بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

                                                   Berterima kasih.


Aisyah mengenakan sepasang baju kurung yang sudah pudar ronanya ke tubuh kecilnya. Rambutnya dibiarkan lepas mengurai setelah menyisirnya. Mempoles sedikit talkum ke pipi dengan pantas pula. Setelah berpuas hati dengan dandanan mudah lagi amat sederhana itu dia mulai mengatur langkah menuruni tangga rumah.
Lorong yang sedang dilaluinya kini menghala ke rumah mak cik Salina. Memang itulah destinasi yang ditetapkan hatinya. Tanpa memberitahu dan meminta izin daripada neneknya dia tidak gundah sedikit pun..
Jikalau diberitahu kepada neneknya itu, alamatnya Aisyah hanya akan melihat dunianya di sekitar ruang rumah neneknya. Di situ saja. Baiklah tidak usah diberitahu. Demikian Aisyah membuat keputusan ikut naluri hatinya semata seperti selalu..
Apabila hatinya terasa hendak pergi ke rumah jirannya itu, dia akan pergi saja. Setelah pulang nanti jikalau terserempak dengan neneknya di muka pintu barulah diberitahu kemana dia telah berpergian. Itupun jikalau ditanya. Jikalau tiada pertanyaan apa-apa dia merasa amat selamat dan bersyukur sekali. Tidak perlu lagi mengatur helah yang hanya alasan rekaan.
Aisyah melenggang senang mencari Salina yang didengari suaranya meletus daripada ruang tengah rumahnya menyambut salamnya. Pastilah mak cik Salina berada di situ.
Lunak sapaannya menyebabkan Salina mengangkat muka memandang ke arahnya.
“Buat apa tu mak cik?”
 Sengaja dia bertanya begitu. Sebenarnya dia memang nampak dan tahu mak cik Salina sedang menjahit baju.
“Sedang jahit baju ni…”
Jawapannya memang sudah dijangka Aisyah. Sekiranya tidak diberitahu sekalipun dia sudah tahu. Aisyah bersimpuh santun di sisi Salina. Asyik sekali memerhati tangan yang memegang jarum dengan selembar benang berurna biru itu pantas dan teliti menjahit tulang belut baju kurung bercorak batik itu. Kemas sekali jahitannya.
 Alang-alang rajin memang tidak akan menjadi. Mesti rajin bertekun sungguh-sungguh jikalau berniat melakukannya.. Perlu miliki kepakaran yang khusus juga. Desis hati Aisyah.
“Abang Z belum balik lagi mak cik?”
“Belum lagi. Entahlah, mengapa lambat pula dia balik hari ni. Selalunya tak gitu. Risau juga mak cik…”
Ibu itu bersuara lemah, bercampur baur dengan keresahan hati yang risaukan tentang anak tunggalnya yang belum muncul itu. Dia hanya mendoakan yang baik-baik saja untuk anaknya.
Bukan mengharapkan gendala yang memusibahkannya.. Mungkin anaknya itu sedang berlomba-lomba menghabiskan kerja-kerja pejabat yang sedang ditanganinya. Begitu pula jangkaan hatinya yang menyuraikan keresahannya..
Salina berusaha menenangkan dirinya dengan terus menjahit lincah. Tiada lagi kedengaran suara perbualan di antara kedua-duanya. Sepi seketika.
Aisyah bangun daripada duduknya yang termangu menghadapi suasana. Sesuatu perlu dilakukan untuk menghindari rasa bosan dari berterusan. Langkah dihala ke lemari buku yang terletak di penjuru ruang tengah.
Tangannya mencapai sebuah novel daripada Indonesia. Dia akan menghapus kebosanannya dengan membaca novel Siti Nurbaya. Novel itu memang sudah lama diterbitkan tetapi dia hanya menemuinya hari ini.
Kawan-kawannya riuh menceritakan tentang kehebatan karya Marah Rusli yang sangat indah nukilannya tentang percintaan sepasang remaja dan amat asyik dibaca itu. Kini dia berpeluang menikmati novel itu tanpa alasan lagi.
Tiada lagi bicara yang kedengaran antaranya dan mak cik Salina lantaran matanya asyik menyorot setiap patah aksara yang tertera di lembar novel itu.
Deruan enjin motorsikal kedengaran dan mati di kaki tangga. Membuatkan mak cik Salina terpanggung daripada keasyikannya menjahit. Dan Aisyah mengangkat muka dari ketekunannya mengutip cerita pada lembar kedua. Saling berbalas pandangan di antara kedua-duanya..
 Terukir senyuman manis di bibir kedua-duanya kerana memahami jalinan maksud meski tiada pengaturan bicara.. Makcik Salina meletakan kain jahitannya di suatu sudut dan bergegas menjengok ke muka pintu.
“Mu pun ada Faizal? Jemputlah naik...” Sapanya bersertakan pelawaannya yang lunak. Anak muda yang disapa itu memberikan senyum kepadanya.
“Naiklah Faizal. Muni macam tak biasa mari rumah aku. Nak tunggu aku lawa barumu nak naik…”
Faizal tersengih saja dan tidak membalas apa-apa.
Dia mengikuti Zahari melangkahi anak tangga hingga tiba di atas rumah. Apabila kedua-duanya terpandangkan Aisyah berada di atas kerusi rotan, mereka tersenyum spontans. Aisyah tidak lokek untuk membalas senyuman itu  dengan lebih manis lagi.
Zahari tidak terkejut sedikit pun dengan kehadiran gadis sunti itu di ruang rumahnya itu kerana dia yang mengajaknya pada tengah hari tadi. Namun dia tidak pula menjangka Aisyah akan memenuhinya.
“Mu duduklah berbual dengan Aisyah dulu. Aku nak gi mandi dulu.”
Zahari memboloskan dirinya ke dalam bilik. Dan sebentar kemudian menghilangkan dirinya daripada pandangan Faizal dan Aisyah di sebalik dinding dapur yang menempatkan bilik mandi di sebelah situ. Ibunya juga mengikuti langkahnya untuk ke dapur.
“Aisyah, Faizal, mu berdua duduk dulu. Mak cik nak ke dapur semetar(sebentar
) Tinggal Faizal dan Aisyah di ruangan itu. Ruang tengah menelan sepi. Faizal dan Aisyah yang menghuninya tidak tahu hendak memulakan bicara. Aisyah mengira atur tutur kata sebaiknya sebagai mukaddimahnya.
Keliru amat hatinya hendak membahasakan gelaran dengan sepatutnya kepada lelaki segak  di hadapannya ini.
Wajarkah dia dibahasakan ‘abang’ sebagai menghormati seseorang yang amat jauh jarak umurnya dengannya? Lagipun Faizal kelihatan sebaya dengan Zahari. Jikalau dia boleh memanggil Zahari dengan gelaran ‘abang’, tentulah tidak salah jikalau dia menggunakan frasa yang sama untuk Faizal. Aisyah memutuskan begitu tanpa teragak-agak lagi.
Setelah saling terkedu dan hanya bertukar senyuman Aisyah mula mengira-ngira hendak mengatur bicara.
“Kenapa tak bagi tahu saya abang Faizal sudah bayarkan yuran peperiksaan saya? Buat malu saya saja pergi jumpa cikgu tadi...”
Faizal tersengih sedikit. Senang dan gembira mendengarkan Aisyah tidak menolak budinya. Malah seakan senang menerimanya meski dengan siratan kata yang lunak. Namun tidak susah untuk ditebak apa makna di sebaliknya.
“Dengar khabarnya tadi hendak berhenti sekolah sebab tak dapat nak lunas duit periksa SRP? ya…”
“Mana tahu?” Soalannya ditata dengan jegilan sepasang kejora matanya yang bersinar terang.
“Tahulah. Cikgu Rahim tu bukankah kawan saya. Dialah yang cerita. Tadi kena denda berdiri atas kerusi sebab buat bising dalam kelas iya...” Semakin lebar senyum Faizal melihat raut muka Aisyah yang masam seketika kerana usikannya dan kemudiannya tersenyum sedikit.
Barangkali ada lintasan fikiran yang mengimbas peristiwa yang dimaksudkan Faizal dan telah dilaluinya di sekolah, tengahari tadi. Terasa lucu pula hatinya tatkala mengenangkannya.
Padahal dia tidak melakukan kesalahan apa-apa melainkan membaca nota-nota yang diberi guru-gurunya. Terkejut sungguh pabila disergah gurunya dan didenda berdiri di atas kerusi.
Tetapi dia tidak ralat mematuhinya kerana tindakan sebegitu tidak langsung mendera mental dan fizikalnya. Tidak susah untuk menghadapinya dengan bersahaja.
“Terima kasih banyak-banyak kerana tolong bayarkan yuran periksa saya. Jikalau tak saya sudah berhenti sekolah tadi. Bila saya dapat duit dari ayah saya nanti, saya akan bayarkan balik duit abang Faizal…”
Wajah mulus ayu Aisyah menyapa tenungannya. Dia tergeleng-gelengkan kepalanya mengandung maksud.
“Tak payahlah nak dibayar balik. Saya tolong ikhlas. Bukannya banyak sangat lima belas ringgit tu...” Ujarnya menolak janji Aisyah. Padanya wang lima belas ringgit tidak sebesar mana nilainya berbanding dengan kepuasan hatinya kerana dapat berbudi kepada gadis kecil yang amat comel itu.
Lagipun dengan jumlah duit sebanyak itu hanya nilai sarapan paginya di restoran terkemuka. Dia tidak ralat sedikit pun. Sama sekali dia tidak berharap Aisyah akan membayarnya semula kepadanya. Tidak diingininya berlaku begitu.. Hanya akan mencalarkan kegoan lelakinya yang budiman.
Faizal tidak tahu betapa besarnya nilai lima belas ringgit itu kepada Aisyah. Wang sebanyak itu cukup untuk memaksanya meninggalkan alam persekolahan yang amat bermakna buatnya.
Alam yang menceriakan keremajaannya dan seronok amat melaluinya. Jikalau terpaksa meninggalkannya dalam jangka masa yang tidak sepatutnya, dia merasa teramat kecewa.
Pemuda itu tidak tahu apa yang sedang Aiyah sedang fikikan disebalik novel Siti Nurbaya yang kembali mendepani wajahnya. Aisyah sudah mengatakan apa yang diwajarkan hatinya dan amat berpuas hati dengannya.
Jadi dia perlu meneruskan keasyikannya membaca novel Siti Nurbaya yang tergendala seketika. Tidak dipedulikan sama ada lawan bicaranya yang masih tertunggu-tunggu mengharapkan buah bicara manis yang bakal terlambak di ribanya lagi.
“Aisyah belajar rajin-rajin tau. Biar lulus periksa dengan cemerlang. Nanti saya akan belikan buku-buku rujukan untuk Aisyah baca...”
“Banyak sangat kah duitnya. Sanggup pula nak perabis duit beli buku-buku  rujukan untuk saya?,” balasnya daripada sebalik novel tatapannya.
“Kalau tak banyak pun saya akan cuba adakan untuk cikmek molek ni.”
“Saya tak minta. Tapi kalau nak beri saya tak tolak. Terima kasih banyak-banyak,” balas Aisyah jujur. Faizal amat tertarik dengan sikap berterus-terang yang dimiliki gadis ini. Langsung tidak hipokrit.
Pelan-pelan dia mulai mengagumi sifat gadis kecil di hadapannya ini. Pandangannya menyeluruhi sekujur tubuh mongel berwajah comel lagi ayu yang amat mempesonakan hatinya dengan rambutnya yang hitam dan panjang mengurai menutupi dadanya..
Silatan matanya lantas berkalih arah lantaran terdengar derap langkah yang diatur di belakangnya. Rupanya mak cik Salina sedang berjalan menghalanya dengan menatang se dulang hidangan.
“Minumlah Faizal, Syah. Ini ada mak cik gorengkan keropok lekor yang mak cik beli di pasar pagi tadi. Makan panas-panas sedap nih...”
Mak cik Salina menyodorkan se cawan kopi yang beralaskan piring di bucu meja yang setentang letaknya dengan kedudukan Faizal. Kemudian mengulangi perlakuan serupa terhadap Aisyah pula.
Aisyah leka memerhati tingkah mak cik Salina yang begitu rajin dan rapi sekali melayani tetamunya. Dia merasa bersalah pula kerana membiarkan mak cik Salina bersusah-payah kerananya.
 Jikalau mak cik Salina melayani Faizal seorang saja memanglah patut. Ini dia pula yang dilayan seperti orang luar yang menjadi tetamu. Begitulah nilai kesopanan Melayu yang tinggi budi bahasanya. Tidak mengira siapa pun mereka. Putus hatinya pula.
Aisyah mulai mempelajari ilmu baru daripada mak cik Salina secara tidak tersengaja. Mak cik Salina baginya adalah seorang perempuan mulia dan terlalu baik. Langsung tidak ada sifat buruk yang terintai matanya tetapi dia tidak faham kenapa neneknya memusuhinya dan mengangapnya perempuan yang rendah moralnya dan mesti dijauhi..
Buat apalah susah-payah pula dia hendak cuba memahami sikap neneknya yang amat kontra dengannya itu? Biarkanlah. Putus hatinya mengusir jauh-jauh persoalan yang menyirati benaknya.
Sebentar kemudian kelihatan Zahari melangkah keluar daripada biliknya dengan pakaiannya yang sudah bertukar. Sekadar berkemeja dan berkain pelikat. Faizal memandangnya tepat dengan unsur keliru yang berbaur.
“Kata tadi nak ikut aku ke rumah cikgu Rahim, main badminton. Takkan kau nak bermain badminton pakai kain pelikat saja. Ish tak masuk akal langsung kau ni,” tegur Faizal mengingatkan kawannya itu tentang rencana yang telah di atur.
“Mu ni kalut mat. Jangan risau. Kita minum dulu. Janji aku tu aku tak lupa. Bukannya lambat sangat nak salin kain ni gak. Semetar ja...” Balas Zahari acuh tak acuh. Mulutnya sudah sedia untuk menghirup kopi yang sedang didekatkan cawan yang mengisinya ke bibirnya.
Keropok lekor yang tersusun di piring pula dicapainya. Nampak sedap sungguh dia mengunyah keropok itu tanpa kisah pada Faizal dan Aisyah yang ralit memerhati gelagatnya.
Tanpa sedar dia sudah menghabiskan tiga potong kecil keropok yang digoreng ibunya itu. Air kopi di dalam cawan  dihirupnya pula hingga tidak bersisa.
“Mu berdua ni tak makan ko. Ralit pandang aku makan ja. Ko mu berdua malu nak makan. Aisyah malu ko Faizal. Faizal malu ko Aisyah. Buang masa ja. Sebenarnya malu-malu ni rugi. Kalau terasa nak buat sesuatu buat ja. Terlalu sangat fikirkan malu kita tentu tidak dapat apa yang kita mahu. Sudahnya kita kerugian. Malu nak makan perutpun kelaparan heh…heh...”
 Ketawanya berhamburan untuk menghapus kegelojohannya menikmati keropok lekor kesukaannya.  Sedang Faizal terasa sinis dengan maksudnya yang terselindung mengenenkannya. Dia cuma tersenyum sedikit.
“Pandailah abang Z tu bercakap. Sebenarnya saya memang nak beri peluang abang makan keropok tu, sebab saya tahu, abang memang sengoti (sungguh hati} sukakannya. Kalau saya tumpang jamah takut tak cukup pula...”
Zahari pula berkalih arah pandangan menatapi wajah teman di sebelahnya.
“Mu pulak, apa pulak alasanmu?”
“Tak payahlah nak tahu apa alasan aku. Makanlah cepat. Bila kau dah siap makan bolehlah kita ke rumah cikgu Rahim. Hari pun dah petang sangat ni. Nanti kita dapat bermain sekejap saja hari dah maghrib. Terpaksa pula balik.”
“Iyalah…iyalah. Aku gi bersiaplah nih...” Sahut Zahari  dia bangun lalu membuka langkah menghala ke biliknya dan memboloskan diri ke dalamnya. Pintunya ditutup. Renggang saja. Tapi kerenggangan itu tidak mampu memperlihatkan kelaku Zahari yang sedang mengemasi dirinya.
“Bila nak ke sini lagi?” Tanya mak cik Salina.
Faizal merasa serbasalah untuk menjawabnya secara jujurnya. Jikalau boleh setiap hari dia akan bertandang ke sini. Namun teramat malu hendak mengakuinya. Baginya makcik Salina dan Zahari melayaninya dengan sangat baik.
Terlalu senang dirinya berada di sini. Di tengah keluarga yang amat baik budi ini. Ditambah pula dengan keberadaan Aisyah yang manis ayu itu. Gadis itu laksana kudup bunga yang belum mengorak kelopak tetapi cukup menyeri suasananya.
“Apabila saya tidak sibuk, insya-Allah saya akan ke sini. Buat masa ini saya sibuk sikit mengulangkaji sebab saya nak ambil periksa HSC hujung tahun ni,” ujar Faizal berserta alasannya.
Makcik Salina tidak faham dengan apa yang dimaksudkan Faizal tentang ‘HSC’ itu. Tetapi dia pernah mendengar anaknya menyebutnya kepadanya.
Faizal lantas bangun daripada duduknya setelah melihat Zahari sudah berdiri terpacak di sisinya.
“Jomlah…”
“Saya pergi dulu mak cik, Syah…”
Mak cik Salina dan Aisyah turut bangun dan menghantar kedua-duanya hingga ke muka pintu..Faizal menjeling sekilas kepada Aisyah. Seolahnya enggan hatinya hendak berpisah selagi tidak menatap wajah ayu itu.. Aisyah tersenyum kerana dia menyedari pandangan yang mengintai wajahnya itu.
Hilang sudah kedua-duanya daripada pandangan mak cik Salina dan Aisyah. Makcik Salina duduk kembali dengan memegang kain jahitannya. Maknanya dia akan menjahit jahitan tulang belut pada baju kurung batiknya yang telah ditinggalkannya sebentar tadi.
Aisyah pula mencapai novel yang dilepaskannya tadi dan mulai tercari-cari lembar novel yang ditandanya untuk menyambung bacaannya semula. Tertarik sungguh hatinya dengan garapan cerita yang dituliskan penulis novel itu. Jikalau boleh dia ingin menghabiskan bacaannya petang ini juga.
Tetapi itu tidak mungkin dilakukan kerana dia baru saja membacanya beberapa helai muka surat saja. Belum pun memasuki suku dari jumlah keseluruhan helaian muka surat yang terkandung di dalamnya.
