بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
                                                      Bab 3.
                                                   Aisyah berbudi.
 
Sejak mutakhir ini, setiap kali pulang daripada sekolah, Aisyah akan terburu-buru memasak dan menyelesaikan semua tugasan yang wajib di rumah neneknya dengan cepat. Setelah usai semua kerjanya, dia akan berlari-lari pula menaiki tangga rumah mak cik Salina
“Mak cik apa khabar hari ini? Tambah sihat?” Sapa Aisyah. Tangannya mengusap dahi Salina dan mengemaskan pula rambutnya. Rambut hitam yang panjang dan bersulam uban di mana-mana itu dipintalnya dan disanggulkan di tengah kepala.  Sekujur tubuh yang terbaring lesu itu ditatapnya. Hiba hatinya melihat tubuh yang suatu ketika dahulu sangat cergas dan rajin melayaninya kini telah tidak bermaya.
“Rasanya bertambah sihat sikit. Sehari dua lagi dapatlah mak cik buat kerja rumah macam biasa,” tutur bibir Salina yang pucat, lemah. Jasadnya sedang menderita sakit. Lenguh dan nyilu di sana-sini. Kepala pula di rasanya sangat berat. Berdenyut-denyut. Berpinar-pinar pandangannya. Pening. Sudah berhari-hari pula dia demam sehingga menyukarkan pergerakannya.
Anak bujangnya Zahari telah membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Tetapi dia tidak mahu ditahan di wad. Tinggal di hospital.
Padanya walaupun tinggal di rumah tetapi memakan ubat mengikut peraturan yang ditentukan, ia pasti akan sembuh juga. Suasana di hospital tidak menyelesakannya. Melihat ramai orang yang sakitnya beragam amat menyiksa jiwanya. Langsung tidak membantu penyembuhan sakitnya dengan kadar segera. Itu yang ingin dielakannya.
Aisyah selalu datang menjenguknya. Zahari tidak dapat sepanjang masa menemaninya dan melayani semua keperluanya kerana dia terpaksa berkerja dan terikat dengan etika peraturannya.
Aisyah yang mengambil-alih tugas itu sebaik ia pulang daripada sekolah. Banyak waktunya dihabiskan di sisi mak cik Salina. Menemaninya dan sentiasa cuba memenuhi setiap kehendak yang terdaya dilakukannya.
Bertambah-tambah kasih Salina tumpah kepadanya. Begitu juga sebaliknya. Aisyah menganggap Salina seperti ibu kandungnya sendiri. Ibu ayahnya kini berada jauh di tempat asing. Dia sangat merindukan kedua-duanya. Apatah lagi adik-beradiknya yang dibawa bersama.
Dengan mendekatkan dirinya dengan mak cik Salina dan anaknya yang sangat baik dan bertimbang rasa itu terasa terubat sedikit kerinduannya terhadap ahli keluarganya yang tersayang.
Salina merenung Aisyah yang sedang mengemas rumahnya. Menyapu segenap habuk dan sampah yang tidak berguna. Lincah mengerjakan apa yang sepatutnya dilakukannya. ‘Sangat wajar anak yang baik dan rajin itu dikasihi,’ desis hati Salina.
Tetapi dia tidak faham kenapa gadis kecil itu tidak diterima dengan baik neneknya sendiri. Sering didengar tentang pertelingkahan dan penderaan fizikal dan mental dilakukan neneknya terhadap Aisyah. Naluri keibuannya menolak sikap itu. Sangat membencinya.
“Mak cik, biar saya ke dapur memasak. Sekejap lagi abang Z balik nak makan. Saya masak tidak sedap pun. Tidak pandai macam mak cik...” Aisyah tersengih. Mengakui kelemahannya dengan jujur. Tidak berusaha menyembunyikannya. Kejora mata Salina yang jernih hanya menatapnya bening. Dia tidak terdaya berbuat apa-apa untuk membantu.
 Sudah terlalu lama pula rasanya dia cuma terlantar saja di tempat tidur. Sangat menjemukannya. Mujur juga Aisyah mahu menolongnya. Jikalau dia sihat dan kuat tentu dia tidak akan membiarkan Aisyah bersusah-payah di rumahnya.
Sebaliknya dia yang akan melayani Aisyah setiap kali gadis kecil itu bertandang ke rumahnya. Salina merenung siling rumahnya yang tidak pernah berubah bentuknya. Putih dan kosong.
