Saturday 30 November 2013

JATUH BANGUN KEHIDUPAN...

PIC FAUZIAH SAMAD
KUNJUNGAN kami ke kediamannya diK Ampang, Selangor disambut ceria biarpun saat itu dia dalam keadaan tidak sihat kerana diserang migrain. Usai berbasa-basi, kami memilih untuk berbual santai tentang kisah silamnya dan apakah inisiatifnya untuk merubah kehidupan. Mari ikuti wawancara santai bersama Nursham Khair, 47, dalam mengemudi bahtera hidupnya berkat dibantu zakat.
"Sejak dari dulu, saya yang banyak berperanan dalam keluarga. Masa mula-mula dahulu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) sering juga memanggil suami saya untuk mengikuti kursus dan sebagainya. Tetapi saya minta agar ditukar kepada nama saya, agar saya yang boleh mengambil manfaatnya demi keluarga," katanya.

Nursham mendirikan rumah tangga bersama Mukhtar Ismail, 59, seorang lelaki yang dilahirkan di Sulawesi, Indonesia dan mereka dikurniakan empat orang anak perempuan. Sejak awal pernikahan, suaminya hanya bekerja sebagai pekerja biasa. Namun Nursham yang memiliki kelulusan perakaunan dari Universiti Teknologi MARA ( UiTM) lebih banyak mengintai peluang untuk menambah pendapatan keluarga.

Kisah lama mereka, penuh warna. Nursham pernah menjawat pelbagai jawatan, termasuklah di syarikat bertaraf nasional. Berbekalkan kekuatan dan keazaman, Nursham kemudiannya meninggalkan dunia makan gaji dan menceburi bidang perniagaan. Tanpa sangka, percubaannya benar-benar berbaloi, malah dia mendapat laba yang cukup besar.

"Sekitar 1998, saya mendapat satu tapak ruang berniaga di Pasar Bandar Baru Ampang. Berkat kesungguhan berniaga, saya mampu mengembangkannya sehingga menjadi enam tapak. Saya membekalkan bahan mentah kepada pelbagai pihak, sama ada ikan, daging, ayam, sayur-sayuran dan sebagainya. Masa itu, rezeki memang mewah dan saya dapat rasakan, mungkin saya sedikit melupakan Tuhan," terangnya.

Kehidupan Nursham sewaktu itu memang serba senang. Dia mampu menggajikan empat orang pekerja, malah suaminya sendiri bekerja dengannya dan dia turut menggajikan seorang pembantu rumah. Segala-galanya mudah, kerana wang masuk setiap hari tanpa henti.
"Ustaz bayangkan, saya mampu menjana pendapatan kira-kira RM500 sehari ketika itu," tambah Nursham.

Namun, pada 2003 keadaan mulai berubah. Ia bermula apabila tuan rumah tempat Nursham menyewa mahukan kembali rumahnya dan Nursham mengambil keputusan berpindah. Tidak lama di rumah baharu, mereka ditimpa musibah lebih besar apabila seluruh hartanya musnah dalam satu kebakaran.

"Kebakaran itu hampir sahaja meragut nyawa anak bongsu kami yang semasa itu berusia tiga tahun. Mujurlah kakaknya yang berusia lima tahun sanggup meredah api menyelamatkan adiknya. Kami juga kerugian besar, malah boleh dianggap jatuh muflis. Bukan disebabkan perintah mahkamah tetapi kerana semua aset perniagaan yang kami letakkan di rumah, seperti peti ais dan stok barangan, hangus dijilat api. Maknanya, saya kena bermula dari awal semula," luah wanita berhati waja itu.

Begitu pun, musibah itu masih belum seberapa jika dibandingkan dengan urutan penipuan yang ditanggung oleh Nursham.

"Saya menjalankan perniagaan dengan cara memberikan barangan secara kredit kepada pelanggan. Saya mempercayai mereka kerana sudah lama berurus niaga. Malangnya, mereka melarikan diri dan enggan membayar, sedangkan saya pula dalam keadaan amat memerlukan wang.
"Lantaran itu, saya sanggup untuk bekerja kembali. Saya menjadi koordinator kepada sebuah projek di sebuah syarikat. Setelah menyediakan sebuah cadangan bagi merebut sebuah projek, alhamdulillah syarikat itu berjaya. Jika diikutkan saya bakal mendapat komisyen dalam jumlah RM50,000, namun nama saya diketepikan dan mereka gantikan pula dengan nama orang lain. Saya telah ditipu," ceritanya.
Ia tidak pula menggoyahkan hatinya, kerana Nursham terus mengintai peluang untuk berjaya. Dia mencuba lagi di tempat lain.

"Saya menyertai pula sebuah syarikat pembekal komputer dan membuat kerja-kerja pemasaran. Alhamdulillah, syarikat berkenaan dapat kontrak untuk membekalkan komputer kepada agensi tertentu dalam kuantiti yang besar. Tetapi, malangnya wang yang masuk daripada projek tersebut telah dilaburkan pula ke dalam perniagaan yang lain dan saya tidak bersetuju dengan tindakan itu. Lalu saya nekad membuka syarikat sendiri," ujarnya.

Dengan syarikat baharunya, itu Nursham meneruskan kerja-kerja membekalkan peralatan untuk pihak-pihak tertentu, sama ada di sektor awam mahupun swasta. Adat berniaga, ada simpang peranangnya, dan ketika itu juga usia Nursyam yang sudah pun menginjak angka 40-an, menjadikan dia rasa bersalah meneruskannya.

"Hakikatnya, saya rasa serba salah dengan sikap segelintir pihak yang meminta tips yang bukan-bukan, maka lebih baik saya berhenti. Sebelum berhenti itu pun, saya telah dipermainkan sekali lagi apabila seorang kawan yang sudi meminjamkan nama syarikatnya kepada saya, telah melarikan bayaran yang diterima. Hakikatnya saya terpaka memakai nama syarikatnya kerana syarkat saya masih belum berdaftar dengan e-perolehan di Kementerian Kewangan."

"Namun kemuncak kepada musibah itu, ialah pada 2009 apabila saya ditimpa kemalangan jalan raya. Semasa itu saya dan keluarga sedang dalam perjalanan ke Melaka. Jika diikutkan, kemalangan itu tidak seserius mana tetapi tulang belakang saya cedera parah sehingga saya lumpuh dibuatnya. Sehingga kini pun, masih ada besi yang terus menyangga tulang belakang saya." akuinya.




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131128/ba_06/Nursham-intai-peluang#ixzz2lzOC4CvY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 comments:

  1. Allah sayang pada dia, bermacam-macam ujian menimpa, namun tetap tabah...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Allah menyayangi hamba-hambanya n setiap ujian-Nya utk meningkatkn lg tahap keamanan kita terhadap-Nya....tq nohas.

      Delete
  2. masya-Allah.. tabahnya beliau menghadapi ujian dari Allah.. tak dapat dibayangkan adakah aiza akan setabah beliau jika ditimpa ujian sebegitu..

    ReplyDelete
  3. ujian hidup kita ini berbeza-beza...ada yg jatuh n bangun semula, ada yg jatuh n terus jatuh...beliau seorang yg tabah n Allah menguji sesuai dgn ketabahannya...in sy Allah semangatnya yg kuat membantunya bangun semula....tq Mizz Aiza

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist