بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
                                                  Bab 7.
                                      Harapan tertangguh.

     Setiap hari Aisyah akan berdiri di muka pintu. Matanya diarah memfokus pada jalan besar yang terentang sayup daripada pandangannya. Di dadanya menyimpan hasrat yang membeku satu.
Yang boleh ditafsirkannya hanyalah ia sangat merindukan kehadiran emak ayahnya juga adik-adiknya di tika yang istimewa ini. Mengapa agaknya mereka belum tiba lagi?
Janjinya yang ditulis di dalam kad raya kiriman adiknya Sazali mereka akan tiba sebelum raya. Tapi mengapa masih belum tiba? Sedangkan hari raya dijangkakan esok atau lusa pasti menjelang.
Mengapa masih tidak sampai lagi? Mengapa ya? Hati Aiyah dipenuhi pertanyaan-pertanyaan yang berentetan. Dan panjang. Jawapannya tidak mungkin diperoleh jikalau setakat bertanya dalam diri.  Aisyah menyedari kesilapan itu. Tetapi dia tidak tahu hendak melakukan apa-apa lagi selain bermonolog dengan dirinya.
Dia membawa dirinya yang lemah melangkahi anak tangga sehingga menjejak tanah. Menghala niatnya untuk bersendirian di bawah redupan pohon ketapang di sisi rumah. Pohon ketapang tegak berdiri di kedudukan tanah yang agak tinggi. Dari situ matanya dapat menguasai pandangan dengan luas tanpa lindungan ke arah ke jalan raya utama.
Punggungnya sudah diletakan diatas rumputan hijau yang dialas dengan selipar getahnya. Pandangan matanya memenuhi hajat yang dibawa dirinya ke sini. Leka merenungi setiap kenderaan bermotor yang melintasi jalan yang terentang dari selatan ke utara itu.
Seketika tadi sebuah lori yang sarat dengan raga-raga yang berisi buah pisang telah melepasi pandangannya hala utara. Sebuah kereta kecil pula bergerak sederhana laju dari hala utara ke selatan.
Tidak sempat Aisyah hendak mengira penumpang yang berada di dalamnya. Jikalau tidak ada kerja yang bersesuaian dilakukan untuk mengisi masanya sehingga mengira penumpang yang berada di dalam kenderaan pun mahu dilakukannya.
Walau tidak memberi faedah sedikitpun tetap dilakukannya asalkan hatinya berbahagia. Dan kerungsingan yang menyerabuti mindanya terlerai bersama masa yang berlalu.
Aisyah begitu ralit memerhati dengan minat ke arah sebuah kereta kecil yang tiba-tiba berhenti jauh di pinggir jalan besar. Ada seorang perempuan yang keluar daripada perutnya dengan menjijit se buah beg yang agak besar.
Seorang lelaki berketayap putih mengikutinya kemudiannya. Dan beberapa orang kanak-kanak lelaki turut keluar daripada perut kereta itu, seorang demi seorang.
Seorang lelaki muda membuka boot kereta dan mengeluarkan isi yang ada di dalamnya. Setelah usai semuanya dan saling beranggukan sesamanya, barangkali telah bersetuju dengan ikrar yang termeterai, lelaki muda itu memasuki kereta itu semula. Keretanya mula bergerak di jalan raya ke utara.
Tinggallah se pasang lelaki dan perempuan berserta tiga kanak-kanak lelaki yang saling pandang memandang ke arah barangan yang berlonggok di tepi jalan. Suami kepada perempuan itu juga adalah ayah kepada anak-anak lelakinya sedang menentukan keputusan tepat bagaimana caranya hendak membawa barangan yang banyak itu dengan membahagikan bebanan kepada setiap mereka untuk dibawa.
Tiba-tiba pandangan seorang anak lelaki membalas pandangan Aisyah. Hatinya tertanya-tanya siapakah mereka itu? Ke manakah hala tujuannya. Emak, ayahnya atau adik-adiknyakah?
Jaraknya di antara tempat duduknya dengan jalan besar itu agak jauh juga. Jadi dia tidak dapat mengenal dengan pasti sosok-sosok tubuh yang berdiri dan sedang menghalakan pandangannya ke arahnya itu.
Dia bingkas bangun daripada duduknya. Lantas menapak untuk lebih mendekat dengan mereka yang menarik perhatiannya itu.
“Eh! Mak! Ayah!” jeritnya dilambung kesukaan yang terjelma dan menyerapi jiwanya dengan spontans sebaik pandangannya yakin sepenuhnya..
Tanpa sedar se pasang kakinya berlari meranduk rumputan hijau untuk segera mendekati mereka yang ditunggukan kehadirannya selama ini. Senyumannya tidak putus-putus tertera di bibirnya dengan ukiran yang amat manis. Begitu juga emaknya, ayahnya dan adik-adiknya. Berbahagia sungguh hatinya dengan pertemuan yang amat diharapkannya itu.
Tangannya dihulurkan buat menyalami lepas seorang ke seorang setiap ahli keluarganya itu. Dia menunduk pula mendakap dan menciumi adik kecilnya Hanif. Adiknya itu tersipu-sipu dibuat begitu oleh seorang yang baru pertama kali ditemuinya. Barangkali begitulah yang dirasakannya. Cuba pula mengelak daripada dirinya diperlakukan kakaknya sebegitu.
“Adik Hanif sudah tidak kenal dan ingat pada kakak ya. Sewaktumu kecil, kakak inilah yang selalu mengendongmu merata tau…”
“Manalah dia nak ingatmu tu kakak dia, sebab waktu berpisah denganmu dia kecik sangat lagi…”
“Iyalah mak. Waktu tu umurnya baru dua tahun. Emakpun baru balik ke sini setelah tiga tahun di sana. Saya ingatkan mak dah tak nak balik ke sini lagi. Janji dulu nak balik seminggu sebelum raya. Ini dah dekat nak raya baru sampai,” sahut Aisyah berladung dengan nada rajuknya yang ketara.
Hanisah menatapi sepasang kejora mata yang berbalut rusuh menuturkan bicara kepadanya itu tanpa membalasnya. Hanya senyum kecil yang tersungging di bibir. Beriring-iringan mereka berjalan merapati rumah yang tinggal beberapa meter saja lagi.
“Emak memanglah nak balik cepat. Lebih-lebih lagi adik-adikmu. Tapi ayahmu tu nak siapkan semua kerja di kebun sawitnya dulu sebelum balik. Kalau tak siap, pegawai yang menjaganya akan marah.
Orang-orang yang se belok dengan kita mulalah nak mendenda. Dendanya di potong daripada pendapatan bulanan untuk bayar upah kepada perkerja yang melakukannya.
Jikalau asyik kena denda saja mana ada lagi baki pendapatannya yang tinggal. Tambah susahlah hidup kita.
Mujur juga ada kedai yang pihak rancangan sediakan tempat berhutang barang-barang keperluan. Jikalau tak ada entahkan kami semua ni mati kebuluran sebab tak makan…”
Sayu sekali didengari Aisyah suara emaknya itu. Dia terdiam sejenak. Berfikir.
Alangkah susahnya kehidupannya dan keluarganya yang terpaksa dilalui kini. Sampai bilakah nasib malang itu akan berubah? Dia bercita-cita merubahnya segera. Untuk saat ini masakan mungkin dapat dilakukan. Dia menyedari hakikat yang termaktub itu.
Mungkin setelah dia menjadi seorang yang terpelajar kelak. Jawatan yang akan disandangnyapun baik pula. Dan bakal menghasilkan pendapatan yang lumayan. Dia mampu merubah takdirnya Begitulah warna-warni yang tersulam indah di dalam frem lukisan cita-citanya.
“Naiklah. Nenek belum balik lagi...” Aisyah mempelawa.
Dia tahu dia tidak perlu mengajak mak, ayah dan adik-adiknya untuk naik ke rumah. Mereka bukanlah orang asing yang tidak pernah menginjak kaki ke sini. Sekadar berbasa-basi sahaja.
Ayahnya dihampiri setelah melihatnya begitu payah hendak menaikan guni yang sarat dengan pelbagai isinya ke atas rumah.  Aisyah menolong menarik bahagian kepalanya yang berikat kemas sementara ayahnya menolaknya dari bawah.