“Bilakah aku ini hendak sihat kembali? Cepatlah sihat.” Salina memanjatkan doanya pula ke hadrat Ilahi supaya dipulihkan kesihatannya seperti sediakala. Dan mengaminkan doanya. Amin…amin… Yarobbalalamin.
Deru enjin motorsikal yang berhenti di halaman rumahnya menyerakan lamunannya yang bersimpang-perenang. Segera menghilang. Dia pasti Zahari telah pulang.
Dia sangat cam dengan bunyi enjin motorsikal itu. Kenal sungguh dia. Masakan tidak jikalau setiap hari dia mendengar deru suara yang serupa rimanya terbit dari motorsikal itu.
Derap langkah yang diatur singgah pula di telinganya. Dia menanti-nanti kehadiran anak kesayangannya itu ke sisinya.
“Mak bertambah sihat hari ni?” Zahari mencapai tangan ibunya. Menggenggamnya dengan kemas. Tersungging senyum di bibirnya.
“Biar saya bawa semua barang-barang ni ke dapur dulu. Saya beli lauk-lauk ni di pekan tadi. Sekejap lagi saya pimpin mak ke bilik air, bolehlah mak mandi,” beritahu anak bujangnya itu.
Zahari bergegas pula ke dapur. Dia mengagak Aisyah pasti ada di situ. Sejak emaknya sakit Aisyah seringkali ditemuinya di situ setiapkali dia pulang daripada pejabat pada waktu makan tengahari.
Dia pun sudah berjanji dengan Aisyah untuk membeli lauk-pauk untuk makan tengahari sementara Aisyah hanya perlu bertanak nasi sahaja. Dengan berbuat begitu dia berharap akan lebih memudahkan kerja-kerja Aisyah.
“Hai buat apa tu?” tegur Zahari. Dia meletakan barang-barang yang dibelinya di atas lemari dapur.
“Mubuat apa lagi tu. Bukankah abe dah pesan, mumasak nasi saja. Abe dah beli  ikan percik, sambal daging, gulai ayam di pekan tadi untuk lauk kita. Tidak cukup lagikah? Mumemang suka menyusahkan diri.”
Aisyah tidak membalas apa yang Zahari perkatakan. Dia leka mengacau sesuatu di dalam periuk yang terletak di atas dapur minyak tanah. Dia buat tidak peduli kehadiran Zahari di sisinya.
“Nasi saya sudah masak. Saya masak sayur bayam sedikit. Saya kutip di belakang rumah sewaktu saya lalu hendak ke sini tadi.
“Muni buat susah-susah saja. Abe sudah kecek kan mumasak nasi saja, abang beli lauk-lauk di kedai...” Menggema leteran Zahari mengkritik perbuatan Aisyah yang melanggari peraturan yang telah dipersetujui bersama sebelum ini.
Aisyah memulas tombol penutup minyak pada dapur minyak itu. Apabila saluran minyaknya tertutup, api biru yang menyala akan segera terpadam. Aisyah baru saja belajar menggunakan dapur yang agak moden teknologinya itu pada masakini. Di rumah neneknya tidak ada dapur yang canggih sebegitu. Justeru menyusahkannya apabila hendak memasak dengan hanya menggunakan dapur kayu yang tinggi risiko bahayanya.
“Sayur bayam ni banyak zatnya tau. Cikgu cakap baik untuk orang sakit, mudah dicerna.” Ujar Aisyah mempertahankan kewajaran apa yang dibuatnya.
Niatnya ikhlas hendak menolong mak cik Salina dengan memasak sayur bayam yang segar untuk memberi tambahan zat yang akan segera memulihkan kesihatannya dengan cepat. Dia tidak faham kenapa nawaitunya itu harus disangkal.

4 comments - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 3..."

QV delete icon 11 January 2014 at 23:26

apakah akan ada hubungan istimewa antara aisyah dah zahari ? ... ternanti - nanti .

paridah delete icon 12 January 2014 at 05:51

suspen...terima kasih banyak ikuti juga novel ni...TQ QV

notie delete icon 13 January 2014 at 09:29

Alahaiiiii kesian aishah. Keluarga sendiri tak peduli terpaksa menumpang kasih orang lain.

paridah delete icon 15 January 2014 at 11:45

ye mmg kesian kan...tq notie ikuti sambungannya.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”