بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Assalamualaikum....


“Lantak mulah. Mu yang penat. Bukannya abe. Orang kecek tak sir dengar. Degil…” Zahari tidak mahu lagi bertekak, bersoal-jawab dengan Aisyah. Hanya memenatkannya.
Zahari tahu jikalau bertengkar dengan Aisyah yang petah itu dia tidak akan menang. Hujahnya sentiasa dipatahkan. Ada saja dalil yang disediakan untuk menguatkan dan memperteguhkan perbuatannya. Baiklah dia diam mengalah lebih awal. Melayannya hanya sia-sia, membuang masa.
“Saya sudah sediakan air panas untuk mandian mak cik. Cepatlah bawa mak cik ke bilik air. Nanti kalau lambat mandi, sejuk pula air tu...” Laung Aisyah daripada dapur. Dia berharap Zahari dapat mendengarnya dengan jelas. Zahari sedang bersama emaknya di ruang atas ketika itu.
“Iyalah…iyalah,” sahut Zahari kalut daripada sisi emaknya.
“Mohlah mak, saya bawa mak pergi bilik air, cikmek tu pun dah bising…” Zahari menolong membangunkan emaknya dari perbaringannya. Salina berpaut pada bahu anaknya. Dalam keadaannya yang lemah tidak berdaya itu dia masih membalas senyuman anaknya. Dia faham dan hatinya tercuit juga dengan omelan anaknya itu.
Zahari berusaha menyeimbangkan diri untuk menampung beban yang berat disebelahnya. Dia memegang tangan ibunya kemas dan kejap. Bimbang ibunya akan jatuh sekiranya terlepas dari pegangannya. Langkahnya diatur perlahan dan sangat berhati-hati.

                                                  * * *

Aisyah membawa talam yang diisi dengan beberapa buah mangkuk yang berisi lauk-pauk. Dia meletakannya di atas meja berhampiran dengan katil mak cik Salina. Di situlah mak ciknya itu selalu makan kini.
Aisyah berpatah balik ke dapur semula. Kali ini dia hendak mengambil pinggan nasi dan bekas air masak yang telah disediakannya. Tangannya cuma dua itu tidak mampu pula hendak memuatkan gelas dan mangkuk yang berisi air basuhan tangan. Nampaknya sekali lagi dia terpaksa berulang ke dapur untuk mengambilnya.
Penat juga dia melakukan begitu. Apa hendak dibuat lagi, memang hanya padanya sahaja yang boleh diharapkan demi sedikit bantuan di kala terdesak begini. Siapa lagi? Jikalau bukan dirinya. Dia tidak kisah. Tidak pernah bersungut langsung kerana kesusahan itu.
Dia juga sudah menganggap Salina sebagai ibunya. Ibu yang dikasihi dan sangat disayangi. Dan Zahari tentulah telah menjadi abangnya pula kerana dia adalah anak kepada ibunya. Lagipun dia adalah anak sulung di dalam keluarganya.
Tidak berabang. Tidak berkakak. Cuma ramai adik-adik. Dan dia merasa bertuah kerana dapat merasai kasih-sayang seorang abang daripada Zahari. Makcik Salina dan abang Z, adalah pengganti kepada keluarganya yang jauh.
Dia menganggapnya begitu. Mentelah pula kedua-dua beranak itu sangat banyak berbudi kepadanya. Dan dia harus tahu menghargainya. Bukan setakat menerimanya saja. Mesti ada timbal baliknya. Begitu menurutnya. Orang berbudi kita berbahasa.
Dia berpapasan dengan Zahari sewaktu melintasi ruang tengah untuk turun ke ruang dapur. Zahari sudah selesai memandikan emaknya yang sakit itu. Emaknya dibalut dengan tuala bersih hingga ke kepala.
Aisyah turut sama memegang bahu makcik Salina dan mengiringnya hingga ke katil. Dia sudah menyediakan pakaian yang akan dipakai mak cik Salina di sudut katil.
“Abang Z tolong ambilkan air basuhan tangan dan gelas di dapur. Biar saya tolong siapkan mak cik.” Aisyah memberi arahan begitu kerana dia tidak mahu  Zahari melihatnya memakaikan baju dalam (coli) kepada Salina dan mendedahkan auratnya meskipun kepada pandangan anaknya sendiri. Dia juga perempuan. Tebal dengan sifat malu. Dan aib seorang perempuan itu semestinya ditutup sebaiknya. Itu kata hatinya.
“Abang pun belum siap makan lagi. Pergilah abang makan dulu. Bukankah abang kata hendak pergi kerja cepat tadi. Saya sudah sediakan semuanya di dapur.”
“Nantimu temankan mak abang makan ya. Abang pun nak cepat ni. Semetar lagi nak masuk kija (kerja) balik.”
Salina hanya memerhati gelagat anaknya yang kelam-kabut urusannya kerana dia tiba-tiba jatuh sakit. Dia amat kesal dengan keadaan dirinya kerana tidak mampu untuk berbuat apa-apa demi meringankan kesulitan anaknya.
Mujur juga ada Aisyah yang ringan tulang membantu. Terasa lega sedikit dianjak dari bebanan yang maha berat itu. Dia memegang tangan Aisyah yang sedang merapikan baju kurung pendek yang disarungkan ke tubuhnya sebentar tadi.
Merenung pula anak mata yang jernih berkaca itu dalam-dalam. Ingin diucapkan jutaan rasa terima kasih kepada gadis kecil itu lantaran terlalu prihatin terhadap dirinya yang bermasalah kesihatan kini.  Tersekat pula di kerongkongnya untuk menzahirkan ucapan terima kasih itu di bibirnya. Namun Aisyah tetap dapat merasakannya.
Zahari sudah melangkah ke dapur untuk mengisi kantung perutnya buat bekalan tenaga untuknya menyambung pekerjaannya sebentar lagi. Kelam-kabut menguruskan hal dirinya sendirian.
Aisyah dengan ralit masih merapikan letak pakaian di badan mak cik Salina sebelum menyisir rambutnya pula. Rambut yang panjang dan semakin menipis ketebalannya itu dibiarkan lepas terurai kerana belum cukup kering untuk di sanggulkan.
Diambilnya bedak yang sering digunakan Salina di atas almari dan mempolesnya dengan lembut ke muka makcik Salina. Kelihatan Salina lebih segar daripada kebiasaannya setelah mandi dan dihiaskan dirinya seadanya oleh gadis itu. Usai segala-galanya Aisyah membawa mak cik Salina ke meja yang berdekatan dengan katilnya.
“Mak cik makanlah. Saya sudah hidangkan ni. Nanti bila sejuk tidak sedap pula. Saya cuma buat sayur bayam dan goreng ikan asin. Abang Z beli ikan percik, sambal daging dan gulai ayam. Sedap nampaknya tu…” Ujar Aisyah cuba hendak memancing selera mak cik Salina. Sejak dia jatuh sakit selera makannya menjadi tumpul dan dia hanya menjamah sedikit sahaja makanan.
Perubahan itu disedari Aisyah. Hari ini Aisyah melihat mak cik Salina lebih segar berbanding hari sebelumnya. Tentu dia sudah berselera hendak makan. Makanan yang teratur dan seimbang akan segera memulihkan kesihatan diri. Itu yang dipelajarinya daripada subjek Sains Kesihatan di sekolahnya.
Jikalau mak cik Salina sudah sihat tentu dia tidak perlu kerap berulang-alik ke sini. Dia ingin mengulang kaji pelajarannya dengan lebih rajin kerana di hujung tahun 1968 ini dia akan menduduki peperiksaan SRP ( Sijil Rendah Persekolahan ).
Selalu pula dia bertanya kepada dirinya, sama ada dia akan berpeluang mengambil peperiksaan itu kerana wang peperiksaannya belum lagi dijelaskan. Tempoh yang diberi guru kelasnya hanya tinggal sebulan lagi. Rusuh sungguh hatinya memikirkannya.
“Mak cik sudah siap makan? Biar saya bawa pinggan mangkuk ni ke dapur dulu ya…saya pun hendak pergi tengok abang Z di dapur, sama ada dia sudah makan.” Aisyah mematikan lamunannya demi melihat mak cik  Salina sudah mencelup tangannya ke dalam batil yang berisi air basuhan tangan. Salina angguk. 
Banyak juga nasi yang dimakan mak cik Salina kali ini. Luak juga sayur bayam yang disediakannya. Dia mengisi semua pinggan mangkuk yang dibawanya tadi ke dalam talam.
Kali ini dia akan membawanya sekali gus dan tidak lagi berulang-alik seperti tadi kerana kesemuanya muat tersusun dengan elok. Salina menyorot pandangannya mengikuti langkah Aisyah yang diatur meninggalkan biliknya.

                                               * * *

“Hai…belum siap makan lagi. Kata tadi nak gi kija cepat?”
“Marilah makan Syah. Banyak betul abang makan hari ni. Sedap sungguh masakanmu. Pandaimu masak.,” balas Z berserta sedikit pujian sambil terus menyuap nasi ke mulutnya.
“Sedap masakan sayakah atau sedap ikan percik yang dibeli?,” sindir Aisyah dengan sengihnya. Zahari diam, tidak membalasnya.
“Mu makanlah ya…abang sudah siap. Hendak gi kija pula. Terlambat sampai nanti susah juga.”
Tergopoh-gapah Zahari meninggalkan ruang dapur demi melihat jam di tangannya sudah menunjukan hampir ke angka dua setelah membasuh tangan dan pinggannya di tempat basuhannya. Hanya beberapa minit saja lagi masa yang tinggal di peruntukan kepadanya berada di luar pejabat.
“Z gi dulu mak…” laungnya dari halaman rumah sambil tergesa-gesa menghidupkan enjin motorsikalnya. Dia sudah tidak sempat lagi hendak menjengah ibunya di dalam bilik untuk mengucapkan selamat tinggal seperti seringkali dilakukannya. Motorsikal itu sudah menggemakan bunyi yang bingit dan meluncur laju ke destinasi penunggangnya.  

