Sunday 16 June 2013

CENGKERANG 230 JUTA TAHUN DI MERAPOH...

ANTARA fosil cengkerang spesies Brakiopoda yang ditemui pada singkapan batuan tapak projek jalan raya berdekatan Sungai Yu, Merapoh, Kuala Lipis, semalam.
KUALA LIPIS 16 Jun - Seorang Ahli Paleontologi dari Institut Geologi Malaysia (IGM) menemui fosil cengkerang berusia 260 juta tahun di Sungai Yu, berdekatan Merapoh di sini.
Penemuan itu membuktikan hasil kajian fosil berkenaan lebih tua usianya berbanding fosil ditemui di Taman Emas, bandar Kuala Lipis berusia 230 juta tahun yang dibuat pada 2011.
Ahli Paleontologi IGM, Ahmad Rosli Othman berkata, daerah ini mempunyai banyak kawasan yang mengandungi fosil atau tinggalan hidupan purba dari zaman pra-sejarah.
"Fosil cengkerang ditemui pada satu singkapan batuan di sepanjang projek menaiktaraf jalan raya Merapoh ke Kuala Lipis yang sedang dalam pembinaan berdekatan Sungai Yu.
"Fosil itu terletak lapisan batu lumpur merupakan jenis Brakiopoda yang lazimnya hidup di persekitaran laut cetek," katanya kepada pemberita di Sungai Yu di sini hari ini.
Menurutnya, antara spesies Brakiopoda yang dapat dikenal pasti di kawasan sama iaitu Leptodus sp.,Transennatia sp. dan Spyridiophora sp.
Beliau yang juga penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, menerusi penyelidikan itu bahawa Merapoh berada di dasar lautan antara 250 hingga 260 juta tahun lampau dan menjadi habitat hidupan laut purba yang primitif.
"Haiwan primitif ini berenang bebas di lantai lautan yang relatifnya agak dalam dan beriklim panas. Kemudiannya, apabila mati akan tertimbus oleh enapan keladak kekal yang menjadi batu dalam tempoh beratus juta tahun lamanya," ujarnya.
Katanya, haiwan purba itu hidup pada zaman sebelum berlakunya kepupusan masa di muka bumi iaitu kira-kira 252 juta tahun lampau.
Menurut beliau, menerusi proses geologi dasar laut berkenaan timbul ke permukaan bumi dan menjadi daratan serta membentuk topografi atau bentuk muka bumi seperti yang wujud di Merapoh.
Justeru, katanya, apabila terdapat projek pembangunan seperti pembinaan jalan raya di sini, bumi yang menyimpan banyak rahsia alam akan terungkai menerusi penemuan fosil cengkerang di lokasi berkenaan.
"Berdasarkan kajian paleontologi, hidupan primitif ini pernah hidup di sekitar 260 juta tahun lampau atau secara saintifiknya berada dalam tempoh zaman Lopingian dan Permian," jelasnya.
Katanya, kawasan Merapoh diumpamakan 'kitab sejarah bumi' yang memaparkan fenomena kehidupan sebelum wujudnya manusia di muka bumi ini kira-kira 200,000 tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130617/dn_17/Cengkerang-260j-tahun-ditemui#ixzz2WQwQJDgi
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 comments:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist