Sunday, 30 September 2012

abil4fauziah...indahnya cinta dan kasih sayang...

Tersentuh sekali hati mendengarkan perkisahan Abil melayani permaisurinya yang sakit akibat serangan strok    dalam slot TANYA WANITA TV AL-HIJRAH.

Abil sanggup berhenti kerja sebagai PERUNDING KEWANGAN semata-mata lantaran cinta dan kasih sayangnya terhadap Fauziah isterinya demi memberi perhatiannya yang bersungguh-sungguh.

Sifat suami yang tulus mencintai isteri dan menerima isterinya seadanya amatlah menjadi idaman setiap wanita. Hanya kasih sayang yang menjadi penyelesai setiap masalah. Jangan setelah bahtera rumahtangga belayar dipukul gelombang dan karam, yang basah, yang tenggelam hanya isteri seorang.

Di tempatku ada dua pasang suami isteri yang hidup berbahagia walau isteri masing-masing punyai kekurangan diri. Seorang tu isterinya lumpuh setelah melahirkan anaknya namun suaminya tidak kisah dengan kelumpuhannya tetap melayani isterinya yang tercinta sebaiknya. Semua keperluan isteri dan rumah tangganya suaminya yang urus.

Sementara seorang suami lagi memiliki isteri yang berpenyakit murung.Dan kemurungannya menyebabkannya menyepikan diri dari persekitarannya dan hanya berada di dalam dunia ciptaannya. Namun suami yang penyayang kekal di sisinya sehingga suaminya dijemput Allah Yang Esa.

Kisah cinta dan kasih sayang antara suami dan isteri yang sesekali menjengah minda kita menggambarkan kepada kita bahawa keseluruhan kita ini mengagumi sifat pengasih yang ditunjuki seseorang kerna kita merasakannya kasih sayang di hati masing-masing semakin berkurangan.

Alangkah indahnya kehidupan kita sekiranya suami sayangkan isterinya seadanya, sanggup berkorban apa saja, tak kira waktu susah atau senang, sihat mahupun sakit. Sebab takdir hidup hari esok tidak siapa tahu. Tak siapa yang nak sakit bib...

Sudah lama tidak ikuti blog abil4fauziah dan baru-baru ini ada sedikit cerita TV3 mengenai pasangan itu...rupanya setelah dua tahun Abil menjaga Fauziah yang sakit kerna serangan strok itu, isteri kesayangannya itu telah kembali ke Rahmatullah di satu subuh hening....innallillah...alfatihah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya dan menempatkannya di kalangan mereka yang soleh lagi beriman.

Dan Abil pasti bertemu isteri kecintaannya Fauziah di syurga kelak...inn sya Allah.....

Thursday, 27 September 2012

SELIRATAN CINTA BAB 18/2


Kancil berurna oren itu memasuki garaj yang tersedia untuknya. Majmin menjuntaikan kakinya ke jubin kasar sebaik saja pintu keretanya ternganga. Dia baru saja pulang dari pasaraya membeli beberapa keperluan seharian untuk kegunaan rumahnya.
Mak Kiah menolong memunggah barang-barang yang dibelinya dari boot kereta.
“Hati-hati Mak Kiah dengan telor tu. Jangan macam hari tu, saya bukan main jaga lagi semasa dalam kereta, sampai saja di rumah berderai satu sarang.” Mak kiah tersengih apabila Majmin mengingatkannya tentang kesilapannya memecahkan sesarang telor kerana  kainnya terkait duri pokok bunga kertas yang menyebabkan imbangan badannya menjadi tidak stabil kerana berat membawa banyak barang-barang lain termasuk se sarang telor. Apa yang ada di tangan jatuh bertaburan. Telor se sarang pecah berderai.
‘Benda nak terjadi, terjadi juga. Bukan disengajapun. ‘Kun payakun.’ firman-Nya. Semuanya ada rahsia yang tersirat. Mana boleh hendak menidakkannya.’ getus hatinya.
“Lama Datin ke supermarket hari ni?”
 “Saya singgah di rumah kawan saya sekejap. Anak dia hendak kahwin. Dia minta cadangan saya bagaimana nak buat perhiasan bilik pengantin.”
“Oh patutlah lambat.” Mak Kiah bersuara perlahan. Kakinya mulai mengatur langkah penuh berhati-hati. Tentulah tidak mahu cerita dia memecahkan sesarang telor berulang kembali. Cukuplah sekali tersalah langkah. Kali yang kedua kenalah beringat.
“Kenapa Mak Kiah? Ada masalah ke sebab saya balik lambat?” wajah pembantu rumahnya itu dijengahnya dengan kilatan matanya. Menuntut penjelasan yang segera.
“Datuk bising tadi, bila dia turun Datin dan Rizal tidak ada. Hinggakan tidak menjamah sarapan. Katanya tidak berselera makan seorang.” Mak Kiah pantas menuturkan jawapan yang dinantikan. Majmin merenung kosong.
“Masa saya keluar tadi dia sedang nyenyak tidur… bila masa pula pandai hendak marah macam tu…kalau dia tiada saya tidak pernah bising pun,” wajah Mak Kiah ditenungnya. Ada kegawatan di dalam matanya yang merusuhkannya. Mudahan ianya tidak bertukar menjadi masalah yang merungsingkannya. Begitu harapannya.
“Mak Kiah bagi tau dia pasal Rizal? Pertanyaan itu dipasakan ke dalam gegendang pembantu rumahnya yang setia menadah kuping lebarnya itu.
“Tidak Datin. Bila Datuk tanya saya jawab saya tidak tahu.” Jawapan yang jujur tulus itu menyenangkan hati yang bertanya.
“Bagus.” Ada senyum puas meniti di bibir. Yang terpancar di takungan kelopak anak matanya adalah sinar kelegaan yang mendamaikan perasaan kerana rahsia anak yang menjadi amanah masih tersimpan kemas. Belum bocor.
Majmin dan Mak Kiah bersama-sama bergerak membawa semua barang-barang yang dibeli dengan banyak sebagai peruntukan kegunaan selama seminggu itu  hingga ke dapur untuk menyusunnya pula di tempat yang sepatutnya.
Datin Majmin tidak membiarkan Mak Kiah yang menyusun atur barang-barang itu bersendirian. Dia turut sama turun tangan membantu. Kerja yang berat akan menjadi ringan kerana sikap saling berkerjasama antara kedua-duanya.

                                                                   * * *.

Pelanggan-pelanggan Mewah Café memenuhi setiap meja. Kesibukan yang ketara kerana pelanggan-pelanggan yang terdiri dari kaki-tangan kerajaan dan swasta sedang turun dari pejabat masing-masing untuk menjamu selera tengahari. Kelumrahan yang berlaku kecuali pada hari Sabtu yang agak lengang dan Ahad pula perniagaannya ditutup seperti kebanyakan premis perniagaan yang lain.
Fadillah meneliti gerak kerja yang dilakukan pekerja-pekerjanya. Dua orang pelanggan yang duduk di set meja paling tepi di suatu serokan mencuri perhatiannya. Dia mengamatinya untuk memastikannya.
‘Datuk Shaari sedang tunggu siapalah agaknya? Nadia kut..’ hatinya menggumam. ‘Agh… lantaklah dia hendak tunggu siapa pun. Yang aku sibuk hendak ambil tahu hal orang lain, apa ke jadahnya,’ dengusnya mengkritik sikapnya sendiri.
Demi kelancaran perniagaannya dia perlu mengambil sikap ada mata pandang ada telinga dengar. Tanpa mengambil kisah perihal peribadi sesaorang sekiranya tidak bersangkut-paut dengan periuk nasinya.
Suatu kejadian yang amat mendatangkan masalah kepadanya apabila demonstrasi penunjuk-penunjuk perasaan di jalan raya berdekatan dengan premisnya yang berlaku pada akhir tahun 90-an kerana ketaksuban pengikut terhadap pemimpinnya yang marah metah kerana pemimpin kesayangan itu dicantas dari kedudukan utamanya. Tentang itu dia perlu ambil kisah kerana melibatkan kelancaran bisnisnya.
Dia tidak ingin momok yang menakutkan itu menjelma kembali menjadi peristiwa yang mengerikan kerana ramai orang ketika itu menjauhi premis perniagaannya. Ramai juga yang menyangka bahawa dia adalah salah seorang penyokong pemimpin yang tersingkir itu kerana membiarkan lokasi premisnya menjadi tempat pedemonstrator berdemonstrasi.
Jangankan di depan premisnya yang dijadikan tempat bahang marah sakit hati pengikut pemimpin itu mengeluarkan api marahnya malah di masjid Negara juga ada yang sanggup menjadikannya gelanggang percaturan politik.
Sungguh berani orang orang itu meledakan kemarahannya. Hanya kerana telah hilang kuasa dan ingin berkuasa kembali. Masjid adalah tempat ibadat yang suci dan penguasa yang amanah tidak sepatutnya membiarkan kemunafikan mencemari ruangnya walau seinci.
Bila ramai yang menuding kepadanya pula dia mulai gelabah. Bukan begitu sifatnya. Dia hanya seorang pemerhati politik bukan pemain politik. Hanya seorang peniaga yang ingin hidup dalam suasana aman damai dan iklim ekonominya stabil.
Dan dia boleh meraih keuntungan perniagaannya juta-juta RM lagi tahun demi tahun. Bagaimana perniagaan hendak berkembang maju sekiranya suasananya huru-hara setiap hari? Orang baik dan lemah lembut sepertinya tidak akan mengkucar-kacirkan alam yang aman dan menghuru-harakanya.
Bukankah DEB (Dasar Ekonomi Baru) yang diperkenalkan almarhum Tun Razak Perdana Menteri kedua Malaysia menyasarkan tahap 30 peratus pencapaian bumiputera di dalam perniagaan sekali gus menambah besarkan kek ekonomi yang selama ini dimonopoli non-bumiputera.
Dia ingin turut menjadi pemain yang aktif di bidang itu, kerana itu orang bisnis sepertinya perlukan kedamaian dan kententeraman suasananya untuk kelancaran kegiatannya.
The economics must sustain as was creat by the creator’ kata seorang penganalisis ekonomi yang terlupa hendak diingat namanya. Dia hanya peka kepada situasi yang menyangkut bisnisnya semata. Bukan hal-hal kecil yang remeh-temeh.  
Tangannya dibawa menyapu muka. Di hadapannya terbentang realiti. Langkahnya dibawa ke ruangan dapur. Ketika itu tukang-tukang masak sedang sibuk memasak pelbagai jenis lauk-pauk.
Dia hanya meninjau sepintas lalu. Dan kembali membawa dirinya memasuki ruang pejabatnya. Tidak lagi mahu memikirkan siapa yang akan menemani Datuk Shaari tengahari ini. Samaada Nadia atau bidadari dari kayangan.
“Mentang-mentanglah dia tengah meletup sekarang, kita ajak dia makan pun sambil lewa saja hendak datang.” Datuk Shaari meluahkan rasa tidak senang hatinya kerana kelibat seseorang yang di tunggu belum juga menjelma.
Amin kelihatan resah. Sering berdiri meninjau-ninjau persekitaran dan tumpuannya melekat di pintu masuk Mewah Café.
“Kenapa lambat sangat ni?” desisnya perlahan.
“Mula-mula tadi Sarina beritahu saya, tidak dapat datang sebab ada shooting  tapi..Datuk tahukan kecekapan saya. Akhirnya dia lantas setuju. Serta-merta.” Ujar Amin dengan lagak dan bangga diri memperihalkannya. Tersengih-sengih mempamerkan barisan giginya yang tidak sekata.
“Itu yang buat aku sayang sangat pada kau. Memang susah hendak cari pekerja yang cekap macam kau.” Amin terlambung tinggi mendengar pujian Datuk Shaari. Dia menyeringai dengan sengihnya yang lebar.
“Tetapi di dalam kecekapan kau ada juga bangangnya.” Intonasi suara Datuk Shaari ketara perubahannya. Matanya dijegilkan menujah  pandangan Amin yang tersentak dan terkapa-kapa buntu. Tidak memahami apa yang dimaksudkan Datuk Shaari, tuannya itu.
“Eh apa pulak Datuk?” panahan anak matanya yang lughu menyorot wajah tegang di hadapannya.
“Lain kali biar dia orang yang tunggu aku. Bukan aku yang tercongok menunggu dia orang datang, macam menunggu buah yang tidak gugur.” Amin terkedu menerima penangan bahasa Datuk Shaari.
Seakan jatuh terduduk setelah dilambung tinggi. Sakit sekali. Peritnya seakan terjatuh dari pohon rambutan di kampung. Dia pernah mengalaminya sekali sewaktu zaman anak-anaknya yang ligat meredah segenap rimba dan dusun, melastik burung dan memanjat pokok buah-buahan kegemarannya.
Ada ketikanya terimbau semula nostalgia tanpa dipanggilnya. Meskipun setelah lama di kota. Dan jarang-jarang pulang menjengok kampung halamannya kerana sudah tidak ada sesiapa yang menunggunya di sana.
Kecuali sebuah rumah pusaka. Ibu bapanya yang dikasihi telah berpulang kepada-Nya. Sayu dan hiba hatinya tiba-tiba mengenangkan nasibnya yang sebatang kara di tengah kotaraya. Mencari rezeki dengan memberi khidmat kepada tuannya yang banyak tingkah ini.  
“Ya lah Datuk, lain kali saya akan usahakan begitu. Janganlah marah sangat Datuk. Lagi pun bukannya panas lagi bontot Datuk di kerusi …tu ha…tengok dia orang dah pun sampai.” Amin menuding jarinya ke arah dua orang gadis cantik yang sedang mengatur langkah menghalanya.
Dia melambai-lambai Sarina yang manis tersenyum itu. Wajahnya segar kembali dari kelayuannya. Umpama bunga raya yang merah menyala disiram embun pagi. Cantik berseri.
Sarina memaut tangan Anita mengatur langkah menghampiri meja Datuk Shaari. Shaari terpana. Begitu kagum menatap kecantikan asli semula jadi gadis di hadapannya. Tidak berkedip matanya merenung setiap inci wajah Anita. Hampir terlupa hendak mempersilakannya duduk.
Amin menyedarkan lamunan Datuk itu dengan menyigungnya lembut. Segera dilepaskan tangan Anita yang lama di dalam genggaman tangannya.
“Maafkan saya. Silakan duduk. Saya ni terlampau seronok dapat berjumpa dan berkenalan dengan artis pujaan ramai hinggakan terlupa apa yang hendak dibuat.” Jantungnya mula berdegup kencang kerana wajah gadis itu seakan aliran listrik yang merenjat minda sedarnya.
‘Apa yang sedangku alami ini.’ Dia bertanya kepada dirinya.
Tetapi dia tidak dapat menolak hakikat bahawa kecantikan Anita benar-benar menggoda hatinya. Begitu memukau. Pantas saja keputusan yang dibuat hatinya bahawa dia sudah jatuh cinta dengan gadis ayu ini. Hanya dengan sekali pandangan mata terus jatuh meresap ke hulu hatinya. Dan ingin memilikinya. Mesti.
“Ini sedikit hadiah dari saya untuk Sarina dan Anita.” Datuk Shaari meletakan dua bungkusan kecil di atas meja dan diambilnya satu dihulurkan kepada Sarina. Sarina tersenyum menyambutnya. Dia begitu gembira kerana menyangka pemberian itu tentu tidak ternilai harganya.
“Terima kasih Datuk.” Segera dimasukan ke dalam tas tangannya..
“Ini untuk Anita.” Anita memandang Sarina. Tidak tergamak dia hendak menerimanya. Hatinya keberatan hendak mengambilnya. Secebis senyum tawar tertera di bibir tanpa sepatah kata yang mengiringinya.
Sarina yang menyambutnya dari huluran tangan Datuk Shaari. Diletakannya di hadapan Anita. Anita tidak menjelingnya pun.
“Dia ni memang pemalu sikit Datuk.”  Anita merasa tidak senang duduk kerana dirinya sentiasa diperhatikan lelaki di hadapannya. Dia tunduk memandang meja. ‘Kenapalah Datuk ni asyik pandang aku saja. Kenapa? Aku ni ada tanduk ke…’
“Maaf kami lambat sikit Datuk. Kali pertama abang Amin telefon, memang kami tidak boleh datang sebab sedang shooting. Tiba-tiba saja pengarah naik angin dan batalkan shooting. Saya apa lagilah, terus telefon Abang Amin beritahu kami tiada halangan lagi.”
Datuk Shaari merenung Amin dengan tajam. Amin serba salah dan kelam kabut. Dia sedar kini bahawa cerita yang digembar-gemburkannya hanya dusta. Kepalsuan yang terbongkar gara-gara Sarina yang terlalu ramah bercerita itu.
Mahu saja ditutupnya mulut Sarina dengan kedua-dua telapak tangannya. ‘Kau ni menyusahkan aku je Sarina. Becok sangat mulutnya.’ Amin merenung Sarina yang terkapa-kapa tidak faham dengan bahasa matanya. 
“Oh jadi awak telefon Amin beritahu dia  balik sudah boleh datang pulak ya. Hmp..begitu ya Amin.” Ucap Datuk Shaari sinis. ‘Berani kau temberang aku ya Amin. Nanti kau.’ Wajah pucat Amin yang gelabah ditenungnya tidak berkedip.

