بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Cikgu   Rahim memanggungkan kepalanya. Pandangannya merayapi setiap wajah murid-muridnya. Seorang demi seorang. Tetapi menetapkan singgahan yang lama di wajah bundar milik Aisyah.
“Aisyah ke sini!,” serunya berserta gamitan..
Terkocoh-kocoh Aisyah bangun dari duduknya dan berjalan merapati meja gurunya.
“Buku-buku ini disuruh saya bagi kepada awak. Awak tentu maklum siapa yang kirim. Sebetulnya saya tak berapa suka nak buat kerja posmen ni. Tetapi kerana kawan saya yang suruh, saya terpaksalah buat.” Ujar cikgu Rahim serius.
Tona suaranya dirasakan amat tidak lunak menendang gegendang telinga Aisyah. Berdesing.. Menyebabkan darah merah menyerbu ke wajahnya. Merah. Bak bunga raya kembang pagi.
Aisyah tersipu-sipu di hadapan gurunya. Hati kecilnya mengutuk perbuatan Faizal itu.
‘Mu ni tak habis-habis nak mengenakan aku, memalukan aku ya Faizal. Nantimu. Tahulah nasibmu gak. Bilamu jumpa dengan aku.’ Gumamnya dalam diam mengeram perasaan berang.  
“Ambillah. Balik ke tempat awak.”
Aisyah mencapai bungkusan yang diunjukan kepadanya itu dengan kalut. Dia ingin segera berlalu dari situ. Hatinya teramat malu membalas pandangan cikgu Rahim seolah berprasangka serong terhadapnya.
Tekad yang disemainya di dalam hati adalah akan memarahi Faizal yang telah menumpahkan kuah malu kepadanya apakala berpeluang bertemu dengannya nanti.
Tindakan Faizal mengirimkan buku-buku rujukan melalui cikgu Rahim langsung tidak disetujuinya hanya kerana hendak menunaikan janjinya. Sungguh pun cikgu Rahim dan Faizal berkawan baik tapi tentulah tidak layak seorang guru menjadi posmen kepada anak muridnya.
Kelak akan jatuhlah martabat seorang guru di mata anak-anak muridnya sekiranya perilakunya diketahui ramai yang lain. Aisyah sangat faham itu. dan terlalu konsider dengan apa yang dirasakan gurunya
Mulai difahaminya, mengapa cikgu Rahim berkata begitu kepadanya. Jikalau kelak dia berpeluang berada ditempat guru itu sebagai guru pula dia pasti akan bersikap begitu. 

 

                                             Bab 6 
                                   Menanti debar lebaran.

Lebaran akan menjelma sebulan saja lagi.Aisyah masih belum memiliki baju baru walau se helai. Itulah yang sedang difikirkannya. Tentulah perasaan risau  tidak akan memiliki baju baru seperti lebaran di tahun-tahun yang lalu menggangguinya kerana tidak ada siapa yang boleh diharapkan bakal menyediakannya.
Ayahnya yang selalunya akan membeli kain dan menyuruh emaknya menjahit se pasang baju kurung untuknya telah tiada di sisinya. Nun jauh di rantau orang. Hendak diharapkan kepada siapa lagi. Kepada neneknya? Jangan harap! Getus kalbunya yakin.
Nampaknya keinginannya untuk melaram seperti rakan sebaya yang lain sempena hari yang mulia itu ternyata tidak mungkin akan tertunai. Neneknya terlalu sayangkan duit untuk dihabiskan kepada cucunya yang seorang ini walau dia bukanlah daripada kalangan miskin atau papa kedana. Mampu dia melakukannya.
Bukanlah terlalu tinggi harga sepasang baju kurung dari jenis kain biasa yang tidak berjenama untuk dibelikan kepada cucunya itu buat menggembirakan hatinya di hari raya.. Tetapi dia tidak terfikir mahu melakukannya. Bakhil sungguh. Itu kata hati Aisyah.
Sudah sememangnya sikapnya sebegitu. Namun Aisyah merasakan sikap neneknya hanya berlaku begitu terhadapnya. Kepada anak cucunya yang lain, yang tinggal berdekatan rumahnya tidak pula diperlihatkan sikapnya yang kontra dan tidak disenangi itu.
Ada saja buah tangan yang dibawanya setiap kali berkunjung ke rumah pak usunya, adik bongsu ayahnya itu. Dan anak-anak pak usunya Hamidah, Rahimah, Zaidin akan diberikan duit jajannya pula.
Sedangkan kepadanya tidak pernah pun neneknya itu melantingkan walau lima sen. Hairan sungguh Aisyah dengan sikap neneknya itu. Apakah salah yang telah dilakukannya selama menumpang tinggal di rumah neneknya sehinggakan neneknya itu sanggup mengabaikannya.
Neneknya itu bukan orang lain dengannya. Ada hubungan darah keturunan yang tidak boleh dipertikai lagi. Namun hubungan darah yang tulen tidak melestarikan hubungan manis lagi mesra rupanya.
Aisyah sering bertanya kepada dirinya, kenapakah dirinya diperlakukan begitu.
Justeru itu Aisyah merasa seolah dirinya sebatang kara di sini. Terbuang. Meski sebenarnya ada saudara-mara yang mengelilingi kehidupannya.
Tapi dia tidak hairan lagi setelah sekian lama di sini. Kini dia sebati menyatu dengan situasi yang melengkunginya. Air mata yang selalu bergenangan di kolam matanya kerana kesedihan memikirkan nasib dirinya dipaksa supaya tidak lagi menitis ke pipinya yang tipis lagi polos.
Biarlah dengan tabah segala rintangan hidup dilaluinya tanpa keluh kesah. Hanya dia berdoa dan berharap, emak dan ayahnya juga adik-adiknya akan dapat pulang berhari raya ke rumah neneknya pada kali ini.
Dia teramat sangat rindukan mereka yang dikasihinya sepenuh jiwa raganya itu. Idilfitri tahun lepas dia menyambutnya keseorangan di rumah itu. Tika itu dia belum lagi mengenali kewujudan keluarga mak cik Salina yang tinggal tidak jauh dari rumah neneknya. Lantaran baru saja dipindahkan ayahnya dari rumah mereka di kampung Seludang kerana ayah dan keluarganya akan berhijrah ke Pahang.
Moga-moga pada hari raya kali ini emak ayahnya dan adik-adiknya dapat pulang untuk meraikan hari mulia itu bersama dengannya. Mudah-mudahan dapatlah dia menatap wajah-wajah mereka yang sangat dikenanginya itu. Dia tidak kisah lagi tentang baju raya yang belum dimilikinya.
Mungkin juga emak atau ayahnya akan membawanya pulang bersama dari Pahang. Ternyata dia masih berharap. Tersenyum simpul pula kepada dirinya. Anganan gadis kecil yang menyulam keriangan pada harapan yang dia tidak pasti.


                                               * * *
Wajah petang yang redup amat tenang dan dinyamankan dengan hembusan angin yang lembut. Dia duduk di bangku di depan rumah dengan sebuah novel terbaru di tangannya.
Novel Badai Semalam karya Khadijah Hashim itu dipinjamnya daripada Zahari. Itulah yang sering dilakukan mutakhir ini selain daripada menolong neneknya itu berjualan di gerainya yang terletak di pinggir jalan utama.
Di musim cuti persekolahan yang agak panjang ini memberikannya banyak masa yang  boleh diisi dengan membaca. Jikalau dia berada bersama dengan ayahnya tentu dia dapat berkerja di ladang LKTP seperti yang dilakukan kebanyakan remaja seusia dengannya setiap kali menjelang cuti persekolahan yang agak panjang.
Dia mengetahui info itu daripada surat yang dikirimi adiknya kepadanya. Alangkah seronok dirasakannya jikalau dia berada di sana dan dapat pula berkerja. Apabila berkerja tentulah akan ada bayarannya sebagai upah. Duit upah yang berapa puluh atau ratus ringgit hasil keringat yang jatuh amat berguna untuk melunasi beberapa keperluannya yang minima itu.
‘Rugi sungguh kerana aku di sini. Bukan di sana. Di sini aku juga berkerja setiap masa. Paginya menguruskan rumah nenek. Mengemasinya. Membersihkan setiap cerok dari kekotorannya. Memasak untuk sarapan pagi, makan tengahari dan malam.
Di antara masa-masa yang terluang itu aku akan berlarian pula ke gerai nenek di simpang jalan utama, menolong nenek berjualan.. Jikalau hendak dikira kerjaku memang tidak pernah habis sehingga aku melelapkan mata.
Tapi percuma setiap apa yang ku lakukan itu. Tidak akan ada upahnya. Ah! Apalah aku ini. Meratapi takdir nasibku tidak sudah-sudah. Takdir itu mengatakan nasib aku di sini. Terima sajalah.’
Jemarinya mulai menyelak lembaran novel itu satu persatu sehingga menemui babnya yang terakhir demi menepis gangguan yang asyik menari di mindanya..
 Sudah agak lama dia meminjam novel itu daripada Zahari dan bertekad akan memulangkannya keesokannya setelah usai dibaca.
Terasa keinginannya mendesak agar ke rumah mak cik Salina untuk bertemu dengan keluarga dua beranak itu. Sudah lama dia tidak berkunjung ke situ. Hasrat hatinya itu berusaha dipadamkannya kerana telah timbul rasa malu di ulu hatinya jikalau selalu bertandang ke rumah orang tidak mengira masa.   
Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata neneknya yang memarahinya kerana asyik bertandang saja ke rumah orang tidak mengira waktu. Anak gadis sepertinya kewajarannya hanya berada di rumah sendiri, menolong bantu apa yang patut. Bukannya asyik bertandang ke rumah orang kerana hendak bersembang. Itu kata neneknya.
Sesekali tatkala fikiran matang menginspirasi benaknya, terasa kepadanya benar juga ocehan neneknya itu kepadanya. Memang tidak manis tabiatnya yang keseringan membawa dirinya menaiki tangga rumah mak cik Salina.
Lantaran di rumah itu dihuni juga anaknya yang masih bujang. Sesekali anaknya itu akan membawa pulang kawan-kawannya untuk bertamu ke rumahnya. Kawan-kawannya terdiri daripada pemuda-pemuda. Lelaki. Termasuk juga Faizal. Sedangkan dirinya sedang menganjak gadis remaja.
Tingkah seorang gadis, biasanya amat menarik perhatian masyarakat sekitarnya yang akan menilai perilakunya samada dinilai dengan puji-pujian kerana elok budi pekertinya atau dihina dengan nista dan kejian kerana sikap yang menjolok mata.
Aisyah mulai pandai berfikir menjurus ke arah itu . Mulai memperhitungkan harga maruah diri agar tidak menjadi bahan celaan setiap kali para ibu-ibu berkesempatan menukar bicara sesama mereka.
Tetapi hatinya yang sunyi tinggal sendirian ingin juga mencari kawan. Ke mana lagi dia hendak pergi, jikalau tidak ke rumah jirannya terdekat yang sangat mengambil perhatian berat tentang dirinya selama ini itu.
Di rumah neneknya ini, apalah yang ada. Selain rumahnya yang agam. Namun kosong isinya. Tiada apa-apa yang berdaya mengikat perhatiannya agar setia di dalamnya.
Lagipun dia sudah menganggap keluarga itu adalah keluarganya juga, Salina di anggap ibunya. Zahari pula adalah abangnya. Tentulah tidak salah dia melakukan kunjungan ke rumah keluarganya sendiri. Walau setiap hari.
Tetapi tergantung juga pada keadaan yang ditafsir hatinya dengan bijak. Apakala dirasakan suasananya tidak sesuai dengan kehadirannya, tidak akan dilakukannya. Lebih-lebih lagi jikalau anak matanya terintai kelibat sosok lelaki yang tidak dikenalinya berada di situ.
Di kejauhan kelihatan sesaorang melenggang senang menghalanya. Aisyah mengamatinya. Tersenyum pula setelah yakin mengenalinya. Sungguhpun masih jauh jaraknya, gerak dan gaya jalan wanita bertudung litup itu tidak asing kepadanya.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam. Mak cik mari duduk sini. Bangku ni dah lama mak cik. Kayunya dah buruk, hati-hati ya, takut tumbang...”
“Muni…takutkan orang ja. Takpa gak…kok jatuh bangun semula...”
“Pandai mak ciklah...” Sahut Aisyah dengan tawanya yang menggelegak.
“Nekmu gi mana Syah?” tanyanya seraya melabuhkan punggung di atas bangku buruk itu di sisi Aisyah sambil menarik nafas dan melepaskan rasa penatnya kerana melangkah ke sini.
“Ke mana lagi,  di gerai itulah. Ada saja yang hendak dijualnya di bulan puasa begini...” Balas Aisyah dengan kejengkelan yang meresapi rasa hatinya.
Neneknya itu sangat rajin berniaga. Dia membeli buah-buahan, sayur-sayuran dan hasil tani orang-orang kampungnya dan menjualnya pula kepada mereka yang singgah dan ingin membelinya di gerainya.
Aisyah sering juga menolong neneknya itu jikalau neneknya meminta bantuannya. Melihatkan sambutan pelanggan yang membeli barangan jualannya, pastilah banyak laba yang diraihnya. Namun dirinya tidak pernah merasa hasil keuntungan dari jualan itu.
Masakan dia hendak meminta upah, hasil daripada setiap kerja yang dibuatnya. Tetapi jikalau neneknya itu menghulurkan kepadanya beberapa ringgit dia pasti akan menerimanya dengan senang hati. Dan amat berterima kasih sekali.
Tidak pernah pula apa yang dimahukan keinginan hatinya itu berlaku.
“Mak cik bawa apa tu?” Tanya Aisyah setelah melihat mak cik Salina meletakan sesuatu di ribanya. Dia sudah lama perasankan tentang itu tetapi tidak berkesempatan untuk bertanya. Sepasang matanya galak memerhati bungkusan itu dengan ralit.
“Mak cik pun tak tahu apa isinya. Mak cik hanya tukang bawa. Tak berani mak cik nak buka dan tenguk isinya. Kalaumu nak tahu apa isinya. Bukalah dan tenguk sendiri.. memang untukmu pun...”
“Untuk saya?” Tanyanya dengan senyum ceria mencerahi wajahnya.
Mak cik Salina sekadar angguk.
Bungkusan itu telah beralih letak. Tadinya berada di riba mak cik Salina. Kini sudah menetap ke pangkuan Aisyah pula.
Aisyah terkedu. Kehairanan sungguh.
“Untuk saya? Iyakah? Dari siapa agaknya?”
“Iyalah memang pun untukmu. Tak payahlah nak mengulang tanya banyak kali...”
“Tapi dari siapa mak cik?” tanyanya yang berbaur desakan ingin mengetahui siapakah pemberinya. Mak cik Salina tersenyum simpul melihat gelagat gadis remaja yang ceria di sisinya kerana beroleh pemberian yang tidak diduganya. Menganggapkannya bagaikan bulan jatuh ke riba. Lantaran mendapat rezeki terpijak pula.
