Inspiration Mars menyasarkan untuk meraih sokongan Kerajaan Amerika Syarikat dan Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) untuk misi bersejarah itu, jika ia berlaku, akan dilaksanakan sekurang-kurangnya sedekad lebih awal sebelum NASA. Diketuai jutawan Dennis Tito yang menjadi pelancong pertama ke angksa lepas, kumpulan itu berkata, misi itu dari segi teknikalnya boleh dilaksanakan jika ia berjaya mendapatkan ‘kemungkinan beberapa ratus juta dolar dalam perbelanjaan baru persekutuan.’ 



“Kami kini menggesa pemimpin negara kami merebut peluang tunggal bagi memulakan penerokaan manusia ke atas sistem suria dan mengesahkan kepemimpinan Amerika di seluruh dunia,” katanya dalam laporan. 

Cubaan itu, digelar ‘Mission For America’, akan menghantar pasangan berkahwin dan perintis ke Marikh antara Hari Krismas 2017 dan 5 Januari 2018. 


250 hari di angkasa 
Selepas 250 hari berada di angkasa lepas, pesawat akan mengelilingi Planet Merah sekali, hampir pada jarak 160.93 kilometer di permukaan sebelum kembali ke bumi pada Mei 2019. 

Misi itu bergantung kepada penjajaran baik antara dua dunia, yang akan menjadikan perjalanan itu lebih pendek berbanding cara lain. 

Namun Inspiration Mars tahu ia memerlukan sokongan penuh NASA untuk pelancaran. 

Ia berkata roket Sistem Pelancaran Angkasa Lepas yang baru perlu menghantar modul krew utama dan pesawat ke angkasa lepas, dengan angkasawan tiba secara berasingan di dalam kapsul Orion yang turut membawa mereka kembali ke bumi. 

Bagaimanapun, banyak cabaran teknikal kekal, termasuk bagaimana memasuki semula orbit bumi dengan selamat ketika melakukan perjalanan lebih 50,000 kilometer sejam. 


Banyak cabaran 

Namun laporan berkata, ia berharap pihak berkuasa akan mengatasi cabaran dengan minda terbuka dan yakin dengan jurutera NASA pada awal perlumbaan angkasa, selain bersetuju menyokong misi itu. 

“Misi untuk Amerika sejajar dengan kemunculan program angkasa lepas negara yang menjadi keutamaan dan akan menyumbang penyelidikan bernilai bagi mempercepat sistem generasi akan datang serta misi mereka,” katanya. - AGENSI