بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
DALAM tempoh seminggu lepas, saya berpeluang bersembang dengan beberapa orang kawan di beberapa tempat.

Selepas mengunjungi satu majlis di rumah seorang sahabat lama saya di Serandu, Pekan, Pahang pada hari Sabtu lalu, saya singgah di sebuah gerai tepi jalan di satu simpang. Tidak jauh dari situ tersergam sebuah masjid indah binaan kerajaan yang menghadap Laut China Selatan.
Kehadiran kami di gerai itu kemudian disertai beberapa kenalan penduduk setempat yang merupakan aktivis politik.

Ada tujuh orang kesemuanya di meja itu. Perbualan selama sejam berikutnya banyak berkisar mengenai kos sara hidup, kenaikan harga barang, dasar kerajaan, ekonomi dan impaknya kepada politik Malaysia yang sentiasa panas.

Kami makan keropok lekor Kuala Pahang yang sedap, pisang goreng kampung yang manis, sata yang rasanya sebanding dengan sata dari Terengganu dan masing-masing memesan minuman kegemaran, antaranya teh kosong, teh tarik dan milo.

Apabila tiba masa untuk membayar, pekedai di Serandu mengira makanan dan minuman yang dipesan. "Semua sekali RM15," katanya.

Itulah realitinya… belanja untuk tujuh orang minum petang di Serandu, Pekan hanyalah RM15.
Pada malam Khamis lalu, saya menyertai pula tujuh orang kawan makan malam dan berdiskusi di sebuah restoran Arab di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Kami berbual panjang tentang banyak perkara, tetapi tiada langsung menyentuh topik-topik yang dibincangkan di Serandu, Pekan tempoh hari.

Seorang Tuan Syed dari Pulau Pinang kemudian meminta biarlah dia membelanja kami. Saya berada di kaunter juruwang menyaksikan Tuan Syed membayar RM310 untuk makan malam di restoran itu.

Sehari sebelum itu, saya menikmati makan tengah hari di sebuah kantin dan membelanja empat orang kawan makan tengah hari. Juruwang kantin itu yang telah pun berusia separuh abad tetapi suka kepada Facebook dan YouTube memberitahu saya, harga yang saya perlu bayar ialah RM22 untuk empat orang makan tengah hari.

Di kantin itu, saya sempat berbual-bual dengan dua orang wanita muda yang memberitahu saya bahawa semakin ramai rakan wanitanya tidak lagi makan tengah hari di kantin.

Setelah menyelidiki cerita mereka, saya mendapati isu sebenar trend berjimat cermat dalam kalangan kawan itu bukanlah kerana faktor harga dan kos sara hidup.

Rakan-rakan wanita itu sebenarnya melalui satu fasa transformasi dalam kehidupan mereka. Mereka membawa bekal dan makan di pantri (dengan minuman air mineral percuma yang disediakan oleh syarikat) kerana diet, kesihatan dan sesetengahnya mengikat perut untuk menampung keinginan melancong atau menyediakan dana kewangan untuk rancangan kehidupan yang lain.

Mereka mengurangkan belanja untuk makan tengah hari (dan peluang mendapat pahala membantu ekonomi orang lain) bagi memastikan diri mereka mampu membayar kos perkhidmatan komunikasi baharu yang menjadi simbol gaya hidup mereka iaitu bil telefon bimbit, broadband, Unifi dan Astro.

Perubahan zaman

Ekoran perubahan zaman dan teknologi, mereka tidak dapat memisahkan diri daripada Facebook, WhatsApp, Instagram, percutian tahunan yang tiket kapal terbangnya dibeli secara mudah melalui internet dan banyak lagi. Sesetengahnya juga berjimat untuk membeli kereta baharu dan menghantar anak ke tadika swasta yang cajnya RM500 sebulan.

Ada keluarga di Malaysia memperuntukkan RM12,000 setahun (RM1,000 sebulan) untuk membayar bil-bil perkhidmatan komunikasi dan hiburan yang sebenarnya bukan keperluan asas keluarga itu.

Ada golongan kelas menengah memperuntukkan RM30,000 untuk perbelanjaan percutian tahunan keluarga, bagi mencari pengalaman musim sejuk di Korea Selatan atau menikmati hawa Mediterranean di Turki.

Ada keluarga lain pula berusaha mendekatkan diri dengan agama dan menyediakan peruntukan khas untuk tujuan itu saban tahun, termasuk mengerjakan umrah di Tanah Suci. Mereka bukan bersendirian kerana, menurut seorang pengendali perniagaan umrah, dianggarkan terdapat 200,000 orang Islam dari Malaysia berkunjung ke Tanah Suci saban tahun.

Manusia sentiasa memberi respons kepada perubahan harga, anjakan gaji dan kos sara hidup, tetapi dalam sebahagian kes di Malaysia, kenaikan perbelanjaan peribadi banyak berkait dengan gaya hidup dan cita rasa.

Seorang pemandu teksi memberitahu saya tentang kebimbangannya. Anaknya baru berumur 19 tahun dan belum bekerja tetapi pemuda itu memerlukan RM500 sebulan untuk rokok dan bayaran prepaid telefon bimbitnya. Kedua-duanya bukan keperluan asas.

Untuk mendefinisikan fenomena itu, ahli-ahli ekonomi Barat kadang-kadang menggunakan frasa dalam bahasa Latin, "De gustibus non est disputandum", yang membawa maksud "there is no disputing about tastes".

Cita rasa mempunyai kaitan yang rapat dengan ekonomi dan cita rasa terus berkembang walaupun sumber-sumber terhad, dan pada hari ini sebenarnya lebih banyak wang digunakan untuk memenuhi cita rasa kehidupan berbanding dengan keperluan asas sebenar.

Di sebalik kritikan terbuka terhadap kerajaan berhubung kenaikan kos sara hidup yang telah menjadi isu di seluruh dunia, saya sendiri mengalami dua peristiwa yang memberikan perspektif sebenar mengenai kerajaan di Malaysia.

Apabila kakak saya kembali ke rahmahtullah pada hujung November lalu meninggalkan suami dan anak perempuannya yang baru berusia dua tahun, oleh kerana arwah mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak hari pertama dia bekerja, kerajaan melalui Perkeso memberikan perlindungan kewangan bulanan kepada anak yang ditinggalkannya.

Mengikut Perkeso, anak itu akan mendapat pencen penakat yang dibayar setiap bulan sehingga dia menamatkan pengajian universitinya, iaitu kira-kira 20 tahun dari sekarang.
Kebaikan sistem keselamatan sosial kerajaan itu tidak banyak diceritakan orang.

Apabila baru-baru ini anak perempuan saya mengalami kecederaan kaki ketika pulang dari sekolah, saya memilih untuk membawanya ke hospital kerajaan, Hospital Sungai Buloh, untuk menjalani pemeriksaan doktor termasuk X-ray dan ubat-ubatan. Saya begitu terkejut dengan layanan profesional dan segera doktor dan jururawat hospital kerajaan.

Ia sama baik dengan mana-mana hospital swasta di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang keluarga saya kunjungi selama ini.
Saya diminta membayar RM1 sahaja kepada Hospital Sungai Buloh, iaitu bayaran pendaftaran rawatan biasa yang dikenakan kepada sesiapa juga rakyat Malaysia yang berkunjung ke hospital kerajaan.

Jika saya hitungkan bayaran itu dalam dolar Amerika Syarikat, ia cumalah 30 sen duit Amerika Syarikat. Jika saya tukarkan nilainya dalam pound sterling British, ia hanya 18 pence duit British.

Bolehkah saya membawa anak saya ke mana-mana hospital di London atau New York dengan hanya membayar 18 pence untuk segala perkhidmatan termasuk X-ray dan ubat-ubatan?
Sudah pasti kita dapat memberikan jawapannya. Ia tidak mungkin berlaku di London atau New York.

Antara negara-negara di dunia ini, rasanya, mungkin Malaysia adalah sebilangan kecil negara yang kerajaannya terlalu bertimbang rasa, prihatin dan secara konsisten meletakkan kebajikan rakyat dalam agenda yang paling atas.

Malangnya, banyak pengkritik memilih untuk menutup mata kepada kebaikan-kebaikan itu, seberapa boleh menyembunyikannya supaya tidak diketahui orang, sebaliknya cuba menjadi fashionable dengan mengutuk sebuah kerajaan yang telah melakukan siri tindakan yang terbaik dengan mengimbangi dasar-dasar prorakyat dan tuntutan-tuntutan semasa ekonomi.

Dalam kerancakan perbualan di kedai kopi, pertembungan hujah dalam dunia politik yang penuh seteru dan wacana tidak bertanggungjawab di laman-laman sosial internet, kita mungkin tidak mengendahkan satu perkara iaitu ekonomi dan kebajikan pengguna juga dicorakkan oleh motif keuntungan para peniaga, yang sesetengahnya tamak dan tidak mahu berada dalam kawalan kerajaan.

Kita gagal menerima hujah betapa pentingnya di tempat-tempat tertentu harga barangan dan perkhidmatan juga perlu dinaikkan supaya peniaga Melayu, misalnya di Serandu, Pekan, turut mendapat pendapatan tambahan yang boleh meningkatkan status kehidupan dan sosioekonomi, yang memberikan mereka peluang untuk merapatkan jurang pendapatan dengan peniaga restoran Arab di Kuala Lumpur.
Sebahagian daripada kita juga akhirnya mungkin terlupa satu lagi aspek lain: Kita terlupa untuk bersyukur. 


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140112/re_03/Cita-rasa-rakyat-dan-perangai-kerajaan#ixzz2q8xt4bjs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

22 comments - "CITARASA RAKYAT DAN PERANGAI KERAJAAN..."

Fahrizal Mukhdar delete icon 14 January 2014 at 12:15

Salam. Kunjungan rutin. Makanan tradisi tu memang murah biasanya ya ... hehe.

Dwi Alfina delete icon 14 January 2014 at 16:59

pengkongsian yg bagus makcik ;)

paridah delete icon 14 January 2014 at 20:32

makanan tradisi di kampung tradisi biasanya murah tapi kalau di kota mahal juga....tq Fahrizal Mukhdar.

paridah delete icon 14 January 2014 at 20:33

ya dwi alfina sekadar berkongsi info....tq Dwi Alfina.

Etika Maria delete icon 15 January 2014 at 00:39

Perkembangan jaman membuat kebutuhan sekunder menjadi primer, kebutuhan yg tidak asas sketika menjadi asas.. Sudah benarkah istilah tika kak? #istilah asas itu maksudnya :)

paridah delete icon 15 January 2014 at 07:21

ya betullah istilah tika tu...keperluan yg mewah dipandang mulanya kini biasa saja n menjadi keperluan hidup...tapi gaya hidup harus diukur dari kemampuan kita berbelanja....tq Etika Maria.

Kakzakie delete icon 15 January 2014 at 08:18

Realiti hari ini di negara kita apa pun semakin meningkat. Kakak semalam makan tiga beranak aje (lunch) simple tak terkata tapi harga perlu bayar RM23/- . Nak kata apa kalau raw materials utk memasak sekarang pun dah mencanak naik..

Dwi Alfina delete icon 15 January 2014 at 09:33

selamat pagi makcik, kunjungan rutin mak :) hehee

Tatamor delete icon 15 January 2014 at 10:25

Salam

paridah delete icon 15 January 2014 at 11:01

realiti yg kita kena hadapi tapi kalau ahli keluarga ramai berbaloi lagi memasak sendiri kot...tq Kakzakie.

paridah delete icon 15 January 2014 at 11:03

salam pagi dwi alfina terima kasih rajin kunjungi makcik...

paridah delete icon 15 January 2014 at 11:05

wsalam...tq Tatamor sudi singgah blog karyaku...

notie delete icon 15 January 2014 at 11:42

Satu cerita yang menarik. Besar periuk besarlah keraknya. Apa pun kalau dibandingkan dengan rakyat di Afrika kita sebenarnya berganda-ganda baik kehidupan dengan mereka. Bersyukur dengan limpah rezeki yang Allah beri. Kena cari jalan bagaimana nak atasi kenaikan harga barang yang kadang macam melampau-lampau naiknya. Kalau keluarga ramai barang makanan asas pun dah tak tertampung apa lagi kalau di kampung. Kena hidupkan balik menanam sayur-sayuran di rumah supaya dapat menjimatkan duit belanja dapur.