Tentu saja dia terpaksa meminjamnya untuk dibawa pulang demi menyambung membacanya di rumah neneknya pula, jikalau teringin hendak mengetahui cerita seterusnya dan akhiran nasib watak-watak utama yang dilukis penulisnya.
 Dia pasti mak cik Salina akan meminjamkan novel itu kepadanya walau dia yakin pemilik sebenarnya adalah Zahari. Masakan mak cik Salina kedekut pula hendak meminjamkan novel itu kepadanya kerana selama mengenalinya, mak cik Salina tidak pernah bersifat begitu terhadapnya.
“Faizal tu baik sungguh ya mak cik...” Tiba-tiba meletus suara berunsur puji-pujian itu kedengaran di antara mereka. Membuatkan mak cik Salina terencat seketika dari melakukan kerjanya. Wajah polos Aisyah direnungi sepenuhnya.
“Kenapamu kata gitu?” tanyanya pula berserta keraguan yang terbendung di sukmanya.
Mak cik Salina terlalu ingin hendak tahu apakah terjemahan maksud ‘baik’ pada penerimaan gadis itu tentang kawan anaknya itu.
“Tadi… dia telah tolong bayarkan duit periksa saya. Katanya pula nak tolong belikan buku-buku rujukan untuk saya baca. Supaya saya lulus periksa dengan cemerlang…”
Aisyah bercerita sejujurnya. Seolah mengimbau ulang setiap insiden yang dilaluinya.
“Memang baik budak tu,” akui makcik Salina pula. Nafasnya yang terhela dilepaskan perlahan-lahan meresapi udara maya dengan sekata.
Mak cik Salina memang berkenankan tingkah laku anak muda kawan kepada anaknya itu. Walau kabarnya dia anak seorang yang berada kerana ayahnya seorang yang berpangkat tinggi dalam Jabatan Polis di sebuah negeri di utara, dia tidak sombong dan meninggi diri.
Pendek kata tergolong dalam kalangan orang-orang kaya dan jauh beza status kehidupannya dengannya dan anaknya yang hanya marhaen langsung tidak punya kekayaan kebendaan yang boleh dibanggakan..
Namun resmi Faizal ternyata berbeza daripada sesetengah mereka yang ditakdirkan beroleh kekayaan hidup di bumi Allah ini tetapi memandang hina kepada golongan yang tidak berlebihan materi. Malah merasa jijik teramat untuk menerapkan hubungan insan di antaranya.
Zahari yang menceritakan tentang salah-silah keluarga Faizal itu kepadanya. Ternyata kekayaan keluarganya tidak mampu mengekang Faizal untuk membataskan dirinya hanya bergaul di kalangan yang sama. Tetapi sanggup pula merapati keluarganya yang cuma hidup sederhana dipinggir bandar KB ini.
Tingkah lakunya sangat baik. Berbudi bahasa. Tahu menghormati yang tua seperti dirinya. Berkenan sungguh hatinya terhadap sifat pembawaan diri Faizal itu.
Jikalau dia miliki seorang anak perempuan yang baik paras rupanya tentu saja akan dikahwinkan anak gadisnya itu dengan Faizal. Dan Faizal akan menjadi anak menantu yang dikasihinya.
Tetapi... Ada sekelumit senyum yang tergaris di bibirnya. ‘Manalah aku ada anak perempuan. Merapu saja aku ni. Anak aku hanya Zahari seorang. Lelaki pula.’ Tiba-tiba saja matanya melirik Aisyah yang terkaku di sisinya dengan matanya yang tidak lepas menyoroti aksara demi aksara yang membentuk frasa dan membawa makna..
‘Haa…! Aisyahkan ada! Aisyah telahku anggap seperti anak kandungku sendiri. Memang sepadan jikalau digandingkan Aisyah dengan Faizal. Tetapi Aisyah masih seorang  gadis kecil. Tidak layak jikalau hendak dijodohkan terlalu awal dengan Faizal. Biarlah dia menimba ilmu terlebih dahulu demi masa depannya.
Tetapi jikalau Faizal sanggup menunggu dua, tiga tahun lagi, pastinya gadis kecil ini akan tumbuh sebagai bunga mawar yang harum lagi amat indah. Apa-apa sajalah yang aku merapu ini. Pandai-pandai saja aku hendak menentukan corak masa depan orang lain.’ Mak cik Salina tersenyum sendiri kepada dirinya. Lantas membuang jauh-jauh bungkal-bungkal ingatan yang teranyam bersimpang perenang tidak menentu hala itu.
Entah kenapa hatinya terasa jodoh Faizal adalah dengan Aisyah. Bukan dengan orang lain. Dia mengharapkan itulah yang berlaku...

16 ulasan - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 5...."

Muhammad Khairuddin Lim delete icon 10 Februari 2014 9:42 PTG

wah...cerita menarik.

paridah delete icon 10 Februari 2014 10:09 PTG

YEKE? Terima kasih Muhammad Khairuddin Lim...novel yg ditulis sekadar isi masa terluang...

Etika Maria delete icon 10 Februari 2014 10:36 PTG

Penuturan nya sederhana, buat lanjutan nya lagi kak.. Penasaran apa iya mereka berjodoh? Hehehe

paridah delete icon 11 Februari 2014 7:24 PG

kalau tika sudah ikuti sejak mula tentu xsabar nk ketahui akhirannya...in sya Allah akan bersambung lagi.....tq Etika Maria.

joe delete icon 11 Februari 2014 8:00 PG

menunggu sambungannya ...

Khai♥Rin : anies delete icon 11 Februari 2014 9:33 PG

adakah jodoh utk mereka?

paridah delete icon 11 Februari 2014 10:18 PG

terima kasih banyak joe...

paridah delete icon 11 Februari 2014 10:21 PG

mungkin ada mungkin tak...ikuti sambungannya ya....tq Khairin annies...

Purnomo Jr delete icon 11 Februari 2014 1:21 PTG

Tak sabar ingin tau ending ceritanya mbak :)

Sobri Yaacob delete icon 11 Februari 2014 1:41 PTG

menarik :)

paridah delete icon 11 Februari 2014 2:42 PTG

yeke...terima kasih banyak lagi sambunganya...terima kasih banyak ikutinya Purnomo Jr.

paridah delete icon 11 Februari 2014 2:44 PTG

yeke...terima kasih banyak Sobri Yaakob.

Kesuma Angsana delete icon 11 Februari 2014 4:55 PTG

aduh akak dah bikin orng jatuh cinta utk terus membaca lah !

paridah delete icon 11 Februari 2014 5:13 PTG

yeke...terima kasih banya KA...kalau ada yg minat ikutinya xlah penat kak menulisnya....tq Kesuma Angsana.

Mizz Aiza (Dunia Kecil) delete icon 12 Februari 2014 3:51 PTG

aiza bookmark dulu kak.. nanti nak baca.. :D

paridah delete icon 12 Februari 2014 10:08 PTG

yelah aiza bacalah bila2 ada kesempatan....tq Mizz Aiza..

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”