Tuesday, 25 September 2012

BUTTERFLY...RERAMA MENGEPAK SAYAP...

Memang teruja memandang kecantikan rerama berterbangan mengepak sayapnya. Sayapnya yang aneka bentuk dan warna mudah juga rosak diganggu pelbagai anasir alam.Seakan orkid butterfly juga yang sangat cantik dan namanya diinspirasikan rupa rerama.

Butterfly padaku susah nak dijaga. Terlalu sensitif dengan sinar mentari dan perlu disiram sentiasa. Ada setengah orkid jenis ini yang akan terus berbunga setelah ia mula mengeluarkan sulur bunga tidak putus-putus....Untuk pembajaan bolehlah dipilih baja-baja yang dijual di pasaran secara semburan. Mesti rajin tu...tapi aku tak rajin sangat. Semua orkid-orkidku dibaja dengan air tahi kambing yang direndam je...

Friday, 21 September 2012

SELIRATAN CINTA BAB 18


Jam di dinding sudah menunjukan angka sembilan pada jarum pendeknya. Maknanya waktu pagi sudah berada di angka itu. Shaari turun ke ruang tamu. Riuh suaranya berteriakan nama isterinya.
“Majmin..Majmin.”Serunya. Senyap. Tiada kedengaran balasan sahutan.
Mak Kiah bergegas mendapatkan tuannya. Bimbang tuannya itu memerlukan sesuatu dan dia akan tolong mendapatkannya dengan seberapa segera.
“Kenapa Datuk?” Mak Kiah sudah berhadapan dengan Datuk Shaari. Di tangannya ada sehelai tuala kecil kerana sebentar tadi dia sedang mengelap pinggan-mangkuk di dapur. Kerja-kerja yang menuntut perhatiannya tidak pernah diabaikannya.
“Datin ke mana ni? Puas saya panggil tadi.” Matanya melingas sekeliling ke serata ruang. Kepalanya di toleh kanan dan kiri sedang tangan mengikat tali leher yang berurna sepadan dengan kemejanya.
“Datin pergi supermarket Datuk.”Mak Kiah menjelaskan kalut.
“Rizal belum bangun lagi ke?” Beralih pula topik pertanyaannya. Soal ketiadaan isterinya telah dilupakannya.
“Rizal pun sudah keluar. Saya tidak perasan pula bila dia keluar. Selepas Datin keluar, saya naik ke atas hendak kejutkan Rizal sarapan. Tengok-tengok dia sudah tidak ada.” Mak Kiah bercerita urutan peristiwanya satu persatu..
Datuk Shaari merengus keras mendengarkan keterangan Mak Kiah. Sepasang matanya bersinar menerjah pandangan Mak Kiah yang serba tidak kena jadinya.
“Macam manalah aku hendak lekat di rumah ni kalau pagi-pagi lagi semua orang sudah tidak ada di rumah. Kalau selalu macam ni aku tidak balik langsung baru tahu.” Di kala itu perasaannya sebal sungguh. Datuk Shaari berjalan ke pintu membawa rasa dongkol hatinya. Mak Kiah menahannya dengan pertanyaannya..
“Datuk tak nak sarapan ke?” dia sudah menyediakan di atas meja, roti, telor separuh masak, mentega, jem dan satu teko air kopi panas. Itu adalah menu kebiasaan sarapan pagi Datuk Shaari.
“Kau kan tahu aku tidak pernah sarapan seorang diri di rumah.”
“Sesekali apa salahnya Datuk.” tukas Mak Kiah dengan sengihnya. Cuba hendak mendinginkan kepanasan hati tuannya yang tiba-tiba saja mencanak kemarahannya di pagi hari.
“Kau ni ada saja. Aku hendak ke pejabat ni. Kau bagi tahu Rizal, malam ni dia jangan kemana-mana. Tunggu sampai aku balik.”ujarnya berbaur arahan yang mesti dipatuhi pembantu rumahnya itu.
“Baik Datuk.” Balas Mak Kiah dengan nada suara yang perlahan, akur menurut perintah. Di biarkan Datuk itu berlalu melepasinya hingga keluar dari pintu masuk utama.
Shaari sudah menapak hingga keluar dari rumahnya. Drebarnya sedang menunggunya. Lelaki itu menyambut briefcase yang dibawanya. Handphonenya berdengut. Dia menancap nombor yang tertera. Kemudian menekan butangnya dan menjawabnya.
“Hah...apa kau nak ni?” Dia sudah tahu siapa yang memanggilnya kerana itu dia menjawabnya halai-balai sahaja.
Dia terdiam memberi fokus kepada berita yang akan disampaikan kepadanya.
“Oh Ya ke...kau memang cekap. Tunggu aku di sana.” Dia tersenyum lebar kerana berpuas hati dengan apa yang masuk ke gegendang telinganya. Kabar yang sangat menggembirakannya.
Drebar itu tidak menghiraukan apa yang diperkatakan tuannya dengan komponen kecil yang boleh bersuara itu. Dia setia menunggu tuannya mengisi perut kereta untuk membawanya ke pejabatnya di jalan Ipoh.

                                                           *    *    *

Di dalam pejabatnya, Datuk Shaari begitu asyik menatap lembar demi lembar majalah terbitan terbaru yang dibawa Amin. Sebelum itu dia baru usai menyemak dokumen perjanjian dengan sebuah agensi kerajaan berhubung dengan pengekspotan minyak sawit yang separa proses dari pelabuhan Kelang ke negara-negara Kuwait, Qatar, Syria dan Jordan yang perlukan perkhidmatan kapal-kapal syarikatnya. 
Kini dia sedang memberi penumpuan khusus pada hobi barunya.
“Mak oii..Amin. kau kontek artis ni cepat. Aii...tak sabar-sabar hendak berjumpa dengan artis yang jelita sungguh ni.” Pandangannya terpaku pada potret gadis yang menghiasi kulit majalah  yang keras licin itu.
Amin memandang majalah yang ada di tangan Datuk Shaari.
“Yang sebelah tu lagi cun Datuk. Saya ada nombor telefon dia. Lagi mudah hendak kontek.” Amin membelek lembar di sebaliknya, cuba hendak menepis keinginan Datuk Shaari dari hajat sebenarnya.
Barangkali dia tidak mahu berurusan dengan sesuatu yang sukar pada jangkaannya kerana dia tidak mengenali artis yang dimaksudkan. Pada perkiraannya gadis itu adalah artis baru yang serba-serbinya baru. Baru  tersadai di persada seni.
“Yang sebelah ni? Tidak...tidak...tidak... bukan citarasa aku. Tapi kalau kau ada nombor dia tentu dia tahu hendak cari si… apa nama dia?”
“Anita Datuk.” Balas Amin pantas. Nampaknya dia juga sudah mengkaji-kaji maklumat siapa gerangan artis cantik yang sangat mempesona itu.
“Hah...Anita... kau memang cekap.” Amin mula terlambung dengan pujian tuannya yang menghargai kredebilitinya. Mula menunjuk lagak dengan bicaranya yang mendabik dada..
Ala ..Datuk. kan saya ni orang kuat Datuk. Datuk sebut je, mesti ada depan mata punya.” Pantang dipuji segera menyerlah keegoan sifat pembantu peribadinya itu. Ini yang membuat Datuk Shaari tidak berapa berkenan dengan perilaku Amin.
Datuk Shaari menyelak lembar yang lain. Niatnya hendak menduga dan mengena pula.
“Yang ni boleh dapat juga ke?”
“Tidak payah hendak bermimpi di siang harilah Datuk.” Amin bagai digeletek hatinya mendengarkannya, seronok tertawa terbahak-bahak. Potret Sitti Nurhalliza yang tersenyum ayu, manis dan manja seakan menjeling dua karekter manusia yang sangat menjengkelkannya. 

