Wednesday 13 November 2013

PEMBUKA DAN PENUTUP AMALAN...


MASIH belum terlambat menutup lembaran lama kita dengan taubat. - Gambar hiasan

SELAMAT BERPUASA SUNAT MUHARRAM...

Sedar ataupun tidak, sebenarnya setiap hari kita selalu membuka dan menutup amalan. Pembukaan amalan ialah apabila kita bangun daripada tidur pada pagi hari.
Sementara penutupan amalan pula ialah apabila kita menutup mata untuk tidur pada malam hari. Justeru, pada kedua-dua masa ini, malaikat dan syaitan berlumba untuk mempengaruhi kita.

Daripada Jabir, Rasulullah SAW bersabda: âApabila seseorang mendatangi tempat tidurnya, malaikat dan syaitan bersegera mendatanginya. Malaikat berkata: “Tutuplah dengan kebaikan.” Syaitan berkata: “Tutuplah dengan keburukan.” Jika ia menyebut nama Allah SAW lalu tidur, maka malaikat menjaganya pada malam itu.

Apabila orang itu terbangun daripada tidurnya, malaikat kembali berkata: “Bukalah dengan kebaikan.” Syaitan pula berkata: “Bukalah dengan keburukan.”
Apabila ia berkata: Segala puji bagi Allah yang mengembalikan nyawaku dan tidak mematikannya ketika tidur. Segala puji bagi Allah yang menahan langit dan bumi agar tidak bergeser...(hingga akhir surah Fatir ayat 41).” Maka jika ia terjatuh dan mati, maka pasti masuk syurga.” (riwayat Ibnu Hibban)

Hadis ini menunjukkan bahawa setiap hari ialah lembaran baharu bagi hidup kita. Lembaran itu sangat putih dan bersih. Terpulang kepada kita, tulisan apakah yang akan mewarnai dan mengisi lembaran tersebut.
Setiap pagi dan petang dua orang malaikat ditetapkan untuk menjaga lembaran tersebut. Seorang malaikat menuliskan amalan kebaikan kita, dan seorang lagi menulis amal keburukan kita.

Jika kita melakukan amal kebajikan, maka pahala akan menghiasinya dengan rahmat daripada Allah SWT. Sementara maksiat hanya akan mengotori lembaran itu dengan dosa dan kemurkaan daripada Allah.
Rasulullah bersabda: Para malaikat silih berganti turun kepadamu di waktu malam dan di waktu siang. Mereka berjumpa pada solat fajar dan solat Asar.

 Malaikat penjaga malam lalu naik ke langit, dan Allah bertanya kepada mereka padahal Ia Maha Mengetahui: Bagaimanakah engkau tinggalkan hamba-hamba-Ku?
Mereka menjawab: Kami tinggalkan mereka dalam keadaan tengah solat, dan kami datangi mereka dalam keadaan tengah solat. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Lembaran demi lembaran terus bertambah seiring pergantian bulan dan tahun. Ia bermula sejak kita memasuki usia baligh. Pada saat ini, lembaran-lembaran itu telah berbentuk sebuah buku catatan amalan. Pada hari kiamat nanti, buku itu akan dikembalikan kepada kita sebagai bukti tertulis bagi amalan kita selama di dunia.

Malaikat akan berkata: “Buku ini, lidahmu yang menjadi penanya, air liurmu yang menjadi dakwatnya dan tubuhmu menjadi kertasnya. Kamu sendiri yang mengimlakkan kepada para malaikat pencatat amal. Tidak ada yang ditambah ataupun dikurang.”

Allah SWT berfirman: Adapun orang yang diberikan kitabnya dari arah kanannya, maka ia akan dihisab dengan sangat mudah, lalu kembali kepada keluarganya dengan bergembira. Adapun orang yang diberikan kitabnya dari arah belakangnya, maka ia akan memekik ketakutan lalu dimasukkan ke dalam api yang menyala-nyala. (al-Insyiqaq: 7-12)

Pada minggu pertama tahun baharu hijrah ini, ada baiknya kita membayangkan sejenak kandungan buku amalan kita. Pastikan kandungannya tidak akan mengecewakan apabila kita membacanya pada hari kiamat nanti. Masih belum terlambat menutup lembaran tahun lama kita dengan taubat dan membuka lembaran tahun baharu kita dengan istiqamah. Wallahu a’lam.

PENULIS kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/ umarmuhammadnoor


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131112/ba_02/Pembuka-dan-penutup-amalan#ixzz2kUTqlfMS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

6 comments:

  1. Assalamualaikum,

    Jika saudara/saudari/puan berminat untuk memperbaiki masalah kesihatan, turun berat badan, naik berat badan ataupun mengekalkan berat badan, InsyaAllah saya boleh membantu.

    Jika berminat boleh email saya.InsyaAllah saya berusaha sedaya mungkin untuk coach dan bantu saudara/saudari/puan.

    Wassalam

    ReplyDelete
  2. wsalam....terima kasih banyak sudi singgah...in sya Allah jikalau berminat pasti hubungi Mithanul Jannah.

    ReplyDelete
  3. tq for sharing..mari jadikan setiap amalan kerja/perbuatan sebagai ibadah..mula dgn bismillah, akhiri dgn Alhamdulillah..

    ReplyDelete
  4. tq nohas sharing yg baik2 utk kebaikan semua...

    ReplyDelete
  5. muga hari ini dan hari2 mendatang... lebih baik dari semalam

    ReplyDelete
  6. tq ema....in sya Allah demikianlah harapan...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist