Monday 4 November 2013

SETELAH 10 TAHUN BERSARA.....AURA MAHATHIR TIDAK SIRNA

DI Damsyik pada 2007, seorang peniaga bazar besar, Bazar Souq Al-Hamidiyya terus sahaja memesan teh sebaik sahaja dimaklumkan kami dari Malaysia. Hubungan peniaga dan pelanggan terus mencair. Kalimat pertama yang keluar dari mulut peniaga Syria ini ialah Mahatheer dan tanpa kekok beliau mengulangi nama itu beberapa kali.

Bagi peniaga ini, Dr. Mahathir Mohamad adalah idola dan penyelamat yang menjadi wakil kepada umat Islam. Peniaga ini bertukar menjadi orang yang serba tahu apabila menceritakan tentang Dr. Mahathir walaupun ketika itu sudah empat tahun Dr. Mahathir bersara sebagai Perdana Menteri.
Malangnya beliau tidak tahu bahawa Dr. Mahathir bukan lagi Perdana Menteri. Beliau seakan tidak percaya apabila dimaklumkan Dr. Mahathir telah melepaskan jawatannya.
Di New York pada tahun 2012, seorang pelayan sebuah restoran berdekatan Times Square terus menunjukkan kemesraannya apabila mengetahui kami dari Malaysia. Pertanyaan beliau ialah apakah yang dilakukan oleh Dr. Mahathir sekarang.

Imigran dari negara Asia Barat ini sanggup berdiri lama sambil berkali-kali menuang teh bagi menyatakan kekagumannya tentang komitmen Dr. Mahathir dalam memastikan negara-negara kecil tidak terus menjadi mangsa buli kuasa besar termasuk Amerika Syarikat. Bagi beliau, hanya suara Dr. Mahathir yang mampu menjawab kesombongan Barat.
Ini merupakan sebahagian kisah kekaguman orang luar terhadap Dr. Mahathir. Sebenarnya banyak lagi kisah menarik daripada para diplomat, penjawat awam, ahli politik mahupun peniaga yang selalu dikongsi apabila bercerita tentang negarawan besar ini. Masing-masing mempunyai pengalaman menarik tentang Dr. Mahathir. Kisah-kisah seperti ini nyaris tidak terhitung.

Dua kisah di atas hanyalah satu cebisan kecil bagaimana rakyat Malaysia mendapat layanan lebih istimewa hanya bermodalkan nama Dr. Mahathir. Kepada wartawan, bukan cerita asing lagi apabila sidang akhbar beliau lebih diminati oleh wartawan antarabangsa bahkan jika dibandingkan dengan pemimpin negara besar.
Jumaat lalu, tepat 10 tahun Dr. Mahathir bersara. Beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003 setelah 22 tahun memandu Malaysia ke mercu kejayaan tahap demi tahap, tangga demi tangga sebelum kemuncak yang dirancangnya pada 2020 iaitu tujuh tahun dari sekarang.
Sehingga sekarang, setelah sedekad Dr. Mahathir tidak lagi berkuasa, nama beliau tetap menjadi sebutan dan rujukan. Dr. Mahathir telah menjadi jenama global malah di negara mundur sekalipun seperti Somalia dan Zimbabwe.

Di negara tetangga, Dr. Mahathir pernah ‘ditawarkan’ untuk memimpin Indonesia selepas reformasi gagal mengeluarkan republik itu daripada krisis. Rakyat negara tetangga mencemburui kejayaan Malaysia dan mahu kerajaan mereka mencontohinya. Dasar Memakmurkan Negara Jiran beliau menjadi sebutan ramai.
Paling elegan dan fenomenal ialah keberanian Dr, Mahathir melaksanakan pelan tindakan luar jangka semasa krisis mata wang pada September 1998. Sedang negara seperti Korea Selatan, Thailand dan Indonesia terpaksa tunduk kepada tekanan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Malaysia mengambil langkah sebaliknya.
Dr. Mahathir memilih melawan penyangak mata wang secara berdepan. Malaysia memilih melakukan rejim kawalan pertukaran asing terpilih yang juga bermaksud langkah mencabar kewibawaan badan dunia dan kuasa Barat.
Tetapi hasilnya, pelan itu bukan sahaja dapat menyelamatkan Malaysia malah negara-negara yang terpaksa berhutang dengan IMF. Inilah hebatnya ilmu siasat Dr. Mahathir.
Menurut pakar, kebijaksanaan Malaysia itu telah mengubah sikap IMF dan negara-negara Barat. IMF dan Barat tidak mahu dasar kawalan mata wang Malaysia berjaya kerana ini akan menjejaskan kredibiliti dasar globalisasi dan pasaran bebas yang mereka cipta.

Mereka perlu membuktikan dasar IMF lebih berjaya daripada pelan yang dilakukan oleh Dr. Mahathir. Mereka mahu menunjukkan jalan yang Malaysia pilih adalah salah. Oleh itu, terpaksalah mereka bersungguh-sungguh membuktikan ubat IMF lebih mujarab berbanding ubat Dr. Mahathir.
Hari ini, dengan umurnya yang sudah menjangkau 88 tahun, penampilan Dr. Mahathir seperti tiada bezanya antara dahulu dan sekarang. Dahulu beliau disanjung, dikagumi dan pada masa sama ditohmah sehingga digelar dengan pelbagai nama, apa bezanya sekarang?

Dahulu kritiknya keras dan tepat pada sasaran. Hari ini apa jua kritik dan hujahnya masih sukar dipatahkan. Pembangkang berpeluh-peluh untuk melawan hujah-hujah Dr. Mahathir malah seringkali pula mereka gunakan kritikan beliau terhadap kerajaan dan UMNO sebagai senjata.
Dr. Mahathir walaupun sudah sedekad bersara daripada kekuasaan seperti mempunyai magis untuk memukau khalayak - pengagum, pengkritik mahupun musuh politiknya.
Beliau masih terbang ke merata dunia. Ucapannya tetap dinanti-nantikan. Pengaruh beliau merentas sempadan. Reaksinya terhadap isu antarabangsa masih menarik minat media asing. Rating melonjak setiap kali beliau muncul di kaca TV. Suka atau tidak, Dr. Mahathir masih menjadi sebahagian kehidupan di Malaysia dan juga dunia.

Agak sukar untuk menamakan pemimpin setaraf dan berkualiti seperti Dr. Mahathir. Warisannya dari Lebuh Raya Utara Selatan, Menara Berkembar Petronas sehingga Koridor Raya Multi Media memberi manfaat besar kepada ramai orang. Hampir pasti, setiap orang di Malaysia dalam menjalani rutin harian mereka terlibat dengan hasil pemikiran atau buah tangan Dr. Mahathir.
Gagasan Asia Timur, Selatan-Selatan dan perdamaian sejagat pula telah mengangkat darjat banyak negara daripada terus menjadi mangsa eksploitasi kuasa besar.
Jasanya tak terbilang dan sehingga sekarang setelah 10 tahun bersara beliau masih memberi sumbangan bukan sekadar kepada negara tetapi juga dunia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131103/re_03/Setelah-10-tahun-bersara#ixzz2jXsOOdE1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist