بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم


Malang sungguh nasibnya. Neneknya itu seakan tidak mendengar pula. Puas juga diulang-ulang tetapi tiada respons yang meyakinkan. Dia mulai berputus asa. ‘Kenapalah nenek aku ni kedekut sangat!’  Dia menggumam dalam diam.
Hakikat yang sebegitu terpaksa diterimanya. Dia memang sudah faham sifat kikir neneknya seliat tangkai jering tetapi dia tetap juga mahu mencuba. Untung-untung berhasil. Ternyata hanya angan-angan. Tentu bukan mudah untuk menukar sikap yang telah menadi diri neneknya dalam jangka masa semalaman.
“Tak tahu ko yang aku ni tak ada pitih (duit). Asyik nak minta pitih ja. Tak reti ko. Aku ni bukannya cari duit nak bagi padamu. Kalau hidup nak menyusahkan aku, tak payahlah duduk di sini. Ikut saja mak bapamu ke Pahang sana…” Neneknya itu menceceh panjang dengan anak matanya terjegil seakan mahu tersembul keluar daripada kelopaknya.
Aisyah tunduk. Airmatanya terasa mahu berderai di pipi mendengarkan keputusan yang dilontarkan neneknya. Nampaknya dia hanya boleh berharap kudis-kudis itu akan hilang dan sembuh dengan sendirinya.
Semoga doa anak remaja perempuan yang sengsara kehidupannya itu akan termakbul jua. Doa yang dilafazkannya bersungguh-sungguh setiap kali selesai solatnya. Mengadukan kesengsaraan yang dihadapinya kepada Khaliknya.
Dia terkenangkan ramai rakan-rakan sekolahnya tidak berapa ingin hendak bergaul dengannya lantaran kudisnya tetap kelihatan menjijikan kerana tidak semua dapat ditutupi sepasang stoking putihnya.
Masing-masing berusaha menghindar diri daripada menghampirinya. Sendirianlah dia di dalam bilik darjah menempati meja dan kerusi yang paling belakang. Pedulikanlah. Dia malas mengambil kisah sikap teman-teman yang menjauhinya kerana takut ketularan penyakit kudis yang dibawanya.
Aisyah masih di tangga. Ingatannya menerawang jauh. Singgah di kota ingatannya paling lama adalah wajah-wajah orang-orang yang disayangi dan dirinduinya. Tentulah emak bapanya dan adik-adiknya.
Aisyah amat merasakan ketiadaan mereka. Lebih-lebih lagi lantaran merasakan dirinya tidak dipedulikan neneknya. Ia merindukan perhatian, belai mesra daripada neneknya sebagai mengganti kehilangan kasih sayang daripada emak bapanya.
Sia-sia saja harapan yang dipertaruhkannya. Nek Munah tidak pernah bersimpati  atau cuba memahami apa yang  menggelodak dalam hati cucunya itu.
Barangkali prinsipnya, hal kau lantak kaulah. Jangan hendak menyusahkan aku. Kerana itu dibiarkan saja Aisyah mengurusi dirinya. Segala-galanya dibiarkan. Tidak pernah mahu difikirkan apa pun tentangnya.
Soal persekolahan Aisyah tidak pernah diambil tahu. Sama ada ke sekolah atau tidak, sama ada ke sekolah bersarapan atau tidak, sama ada duit belanjanya ada atau tidak. Langsung tidak ingin difikirkannya.
Tetapi Aisyah seorang murid yang rajin. Dia akan ke sekolah setiap hari ditolak hari Jumaat dan Sabtu walaupun tidak dibekalkan wang belanja sesen pun. Kedekut sungguh neneknya itu sehinggakan duit belanja yang tidak berapa sen pun tidak sanggup diberi kepada cucunya itu..
Mujur juga sekolahnya tidaklah begitu jauh jaraknya dari rumah neneknya. Dapat juga dia berjalan kaki berulang-alik ke sekolah. Jikalau jauhnya berbatu-batu, tentu dia juga tidak terdaya mengatur kaki tanpa perut yang diisi dan bekalan makanan yang tiada.
Sudah pasti akhirnya akan menjadi mangsa keciciran persekolahan. Dia tidak mahu begitu. Mujur juga. Nasib baik masih menyebelahinya.
“Cik Munah masih belum balik lagi?” sepasang tangan menyentuhi bahu Aisyah. Aisyah segera berpaling ke arah suara itu. Terkejut sedikit dengan kehadiran mak cik Salina yang tiba-tiba saja sudah berada di sisinya. Dan sedang menatap seluruh wajah Aisyah yang comel mongel itu. Comel lote kata orang-orang yang se negeri dengannya.
Aisyah termenung panjang. Pertanyaan mak cik Salina bagaikan tidak berdesir di telinganya.
“Abang Z tak kelik (balik) kija (kerja) lagi ko?”
“Mu ni aku tanyamu, mutanya aku balik.” Balas mak cik Salina keliru. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena di mana-mana yang mengganggui jiwa gadis kecil ini.
Matanya meliar memerhati gerak-geri sekujur tubuh Aisyah. Dan sorotan matanya itu singgah pada sepasang kaki telanjang Aisyah. Skirt pendek yang dipakainya tidak menutupi kakinya yang berkudis itu.
“Kenapa dibiarkan kakimu penuh berkudis? Tidak diubatkah?”
Aisyah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Tidak boleh dibiarkan macam tu. Mesti diubat. Takut nanti melarat. Lagi susah.” Mak cik Salina terdiam sejurus dan menambah kata kemudiannya.
“Nanti mak cik suruh abang Z hantarmu pergi klinik.,” beritahu mak cik Salina. Bersungguh-sungguh gaya tuturnya..
“Tak payahlah mak cik. Nanti nenek marah. Dia tidak suka saya berbaik-baik dengan mak cik dan abang Z. Kenapalah nenek tu! Orang hendak berbaik dengan kita pun dia tak suka. Tak faham betul saya…” Aisyah berterus-terang. Lirih sekali. Makcik Salina angguk. Dan sangat faham.
Dia tahu dan sedar sejak lama dahulu Maimunah tidak sukakannya. Nenek kepada Aisyah itu mengangapnya sebagai perempuan jahat yang tidak bermoral dan berperkerti mulia. Dan akan jahat selama-lamanya.
Alangkan anak sungai lagikan berubah. Dan dia juga begitu. Allah telah menurunkan ilham ke dalam kalbunya untuk berubah ke jalan kebaikan. Memberinya hidayah suci dengan hak-Nya.
Salina tidak pernah menafikan bahawa dirinya pernah terjebak di dalam kancah maksiat kerana sesuap nasi.
‘Siapalah yang sanggup memberi kita nasi sekiranya kita miskin papa kedana mengharapkan belas ehsan orang? Orang hanya akan memandang dengan sinis dan menghina. Apabila kita melakukan perkara yang menyalahi hukum dan tatacara hidup mulia demi kelangsungan hidup seterusnya kita akan dicaci-maki masyarakat.
Sedangkan mereka tidak pernah mengambil hirau sama ada kita kelaparan, berpanas, berhujan, menderita sakit, kebuluran kerana dibelenggu kemiskinan.’ Salina memprotes sinis pada mereka yang bersikap persis Maimunah jauh di sudut hatinya.
Masa merubah segalanya. Kini dia sudah bertaubat. Taubatan nasuha (taubat bersungguh hati)Dia ingin menjadi orang baik-baik. Segala perbuatan mungkarnya yang dahulu ditinggalkannya. Sejahat-jahat dan sehina-hinanya di mata masyarakat dia berjaya juga mendidik anak tunggalnya Zahari menjadi seorang yang berilmu, berkerjaya baik dan sangat disegani di Bandar KB.
Maimunah selalu bercerita pada cucunya Aisyah bahawa Zahari itu adalah anak hasil dari hubungan zina Salina, entah dengan siapa-siapa. Kerana itu dia menegah Aisyah dengan keras daripada bergaul dengan Salina yang diketahui ada sejarah hitamnya.
Dia tidak mahu cucunya itu terpengaruh dan terikut dengan perilaku Salina yang lalu. Salina sedar sangkaan buruk Maimunah mengenai dirinya. Dia cakna. Buat tidak tahu. Tidak mahu mempedulikannya.
 Barangkali sangkaan buruk semua orang disekelilingnya juga persis sangkaan Maimunah. Biarkanlah. Asalkan hidupnya kini telah bersih daripada digelumangi dosa-dosa lagi kerana kefakiran ilmu agamanya seperti silam lalunya, dia amat bersyukur..
Apa yang Maimunah dan orang lain tidak tahu adalah, Zahari, anaknya itu lahir  hasil daripada perkahwinannya yang sah dengan ijab dan kabulnya, bersaksi, berwali. Tetapi perkahwinan itu telah runtuh terlalu awal.
Sebulan selepas kelahiran Zahari, belum lagi habis masanya berpantang rasmilah perceraiannnya dengan Aziz. Mudah saja alasannya. Aziz tidak mampu menanggung isteri dan anaknya kerana dia tidak berkerja. Miskin. Tidak berharta. Kedua-duanya perlu berpisah untuk menyelesaikan masalah. Salina menerima saja apa pun keputusannya.
Tidak menangis kesedihan kerana diceraikan dalam keadaan masih berpantang. Barangkali dia berfikir lebih mudah hidup seorang diri, menyara diri dan seorang anak kecil daripada menyusahkan diri bersama suami yang malas mencari nafkah hidup. Masing-masing boleh mengurus diri sendiri dan membawa hal mengikut kemahuan setelah itu.
Aziz tidak pernah lagi berfikir tentang kemasylahatan Salina dan anak yang ditinggalkannya. Begitu juga dengan Salina. Dia berusaha membesarkan anaknya dengan perih-jerihnya.
Disulami kata nista, hina cela masyarakat sekitarnya kerana kerjayanya sebagai penari kelab malam alias perempuan sundal. Itu kata orang. Tidak pernah diambil peduli.
Anak kecil yang suci bersih dan tidak tahu apa-apa tentang pergolakan hidup emak dan masyarakatnya akhirnya berjaya menjadi seseorang. Kini dia menjawat jawatan yang baik di sebuah bank perdagangan di Bandar KB.
Maimunah hanya mengenang silam lalunya yang hitam. Sungguh pun Salina merasa dirinya sentiasa dibenci dan hina di mata Maimunah, namun dia tidak berniat mahu membalasnya dengan perilaku yang serupa terhadap cucu jirannya itu.
Dia sangat kasihan melihat keadaan Aisyah yang terabai semenjak ditinggalkan emak dan ayahnya. Metah bersimpati dengan penderitaan jiwa Aisyah.  Kerap juga mendengar rintihan gadis kecil itu yang mengadu kepadanya tentang perbuatan neneknya yang sering mendera jiwa dan fizikalnya hanya kerana tersilap sedikit.
Tentang marah herdik yang diterimanya hampir setiap hari daripada neneknya sentiasa diceritakan kepadanya. Dia belas dan sayu mendengarnya. Setiap apa yang dibuatnya ada saja yang tidak kena kepada neneknya. Kata Aisyah kepadanya.
‘Sungguh tidak patut seorang nenek bersikap begitu terhadap cucunya.’ Begitu pandangan Salina terhadap jirannya. Dia belum lagi bercucu. Tetapi dia sangat pasti akan metah mengasihinya sepertimana kasihnya yang tumpah pada anaknya Zahari.
Sekiranya kelak Zahari memberinya seorang cucu hasil dari perkahwinannya bersama seseorang gadis pilihannya.
                                                       

                                       

14 comments - "SEBUAH VERSI CHINTA...SAMBUNGAN BAB 1...MENGIRAI NASIB."

Dwi Alfina delete icon 21 December 2013 at 22:15

ijin menyimak aja makcik

Fahrizal Mukhdar delete icon 21 December 2013 at 22:26

Kadang-kadang hidup memang tidak seindah idealisme kita ... hm.

paridah delete icon 22 December 2013 at 08:44

ok....tq Dwi Alfina...

paridah delete icon 22 December 2013 at 08:46

takdir hidup kita berbeza-beza...tq Fahrizal Mukhdar.

Abdul Kholiq Hasan delete icon 22 December 2013 at 10:15

memang kadang kala hidup tak semanis mimpi yang di rajut

SmuaInfo delete icon 22 December 2013 at 10:22

Yang penting bisa menikmati hidup dengan rasa sukur, semuanya pasti indah :)

paridah delete icon 22 December 2013 at 11:55

yer bersyukur seadanya insya Allah...tq Smuainfo.

paridah delete icon 22 December 2013 at 11:57

ya masakan boleh menganyam mimpi....tq Abdul Kholiq Hasan.

Qaseh Wee delete icon 22 December 2013 at 14:01

itulah kehidupan ...

paridah delete icon 22 December 2013 at 14:47

ya itulah citra kehidupan ...tq Qaseh Wee.

LadyBird delete icon 22 December 2013 at 15:23

Kasihan aisyah diperlakukan begitu oleh nenek sendiri

paridah delete icon 22 December 2013 at 16:04

ya...kisah aisyah yg malang....tq LadyBird

semeru purna delete icon 23 December 2013 at 12:16

Artikel yang Menarik
salam kenal
Admin
Cyber4rd.blogspot.com

notie delete icon 23 December 2013 at 12:17

Wah pandai akak menulis... best lah. Teruskan lagi nak baca lagi dan lagi dan lagi...

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”