                                                       ** *

“Muni dari mana? Agaknya dari rumah janda miang tulah. Kenapamu tak angkut saja kain bajumu pindah duduk sana. Anak dara tak tahu malu. Tak habis-habis nak memalukan aku ja!” sergah Maimunah. Cucunya yang tersentak keterkejutan itu hanya terkulat-kulat memandangnya. Tanpa sepatah kata buat membalas cercaan itu.
“Duduk di sini hanya nak menyusahkan aku ja.” Kejengkelannya terlampir dalam rungutnya. Aisyah terkedu. Hendak membantah cakap neneknya dia tidak berani. Maimunah memang pantang dilawan cakapnya. Akan bertambahlah berangnya.
Kelak Aisyah yang akan menjadi sasarannya melepaskan kemarahan yang mencanak, sangat tinggi darjah suhu kepanasannya. Cucunya itu akan dikerjakannya cukup-cukup. Siap dengan sepak terajang dan penampar yang naik ke badan dan hinggap di muka. Penderaan fizikal yang dilakukan sepuas hatinya. Seakan tiada langsung perasaan kasih sayang dan belas kasihan yang berbekas di hatinya terhadap cucunya yang dizalimi itu.
Aisyah sudah serik menerima risiko begitu. Dia tidak mahu lagi mengulanginya untuk menyiksa jasadnya yang kurus kerdil itu.
“Mu jangan gi mana-mana lepas ni. Tunggu rumah. Kalau aku balik nantimu tak ada di rumah jagamu. Tahulah aku apa aku nak buat,” ujar Maimunah berpesan kepada cucunya dengan raut wajah yang garang dan masam mencuka. Cukup untuk mengecutkan perut Aisyah agar akur setiap perintahnya.
Aisyah membawa sekujur tubuhnya dan hatinya yang dongkol kerana diseranah neneknya melangkahi anak tangga satu persatu sehingga tiba di atas rumah. Mindanya mengingatkannya tentang solat zohor yang belum lagi ditunaikannya. Sebelum habis waktunya eloklah segera dikerjakannya.
Melengahkan bersolat setelah masuk waktunya pun tidak digalakan, apalagilah meninggalkannya. Tanggung-jawab wajib itu tidak boleh terabai langsung. Emak dan ayahnya sudah melatihnya bersolat semenjak usianya 7 tahun lagi.
Tidak kekok langsung hendak melaksanakannya. Dan dia sentiasa istiqamah melakukannya. Kecuali apabila datang keuzurannya setiap bulan, terpaksa juga ditinggalkan selama seminggu. Tidak boleh mengerjakan solat ketika tubuh tidak suci tika didatangi haid. Dia sangat maklum itu.
Selepas sembahyang, kebiasaannya dia akan membaca surah yasin terlebih dahulu sebelum mengadap buku-buku sekolahnya. Menyiapkan pula kerja-kerja sekolah yang diberi gurunya sambil meniarap di atas se bidang tikar.
Usai semua itu dia berbaring pula. Di tangannya ada buku yang tidak lepas daripada pandangan matanya. Membaca dengan asyik sehingga terlelap tiba-tiba. Buku yang dibaca sudah jatuh dari pegangan tangan ke sisinya
Hari semakin meremang senja. Namun bayang neneknya belum lagi kelihatan pulang daripada gerainya. Aisyah tersedar dan bingkas bangun dari tidur yang tidak dijangkanya.
Bergegas ke dapur. Menyiapkan apa yang patut. Agar tidak dileteri neneknya dengan kata-kata “hanya tahu duduk berehat saja. Apa satu tidak boleh diharap.” Dia tidak mahu dianggap begitu.
Dia tahu kedudukan dirinya yang sekadar menumpang hidup bersama neneknya. Dan dia mesti pandai membawa diri agar disenangi bukan dipandang sinis

4 comments - "SEBUAH VERSI CHINTA BAB 3 SAMBUNGAN..."

Etika Maria delete icon 25 January 2014 at 22:48

Wow, kisahnya penuh manfaat, dan hikmah :)

paridah delete icon 26 January 2014 at 08:11

yeke...tksh ikutinya Etika Maria....

ucu nurodin delete icon 26 January 2014 at 11:20

cerita yang bagus ini mba

paridah delete icon 26 January 2014 at 12:21

yeke..terima kasih ucu nurodin...

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”