahal yang yang tak dingini berlaku, awak panggil saya. Saya ada di bilik guru. Bukannya jauh sangat kantin dengan bilik guru tu. Awak melaung pun saya dengar.” Ujar guru itu menyuntik semangat keyakinan kepada muridnya agar bersedia berhadapan dengan kondisi yang ditolak mindanya.
“Saya ajak Nik Rohani, temankan saya boleh?”
“Okey. Buatlah apa yang awak fikir baik…”
Cikgu Rahim terpaksa mengalah pada permintaan muridnya itu. Dia sendiri tidak tahu apa yang dimahukan lelaki separuh umur daripada anak muridnya itu. Lelaki itu tidak pula berterus terang kepadanya tentang tujuannya.
    Sangsi juga dia. Tanggung jawab menjaga keselamatan diri setiap pelajar yang berada di sekolah itu, dalam waktu-waktu persekolahan, sedikit sebanyak terbeban juga di bahunya. Perlu menjadi perhitungannya.
Aisyah telah melangkah jauh meninggalkannya. Tentulah mencari Nik Rohani yang akan dijadikan temannya berhadapan dengan orang asing itu pada fikirannya.
Pelajar-pelajar yang berpapasan dengannya tersenyum simpul sambil mengucapkan selamat pagi kerana kebetulan masanya masih pagi. Walaupun waktu rihat yang dikhususkan untuk pelajar-pelajar hampir hendak habis tetapi masih ramai yang mundar-mandir ke kantin dan lain-lain venue yang disukai.
Kebanyakannya gembira melepaskan penat setelah terpengap di kerusi di dalam kelas mengikuti pelbagai sukatan pelajaran yang ditetapkan.
Aisyah bergandingan dengan Nik Rohani setelah menemuinya sedang asyik berborak dengan Tengku Kamariah dan Wan Salmah di suatu sudut sekolah. Langkah kedua-duanya diatur pantas.
“Agaknya itulah orangnya yang hendak berjumpa dengan mu kot...”
Aisyah mengarahkan pandangannya pada seorang lelaki tegap, segak berpakaian kemas. Duduk berseorangan di bangku. Sedang matanya meliar memerhati persekitaran sekelilingnya. Juga murid-murid sekolah yang melintasinya dengan selamba.
Barangkali orang itulah yang dimaksudkan Nik Rohani.
“Mu gilah jumpa dia. Biar aku tunggu sini. Dia tu gak nak jumpamu. Bukannya aku...” Tegas Nik Rohani. Dia telah menghenyakkan punggungnya di atas sebuah bangku panjang.
Aisyah tidak berganjak dari sisi temannya. Matanya galak merenungi tingkah temannya tanpa sepatah kata. Pada pengamatannya memang benar juga apa yang dikatakan Nik Rohani itu. Lelaki itu hanya ingin menemuinya. Bukannya temannya.
 Tetapi yang menjadi pokok persoalan yang merimbun hanya kerana dia tidak memiliki semangat kental untuk berhadapan dengan lelaki yang bakal menjahanamkannya mungkin. Begitu melampau pula firasatnya.
Seorang pelajar perempuan menghampiri mereka. Pelajar itu memang mengenali Aisyah dan tinggal se kampung dengan Aisyah dan belajar di sekolah itu di dalam tingkatan tiga.
“Kak Syah, orang itu nak jumpa dengan kak. Dia suruh saya carikan kakak, katanya dia dah beritahu HM nak jumpa dengan kakak,” ujar Zarina separuh berbisik.
“Gilah… mu tak baik buat orang tertunggukan kita tau...” Nik Rohani bersuara seolah mendesak.
Serba salah sungguh Aisyah dengan keadaan yang tidak pernah diduganya akan berlaku persis hari ini. Perlahan-lahan ia melangkah longlai mengekori Zarina untuk ke tempat di mana lelaki itu berada.
Nik Rohani menjadi keliru dengan telatah kawannya yang seolah berat hati sungguh untuk menemui lelaki itu. Mengapa agaknya Aisyah begitu resah dan kalut? Apakah agaknya hubungan mereka? Pelbagai persoalan yang menerjahi mindanya.
Dia sendirian kini, menanti pertemuan antara Aisyah dan lelaki itu bermula dan berakhir. Bosan juga dia berseorangan. Matanya berkelip-kelip. Tidak ada suara yang terbit daripada bibirnya kerana tanpa teman yang boleh dilawan berbual. Masakan dia akan bercakap seorang diri.
Diperhatinya Zarina sedang bercakap dengan lelaki itu. dan kemudiannya meninggalkan Aisyah yang mula mengambil tempat yang bertentangan dengan lelaki itu.
“Inilah Kak Aisyah pak cik. Biar saya pergi dulu, saya ada hal sikit nak dibuat...”
“Eh! Janganlah pergi dulu, temankanlah kakak sekejap...” Aisyah merenung Zarina seakan memohon simpati.
“Maaflah kak…saya ada kerja sekolah nak dibuat. Kalau tak disiapkan nanti cikgu saya marah pula…”
Aisyah terpaksa angguk kerana alasan yang diberikan Zarina kepadanya dirasakan sangat wajar. Dirinya cuba memahami dan bertolak ansur dan tidak hanya mementingkan kemahuan sendiri.
Tinggallah dia berhadapan dengan lelaki yang belum lagi menyapanya dengan raut wajah tegar lagi tegang. Lokek dengan senyum. Merasa dirinya seakan berhadapan sekujur jasad yang menggerunkan pula. Jantungnya berdegup kencang. Dan hatinya terus kecut, mengecil.
“Saya Aisyah. Apahalnya pak cik nak jumpa saya?,” ucapnya lunak bersopan namun tergagap-gagap. Lelaki itu menatap anak mata bening nan bersinar di kolamnya yang jernih itu. Lantas tersenyum sumbing kepada dirinya sendiri.
“Awak kenal siapa saya?,” ucap tanyanya acuh tak acuh. Dia sendiri yang mengingini pertemuan itu tetapi kehadiran seorang yang amat dinantikannya itu di ambil ringan pula. Tidak mengendahkan selaku sepatutnya.
“Tidak...” Gelengan kepala Aisyah mengiringi tuturnya yang se patah itu.
Jengkel kalbunya kerana terpaksa menatap sebuah wajah yang keras, lagaknya ego, lagi keakuan itu. Semakin dirasa dirinya serba tidak kena.
 ‘Siapalah orang yang garang ini. Kenapa nak jumpa aku? Apa kena mengenanya dengan aku?’ Monolognya menanyakan begitu.
“Awak tidak kenal saya. Tapi awak tentu kenal siapa Faizal.bukan?”
“Faizal yang mana pak cik maksudkan? Di dalam kelas saya ada dua orang Faizal. Yang mana satu?”
“Bukan Faizal kawan sekelas kamu itu tetapi Faizal yang berkerja di bank Asia yang selalu datang berjumpa kamu itu...” Getar suara ditekan agar ketara keras membuat Aisyah terkesima. Tertunduk gugup.
“Ooh…Faizal tu. Memang saya kenal...” Aisyah mengakui sejujurnya.
“Saya ini ayahnya.” Pengakuan lelaki itu membuatkan Aisyah tersentak. Terkejut sungguh. Mula dia membuat perbandingan.
Aisyah sama sekali tidak menjangka Faizal memiliki seorang ayah yang amat kontra sifatnya dengan dirinya yang berperwatakan lembut lagi menyenangkan. Namun lelaki yang berhadapan dengannya kini nampaknya kasar, keras kejung, tidak berperasaan, tidak bersopan, tiada budi bahasa penyeri dirinya.
“Faizal beritahu saya, dia sedang bercinta dengan awak...” Aisyah terdongak daripada tunduknya. Menengadah wajah lelaki yang ternyata tidak menyenangi apa yang diucapkannya.
Aisyah sendiri terkejut sungguh.
“Tidak! Sama sekali tidak…” Ucapnya tegas berserta gelengan kepala berulang-ulang kali. Lelaki itu membalasnya dengan pandangan sinis.
“Tak sangka ya, awak ni masih sekolah, tapi sudah pandai bercinta,” ucapnya gaya menyindir. Sindirannya ternyata menusuk jantung hati Aisyah. Kelopak matanya panas. Berseregai seakan dimasuki pasir. Dia terasa ada air jernih yang ingin jatuh ke pipinya. Sedaya mungkin ditahannya juga.
“Bukankah saya dah cakap awal tadi, saya tidak bercinta dengan Faizal. Saya cuma berkawan dengan dia. Janganlah pak cik menyangka yang bukan-bukan kepada saya. Saya tak pernah buat perkara bodoh tu...”
“Pandailah awak nak bohong saya. Faizal sendiri beritahu saya, dia cintakan awak dan nak kahwin dengan awak. Tak payahlah awak nak kelentong saya. Saya ni dah lama hidup. Sekali pandang muka awak saya dah tahu dan dapat baca isi hati awak...” Bentaknya keras menyanggah pernyataan jujur Aisyah.
“Saya berkata ikhlas pak cik. Saya cuma berkawan dengan dia. Tidak lebih dari itu. Saya tidak tahu langsung dia cintakan saya. Saya pun sedar saya ni masih sekolah, tak layak bercinta. Tak terfikir pun nak bercinta…” Aisyah masih berani berkata demi mempertahankan kebenarannya. Memang dirasakannya itulah kebenarannya.
Baru hari ini dia tahu bahawa Faizal cintakannya. Itupun diberitahu ayahnya sendiri dalam suasana tegang yang berapi dengan marah membara.
Biar apa saja yang hendak dikatakan lelaki itu terhadapnya, dia tetap akan menyanggahnya dengan berani kerana dia yakin dia benar.
Memang dia ada menyimpan suatu perasaan  yang indah  terhadap Faizal di dalam diam-diam. Hanya dirinya seorang yang mengetahuinya. Tidak pernah pun dikhabarkan kepada sesiapa.
Mungkinkah itu yang dikatakan cinta? Atau sekadar obses kerana kebaikan hati budi Faizal melayaninya sebagai manusia? Sukar sekali ia hendak menafsir maknanya.
Dipendamkan perasaan itu hanya untuk dirinya sendiri. Langsung dirinya tidak akan terkilan sekiranya Faizal tidak berperasaan sepertinya. Nampaknya akan terus terpendam dan terendam perasaan itu di dalam hatinya yang telah remuk redam lantaran insiden pertemuan yang tidak pernah dijangka ini.
“Saya nak bagi tahu awak, kalau awak ada sebarang hubungan dengan Faizal eloklah dihentikan. Faizal telahpun ditunangkan dengan sepupunya sendiri. Setelah dia balik dari belajar di US nanti dia akan dikahwinkan. Pesanan saya ni sungguh-sungguh. Jangan anggap saya main-main. Itu saja yang saya nak bagi tahu awak…”
Dia bangun daripada duduknya setelah melontarkan pesanan serius bernada keras kepada gadis yang termangu-mangu dan merasa amat terhina di perlakukan begitu. Kejora matanya ralit memerhati lelaki angkuh itu membetulkan letak baju agar rapi dan mengenakan pula rayban hitam di matanya. Yang diambil daripada kocek bajunya.
Sekali imbas dia memandang wajah Aisyah yang layu lagi pucat kerana ketakutan dengan pesanan yang berunsur amarah itu. Tanpa sepatah kata dan salam ia segera berlalu meninggalkan Aisyah menuju sebuah kereta besar berjenama impot yang diparkir di bawah rimbunan pohon pukul lima.
Kelihatannya ia begitu bangga memperlihatkan salah satu daripada ciri status kehidupannya kepada mereka yang asyik memerhati dan teramat kagum dengan apa yang dilihat.
Aisyah tidak berapa pelik dengan itu selain daripada rasa sedihnya yang sudah memenuhi segenap ruang sudut hatinya. Ia sedih kerana terasa dirinya sangat terhina dan kerdil sekali pada pandangan seorang yang kaya lagi mewah seperti ayah Faizal.
Begitukah sikap kebanyakan orang orang kaya yang mewah dengan rezeki kurniaan Allah? Perlu bersifat sombong dan meninggi diri? Kenapakah tidak boleh laksana ular yang menyusur akar, meski merendah tetapi tetap tidak akan hilang bisanya? Tanya hatinya.
 Justeru terlalu marahkan sifat lelaki yang dipertontonkan kepadanya itu, hatinya yang layu seketika tiba-tiba menegak dan segar. Air matanya dipaksa agar jangan menitis lagi.
‘Orang itu menghina aku. Aku tidak pun membuat salah apa-apa. Apa perlunya aku hendak menangis dan bersedih. Dia marahkan aku kerana anaknya kononnya menyintai aku. Bukan salah aku pun. Aku tidak pernah paksa sesiapa pun menyukai atau menyintai aku. Uruslah anakmu itu sebaiknya agar segera dia berpaling daripada aku.’
Aisyah berterusan bermonolog dengan hatinya sambil melangkah mendapatkan Nik Rohani. Kawannya itu pasti sedang menantinya dan akan memintanya menceritakan apa yang sebenarnya berlaku di dalam pertemuan itu. Kesan airmatanya yang tumpah sedikit disekanya supaya tidak bergenangan di pipi dan jelas ketara kepada kawannya itu.
“Apahalnya orang tu jumpamu, sombong saja lagaknya?”
Dia telah bangun daripada duduknya dan menantikan kehadiran Aisyah yang akan sama-sama beriringan melangkah menuju kelas.
Aisyah tidak membalas pertanyaannya. Wajahnya yang layu disegarkan kembali dengan senyuman yang dipaksa meniti bibir.
“Tak ada apa-apa. Tak payahlah tanya. Jom cepat kita masuk kelas.waktu rihat pun dah dekat nak habis…”
Nik Rohani tidak bertanya lagi demi mendengar jawapannya. Yang seolahnya pertanyaannya tidak digemari temannya itu. Dapat dirasakannya bahawa Aisyah menyembunyikan suatu rahsia ekoran pertemuan itu daripada pengetahuannya.
‘Agaknya apa yang sebenarnya telah berlaku tadi? Mengapakah lelaki itu menemui Aisyah. Apa tujuannya?’ Dia kembali ke dalam dirinya dan mendesak jawapan kepada pertanyaannya. Namun tidak akan didapatinya selagi ia tidak diberitahu si empunya diri.
Padanya Aisyah begitu berlainan semenjak pertemuan dengan lelaki asing itu berlaku. Kelihatannya tidak lagi ramah dan seceria sebelum tika itu. Jikalau sepatah yang ditanya, maka sepatah jugalah jawabnya. Langsung tidak ada penambahan yang riang lagi rabung (riuh)  bertukar kata dan menimbulkan gelak ketawa di antara kedua-duanya.
Ada saja gurau senda yang mencuit hati mereka. Sudahnya akan berderailah gelak tawa yang meriangkan suasananya. Selama ini pun mereka dikenali sebagai pasangan kawan yang saling memahami dan jauh dari sengketa.
Kini Aisyah telah menjelma sebagai orang lain bagi, Nik Rohani. Kawannya itu suka menyendiri di dalam kelas. Tidak aktif bergerak ke mana-mana lagi. Hanya diam terpaku di atas kerusinya.
Dia tidak mahu berbual dengan sesiapa. Nik Rohani sudah bosan hendak mendekatinya dan bertanyakan persoalan yang menyebabkannya begitu. Kerana dia langsung tidak membalasnya.
Akhirnya dibiarkan saja kawannya itu melayani kemurungannya.
                                         
