بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
                                                Bab 4.
                                          Menerima budi.

“Nek, saya hendak bayar duit periksa SRP. Kawan-kawan saya semuanya sudah bayar,” tuturnya lembut. Tangannya menyodorkan secawan kopi panas yang dibawanya daripada dapur kepada neneknya.
Neneknya itu memang gemar sangat minum kopi sebaik selesai makan malamnya. Dan Aisyah yang akan menyediakannya tanpa olah. Tidak pernah berselang. Mesti ada.
“Habis…mu nak minta pitih (duit) ko akulah ya! Aku mana ada pitih,” balas neneknya acuh tak acuh. Meneguk kopi dengan perlahan kerana kepanasannya yang meruap masih dirasakannya.
“Mengapamu tidak minta pitih pada emak, ayahmu di Pahang sana?”
Pertanyaan sebegitu memang sudah diduganya akan meluncur keluar daripada mulut neneknya.
“Saya sudah minta pada ayah. Tapi surat ja yang saya terima tadi. Kata ayah buat masa ini belum ada duit lagi dan dia minta nek dulukan duitnya. Nanti bila ayah pulang dia akan bayar balik pada nek…”
Neneknya berdiam diri. Di hatinya dia sangat berharap neneknya akan memahami kesulitannya dan bersedia membantunya di kala yang sangat terdesak ini. Bukannya terlalu banyakpun duit yang diminta. Cuma RM 15 saja.
“Bukankah aku dah kecek tadi, aku ni tak ada pitih. Kalau susah sangatmu berhenti ja dari sekolah. Tak payahlah nak susah-susah bayar pitih periksa. Tak payah ke sekolah. Tolong aku berjualan di gerai. Ada juga faedahnya...” Demi mendengar kata tegas neneknya itu, lemah longlai terasa di seluruh tubuhnya. Bukannya neneknya itu hendak menolong meringankan beban yang sedang ditanggungnya, malah tambah memberatkannya lagi.
Begitu sekali sikap neneknya. Aisyah tidak berani mengulangi permintaannya sekali lagi kerana dia sangat faham sifat neneknya. Apa yang disebutnya adalah muktamat keputusannya. Tidak perlu ditangisi. Tidak perlu dirayu. Tidak akan mengubah apa-apa.
Air mata yang hendak gugur daripada kelopaknya mengenangi nasib malangnya, berusaha ditahaninya. Pantas dia segera mencari tempat tidurnya. Di atas sebidang tikar dan bantal kusam, dia membaringkan tubuhnya, meletakan kepalanya.
Sepasang matanya panas dan berpasir. Bergenang air mata di kelopaknya. Dan menitis perlahan di pipinya. Dia teramat sedih. Keputusan yang mahu dibuatnya mengikut saranan neneknya amat berat hendak dilakukannya. Namun tiada pilihan lain lagi.
Kain selimutnya ditarik ke seluruh tubuhnya sehingga menutupi kepalanya. Bertambah gelap malam yang sedia gelita tanpa sebarang cahaya meneranginya. Api dari pelita ayan bersumbu tali rami yang dibawanya dari dapur tadi pun sudah dihembus supaya terpadam.
Dia sentiasa beringat tentang keselamatan diri dan harta benda neneknya agar tidak di jilat api kecil yang marak mengeluarkan lidahnya menyambar semua kerana kealpaannya. Dia tidak mahu kemungkinan itu terjadi.
Padanya kesedihannya biar dia seorang yang meratapinya. Dan dia samasekali tidak mahu menyebabkan neneknya bersedih kehilangan rumahnya berpunca dari kelalaiannya memadam api pelita sebelum tidur.
Malam akan berkurangan oksigen kerana pohon-pohon dan tumbuh-tumbuhan tidak melepaskannya ke udara. Sebaliknya gas karbon dioksida yang disebarkan menyebabkan penghuni alamnya akan cepat tertidur.
Tetapi tidak dengan Aisyah. Matanya sudah dipejam rapat-rapat. Fikirannya pula bersimponggang merata. Dia masih belum terlena.
Esok mungkin adalah harinya yang terakhir berada di Sekolah Menengah Pasir Emas yang telah mencatat kehadirannya selama hampir tiga tahun, memberinya sedikit ilmu dunia dan akhirat akan ditinggalkannya.
‘Tinggallah kawan-kawan. Tinggallah guru-guru yang disayangi. Selamat tinggal kesemuanya. Maafkanlah semua salah silapku. Maafkanlah. Pada guru-guru halalkanlah semua ilmu kehidupan yang telah ditaburkan padaku. Insya-Allah aku akan menjadi manusia sebaiknya. Manusia yang berguna kepada semua.’
Sepasang mata itu terus terpejam rapat. Akhirnya terlena tanpa disedarinya. Terpadamlah sudah wajah kawan-kawannya lelaki dan perempuan. Hilai ketawa dan gurau senda kesemuanya tidak lagi terngiang-ngiang di telinganya. Entah mimpi apa pula yang mendatanginya kemudiannya, dia tidak ingat sedikitpun.
 Apabila tersedar saja daripada tidurnya dia mendapati hari sudah subuh kerana laungan azan dari masjid yang tidak berapa jauh dari rumah neneknya, kedengaran sayup-sayup. Sebentar lagi bila hari sudah cerah sedikit dia akan ke sekolahnya setelah tubuhnya dijirus dengan air yang amat dingin di telaga dan mempersiapkan diri ala-kadarnya. Mungkin buat kali penghabisan melakukan kebiasaan begitu.

                                                            * * *

“Cikgu Rahim belum masuk kelas lagi Nik?” soalnya pada kawan disebelahnya.
“Jikalau belum ada lagi orangnya di depan tu, maknanya belum datang lagilah…” balas Nik Rohani sinis.
Terasa bodoh pula bertanyakan soalan begitu kepada temannya itu. Aisyah menempelak dirinya.
“Mu ni sibuk sangat tanyakan cikgu kita tu apahal? Selalu tu mu tak kisah pun sama ada dia adakah tidak. Kalau dia tak ada mulagi suka aku rasa. Bukanmu saja aku pun gitu…,” tanya Nik Rohani dengan sengihnya yang lebar sambil mengungkapkan realiti perasaannya..
Aisyah tersenyum sedikit melindungkan kemuraman wajahnya. Hatinya berkecamuk tidak keruan. Langsung tidak mempedulikan kata gurau temannya itu. Walaupun dia tidak menafikan realitinya.
 “Apabila cikgu Rahim masuk kelas nantimu akan tahu juga kisahnya,” sahutnya lemah. Nik Rohani menatap mata bundar yang tenang itu. Dia mengagak ada sesuatu yang cuba di selindungkan temannya itu daripada pengetahuannya.
 “Cikgu Rahim tidak dapat masuk kelas hari ini. Dia minta kamu semua buat kerja masing-masing dan jangan buat bising!,” tutur ketua kelas tingkatan 3 Mawar dari muka masuk pintu kelas itu.
Dia baru saja tiba daripada bilik guru menghantar repot kehadiran pelajar-pelajar kelas itu hari ini. Mulai duduk di tempatnya setelah pengumuman itu dibuat. Izudin tahu sebentar lagi pasti akan kedengaran hilai tawa dan gerak kerja yang akan menggamatkan suasana yang tidak diingini dicetuskan kawan-kawannya. Kawan-kawannya memang sangat dimaklumi dari jenis yang tidak makan saman.
Boleh digertak dengan apa saja tetapi hasilnya keadaannya tetap serupa. Penat sahaja jikalau dia memekik meminta kawan-kawannya jangan membuat bising. Kesemuanya selamba buat muka ikan sadin.
Tidak akan tertutup mulut dari hamburan kata-kata yang berintonasi berbeda, meriuh-rendahkan dan bingit sekali. Maka kelak akan jadilah suasana di kelas itu laksana sebuah pasar borong yang dipenuhi bualan dan tempik-sorak diantara sesama pemborong dan pembeli yang sedang tawar-menawar harga belian yang diingini.
“Nik, temankan aku pergi berjumpa dengan cikgu Rahim di bilik guru. Aku ada hal sedikit nak beritahu dia...”
“Mustahakkah?”
“Tidak payahlahmu hendak soal-selidik lebih-lebih. Ikut jalah!” Nik Rohani terus terdiam tatkala mendengar kenyataan itu. Lain macam saja nada suara Aisyah yang singgah dipendengarannya.
Menarik minatnya untuk mengetahui kisah yang tercetera. Dia perlu ikut menemani Aisyah bertemu dengan cikgu Rahim sekiranya dia ingin tahu dengan lebih jelas duduk perkaranya.
Tanpa banyak bertanya lagi ia mengorak langkah mengekori Aisyah meninggalkan kelas yang menggabung aneka bunyi laksana anak-anak ayam kehilangan induk itu. Sebelum itu kedua-duanya terlebih dahulu meminta keizinan meninggalkan kelas daripada ketua kelas. Apabila alasan yang diberi itu logik dan boleh diterima, Izudin tidak ragu-ragu lagi membenarkannya.
Di dalam perjalanan yang singkat menuruni aras dua hingga tiba di bilik guru yang berada di sebuah bangunan berasingan kedua-duanya berbual ringan. Menjangkau pelbagai topik yang seronok diperkatakan.
Sehinggalah perbualan itu terhenti sepontans sebaik tiba di muka pintu bilik guru. Cikgu Rahim menyambut kehadiran anak-anak muridnya dengan pandangan yang mengungkapkan pertanyaan.
“Apahalnya kamu berdua datang jumpa saya ini?” Tanya cikgu Rahim. Dia cuma sendirian di dalam bilik guru itu kerana kawan-kawannya memasuki kelas masing-masing buat melaksanakan tugas dan tanggung-jawab sebagai guru yang mendidik anak-anak bangsa.
“Cakaplah apa masalahnya. Kalau saya boleh tolong saya akan tolong,” ujarnya bersahaja. Tidak ada pun sekelumit senyum yang tergaris di wajahnya. Keras dan tegang. Dia merenungi wajah anak-anak muridnya itu satu persatu. Menuntut penjelasan yang dinanti.
Nik Rohani menoleh kepada Aisyah di sebelahnya. Dia memang tidak ada sebarang masalah. Hanya menemankan kawannya yang bermasalah. Disigungnya temannya itu.
“Keceklah (cakap) cepat gak!,” desaknya sambil berbisik.
“Cikgu, saya nak berhenti sekolah mulai esok...” Aisyah teragak-agak menuturkannya, menyatakan hasratnya. Guru muda itu kekagetan. Lama renungannya menerjah wajah Aisyah. Nik Rohani turut terkesima. Terkejut sungguh kerana langsung tidak menyangka bahawa begitu sebenarnya tujuan Aisyah menemui cikgu Rahim.
“Mengapa kamu hendak berhenti sekolah? Hendak kahwinkah?” Tanya guru itu separuh berlucu. Dia tersenyum sedikit. Senyuman yang memaniskan wajahnya yang tadinya kelat..
‘Cikgu ni, orang serius dia main-main pula.’ Gerutu hati Aisyah menggumam dalam diam. ‘Akuni dikatanya hendak berhenti sekolah sebab hendak berkahwin. Tak masuk akal betul!’
Namun dia tidak menafikan bahawa ada juga di antara kawan-kawannya yang tidak bersekolah telah pun berkahwin. Mungkin kerana fenomena sebegitu gurunya itu membuat telahan begitu. Mudah-mudahan kemungkinan itu tidak terjadi kepadanya dalam usianya yang masih terlalu muda ini. Demikian pula harapannya mendoakan.
“Saya tak dapat hendak jelaskan duit periksa. Apa gunanya saya bersekolah lagi, sekiranya saya tak dapat nak ambil periksa,” tutur Aisyah lemah dengan perasaan yang sangat tertekan dan hendak menjuraikan air matanya. Tetapi berusaha ditahaninya.
“Saya ingatkan awak hendak kahwin tadi,” ujar guru itu bersahaja, masih tidak menanggapi apa-apa dan memandang remeh masalah berat yang dikemukakan anak muridnya itu. Dia menarik nafas seketika. Dan melepaskannya perlahan.
“Apa yang awak nak risau sangat. Duit periksa awak sudah pun dibayar...” Aisyah tersentak. Wajahnya terpanggung mengadap wajah gurunya. Penjelasan cikgu Rahim memang memeranjatkannya. Ragu-ragu pula hendak menerima kenyataan itu.
“Bila? Siapa yang bayar? Saya tak tahu-menahupun.”
‘Baik hati sungguh orang itu. Sanggup dia tolong bayarkan duit periksa aku. Sedangkan nenek aku pun tidak mahu membayarnya. Terima kasih banyak-banyak. Terima kasihlah.’ Desis hatinya berkali-kali.
“Betul awak tidak tahu siapa yang tolong bayar duit periksa awak?”
“Jikalau saya tahu duit periksa saya sudah dibayar, tentu saya tidak datang jumpa cikgu minta hendak berhenti sekolah,” balas Aisyah bertegas dengan jawapannya. Guru itu angguk. Sangsinya hilang.
“Faizal...” Sebuah nama terluncur menjadi sebutannya.
“Faizal?” Aisyah mengulangi menyebutnya dengan nada berbeza. Lebih lunak dan lirih. Langsung tidak menduga bahawa itu kenyataannya.
“Faizal itu kawan saya. Dia selalu datang bermain badminton dengan saya di gelanggang berdekatan rumah saya. Dia tanyakan saya sama ada awak sudah bayar duit periksa. Apabila saya kata belum lagi, dia pun tolong bayarkan duit periksa awak,” cikgu Rahim bercerita.
Dia tidak ingin tahu cerita yang berlaku diantara Faizal dan anak muridnya. Dan dia tidak bertanya. Perihal yang bersangkutan dengan peribadi sesaorang, bukan haknya untuk mengambil tahu jika tidak diberitahu. Walakian anak muridnya sendiri.
“Bagaimana sekarang! Awak hendak berhenti sekolah esok?” Tersipu-sipu Aisyah apabila gurunya bertanya begitu. Nik Rohani turut tersengih memandangnya. Menanti-nanti jawapan yang bakal terbit menjadi buah bicara. Aisyah masih diam. Bungkam.
“Beginilah…masalah awak sudah selesai sekarang. Awak tidak perlu lagi berhenti sekolah semata-mata hanya kerana tidak dapat membayar yuran peperiksaan. Cuma saya harap, awak belajarlah rajin-rajin. Buktikan awak tidak mensesiakan budi Faizal dengan kejayaan awak di dalam peperiksaan nanti. Saya tahu dan yakin awak boleh melakukannya.” Ujar guru itu berserta sedikit nasihat yang sangat bernilai.
Bukan saja buat Aisyah seorang, nasihatnya supaya rajin-rajin belajar itu dimaksudkannya. Malah buat Nik Rohani, juga yang seangkatan dengannya. Yang bercita-cita meraih kejayaan di bidang pelajaran buat bekal untuk kemudahan hari depan. Aisyah sekadar mengangguk kecil. Tanda akur pada saranan gurunya.
Aisyah dan Nik Rohani mengucapkan terima kasih kepada guru muda itu sebelum berlalu meninggalkannya. Dia kembali meneruskan tugasannya yang terbantut seketika. Dia sengaja ponteng dari mengajar di kelas 3 Mawar demi hendak mengemaskinikan buku laporan mengajar bulanan yang akan diserahkan kepada pengetua sekolahnya untuk di semak.
Cuma sedikit waktu yang diambil, meninggalkan kelasnya tentu tidak akan mengurangkan nilai akademik pelajar-pelajarnya. Kesemuanya harus bijak memanafaatkan masa sewaktu ketiadaannya dengan menyemak atau mengulangkaji pelajaran yang sudah dipelajari. Peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran) pun semakin dekat. Hanya tinggal beberapa bulan saja lagi.
Sayangnya apa yang difikirkannya sangat baik dan harus dilakukan itu hanya singgah pada minda beberapa orang muridnya sahaja. Antaranya Aisyah dan Izudin. Begitu tekun kedua-dua murid itu menatap buku.
Hiruk-pikuk di sekelilingnya tidak di hiraukan. Tiba-tiba saja suasana berubah. Senyap sunyi. Tiada kedengaran suatu apa pun yang mencemarkan ketenangannya. Sepi. Laksana negeri yang dilanggar geroda.
Izudin dan Aisyah memanggungkan kepala. Mencari sebab.
“Mengapa diam? Sembanglah lagi! Saya hendak dengar. Kalau saya tidak ada bukan main lagi kamu semua buat bising ya…macam kapal hendak pecah riuh rendahnya kamu semua buat...” Berbaur suara itu dengan herdikan. Wajah garangnya sudah cukup untuk membuat semua murid-muridnya menikus.
“Izudin! Ke sini...” Izudin bergerak bodoh lurus mendekati gurunya yang memandangnya dengan tajam dan tegang wajahnya.
“Bukankah saya sudah berpesan kepada awak supaya jaga kelas ini dengan baik dan jangan biarkan pelajar-pelajarnya membuat bising. Ketua kelas apa awak ini. Langsung tidak boleh diharap,” ujar guru itu melambakkan kemarahan yang membuak di dadanya kepada murid yang seorang itu.
“Maaf cikgu! Saya sudah cakap apa yang cikgu pesankan kepada saya tadi. Tetapi budak-budak ni langsung tidak pedulikannya. Apa lagi yang boleh saya buat.” Izudin cuba mempertahankan kebenarannya.
Dia merasakan dia tidak wajar dipersalahkan di atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Bukannya senang hendak mengawal sejumlah 35 orang pelajar lelaki dan perempuan yang pelbagai ragam dan kerenahnya.
Lebih mudah lagi menjaga 40 ekor kambing ternakan datuknya yang dijaganya pada setiap petang setelah pulang daripada sekolah. Dia harap cikgu itu akan faham masalah dan kesulitan yang dihadapinya. ‘Bukannya susah sangat hendak faham pun.’ Getus hatinya.
“Baiklah! Sebagai denda sebab awak semua tidak mematuhi arahan saya, awak semua berdiri atas kerusi sehingga loceng berbunyi...” Sekali lagi riuh kelas itu dengan bunyi pijakan murid-muridnya melangkah ke atas kerusi. Akur dengan perintah gurunya tanpa bantah.
Kesemuanya sudah terpacak diatas kerusi. Murid-murid itu tidak bersungut apabila didenda begitu. Adil. Kerana tidak ada yang berkecuali. Termasuk ketua kelasnya pun kena. Sedangkan dia tidak melakukan apa-apa yang melanggar etika seperti kebanyakannya. Tidak buat bising pun. Hanya duduk di kerusi diselubungi kegamatan di sekelilingnya. Tetapi tidak dihiraukannya. Tekun membaca  dan menyelak nota-nota.
Cikgu Rahim berjalan tunduk ke mejanya. Berusaha menyembunyikan senyuman yang hendak terukir di bibir. Dia membelek buku kedatangan murid-muridnya. Dan mencatat sesuatu di dalamnya.
‘Padan muka awak semua.’ Guru muda itu menjeling wajah-wajah nakal anak-anak muridnya yang dicamnya sangat. Pandangannya melintasi wajah Izudin yang jernih putih. Dia tahu ketua kelas yang dilantiknya itu memang tidak patut didenda. Aisyah dan Nik Rohani yang baru sebentar tadi menemuinya juga tidak harus didenda.
Anak-anak muridnya yang itu diyakini memiliki keperibadian yang baik dan tidak pernah engkar setiap arahan gurunya. Sentiasa patuh. Tetapi dia harus bertindak adil dan saksama.
Loceng berdering nyaring. Maknanya waktu untuk cikgu Rahim berada di kelas itu telah tamat. Dia bergegas keluar. Sebelum melangkahi pintu dia menoleh dan melemparkan senyum sinis kepada anak-anak muridnya.
“Sekarang boleh turun!,” laungnya. Belum lagi hilang kelibatnya bergema semula kelas itu dengan suara bualan yang tidak ketahuan buah butirnya. Cikgu Rahim hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil berjalan pantas menghala ke bilik guru.
‘Aku dulu pernah jadi murid juga. Tapi aku rasa perangai aku tidak begitu.’ Lain ulu tentulah lain parang. Lain dulu tentu lain sekarang. Cikgu Rahim tersenyum sendiri merujuki tingkah-lakunya sewaktu bergelar murid dulu. Ada juga yang tidak kenanya. Tetapi yang singgah di ingatannya cuma tingkahnya yang baik-baik saja.
‘Gamaknya semua orang pun akan berfikir begitu,’ desis hatinya menduga.

                                                    * * *

Pulang daripada sekolah hari ini, hati Aisyah merasa sangat girang. Tentunya kegirangan itu kerana takdirnya hari ini sudah tertulis dia tidak akan berhenti dari sekolah. Perjuangannya menimba ilmu di sekolah kesayangannya masih boleh diteruskan.
Dia bernyanyi-nyanyi kecil mengenangkan nasib baik yang menyebelahinya itu. Senikata lagu Seruling anak gembala nyanyian Jefridin itu cepat benar dihafalnya. Terpahat di mindanya.
 Lebih mudah mengingat senikata lagu dari menghafal formula algebra yang sangat memenatkan daya fikirnya. Yang mudah, tentulah sangat mudah jadinya. Yang dianggap susah akan susah juga sampai bila-bila.
Sambil mengatur langkah di tepi jalan beraspal itu dia terus berfikir lagi. Tidak lagi bernyanyi-nyanyi.
Kata hatinya, alangkah seronoknya jikalau dia terlahir di tengah keluarga yang mewah. Ini tidak! Dia hanya berbintikan Salleh dan berbondakan Hanisah. Rugi sangat pula kerana menjadi cucu kepada Maimunah.
Hidup hariannya berselubung dengan penderitaan, kesempitan dan kemiskinan. Sekiranya dia terlahir di tengah keluarga yang berada dan kaya-raya, segalanya yang dianggap masalah tentu tidak akan melintas di laluan hidupnya.
“Hemm…!” Keluhnya perlahan.
‘Macam-macam saja aku ni. Jikalau aku tidak dilahir di dalam keluargaku ini, aku tidak mungkin kenal dengan emak ayahku yang sangat baik itu. Juga abang Z dan mak cik Salina yang sangat banyak berbudi kepadaku itu. Sentiasa pula mengongsi dan membantu kesusahanku.’
Tersenyum pula Aisyah apabila wajah Faizal tida-tiba bergentayangan di depan mata. Sungguh baik sekali anak muda itu terhadapnya menurut firasatnya. Dan dia amat gembira sebagai Aisyah binti Salleh.
Semalam mak cik Salina memberinya sepasang baju kurung yang cantik. Katanya hadiah daripada Faizal sempena hari Idilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi. Dia menerimanya tanpa ragu.
Tidak terfikir langsung tentang maksud yang terselindung disebalik pemberian itu. Kebaikan dan keluhuran hati-budi Faizal tidak pernah dipersoalkan. Jikalau abang Znya baik, tentulah kawannya pun baik juga.
Dia mentelaahnya begitu. Sempurna baiknya. Kedua-duanya adalah abangnya kerana Zahari dan Faizal jauh lebih tua daripadanya. Lebih dewasa. Begitu anggapan naifnya.
“Onkkk!,” jerit hon motor di belakangnya. Aisyah tersentak. Dia segera menepi. Sepasang anak muda yang mengenderai motor itu melepasinya. Sempat pula mengenyitkan mata dan menyunggingkan senyum yang memualkan Aisyah.
Aisyah menarik muka. Masam wajahnya dengan iringan jelingan yang tajam. Menyampah sungguh hatinya dengan perangai anak-anak muda di kampungnya yang kerjanya asyik hendak  mengorat anak gadis tidak mengira siapa.
Langsung tidak ambil hal sama ada yang diganggu dan di orat itu adalah anak-anak sekolah yang belum berapa kenal dunia. Bukan dia tidak kenal pada Mamat dan Rosli yang terkenal gelagatnya yang kacang hantu dan suka mengambil peluang menyakat gadis-gadis kecil setiap kali mereka pulang dari sekolah.
Rosli dan Mamat pasti muncul entah dari mana untuk mengganggu perjalanan pulang mereka. Jikalau dilayan akan bertambah seronok mereka berdua dengan sembang merapu yang melalut lagi menjengkelkan.
Aisyah tidak pernah hendak memberi peluang kepada kedua-dua pemuda itu untuk merapatinya. Walau disapa dengan lunak dan manis, tidak teringin hendak dilayaninya. Sudahnya mereka bosan dan tumpul minatnya hendak mengacah Aisyah.
Setakat menegur dan menyakat sikit-sikit tetap juga mahu dibuat. Apalagi tatkala bertemu Aisyah berjalan pulang sendirian.
“Onk!”
Sekali lagi terdengar jeritan hon motorsikal di belakangnya.
Aisyah berjalan dengan selamba menurut gayanya yang bersahaja. Tidak lagi mahu menepi kerana dia merasakan dia sedang berada di lorong yang sememangnya dilalui pejalan kaki.
Dia tidak merasa melakukan sebarang kesalahan.  Waima mengganggu sesiapa. Jikalau penunggang motorsikal hendak lalu di jalan besar di sisinya, dipersilakannya. Dia tidak boleh lagi hendak menepi kerana jika beranjak sedikit saja pasti dirinya akan terjatuh ke dalam parit JPT((Jabatan parit & taliair).
Motorsikal itu tiba-tiba berhenti di sisinya.
“Naiklah...” Pelawanya.
Aisyah tersenyum sebaik berpaling menentang pandangan mata pengendera motorsikal itu yang juga tersenyum kepadanya..
“Abang ko! Ingatkan siapalah tadi...”
“Iyalah abelah ni, datang nak jemputmu. Muingat sapa pulok...”
“Saya ingatkan budak dua ekor tadi datang semula nak kacau saya...”
“Muni gak ada ja. Manalah ada budak berekor…”
“Abang tak tahu ke ada budak berekor? Maksudnya rupa saja manusia. Perangainya sama dengan yang berekor tu…”
“Pandaimulah weh. Naik cepat. Koho koho, (perlahan-lahan) baik-baik takut terjatuh, sakit pula...”
“Iyalah. Tapi saya tumpang abang Z sampai di hujung jalan sana saja. Saya tak mahu nenek tengok. Nanti dia ngepek (berleter) tak tahan telinga saya nak dengar…”
Zahari hanya mengangguk tidak membantah. Dia amat faham dan mengerti situasi yang didepani Aisyah hanya kerana hendak mendapatkan sedikit keselesaan buat dirinya.
“Ikutmulah gak...”
Tanpa soal jawab lagi motorsikal itu digerakan melaju ke destinasinya. Terbuai-buai rambut Aisyah yang panjang mengurai se paras pinggang  ditiup angin keras.
“Semalam adakah Faizal datang ke rumah abang?”
“Mengapamu tanya begitu. Hai macam ada apa-apa ja?” Balas Zahari sinis.
“Abang ni pandai ja nak usik orang. Tak ada apa-apanya. Saja nak tanya. Takkanlah tanya pun tak boleh…”            
Aisyah melepaskan cubitan halus pada pinggang lelaki yang membelakanginya itu. Yang membuatkannya mengeding tubuhnya kerana kesakitan dan kegelian yang dirasakannya.
“Padan muka abang. Kan dah merasa gigitan semut api...”
“Mu baik-baik sikit Syah. Nanti tak pasal-pasal kita terjatuh menyembam tanah. Abe sakit takapa. Takut habis berparut mukamu yang comel tu disagat batu jalan. Tak sayang muka ko? Nanti tak ada siapapun yang berkenan pada adik abe ni!” Ketawanya mengelekek pula.
Lucu sangat padanya melihatkan gadis kecil itu marah begitu kepadanya. Dia hanya sekadar hendak mengusik anak sekolah yang membonceng motorsikalnya itu.
Zahari tidak irihati sedikitpun kerana Aisyah nampaknya semakin mesra dengan Faizal kawannya yang dikenalinya lewat beberapa bulan lepas dalam insiden menculiknya untuk dibawa ke kelinik doktor Ravi untuk diberikan rawatan pada sakit kudis yang dideritainya.
Jikalau Faizal mampu memberikan sedikit keriaan kepada gadis kecil yang dianggapnya malang kerana ketiadaan keluarga disampingnya untuk memperhatikan kebajikannya, apa salahnya pula hubungan mereka. Biarkanlah ianya berlaku. Hatinya memutuskan begitu.
Di hujung jalan yang ditentukan Aisyah, Zahari menghentikam motorsikalnya. Aisyah menggalas beg sekolah dan turun dari motor menjejak tanah.
“Petang ni Faizal datang ke rumah abe. Jikalau ada apahal yangmu nak kecek kepadanya datanglah ke rumah...” Zahari memberikan informasi sambil mempelawa Aisyah bertandang ke rumahnya.
Zahari mengagak tentu Aisyah hendak mengucapkan terima kasih kepada Faizal kerana Faizal telah 

tolong membayarkan yuran peperiksaannya. Faizal telah memberitahunya.