Aku Penghibur delete icon 15 January 2014 at 12:10

satu kusah yang sangat menarik !.. beza tempat beza harga ^_^ ishh

paridah delete icon 15 January 2014 at 15:13

kenaikan harga barang yg melampau xuntungkan penjual juga sbb jika selamani dpt jual dgn jumlah yg banyak la ni org beli sikit jer r org xbeli langsung. nmpk penjual juga tahu bgmana nk mengurus jualan mrk agar xterlalu mahal n xlaku dijual...di kampung setakat sayur mayur r kelapa yg mahal xjadi masalah langsung. di rumah kak kelapa banyak n cuma beri kpd jiran2 yg nk berkenduri besar n kpd surau r masjid..tq notie.

paridah delete icon 15 January 2014 at 15:22

mrk yg jauh berjalan, luas pandangan, banyak yg dirasa n tahu menilai. kdg harga barang di kampung murah bahan2 tertentu n ada juga yg mahal berganda...tq acik...Aku Penghibur.

Jholy Shan Hyeon delete icon 15 January 2014 at 15:54

sore makcik, kunjungan sore rutin mak
:D and nice artikel

Mizz Aiza (Dunia Kecil) delete icon 15 January 2014 at 16:04

realiti kehidupan memang begitu kak.. kita mengatakan kita susah, padahal ada insan lain yang jauh lebih susah di negara yang lain.. bersyukur adalah jalan yang terbaik..
tidak dinafikan segelintir rakyat malaysia berbelanja mengikut kehendak, bukannya keperluan.. itulah yang menyebabkan bila di akhir bulan sahaja poket kosong..
walaubagaimana pun, diharap pihak yang berkenaan memikirkan juga mengenai kos sara hidup yang semakin meningkat terutamanya yang pergi bekerja menaiki kenderaan sendiri (minyak kereta) serta membayar tol.. tidak semua tempat boleh mendapatkan kemudahan awam yang memuaskan di malaysia, terutamanya apabila terpaksa berkongsi dengan rakyat asing.. kemudahan seperti LRT dan komuter juga tidak terdapat di semua kawasan.. sekarang ini ada segelintir pemandu teksi juga mengambil kesempatan di atas kenaikan harga minyak dengan menaikkan tambang sesuka hati..

paridah delete icon 15 January 2014 at 18:57

ya slmt petang..terima kasih sudi kunjungi blog makcik karyaku...tq Jholy Shan Hyeon.

paridah delete icon 15 January 2014 at 19:16

ya betul apa yg aiza suarakan...banyak kemudahan kita terpaksa berkongsi dgn rakyat asing n mrk yg sepatutnya xdpt subsidi n subsidi ditiadakan langsung. tp knaikan tol tu belum diputuskan lagi. harapnya kenaikan n perubahan drastik tidak berlaku semalaman...kalau ramai yg xdpt terima n sukar nk faham tindakan kerajaan akan menyusahkan kerajaan juga..tq Mizz Aiza

Pha Is delete icon 15 January 2014 at 22:28

perkongsian yg menarik.. dalam bab sistem kesihatan di malaysia mmg x dapat nk dinafikan kita mmg bertuah. kawan saya yg sudah bekerja sebagai ahli farmasi di hospital kerajaan kadang kala terkesima bila tiba soal pembayaran di hospital. sebabnya, segala harga ubat yg terdapat di hospital, diorang kena ambil tahu. ada pesakit yg sekali datang refill ubat yg harganya ribuan ringgit, tapi mereka hanya perlu bayar RM6 sahaja sebagai caj perkhitmatan. sampai diorang nak handle ubat tu pun rasa takut, macam handle emas..

paridah delete icon 16 January 2014 at 06:58

salam pha is..bagus sekali pha is menulis fakta sistem kshtan kerajaan kita yg xdiketahui ramai selama ini...terkejut membacanya melihatkan betapa komitmen kerajaan dlm membela rakyatnya yg sakit tapi xmampu mendapatkan ubat yg sangat mahal nilainya...kak nk copy kenyataan phais ni utk fb kak...tq Pha Is.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”