                                                * * *

Salina mendengar laungan meneriakan namanya di kaki tangga di depan rumahnya. Dia bergegas menjenguknya dari jendela yang sedia terbuka di biliknya.
“Aisyahkah? Naiklah Syah,” serunya bertanya dan mempelawa.
Kain baju yang berlonggok di kakinya di tolak ke tepi agar senang ia melangkah untuk mendapatkan Aisyah di muka pintu. Sebentar tadi ia sedang berkira-kira hendak melipat kain baju yang baru diangkat dari jemurannya.
Setelah menyongsong Aisyah dan mempersilakannya naik ke rumah, Salina masuk semula ke dalam biliknya dan mencempung sebeban kain baju ke ruang tamu. Hajatnya, di situlah dia akan menyelesaikan kerja melipat kain baju itu di samping berbeka dengan Aisyah, tamunya.
Gembira hatinya dengan kehadiran Aisyah yang akan menemani sepinya bersendiri. Sekurang-kurangnya ada juga teman yang boleh di ajak berbual. Tidaklah sepi berseorangan menunggu petang berlalu.
“Biar saya tolong ya mak cik...” Ujar Aisyah. Serentak dengan itu mencapai se helai kain batik, membentangkannya, lalu melipatnya sebaiknya.
“Mu ni tetamu takyahlah buat gak. Mu gi duduk atas korsi tu, baca buku, baca majalah. Takyahlah nak tolong mak cik. Mak cik boleh buat semua ni. Memang dah kerja mak cik…”
Aisyah masih meneruskan kerja melipat kain baju dengan elok dan rapi walau ditegah Salina.
“Kerja lipat kain ni bukan berat sangat macam kerja nak angkat kayu balak mak cik. Ringan ja,” balasnya bersahaja.
“Ikut pandaimu lah Syah. Mak cik tak suruh pun…” Aisyah tersenyum sedikit tatkala mendengar suara mengalah dengan lirih itu.
Mak cik Salina mengambil se susun kain yang sudah siap berlipat. Membawanya masuk ke dalam biliknya lalu meletakan di atas rak yang bersebelahan letaknya dengan lemari tinggi.
Aisyah menyusul dengan membawa se susun kain lagi kepadanya.
“Dah siap semuanya mak cik. Tak ada lagi kain yang nak dilipat?”
“Rajinnyalah mu ni. Terima kasih banyak-banyak gak. Hari ni tak ada lagi kain yang nak dilipat. Kalaumu rajin mu mari esok pula tolong mak cik lipat kain...”
Aisyah tersengih sedikit menyambut lelucon spontan makcik Salina. Tanpa membalasnya. Dia bergerak ke ruang tamu meninggalkan mak cik Salina meneruskan kesibukannya menyusun baju-baju ke dalam rak.
Sebuah majalah hiburan edisi terbaru dicapai tangannya. Wajah manis seorang artis yang menghiasi muka depannya menarik minatnya untuk membaca cerita yang ditulis mengenainya. Dia membalik lembarnya yang kedua dan seterusnya.
“Mengapa Syah? Mak cik tengokmu lain macam hari ni. Tak banyak cakap. Ada apa yang tak kena. Ko nenekmu marah komu lagi?”
“Tak adalah mak cik. Biasa ja. Tak ada yang lain pun.” Balas Aisyah pantas. Dan cuba mengorak senyum hambar. Dia ingin memperlihatkan wajah manisnya tanda ia riang dan tidak mengalami sebarang situasi yang kontra dengannya.
Walau sememangnya dia menyembunyikan sesuatu di dalam hatinya, ia tidak inginkan sesiapapun tahu mengenainya.
Hatinya ternyata terlalu tersentuh kerana pertemuannya tengahari tadi antaranya dengan ayah Faizal. Bukan sentuhan positif yang dapat diterima dengan dada terbuka, malah sebaliknya.
Semakin difikirkan, semakin tidak keruan jadinya. Gelabah hatinya. Menggema amaran ayah Faizal di telinganya. Tapi perlukah dia takut dengan amaran itu? sedangkan dirinya dan Faizal tidak sebegitu.
Mengapa pula dia perlu risau tidak menentu mengenainya. ‘Aku bukan kekasih Faizal. Faizal juga tidak mungkin menjadikan gadis miskin yang comot ini kekasihnya.’
Ah…lantaklah. Apa yang ayah Faizal nak fikir tentang aku.’ Dia cuba menghentikan pelbagai gangguan yang mendera mindanya. Dia sendiri tidak faham apa yang berselindung di dalam hati sanubarinya sehingga timbulnya kekacauan sebegitu.
Sebuah cerpen karya S.Othman kelantan cuba dibaca dan menghayatinya. Hampa. Dia tekun mengumpul aksara dan menukarnya menjadi frasa namun langsung tidak memahami apa yang di bacanya.
Sebetulnya dia bukan jahil sangat tentang kesusasteraan. Di kelasnya dia adalah seorang pelajar yang paling menonjol di dalam subjek sastera. Selalu di puji guru kerana markah yang diperoleh selalu teratas daripada yang lain.
Kelulusan SRP yang diperolehnya cukup untuk melayakannya berada di dalam kelas sains. Tetapi dia tetap memilih jurusan sastera. Aliran itu begitu menarik minatnya. Dia ingin mengenali dengan lebih dekat bentuk sastera yang akan dipelajarinya itu.
Selama ini dia hanya mendengar diskusi sastera melalui pembacaan di majalah dan akhbar dan menjadi teruja mengenali mereka yang berwibawa di bidangnya. Tambah terleka dengan keasyikan menikmati karya tulisan berbentuk cerpen dan novel yang selalu di pinjamnya daripada Zahari.
Namun  tidak tahu langsung makna aliran sastera yang diujudkan di sekolah untuk tingkatan menengah itu apakah yang sebenarnya. Yang amat dipastikannya hanyalah dia ingin menjadi antara mereka yang berjaya daripada aliran sastera.
Kini setelah berada di dalam tingkatan empat aliran sastera barulah ia menyedari bahawa tidak banyak membezakan kedua-dua aliran itu. Aliran sastera cuma ada 3 tambahan subjek. Iaitu sastera, sejarah dan lukisan.
Mereka yang memilih sains tentu tidak akan menemui tiga mata pelajaran itu. Ketiga-tiga subjek itu menuntut pemikiran daripada dua medan otak kiri dan kanan. Sastera dan lukisan perlu dihasilkan secara kreatif menggunakan medan otak kiri.
Sementelah otak kanan perlu berfikir logik menurut fakta-fakta yang tercatat secara hakiki dan langsung tidak boleh mengubahnya lagi persis yang termaktub di dalam sejarah dan geografi.
Bukankah ada keuntungannya di situ. Maknanya dia tidak salah mengikuti jurusan yang dipinggirkan kebanyakan mereka yang mengaku terlalu bijaksana itu. Itu hanyalah pendapat dirinya. Tidak ada kena mengena dengan mereka yang hidup atau yang telah meninggal dunia.. 
Aisyah menangkap suara bualan di luar rumah. Lamunan segera bercempera pecah dan bersatu bersama maya. Ditoleh ke arah sisinya. Yang diharapkan menjengah pada pandangannya telah tidak ada.
Di luar rumah terdengar suara seseorang yang tadinya berada di sisinya riang tertawa. ‘ Di situ pula rupanya mak cik tu. Masa bila pula dia keluar rumah? Hinggakan aku langsung tak sedar. Tentu abang Z dah balik kerja. Tapi aku tak dengar pula bunyi motornya. Takkan pergi kerja jalan kaki kot?’ Kalbunya berbisik.
Dia masih terpaku di atas kusyen kerusi rotan, walaupun hatinya terlalu ingin mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku di luar itu. Malas pula dia hendak mengangkat punggung dan membawa dirinya menjenguk ke situ. Diteruskannya menelusuri galur cerpen karya penulis kelahiran se negeri dengannya itu.
Seseorang menjamah bahunya berserta sapaannya.
“Hai ralit membaca. Cerita apa yang mengasyikan sangat tu?”
Aisyah terus menatap majalah itu tanpa memalingkan mukanya untuk mengadap si penyapanya demi mendengar suara itu. Suara yang amat dikenalinya.
“Masam saja Syah. Marahkan saya ke?” Tanyanya dibauri gusar.
Aisyah langsung tidak peduli dengan sapaan dan pertanyaan itu. Dia mulai menganjak dirinya lebih menepi apabila dilihatnya Faizal melabuh punggung di sebelahnya. Lelaki itu merenungi seluruh wajahnya. Aisyah tersenyum sedikit. Cuba untuk menyerikan kehambaran wajahnya. Namun dia masih diam.
Ternyata Faizal rindukan lontaran suara merdu yang selalu dinikmatinya tika mereka berbicara dengan galak riang suatu waktu dulu. Kini segalanya sepi. Hatinya rasa perit terdera.
“Mengapa Syah diam saja. Tak sukakah saya di sini?”
“Tak ada apa yang hendak dicakapkan, eloklah diam.” Balas Aisyah selamba bersahaja.
“Saya tahu Syah memang marahkan saya…”
“Siapa kata? Saya tak ada sebab nak marah pun.”
“Takpayahlah nak sembunyikannya Syah! Saya tahu awak marahkan saya...”
“Kalau abang tahu saya marahkan abang, cuba abang beri sebab-musababnya kenapa saya perlu marah pada orang sebaik abang yang telah saya anggap sebagai abang kandung sendiri selama ini. Cuba jelaskan…” Ujar Aisyah yang sekaligus mendesak Faizal untuk mengatakan fakta sebenarnya. Meski dia teramat maklum.
“Janganlah sindir abang, Syah. Abang tahu abang menyebabkan Aisyah marah kerana tingkah ayah abang terhadap Syah. Abang pun tak tahu ayah abang pergi jumpa Syah di sekolah. Pagi tadi saya kerja. Balik saja ayah bagi tahu dia dah pergi jumpa Syah di sekolah dan diceritakan maksudnya. Bengang abang...”
Aisyah memalingkan mukanya. Pandangannya menyeluruhi ruang tamu. Tidak ada sesiapa di situ. Tidak ada mak cik Salina. Juga tidak ada Abang Zaharinya. Melainkan hanya mereka berdua. Lantaran itu tidak ada sesiapa yang melihat air mata yang menitis membawa kesedihannya ke pipi.
Selalunya Aisyah tidak pernah dibiarkan berduaan bersama Faizal. Jikalau tidak mak cik Salina yang menemaninya, mesti ada Zahari yang turut bersama tumpang berborak.
Kali ini entah ke mana hilangnya mereka kedua beranak itu membawa diri. Janggal pula rasa hatinya kerana berduaan dengan Faizal saja. Dia ingin bangun meninggalkan ruang itu. dan membiarkan Faizal keseorangan.
 “Hendak ke mana pula tu? Duduklah dulu. Kita selesaikan masalah kita ini baik-baik. Jangan biarkan abang terseksa menanti penjelasanmu Syah...”
Aisyah tidak jadi hendak melangkah meninggalkan ruang itu. Sebaliknya duduk semula dengan berat hati dan rasa bungkam yang menyeksakan. Termengkelan menyesak rongga nafasnya.
“Abang buat saya rasa sangat hina pada pandangan ayah abang. Saya tahu saya ini orang miskin. Tapi kemiskinan saya bukan untuk dihina. Abang pula beritahu yang bukan-bukan tentang saya.
Mengapa abang sanggup buat ayah abang marahkan saya. Saya tak pernah mengharapkan abang mencintai saya. Saya tahu siapa diri saya dan di mana kedudukan diri harus saya berada.
Saya berterima kasih kerana selama ini abang banyak menolong saya. Maklumlah saya ini bukankah sangat miskin dan sentiasa mengharap pertolongan orang-orang yang kaya yang belas kasihan kepada saya seperti abang kan…
Tapi itu tidak bermakna saya mengharapkan yang lain-lain pula. Apa lagi apabila saya tahu abang dah pun bertunang…” Aisyah meluahkan keseluruhan rasa yang terpendam di hatinya sehingga dia merasa puas kerana tidak ada lagi sisanya yang ketinggalan. Segalanya tertera menjadi catatan nota yang dibentangkan untuk dibaca dan difahami maksudnya secara bijaksana.
Dia tunduk. Memang sedih dan terluka hatinya tatkala mendapat tahu daripada ayah Faizal bahawa Faizal yang amat disukai dan disenanginya itu telah berpunya. Apalah dayanya lagi, jikalau begitu suratan takdirnya. Akan diterima hakikatnya dengan berlapang dada.
Alangkah baiknya jikalau dia yang menjadi tunangan Faizal yang disebut-sebut dengan bangga oleh ayahnya itu tika di sekolah tadi.
“Mengapa cakap gitu Syah? Sedih hati abang mendengarnya. Janganlah terlalu merendah diri. Walaupun siapa diri kita, tidak ada jurang yang memisahkan kita. Hidup kita ini saling perlu dan memerlukan…”
“Itu kata abang. Bukan kata ayah abang. Hinggakan dia sanggup menghina saya, kononnya tergila-gilakan orang kaya seperti abang. Selama ini saya tidak tahu pula bahawa abang ini tersangat kaya sehingga akan menyusahkan jika didekati. Jikalau saya tahu tak ingin saya nak berkawan dengan abang dan tak akan menerima semua pemberian abang yang kononnya ikhlas itu…

12 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 8..."

Mizz Aiza (Dunia Kecil) delete icon 2 Mac 2014 10:42 PTG

menarik penulisan kak paridah. boleh dibukukan kisah ini kak..

Qaseh Wee delete icon 2 Mac 2014 10:49 PTG

aduh , duh duh ... merajuk manja lak aisyah ya ... eh , masih sekolah tu . kena lepaskan spm dulu ... heheheee

BUNDA a.k.a KN delete icon 3 Mac 2014 5:52 PG

Amboi! ada bakat...bolih dibukukan ni.. Tahniah atas bakat yang ada...

teruskan usaha dalam bidang penulisan..semoga berjaya..

babYpose delete icon 3 Mac 2014 8:39 PG

Bercinta dengan orang kaya, mesti ada dramakan hehe, habiskan spm dulu syah :)

paridah delete icon 3 Mac 2014 9:23 PG

yeke...terima kasih banyak Mizz Aiza...kak malas nk bukukan takut melambak jer novel tu kat rumah xlaku dijual...tulis2 je kat sini lepaskan minat yg tersangat.

paridah delete icon 3 Mac 2014 9:27 PG

ya kisahnya dilakar melalui era masa kecil n seterusnya...betul tu xmolek bercinta sdg spm xlepas lagi kan.....tq Qaseh Wee.

paridah delete icon 3 Mac 2014 9:29 PG

terima kasih banyak BUNDA a.k.a KN..in sya Allah...menulis suka2 saja bunda.

paridah delete icon 3 Mac 2014 9:31 PG

ya banyak drama lagi dlm kehidupan Aisyah...ikuti sambungannya....tq babYpose.

Fiza Rahman delete icon 3 Mac 2014 1:47 PTG

Dah boleh buat novel ni ☺

paridah delete icon 3 Mac 2014 2:42 PTG

terima kasih Fiza Rahman...novel dicoret suka2...

Kesuma Angsana delete icon 3 Mac 2014 2:56 PTG

bestnyer kak.... terbaik !

paridah delete icon 3 Mac 2014 4:12 PTG

yeke..terima kasih banyak Kesuma Angsana.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”