Sudahnya lepas juga guni itu dinaikan ke atas rumah. Aisyah menyapu tangannya dari habuk yang terlekat.
“Apa isinya ayah? Sampai penuh se guni. Berat pula tu?” Tanya Aisyah
“Macam-macam. Ada ubi kayu, ubi keledek, labu, pisang, nenas. Ada juga barang-barang yang ayah ambil dari kedai rancangan. Bukannya ambil saja. Cukup bulan nanti dipotong dari hasil yang diterima. Hendak dibeli tunai manalah berduit. Jadi terpaksalah berhutang untuk dapatkannya…”
“Ayah tanamkah semua benda yang dibawa seperti ubi kayu dan yang lain-lain tu?” Aisyah bertanya sedikit kehairanan kerana sewaktu mereka tinggal bersama di kampung dahulu ayahnya itu tidak pernah bercucuk tanam. Lagipun tidak ada tanah hak milik khusus yang membenarkan aktiviti itu dilakukan.
Ayahnya hanya mengambil upah apa yang disuruh orang untuk dikerjakan. Dengan pendapatan ayahnya yang tidak seberapa itu hiduplah mereka sekeluarga ala-kadarnya saja. Namun Aisyah tetap gembira.kerana emak dan ayahnya ada di sini. Di sampingnya.
“Itulah kerja mak dan ayah jika ada kelapangan. Tanah di sekeliling rumah sudah habis di tanam…” Beritahu emaknya. Matanya yang jernih berkaca merenungi anaknya. Pada pandangan Aisyah, wajah emaknya kelihatan sedikit berisi. Dan lebih berseri.
Mungkin juga emaknya merasa lebih senang, tenang dan berbahagia setelah berhijrah ke tempat baru dan menghirup udaranya yang segar. Juga merasa kehidupannya agak menyelesakan dari sebelumnya. Dan tidak lagi menyusahkannya dengan pelbagai permasalahan yang memberati pundaknya.
“Seronok ya, kalau saya dapat duduk di sana. Bolehlah saya tolong mak berkebun sekeliling rumah. Nanti saya ikut mak balik sekali ya?”
Aisyah memandang emaknya penuh berharap. Memohon permintaannya yang satu itu diperkenankan. Maka akan usailah segala penanggungan yang memenderitakan jiwa yang dirasakannya selama ini.
Emaknya terdiam. Menentang wajah suaminya yang mula melabuhkan punggung di sisinya. Sangat berharap suaminya itu ada jawapan kepada pertanyaan anak kepada kedua-duanya itu.
“Kalaumu rasa munak sekolah, mu kena duduk sini.dengan nenekmu.  Tapi jika mu rasa dah tak minat nak sekolah lagi, bolehlah ikut mak ayah balik ke sana. Terpulang padamu. Fikirlah dulu. Makmu memang suka kalaumu ikut kami balik ke Pahang sana...”
“Kenapa ayah kata gitu? Kenapa kalau saya dah taknak bersekolah baru saya boleh ke sana?”
Pertanyaan dari cetusan mindanya itu membuatkan wajahnya keruh. Penjelasan tentang sebab-musababnya perlu diperolehi segera. Agar kerusuhan yang menyesak dan menyerabuti otak kecilnya terlerai.
“Ayah kata gitu bukannya apa… di sana tu sekolahnya jauh dari tanah rancangan. Kena tinggal di asrama. Asramanya pula susah nak dapat. Ramai sangat pemohonnya.”
Giliran Aisyah terkedu demi mendengar lontaran suara ayahnya yang mendatar menerangkan kedudukan yang sebenarnya. ‘Kalau tak dapat bersekolah yang berat sikit tu.’ Desis hatinya yang tertinggal di lowongan sukmanya..
“Bagaimana boleh?” Tanya ayahnya seraya bertukar senyuman dengan emaknya. Se pasang mata isterinya melihat keserbasalahan anaknya yang mulai menginjak usia remaja untuk menentukan keputusannya.
Pandangannya meliar lagi, melingas persekitaran sekelilingnya. Adik-adik Aisyah yang disuruhnya mandi di perigi belum lagi nampak kelibatnya menjengah ke atas rumah. Risau pula hatinya. Bimbangkan ada geruh yang menimpa anak-anaknya di situ. Mudah-mudahan tidak seperti yang di duganya. Doanya pula.
“Nak ikut mak dan ayah balik ke Pahang memanglah mahu. Tapi nak berhenti sekolah yang buat berat hati,” ujar Aisyah setelah terdiam sejurus.
Hanisah tersenyum getir. Dia metah mengerti hati budi anak perempuannya itu. Hati anaknya itu pastinya menahan siksa kerana merindukan kasih sayang dan perhatiannya lantaran berpisah dengannya, ayahnya, adik-adiknya.
Namun anaknya itu keras semangatnya. Tega mengharungi cabaran getir yang mendepaninya demi merealisasikan impiannya. Tegar dengan kesabaran.
Nampaknya Aisyah perlu bersabar lagi. Bukankah sabar itu separuh dari iman detak hatinya menyejuk jiwa. Tapi sabar itu tetap juga ada had dan batasnya. Desis suara dari sudut kiri hatinya.
“Sabarlah. Ayah tahumu tak suka duduk di sini. Zali selalu cerita masalahmu dengan nenekmu di sini dalam surat yangmu kirim ko dia. Sabarlah banyak-banyak. Mupun bukannya lama lagi nak sekolah di ini. Dua tahun ja lagi. Bukannya lama gak. Habis sekolahmu kelik ke sana.”
Aisyah angguk walau hatinya terkilan jua. Namun tetap menyetujui setiap butir kata yang menjadi pengucapan ayahnya. Gembira sungguh hatinya kerana ayahnya begitu yakin dia akan lulus di dalam peperiksaan SRP dan dapat menyambung pengajiannya untuk dua tahun lagi..
Sekurang-kurangnya memberinya sedikit semangat untuk mengatasi debaran di hatinya mutkhir ini. Semakin dekat waktu keputusan itu akan diumumkan semakin rusuh pula hatinya. Gelisah tidak terkata.
Harapan yang menjadi hasrat yang jitu tentulah ingin lulus cemerlang di dalam peperiksaan. Kebanyakan yang lain yang telah mengambil peperiksaan itu pastilah berharapan sepertinya juga.
Dungu amat jikalau setelah berpenat lelah memerah otak di dewan peperiksaan tapi yang diinginkan adalah sebaliknya. Pasti tidak ada yang mahukan begitu.
“Syah mu gi tengok adik-adikmu di perigi. Dah lama sangat mereka tu mandi. Masih tak naik ke rumah lagi…”
Gesaan emaknya itu menyingkirkan buli-buli lamunannya yang menyarati kotak mindanya. Bingkas dengan segera mengatur langkah menuruni tangga dapur untuk segera mendapatkan adik-adiknya.
“Hoi…cepat naik ke rumah. Buat apa lama sangat mandi. Tengok adik Hanif dah gigil kesejukan…”
Aisyah mencapai tuala yang tersangkut di ranting jambu air dan mengesat tubuh adik kecilnya itu. Tuala itu kemudiannya telah membalut tubuh Hanif keseluruhannya.
“Seronok dapat mandi di perigi. Airnya jernih dan sejuk. Ada ikan-ikan yang besar  pula di dalamnya...”
“Seronok mandikah atau seronok bermain dengan ikan-ikan kaloi di dalam perigi? Kakak tengok tadimu duk terbongkok-bongkok tepi perigi tu.. tentumu nak cuba tangkap ikan kaloi. Mu jangan buat tebeng. Kalau nenek tahu matimu dikerjakannya. Ikan tu dah lama di situ. Tak ada sapa berani usik. Ikan-ikan itu kesayangan nenek tau...”
“Iya ko. Tapi dari mana nenek dapat ikan kaloi tu. Zali baru pertama kali tahu itu ikan kaloi. Zali ingatkan ikan kaloi tu ujud dalam filem Bawang Putih Bawang Merah ja. Tak sangka pula memang ada sebenarnya…”
“Iyalah. Memanglah ada. Kalau tidak ada masakan orang boleh buat cerita. Sudahlah tu. Naik ke rumah. Mak dah risaumu semua lambat naik. Agaknya takutkanmu semua jatuh dalam perigi…”
“Hah.! Hah! Hah.! Lucunyalah mak tu. Mak tak tahuko perigi nenek ni se dalam mana. Kalau jatuhpun tak susah nak naik. Setakat dua kaki lebih je dalamnya.” Ketawa Sazali menggema mengisi ruang alam yang menginsut petang.
Tetapi tetap akur mengikuti langkah kakaknya yang mendukung Hanif yang telah meninggalkan perigi bersama ikan-ikan kaloi yang berenang tenang di dalamnya seolah sedang menantikan Bawang putih membawanya nasi melukut dan sayur keladi.