“Siapa lagilah yang rajin sangat beri benda-benda komu kalau tidak Faizal…”
Ujar mak cik Salina lambat-lambat memberikan jawapan yang diingini Aisyah.
Tersipu-sipu Aisyah  seketika demi mendengar nama Faizal disebut. Sudah lama Aisyah faham resmi Faizal yang gemar memberikan sesuatu kepadanya melalui orang lain. Tidak daripada tangannya sendiri. Kenapalah begitu sikapnya. Entahlah. Aisyah tidak dapat hendak mentafsir maksudnya.
“Dia tak dapat nak datang rumah mak cik sebab dah bercuti dan balik kampung. Lama juga dia bercuti kabarnya. Barang ni dia kirim pada abang Zmu suruh beri komu. Mak cik tunggu jugamu datang ke rumah. Tapimu tak datang. Itulah yang mak cik terpaksa mari hantar komu…”
“Terima kasih banyak mak cik. Menyusahkan mak cik saja. Sehari dua ni saya sibuk sikit menolong nenek di gerainya. Itu yang tak dapat nak gi rumah mak cik. Saya bercadang esok nak gi rumah mak cik memulangkan novel yang saya pinjam dari abang Zni…”
“Takyah nak berterima kasih banyak. Taksusah pun gak.”
Ada sajalah Faizal tu, nak kelikpun (balik) taknak beritahu kita,” sahutnya lemah antara kedengaran dengan tidak. Namun mak cik Salina dapat menangkap gerak yang beriak di wajah gadis itu.
Seolahnya Aisyah tidak menyenangi berita yang didengarinya. Mak cik Salina juga menyedari telah terujud hubungan akrab di antara kedua-duanya. Walau belum dapat menafsir dengan baik rupa bentuknya yang asli. Cerita sebenar di sebalik hubungan mesra lagi intim itu dia tidak pasti.
Dan harapannya semoga cerita yang baik-baik saja akan didengarinya.
“Bukalah! Mak cikpun nak tengok juga apa yang diberi Faizal komu. Penat-penat bawa mari ke sini dapat upah tengok pun jadilah.” Suara lunak makcik Salina menyapa ruang pendengaran Aisyah.
Wajah wanita separuh baya yang menatapnya dengan sengihan yang tidak putus itu membuatkannya merasa serba salah amat.
Ikutkan hatinya, tidak ingin diperlihatkan kepada sesiapa pun isi bungkusan itu. Walau kepada makcik Salina. Setelah makcik Salina berkata begitu kepadanya, dia tidak terdaya memberi alasan untuk menolaknya.
Lagipun apalah yang hendak dirahsiakan sangat isi bungkusan itu kepada mak cik Salina kerana mak cik itu bukannya tidak tahu hubungan baiknya dengan Faizal selama ini. Lebih dari tahu.
Apatah lagi mak cik Salina dan anaknya jugalah yang menyebabkan Aisyah mengenali lelaki yang baik budi dan sering membantu meringankan kesusahannya itu.
Peranan yang dimainkan dengan bermakna di dalam kehidupannya tidak wajar dikesampingkan begitu saja. Tidak patut sungguh jikalau dia menolak permintaan mak cik Salina yang tidak seberapa itu. Tindakan kontra sebegitu mungkin akan menyebabkan mak cik Salina berkecil hati. Dia tidak ingin itu yang berlaku. Demikian keputusan hatinya.
Perlahan-lahan tangannya mengoyak dengan cermat kertas yang berperekat kejap yang melindungi isinya dengan sebaiknya..
Terserlah se pasang baju kurung yang meriah coraknya dari dalamnya tatkala terbuka. Ada pula sepucuk surat yang terselit di lipatan antaranya. Aisyah cepat-cepat mengenepikannya di bawah pehanya.
Dia merasa tidak sabar hendak membacanya. Tetapi dia tetap seharusnya menyabarkan dirinya untuk melaksanakan hasrat itu sementara mak cik Salina masih tertonggok di sisinya. Dan gelagatnya itu mencuri perhatian mak cik Salina walau dia tidak menanggapi abnormal tentangnya.
Kepadanya perilaku seorang gadis remaja yang merasa dirinya menjadi perhatian seorang pria walau tidak diketahui motif sebenarnya memanglah begitu. Seperti Aisyah yang menyimpan perasaannya dalam diam.