18 comments - "SEBUAH VERSI CHINTA....BAB 4"

Dwi Alfina delete icon 3 February 2014 at 09:29

Assalamualaikum makcik, pengkongsian yang bagus nih :)

babYpose delete icon 3 February 2014 at 10:09

Salam pagi, Alhamdulillah kawan bayarkan duit srp wslaupun parents dan nenek tak dapat. Kalau saya duk makan kat restoran, tetiba ada orang bayarkan best jugak :))

Sobri Yaacob delete icon 3 February 2014 at 10:18

salam sis..penceritaan yg mnarik..tersentuh hati :)

paridah delete icon 3 February 2014 at 11:08

wsalam Dwi Alfina...sesekali kita baca karangan ya....tq

paridah delete icon 3 February 2014 at 11:12

salam pagi babYpose...rezeki Aisyahlah tu...mmg suka sgt dpt belanja org dgn xdisangka-sangka kan...tq.

paridah delete icon 3 February 2014 at 11:14

yeke?...terima kasih banyak...melambung tinggi dgr pujian sobri....tq Sobri Yaakob.

Irfa delete icon 3 February 2014 at 11:38

sapa tulis cerpen ni kak?
macam best je
wpun ada ayatnya mcm pelik bg telinga saya

cth:
“Bukankah aku dah kecek tadi, aku ni tak ada pitih'
kecek:bercakap
royak:bagitau
sepatutnya ayat itu mcm ni
“Bukankah aku dah royak@royat tadi, aku ni tak ada pitih'
hihi

Purnomo Jr delete icon 3 February 2014 at 12:02

sepertinya perlu di jadikan sebuah buku nih mbak :)
alur ceritanya menarik :)

BM delete icon 3 February 2014 at 12:26

Adakah ini semua karya sendiri? Jika benar...anda sungguh berbakat! :)

Kesuma Angsana delete icon 3 February 2014 at 12:29

karya sendiri lagi yer kak..mmg terbaik !

paridah delete icon 3 February 2014 at 13:22

betullah tu irfa...kak yg tulis novel ni...tapi kak xfasih sgt loghat kelantan ni...terimakasih irfa dgn komen membina.

paridah delete icon 3 February 2014 at 13:25

iakah? wah gembira dgn rangsangan itu...terima kasih banyak Purnomo Jr.

paridah delete icon 3 February 2014 at 13:28

ya karya sy yg ditulis berbelas tahun baru dapat disiapkan....berbakat ke? terima kasih banyak BM.

paridah delete icon 3 February 2014 at 13:31

Ya KA sesekali tulis karangan sbb di sekolah dulu suka mengarang... tq KA.

Kakzakie delete icon 3 February 2014 at 16:03

SRP tu zaman kakak sekolah dulu. Sekarang dah tak ada lagi dah... Org dulu memang susah berbanding anak-anak sekarang. Sesuai benar cerita ini betapa org dulu susah; hingga nak bayar duit periksa pun kawan yg bayarkan..

paridah delete icon 3 February 2014 at 17:56

yalah tu...zaman sy juga...la ni dh xkena apa2 bayaran kan...sy tulliskan secebis pengalaman org dulu2 yg hidupnya diibelenggu kemiskinan....tq Kakzakie.

Qaseh Wee delete icon 3 February 2014 at 18:50

psst ... nak tanya , faizal nanti kahwin tak dgn aisyah ? ... heheheee . SRP zaman saya .

paridah delete icon 3 February 2014 at 20:45

banyak pergolakan yg berlaku dlm hidup Aisyah...baca bab 1 n 2 kita rasa Aisyah akan bertemankan Zahari, masuk bab 4, watak faizal pula yg menonjol n ada banyak bab lagi yg Qaseh Vee perlu baca...terima kasih QV kerna turut mengikutinya...

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”