                                                    * * *

Bunyi derap tapak kaki yang diatur singgah menyapa telinganya. Diangkat mukanya memandang ke arah itu. dan bingkas segera daripada duduknya merapati neneknya yang terlihat agak payah membawa banyak barangan di tangannya.
“Banyak barang-barang yang nenek bawa balik? Mengapa tidak dijual saja di gerai?” Tegur cucunya ketara jujur.
Selalunya neneknya tidak pernah membawa barang-barang dengan begitu banyak ke rumah. Habis sangat yang akan dibawa balik hanyalah barang-barang yang tidak laku dijual di gerainya. Ternyata telah kusam dan hampir busuk untuk dijadikan makanan cucunya itu.
“Isyh… mu ni pelik sangat gak. Aku dengar orang-orang cerita kat aku mak ayahmu kelik. Adik-adikmu pun ramai. Itulah yang aku bawakan barang-barang makan ni banyak sikit. Kalau kita berdua saja yang ada, aku bawa barang banyak-banyak sapalah yang nak makan. Membazir saja…”ucap neneknya lunak. Aneh pula kedengarannya pada telinga Aisyah.
Tersenyum manis pula tatkala menyambut tangan anak menantu yang datang menyongsongnya sebaik terlihat kelibatnya di ruang tengah..
Aisyah merenungi wajah neneknya yang ceria dan selama ini tidak pernah senyum kepadanya itu dengan tidak berkelip. Manis sungguh wajah neneknya pada tatapannya apatahlagi tika diserikan senyumannya yang spontan itu. Perubahan sikap yang amat drastik pada perkiraannya.
Berlainan sekali sikap neneknya itu pada hari ini. Tiada lagi suara bentakan kasar yang memanah telinganya setiap kali membalas pertanyaannya. Amat lunak dan sopan berbahasa. Perlakuan yang mengejutkan Aisyah. Bagai dibuat-buat. Hanya lakonan.
Apapun kelainannya yang ketara sama ada disengajakan atau tidak, Aisyah amat menyenanginya. Terasa Yang Maha Kuasa telah melimpahkan kebahagian yang didambakannya selama ini.
Suara azan berkumandang dari corong radio. Sudah tiba tikanya untuk berbuka puasa. Banyak sekali juadah yang disediakan Hanisah dengan dibantu anak-anaknya.
Terlebih awal dicapai tangan-tangan mereka yang hendak berbuka puasa itu adalah gelas air sirap yang merah urnanya yang diharumi dengan daun pandan dan siap didinginkan dengan ketul-ketul ais.
Menjamah pula buah tamar yang manis sebutir dua. Basah sudah tekak yang kering kehausan kerana seharian menahannya lantaran berpuasa.. Diri  yang lemah  lagi tidak bermaya kembali bertenaga kerana dijana buah tamar yang mengandungi pelbagai khasiat yang mudah diserap sistem penghadaman untuk mengimbangi kekuatan tubuh.
Salleh bangun setelah itu, menuju ke pelantar. Tangannya mencapai kendi yang berisi air buat berwuduk. Itulah kelazimannya yang dilakukan. Setelah berbuka puasa sekadarnya dia akan berwuduk untuk bersolat maghrib terlebih dahulu, sebelum makan nasi dan lain-lain hidangan kelak. Tingkahnya itu diikuti Hanisah, anak-anaknya, juga emaknya.
Kali ini Salleh tidak hanya mengimamkan sembahyang isterinya dan tiga anak lelakinya malah bertambah lagi dua makmunnya. Iaitu anak perempuannya dan emaknya.
Selesai bersembahyang dan doanya yang agak berjela, bersalaman pula mereka. Malam yang baru hendak bermula ini begitu hening dan tenang dirasakan jiwa mereka yang baru usai mengerjakan ibadahnya itu.
Anak-anak lelaki berhamburan ke dapur semula untuk menyambung mengisi ruang usus yang masih lompang. Walau tenaga telah kembali terserap tetapi kelaparan masih dirasakan.
Meninggalkan Aisyah yang sibuk mengemasi ruang solat itu sebaiknya. Menyidai telekungnya dengan baik dan menyusun sejadahnya yang dibuka dari lipatan dengan teratur.
Setelah itu bergegas pula ke dapur untuk menyertai adik-adiknya yang leka menjamu selera. Mengemaskan hidangan agar molek dan menyediakan apa yang patut. Sebentar lagi emak, ayah dan neneknya akan turut berkumpul di situ untuk menikmati hidangan yang tersedia.
Bersama-sama menjamu selera dengan sungguh-sungguh sementara akan berpuasa lagi keesokannya. Mungkin juga hari esok adalah hari terakhir puasa Ramadhan pada tahun ini jikalau Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengumumkan pada malamnya keesokannya adalah hari raya. Siapa tahu.
Aisyah memang mengharapkan itu yang berlaku. Tidak sabar lagi dirinya hendak meraikan hari raya yang mulia dengan meriah bersama keluarga tercinta

                                            * * *
.
Salleh bersandar di tiang seri setelah kekenyangan menikmati juadah berbuka puasa sebentar tadi. Wajahnya mengadap emaknya yang asyik membelek daun sirih yang diambil daripada tepaknya. Sejurus kemudian daun sirih yang bujur dan tidak berapa lebar itu diletakan secalit kapur, beberapa hiris pinang dan secubit gambir. Lantas dilipat hingga kecil lalu dimasukan ke mulutnya. Dan bermulalah kunyahannya si penggemar sirih itu.
Tiada bicara yang bertingkah di antara kedua-duanya. Datang pula Hanisah mendekati suami dan mertuanya itu dengan membawa dua helai kain batik dan se pasang baju kurung yang bercorak bunga  beragam yang halus dan agak gelap urnanya.
“Emak ambillah ni.Kami beli di sana bulan lepas,” ujar menantunya.
Maimunah terkedu. Kilau matanya menyambar benda-benda yang diunjukan kepadanya. Senyumnya terorak lebar. Ternyata dia menerimanya dengan hati terbuka.
Senyum girang mertuanya itu mematikan keresahan hatinya kerana belum lagi melunaskan bayaran kain dan baju yang dibelinya secara berhutang dari penjual yang bakal datang ke rumah setiap bulan untuk menagih hutangnya  itu.
Demi hendak menjaga hati mertuanya yang telah berbudi kepadanya kerana sanggup menumpangkan Aisyah tinggal bersamanya, dia dan suaminya bersusah-payah sedikit tidak mengapa.
Jikalau diikutkan rasa susahnya dia tidak akan mampu untuk pulang beraya ke sini seperti tahun-tahun yang lepas. Tapi dia sangat rindukan Aisyah. Dan mendesak suaminya untuk pulang walau apa cara jua. Tidak sanggup lagi ia membendung rasa rindu terhadap anak perempuan kesayangannya itu.
Untuk melaksanakan impian isterinya itu suaminya terpaksa membuat pinjaman wang dari tabung belok. Di tanah rancangan itu memang diujudkan belok-belok yang di tetapkan untuk sejumlah 20 ahli.
Daripada ahli yang tidak ramai itu yurannya akan dikutip setiap bulan . Yurannya tidak banyak. Cuma dua ringgit pada setiap bulan. Setiap kali perserta tanah rancangan menerima pendapatan daripada hasil kerja di lot-lot kebun, wang dua ringgit akan dipotong untuk dimasukan ke dalam tabung belok.
Wang tabungan yang terkumpul itu akan membantu ahlinya yang bermasalah kewangan  yang mendesak. Kerana Salleh kekurangan sumber itu untuk mencukupkan perbelanjaan pulang ke kampungnya, ketua beloknya meluluskan pinjaman beberapa ratus ringgit untuknya.
Sebenarnya dia tidak suka berhutang kepada sesiapa. Walau tabung belok itu diujudkan demi kemudahan ahlinya. Tapi apakandayanya lagi. Terpaksa juga dilakukan demi memenuhi kehendak isteri tersayang kerana tidak tahu lagi hendak mendapatkan wang daripada sumber mana..
“Wah! Cantik sungguh kainnya ya. Halus raginya...” Komen Maimunah setelah meraba-raba kaki kain batik yang dua pasang itu. Itulah kefahamannya yang diwarisi daripada orang-orang terdahulu.
Jikalau ragi kainnya halus, tentulah kain itu dari jenis yang bermutu tinggi. Apabila sudah bermutu tinggi tentulah nilai yang harus dibayar untuk membelinya juga tinggi dan setanding.
Hanisah tidak mengangguk membenarkan komen mertuanya itu. namun mengiyakan di dalam hatinya. Aisyah membimbing tangan adiknya Hanif merapati kelompok yang asyik berbeka dengan diterangi cahaya pelita yang suram itu.
 Melihat neneknya begitu terpesona dengan corak pucung rebung dan awan larat yang tertera dari imaginasi pembuat batik menyebabkannya tersenyum sumbing. Nampaknya neneknya itu memang suka menerima tetapi berat hati untuk memberi. Hatinya berdetak jengkel..
Di sisi emaknya dia duduk bersila. Dan menarik Hanif menempati ribanya. Terpaku matanya melirik kain batik dan baju kurung yang berada di tangan neneknya itu. Se pasang matanya yang galak merenungi wajah emaknya seluruhnya. Ada sesuatu yang terselindung mengandung  maksud yang belum jelas.
“Baju saya mak tak buatkah?” Tanya Aisyah setelah memendamnya sekian lama. Hanif pula menentang mata emaknya. Mengharapkan pertanyaan kakak yang dirasakan sangat menyayanginya itu berpihak kepadanya. Positif. Salleh pula menerjah pandang ke wajah isterinya. Atma suaminya juga menantikan jawapan yang sepatutnya
“Ada. Mak dah buat sepasang untukmu…”
Aisyah tersenyum. Lega hatinya kerana dia juga ada se pasang baju baru  untuk digayakan pada hari raya nanti. Termasuk sepasang baju kurung pemberian daripada Faizal, kini jumlahnya telah bertambah menjadi dua. Bertambah-tambah pula kelegaan hatinya. Senyum lebar meniti bibirnya.
“Aku tak dapat nak beli baju raya untuk Aisyah. Sebab aku ni manalah ada pitih. Pitih yang dapat dari berniaga tu, cukup-cukup untuk belanja makan minum aku dan Aisyah ja,” tutur mertuanya lirih. Seolah kemiskinan hidup yang mencengkamnya dan Aisyah begitu perih. Sehinggakan hendak menyediakan sepasang baju baru untuk cucu yang seorang itu tidak terdaya dilakukan kerana kedaifan hidupnya.
 Wajahnya yang sayu tatkala menuturkannya diperlihatkan dengan matanya yang redup menentang pandangan anak menantunya.
Aisyah terdiam. Di dalam diamnya hatinya mengutuk sikap neneknya sinis. ‘Bukan tak mampu nak beli. Saja tak mau beli. Kalau dah kedekut tu kedekut juga. Tak payah nak kata apa. Alasan saja.’
Rasa jengkelnya itu membuatnya bangun dan memimpin tangan adik kecilnya melangkah menghala beranda untuk menyertai Sazali dan Sani yang berada di situ. Entah apa yang dibualkan di antara kedua-duanya, tidak dapat Aisyah hendak menekanya.
Yang ketara kedua-duanya kelihatan bersantai dengan selesa. Dan gembira. Kerana kadangkala berderai tawa yang berselang seli dengan tutur kata yang tidak ketahuan maknanya pada deria dengar Aisyah.
Jikalau setakat sesekali, sehari dua berada di sini memanglah terasa gembira dan seronok yang tidak terkata. Itukah yang dikatakan hati Aisyah? Tetapi Aisyah tidak lagi dapat merasakan keseronokan itu kini justeru  dia telah terlalu lama di sini.
Segalanya yang unik dan indah bagi adik-adiknya sudah menjadi biasa dan tidak pelik kepadanya. Malah telah menjadi terlalu pahit untuk dirasakan namun terpaksa ditelan jua.
Terlalu ingin hatinya menyertai keluarganya di pertempatan baru. Di sana mungkin akan ditemuinya ketenangan dan kebahagiaan yang di dambakannya. Jauh daripada nenek yang sering menyumpah seranah dan memaki hamunnya sesuka hatinya saja.
Di sana ada emak yang sangat menyayanginya dan seorang ayah yang prihatin soal kebajikannya. Juga ada adik-adiknya yang mesra. Walau adik-adiknya itu agak nakal dan keletah tapi tahu menghargai perasaannya.
“Kak long! Nak join kami kah? Duduklah kak long. Hanif sejak jumpa kak long asyik nak berdokong saja. Kalau di sana tak ada sapa pun yang teringin nak dokong. Jalanlahmu sendiri. Dah mari sini nak manja-manja pula!”
Hanif tidak menyahut ocehan abangnya yang mengusiknya itu. Makin lebar sengihnya sambil tangannya berpaut di leher jenjang kakaknya. Perlahan-lahan Aisyah menurunkan Hanif daripada dokongannya. Kemudiannya Aisyah duduk bersila di sebelah Sani.
“Takpayahlah nak usik dia. Marilah duduk atas riba kakak ni Nif.”
Pantas saja Hanif meletakan punggungnya di ribaan kakaknya. Seolah di situlah tempat yang paling nyaman lagi menyelesakan dirinya untuk diduduki..
“Kakak tak nak ikut kami balik ke Pahang? Kata kak long tak suka tinggal di sini.” Tanya Sani.
Aisyah berkisar duduk agar adik yang di ribanya tidak menyebabkan sengal urat belikatnya sebelum menjawab pertanyaan Sani itu.
“Kak long memang nak sangat balik ke sana. Tapi kata ayah di sana sekolahnya jauh. Kena tinggal di asrama. Yurannya mahal. Susah pula nak dapat masuk.”
Aisyah mengulangi pernyataan ayahnya satu persatu frasa.
“Iyalah kak long. Di sana tu sekolah menengahnya yang paling dekat jaraknya 30 batu dari rumah. Tingkatan empat dan lima tidak ada. Budak-budak yang lulus SRP di situ kena pergi sambung belajar di sekolah di bandar Kuantan pula. Sekali ganda lagi jauhnya.” Beritahu Zali pula menegaskan lagi hujah ayahnya.
“Baiklah kak long sekolah di sini saja. Di sini sekolahnya dekat dengan rumah. Kak long boleh jalan kaki saja ke sekolah. Belanja pun tak banyak,” sambungnya lagi.
Hanif dan Sani hanya memerhati kakak dan abangnya bertukar kata. Tidak mencelahnya. Sani sudah tidak ada ide apa lagi yang hendak dikatakannya. Sementara adiknya itu tidak berapa fasih tentang maksud perbualan abang dan kakaknya itu.
“Apa nak buat lagi kalau sudah begitu kata ayah. Nampaknya kak long terpaksalah tinggal di sini sehingga habis sekolah,” balas Aisyah berserta keluhan yang berat dilepaskannya.
Ia melengus dan menarik nafasnya dalam-dalam. Hanif ditarik rapat ke dadanya dan didakapnya kemas penuh kasih sayang. Seakan dengan cara itu akan terlerailah sedikit rasa kekecewaan yang menggeluti jiwanya.
Malam telah agak larut. Angin dingin yang sentiasa berhembusan di ruang yang terbuka itu mencengkam kulit yang menegakan roma. Sesekali terdengar jeritan enjin kenderaan yang menderu entah ke mana. Sinar lampunya menyerlah dan menerangi sekitarnya. Berserak cahaya perak yang menyepuh warna daun-daun yang ditempuhnya.
“Kak long sudah sediakan tempat tidurmu semua di ruang tengah. Kalau nak tidur nanti jangan lupa tutup pintu ya. Kak long masuk dulu. Hanif nampaknya dah mengantuk sangat tu. Menguap tak berhenti-henti…”
Aisyah melirik gelagat adiknya itu.  Beralih pula pandangannya pada Hassani dan Sazali. Kedua-duanya tersengih dan mengangguk.

 


                                             
                

10 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 7..."

Kesuma Angsana delete icon 24 Februari 2014 11:31 PG

mkn lama mkn seronok membaca !

paridah delete icon 24 Februari 2014 11:42 PG

yeke...terima kasih banyak Kesuma Angsana...teruskan membaca sambungannya ya...

Etika Maria delete icon 24 Februari 2014 3:31 PTG

Selamat sore kak, makin seru ni kayaknya :)

Kakzakie delete icon 24 Februari 2014 4:21 PTG

Asyik dibuai rasa sendu mengenang nasib Aisyah bersama nenek kedekut.
Panjang lagi ke? Kakak tak sabar pulak nak tahu kesudahannya..

paridah delete icon 24 Februari 2014 6:43 PTG

selamat petang tika..yeke...terima kasih ikutinya Etika Maria.

paridah delete icon 24 Februari 2014 6:49 PTG

terima kasih Kakzakie sudi juga baca karya yg panjang ni...sedang menuju klimak ceritanya...agak panjang juga...ini baru kisah Aisyah zaman kecilnya, kemudian remaja n dewasa...terima kasih Kakzakie.

SmuaInfo delete icon 25 Februari 2014 11:22 PG

Ceritanya panjang banget nih :D, tapi bagus juga :D

paridah delete icon 25 Februari 2014 11:31 PG

yeke...banyak lagi babnya nih....tq Semuainfo.

Yoni Risqilana delete icon 25 Februari 2014 8:09 PTG

selamat sore mbak...
meskipun sama-sama bahasa melayu.
tetapi saya sebagai orang indonesia kurang memahami ceritnya.
ada yang beda pemahaman bahasa nya
hehehe

paridah delete icon 26 Februari 2014 10:57 PG

sama jugalah dgn mcik banyak istilah bahasa indonesia yg xdifahami...apalagi yg melibatkan karya sastera walau bahasa melayu sebagai perantaraannya...bahasa melayu itu luas n indah sedikit berbeda pemahamannya tidaklah mengapa asalkan sesebuah karya selesa dinikmati...tq Yoni Risqilana.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”