بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
ASSALAMUALAIKUM...



Siapa kata orang Melayu tiada rumah kelab? Gambar yang diambil sekitar tahun 1920 ini menunjukkan ahli-ahli kelab di hadapan Rumah Kelab Kampung Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak. - Gambar Ihsan Datuk Dr. Kamarul Baharin Buyong

HUJUNG minggu lalu saya berkesempatan 'melancong' ke sebuah kampung, bukan di benua Eropah, tetapi di tanah air kita sendiri. Kampung itu sungguh unik dan perlu diketahui oleh kampung-kampung di seluruh negara.
Saya sungguh bernasib baik kerana turut diiringi oleh seorang sahabat yang juga orang kampung di situ. Beliau ialah bekas Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Dr. Kamarul Baharin Buyong.

Kampung itu ialah Kampung Pulau Tiga, dalam daerah kecil Kampung Gajah di Parlimen Pasir Salak, Perak Tengah. Ia terletak di tepi Sungai Perak yang lebar dan mengalir laju.
               


                                   
                              Rumah Dato' Maharaja lela Pasir Salak.



Yang menariknya selain Dr. Kamarul, seorang lagi bekas Ketua Pengarah Muzium Negara yang juga berasal dari kampung itu ialah Datuk Shahrom Yeop.

Memang layak pun mereka menerajui organisasi itu, kerana kampung itu dan daerah Pasir Salak merupakan kawasan bersejarah ulung di negara ini.

Residen British pertama di Perak James Wheller Woodfird (J.W.W) Birch, yang menurut Wikipedia sebagai buta jiwa Melayu, tuli kepada bahasa Melayu dan naif dengan budi bahasa, dibunuh oleh Datuk Maharaja Lela Pandak Lam di tepi Sungai Perak, Pasir Salak pada 2 November 1875.

Menurut cerita, selepas pembunuhan itu, seluruh penduduk di kawasan itu 'dipulau' oleh pihak British.
Mana-mana penduduk dari kampung-kampung di situ sentiasa dicurigai oleh British dan sukar bergerak bebas. Mereka dicap sebagai 'teroris' atau pengganas, sama seperti profiling Amerika ke atas orang Islam sekarang.

Ini menyebabkan ramai penduduknya membawa diri keluar daerah dan merantau ke seluruh Tanah Melayu untuk memajukan diri. Yang tinggal di daerah itu, mereka terpaksa berdikari. Tiada bantuan daripada British.
Itu pasal sehingga hari ini secara kebetulan, biologikal atau tidak, rata-rata rakan-rakan saya dari kawasan itu garang-garang belaka, cukup berdikari dan amat kritikal dari segi pemikiran.

British hanya memajukan kawasan-kawasan penduduk Cina yang kini merupakan pekan-pekan penting di Perak.
Namun, sebelum pembunuhan itu, daerah Pasir Salak merupakan kawasan tumpuan British kerana kedudukannya yang strategik, ia mempunyai lebuh raya sungai yang utama.
Malah jika dikaji sejarah lagi, di Kampung Pulau Tiga sahaja pernah dinaungi oleh lima orang sultan yang menjadi asas kepada Kesultanan Perak sekarang.

Saya dibawa oleh Dr. Kamarul menziarahi beberapa makam sultan yang berada di sekeliling kampung itu. Makam-makam itu adalah tempat bersemadi Sultan Mahmud Shah, Sultan Muhammad Shah, Sultan Ahmad Tajuddin, Sultan Mahmud Iskandar Shah dan Sultan Alauddin Mughayat Shah.

                       pic google..
Saya terpegun kerana makam-makam itu terletak di celah-celah lorong, kampung dan di tepi sungai.
Terletak juga makam ulama, termasuk ulama berasal dari rantau Arab yang pernah menghuni di situ.
Namun, jika kita sering melancong ke luar negara dan melihat tempat-tempat bersejarah dijaga rapi, makam-makam di situ tidak terurus dan terbiar. Semak-samun memenuhi kawasan sekeliling.


                  Makam Dato, Maharajalela pic google.
Kampung Pulau Tiga yang dipisahkan oleh Sungai Perak terletak di sebelah kiri dan kanan. Kedua-dua kampung ini cukup menarik dan bersejarah.

Saya yang juga berasal dari kampung belum pernah melihat kampung yang cukup 'hidup' seperti Kampung Pulau Tiga. Saya bertemu dengan seorang penggerak kepada aktiviti-aktiviti kampung di situ iaitu Nordin Abdul Malek untuk menyelami fikirannya.

Ternyata beliau ialah anak muda dan usahawan yang cukup agresif. Saya dibawa dengan kereta Mercedes tuanya ke merata pelosok desa itu untuk melihat apa yang ada.
Cukup terpegun. Kampung itu memenangi beberapa anugerah yang dijalankan oleh kerajaan. Kampung itu juga pernah menang hadiah geran RM2 juta daripada kerajaan.

Memang layak ia menang. Saya dibawa melihat aktiviti pertanian. Jarang-jarang kita boleh melihat ladang pokok asam gelugur. Asam gelugur, selain dibuat asam keping, ia dijadikan perusahaan jus yang sungguh segar diminum dingin di kala panas.

Di satu lorong lain kampung itu, saya menyaksikan ladang ternakan ikan. Ia bukan ikan biasa. Ladang itu dikawal dengan sistem keselamatan canggih. Ia menternak ikan-ikan untuk eksport. Antara ikan yang diternak ialah ikan pari air tawar berasal dari Amazon yang cukup cantik. Difahamkan harganya ialah sekitar RM3,000 seekor. Selain itu ia juga menjalankan aktiviti penternakan ikan arowana.

Di celah lain kampung itu, kita melihat aktiviti membuat dodol, kraftangan dan seramik labu yang cukup menarik.
Di kampung sebelah pula ialah aktiviti pelancongan-agro. Saya melihat bagaimana projek tanaman cili merah yang dijalankan secara fertigasi menghasilkan cili-cili yang cukup subur dan panjang. Harga di pasar boleh menjangkau sehingga RM20 sekilogram.

Semua aktiviti itu dijalankan di bawah program My Kampung My Future (MKMF), satu program yang dijalankan ke atas beberapa buah kampung terpilih di negara ini oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Menurut Nordin, di kampung itu juga terletak pusat latihan pertanian yang dikendalikan oleh beliau. Ia mungkin pusat latihan yang satu-satunya dijalankan oleh anak kampung di negara ini.

Kebetulan saya di situ, saya sempat menyaksikan program hands-on untuk belia-belia mengenai pendedahan sebenar perniagaan tani (ABRE) di Kompleks Desa Warisan iGROW.
Kursus itu diikuti oleh para pelajar jurusan perniagaan UiTM Seri Iskandar, terletak berdekatan kampung itu serta pelajar Politeknik Jeli, Kelantan.

Melihatkan kejayaan kampung itu, saya merasakan ia patut dicontohi oleh semua kampung di negara ini. Pertama kali saya di situ, saya cukup kagum. Ia patut dijadikan destinasi lawatan sambil belajar oleh penduduk kampung lain seluruh negara.

Saya kemudian dibawa oleh Dr. Kamarul ke Pasir Salak. Di tepi-tepi jalan kelihatan jualan buah-buahan, terutamanya durian cukup rancak. Kawasan itu adalah dusun durian yang terkenal di Perak.
Sebagai orang muzium, tidak sah jika Dr. Kamarul tidak membawa rakan-rakannya melawat ke Kompleks Sejarah Pasir Salak. Dari luar ia kelihatan satu kompleks yang indah. Tapi di pagarnya yang sepatut terpacak replika lembing, semuanya sudah hilang dicabut.

Idea pembinaannya dicetuskan oleh bekas MB Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang juga berasal dari situ. Namun sayang seribu kali sayang, di musim cuti sekolah ini tidak ramai lagi yang berkunjung.

"Macam mana mereka nak datang, keadaannya sudah tidak terjaga. Aircon pun sekejab elok dan tidak. Cuba pergi tengok Rumah Dato' Maharaja Lela, mungkin ular sawa pun ada di situ, rumah itu sudah berada dalam semak-samun dan hampir menyembah bumi," kata seorang wanita yang menjaja warung minuman di luar kompleks itu dengan raut muka sedih dan marah. Ironinya, rumah kuaratornya pun kini sudah terbiar dan menjadi 'rumah hantu'.

Termenung saya, jika peniaga warung pun boleh berfikir, ke mana pula perginya pegawai-pegawai besar kita?
Memang sedih. Suasananya sudah tidak terurus. Tiada siapa lagi peduli dengan kompleks yang dirasmikan oleh Raja Nazrin Shah pada 26 Mei 1990.

Jika Tuanku Raja Nazrin membaca tulisan ini, patik berharap Tuanku buatlah kunjungan mengejut ke situ. Jika kerajaan negeri tidak peduli mungkin Jabatan Muzium Negara boleh mengambil alihnya secara langsung?
Amat memalukan jika pelancong dari Britain misalnya, datang untuk melawat sejarah nenekandanya Birch di kompleks yang gah, tetapi daif itu.

Dr. Kamarul melihat saya berkerut. Dan beliau faham apa yang saya fikirkan.
"Saya juga amat sedih...," katanya perlahan.
Kami kemudian meninggalkan kompleks itu dengan pelbagai persoalan. Beberapa hari lagi ialah 2014 iaitu Tahun Melawat Malaysia? A


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131218/re_05/Gambaran-cantik-buruk-Pulau-Tiga-ke-Pasir-Salak#ixzz2nti4Vcnm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

16 ulasan - "PULAU TIGA KE PASIR SALAK...LANGKAH MENELUSURI SEJARAH...."

Aku Penghibur delete icon 20 Disember 2013 5:34 PTG

baru tahu tentang tempat ini ..terima kasih atas infonya

Qaseh Wee delete icon 20 Disember 2013 6:23 PTG

baru beberapa minggu lepas saya berada di Bagan Dato' untuk beberapa hari . berjalan ke sana , sini . tapi tak terfikir pun ttg sejarahnya ...

paridah delete icon 20 Disember 2013 6:46 PTG

yeke.. sejarah penting Tanah Melayu tu...tq Aku Penghibur.

paridah delete icon 20 Disember 2013 6:52 PTG

Bagon Datoh tu kat Perak hilir tempat asal keturunan anak2 kak, kg. gajah, pulau tiga pasir salak tu kat Perak Tengah...xlah jauh sgt....lainkali bolehlh ke situ lagi....tq Qaseh Wee.

Pha Is delete icon 20 Disember 2013 7:37 PTG

teringat plak masa belajar sejarah kay sekolah dulu pasal jww birch tu..

paridah delete icon 20 Disember 2013 8:53 PTG

yelah tu di situlah tempat berlaku peristiwa bersejarah tu.....tq Pha Is.

Yobert Parai delete icon 20 Disember 2013 9:24 PTG

Sejarah memang tidak bisa dihilangkan begitu saja tetapi biarlah menjadi satu pembelajaran buat kita semua....

paridah delete icon 20 Disember 2013 10:30 PTG

setuju sekali, sejarah perlu dipelajari.....tq Yobert Parai.

Mizz Aiza (Dunia Kecil) delete icon 21 Disember 2013 12:15 PG

sayang jika artifak atau monumen bersejarah sebegini dibiarkan musnah begitu saja.. kerajaan negeri perlu buat sesuatu agar ianya terus kekal untuk tatapan generasi yang akan datang..

paridah delete icon 21 Disember 2013 7:14 PG

betul tu artifak2 n monumen2 bersejarah adalah warisan yg perlu dipelihara utk tatapan generasi kini n seterusnya...tq Mizz Aiza

~Kak Nah Backyard (^_^)~ delete icon 21 Disember 2013 8:25 PG

pernah ke pasir salak masa baru2 dibuka dahulu..selepas tu x pernah pergi lagi

BUNDA a.k.a KN delete icon 21 Disember 2013 9:14 PG

As Salam, salam ukhuwah...selamat berhujung minggu...

Abdul Kholiq Hasan delete icon 21 Disember 2013 10:01 PG

tempatnya bagus mbak, sayanga tidak terawat

paridah delete icon 21 Disember 2013 10:33 PG

wsalam..salam ukhwah..moga hepi n ceria di hujung minggu. tq BUNDA aka. KN

paridah delete icon 21 Disember 2013 10:36 PG

lokasinya perkampungan bersejarah yg cantik tp kurang perhatian n penjagaan...tq Abdul Kholiq Hasan.

paridah delete icon 21 Disember 2013 10:39 PG

lama xpergi tentu banyak perubahannnya....tq -Kak Nay Backyard..

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”