“Cantiknya baju ni. Agaknya mahal harganya. Kainnya pula dari jenis yang mahal ni. Mak cik rasa di sini tak ada lagi orang jual kain hok gini(seperti ini)
Terpaku mak cik Salina merenung baju di tangannya. Menatapi keindahannya dengan asyik.
“Bolehlahmu melaram sakan hari raya nanti. Baju baru dah ada ni. Dulu mulorat baju raya tak ada lagi. Ni dah pun ada.” Sambung mak cik Salina lagi.
Aisyah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Tidak boleh mak cik...” Ujarnya tiga patah.
Awan mendung berarak menyelubungi wajahnya yang cerah seketika tadi.
“Kenapa tak boleh. Sudah ada baju yang cantik, eloklah dipakai. Takkan  hendak disimpan saja buat pekasam…” Wajah muram Aisyah direnungnya tanpa berkelip.
“Nanti nenek tanya siapa yang beli. Siapa yang bagi. Saya malas nak bersoal jawab dengannya. Banyak pula ceritanya. Biarlah saya simpan saja. Saya akan pakai juga. Tapi tidak di sini. Mungkin di tempat ayah saya...” Jelas Aisyah.
Jikalau dia memakai baju pemberian Faizal sewaktu berada di rumah ayahnya di Pahang kelak kok ada kesempatannya, tentulah tidak siapa yang bertanya tentang baju itu diperolehi dari mana. Paling tidak emak ayahnya akan menyangka bahawa baju cantik itu dibelikan neneknya untuk Aisyah.
Mak cik Salina mulai mengerti kondisi yang didepani gadis ini dan kewajaran tindakan yang diambil untuk mengatasi masalahnya. Tidak difahami langsung sikap nenek kepada Aisyah itu.
Seolah tidak gemar cucu sendiri berpakaian cantik seperti cucu-cucunya yang lain. Membiarkan cucu yang tinggal bersamanya itu tidak berpakaian baru walaupun hendak menyambut hari raya yang amat bermakna itu.
Apalagi buat seorang anak remaja seperti Aisyah, yang menganggap hari yang disambut setahun dua kali itu amat indah dan perlu dirayakan dengan amat gembira. Untuk menyambutnya perlukan persiapan persis dibuat kebanyakan Muslim yang lain.
Paling utama buatnya tentulah sepasang baju yang baru untuk dipakai di awal pagi yang mulia kerana meraikannya. Tetapi nampaknya neneknya itu tidak berfikiran selorong dengannya.
Kasihan sungguh Aisyah. Mak cik Salina mendesis simpati di hatinya. Tetapi Salina hairan bin ajaib pula kerana nenek yang tidak mempedulikan kebajikan cucunya itu sanggup memarahi orang lain yang berbuat baik kepada cucunya. Dan sentiasa prihatin di atas nasib malang cucunya yang di pinggirkan itu.  
  Soal baju pemberian Faizal kepada Aisyah itu tidak lagi diperkiraikan oleh kedua-duanya kini. Mak cik Salina tidak mahu menambahkan kesedihan di hati Aisyah.
“Mak ayahmu tak balik kah raya tahun ni?” Tanya mak cik Salina mula menukar topik bicara sambil merenung wajah Aisyah yang ketara merenung kosong pada jalan yang terentang di hadapannya.
“Entahlah mak cik. Adik saya ada kirim kad raya pada saya pagi tadi. Katanya keluarga saya nak balik ke sini. Tapi belum pasti lagi. Harap-harapnya jadilah…”
Wajah mak cik Salina ditentangnya dengan renungan berkaca mengandung harapan. Makcik Salina faham bahawa Aisyah menggantungkan harapannya tinggi agar hajatnya hendak bersama dengan mak-ayahnya juga adik-adiknya akan terlaksana.
Mudah-mudahan harapan anak remaja itu akan menjadi kenyataan. Mak cik Salina turut mendoakan impian anak angkatnya itu termakbul jua. Kasihan sungguh dirinya terhadap anak itu yang menanggung kerusuhan hati kerana berpisah dengan keluarga yang disayanginya sekian lama.
Hari raya pun hanya tinggal beberapa hari saja lagi akan menjelang. Pastilah harapannya menggunung tinggi agar dapat menemui mereka yang tersayang sempena meraikan Idilfitri yang mulia.
                                                      
                                               * * *

Di malam yang hening itu, cahaya dari pelita ayan meliuk-liuk dihembus angin halus yang menembusi liang-liang dinding yang renggang. Aisyah mengamati sebuah pantun klasik yang indah yang ditulis dengan huruf italik yang kemas di atas helaian kertas yang putih. .
Tuai padi antara masak,
        esok jangan layu-layuan.
Intai kami antara nampak,
        esok jangan rindu-rinduan.

Dan tanda tangan unik di bawahnya sebagai penutup.
Indah amat susunan aksara yang membentuk frasanya pada hati pembacanya. Se buah pantun klasik menjadi pilihan pengirimnya untuk dicoret di atas kertas putih itu. Rasa terbelai jiwanya dengan lunak gubahan kata yang syahdu itu. Aisyah melipat kembali lembar surat Faizal dan meletakannya di bawah bantalnya.
Se pasang matanya luas terbuka memandang ruang yang diterangi cahaya pelita yang tidak dapat menyeluruhi menyuluh kegelitaannya. Dia berusaha memahami maksud yang tersirat di sebalik pantun pilihan Faizal itu.
Namun tidak berupaya menghurainya.
Hanya hatinya yang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana telah menghadiahkan sepasang baju kurung cantik yang amat didambakanya.  Jauh dan dalam di dasar hatinya terpendam rasa rindunya terhadap pemuda berwajah tegar itu kerana telah lama tidak menemuinya.
Dan tidak ada peluang menemuinya lagi dalam jangka masa terdekat ini kerana pria itu telah pulang ke kampung halamannya.
Rindunya yang terlalu itu memberati urat saraf kepalanya dan membuatnya terlena. Hilang sudah niatnya untuk mencari-cari maksud sebuah pantun yang sarat dengan maknanya yang tersirat itu..
                                                 
                                          

12 comments - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 5/6..."

~Kak Nah Backyard (^_^)~ delete icon 16 February 2014 at 21:11

Assalam kak, singgah baca novel =)

paridah delete icon 16 February 2014 at 21:59

wsalam...terima kasih banyak ema sudi juga baca.

Kakzakie delete icon 17 February 2014 at 12:05

Hmmm.... lambatnya nak habis cerita. Kakak dah mula mengikuti macam tak sabar nak tahu endingnya Aisyah dgn Faizal tu...

Novel Badai Semalam (khadijah Hashim), ranjau sepanjang jalan (shahnon Ahmad) dulu zaman kakak kecik-kecik tau kakak baca.

Kesuma Angsana delete icon 17 February 2014 at 12:34

best2...

Mizz Aiza (Dunia Kecil) delete icon 17 February 2014 at 15:02

semakin menarik.. tinggal 1 episod lagi ya kak?

paridah delete icon 17 February 2014 at 15:17

banyak lagi babnya tu aiza...terimakasih ikutinya...Mizz Aiza.

PearlVelvet SueQys delete icon 17 February 2014 at 15:21

salam kenal, singgah & follow sini

paridah delete icon 17 February 2014 at 15:25

terima kasih banyak...Kesuma Angsana.

paridah delete icon 17 February 2014 at 15:28

salam kenal juga terima kasih PearlVelvet SueQys sudi singgah n follow blog karyaku...

paridah delete icon 17 February 2014 at 15:46

kisah biasa saja yg ditulis ikut cara kursus penulisan pts iaitu dimulai kisahnya dari awal sebelum ceritanya dikembangkan lbh menarik...retrospektif sikit...tp novel sy ni tentu jauh sgt dgn kehebatan novel BADAI SEMALAM Karya Khadijah Hashim tu sbb tu sy uploadkan kat blog jer....terima kasih banyak Kakzakie sudi ikutinya...

Wirda Amir delete icon 18 February 2014 at 07:35

Dh episod 5 6 dh ni kak...ketinggalan jauh sgt dh sy ni.....

paridah delete icon 18 February 2014 at 11:22

ya dh bab 6...kalau wirda klik link sebuah versi cinta kat label tu...tq Wirda Amir.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”