                                                            *     *    *

Tengah hari yang mula menyebarkan bahang habanya. Di sebuah lokasi penggambaran drama, Anita dan Sarina sedang melakonkan satu babak mengikut skrip yang diberi sutradaranya. Johan selaku pengarahnya sedang serius dengan kerja-kerja pengarahannya.
Handphone milik sesaorang berdengut, mengganggu konsenterasi sang sutradara. Dia mula berang. Dipanaskan lagi dengan bahang panas hari yang menyerap ke tubuhnya. Matanya mulai berpinar-pinar.
“Cut.” Jeritnya. Keras suaranya.
“Siapa punya handset pulak tu. Kan dah beribu kali aku cakap, kalau sedang shooting offkan handset. Tak reti bahasa Melayu ke?” kasar sekali nada yang terhambur dari bibirnya. Wajahnya yang merah disambar bahang mentari turut menyumbang peningkatan digri kemarahannya. Dia bangun dari kerusi yang didudukinya, berjalan mundar-mandir dengan wajah suram bercampur geram.
Sarina berlari mendapatkan handsetnya. Kerana dia kenal dengan lagu yang disetkan ke dalam memorinya. Lantas menjawab panggilan itu dari jarak yang jauh.
Sarina melambai-lambaikan tangan ke arah Johan selaku memohon maaf. Lelaki itu bertambah meluat dan menyampah kerana perangai artis yang langsung tidak berdisiplin itu. Selalu sangat menimbulkan kerenah yang memeningkan kepalanya.
Johan menghenyakan ponggongnya semula di atas kerusi ‘DIRECTOR’ dengan geram kerana tindakan artis yang memualkannya dan mengganggu kelancaran tugasnya.
Anita berjalan perlahan-lahan mendekati Johan.
“Abang hendak air ke?” lirih suaranya ingin meredakan kepanasan pengarah yang membara.
“Air sekolam pun tidak akan dapat redakan marah aku ni.” Tukasnya sinis.
Ala bang...janganlah cakap macam tu. Nanti habis shooting, kita pergi makan ayam ‘tandoori’ kegemaran abang tu.” Lembut suara Anita berusaha memujuk sang sutradara dengan umpanan habuan yang dijanjikan. Bagai memujuk menggula-gulakan seorang anak kecil pula.
Sesaorang itu sentiasa ada sifat kelemahan dirinya. Kadang-kadang mudah dipujuk dan suka dipujuk, menurut pertimbangan Anita. Dia tidak merasa rugi melakukannya demi untuk kebaikan bersama.
“Kau pergi cepat panggil Sarina kesini sebelum aku jadikan dia ‘tandoori’ aku sekejap lagi.” Mencerlang matanya menujah anak mata Anita yang bening berkaca.
Anita terus berlari mendapatkan Sarina. Sarina masih melekapkan handphone di telinganya. Selesai sudah bual bicaranya dengan pemanggil di gelombang maya itu.
Sarina membisik sesuatu ke telinga Anita. Anita terdiam. Wajahnya berubah warna. Sarina hanya tersenyum memerhati reaksi temannya itu.
Johan masih memandang gelagat kedua-dua artis itu dari jauh. Dia menggaru-garu kepalanya yang mula kegatalan kerana jemu menanti kedua-duanya memasuki set penggambaran semula.
Pandangannya teralih pada kru penggambaran yang juga masih ralit tertonggok di sisi tugasan yang belum selesai disempurnakan. Jurugambarnya sudah menentukan lensanya kemana hendak difokuskan dan hanya menanti objek utamanya yang akan melintas di hadapan kameranya. Begitu juga dengan setiap kru yang lain yang sentiasa bersedia menerima arahan daripada sang Pengarah. 
  Dia bangun dari kerusi yang didudukinya. Tidak mahu lagi membuang masa berjeda hanya kerana tingkah sesaorang yang sangat memualkan hatinya.
“Sudah. Kemas barang-barang semua. Kita berambus.” Jeritnya pada kru-kru penggambaran. Masing-masing lintang-pukang mengemas berbagai peralatan lampu, kamera dan prop memasukannya ke dalam van yang sedia ternganga pintunya.
Johan melangkah pantas meredah angin yang bertiup tiba-tiba menampar wajahnya menuju ke keretanya yang diparkir di pinggir jalan di bawah rimbunan pohon ketapang. Di sisi ketapang ada pohon dedap yang merah menyala bunganya tapi tidak punya harumannya.
Dia mendongak sedikit melihat bunga-bunga dedap yang sedang galak berbunga itu. Dan tersenyum sinis mengenangkan sesuatu dan memberi tamsil sesuatu berlandaskan pada kecantikan bunga dedap itu.
Cantik bunganya tetapi tidak berbau wangi. Tinggi pula letaknya di atas pohon di hujung daun. Ah! Lupakanlah. Usah difikir keterlaluan. Bisik hatinya.
Penggambaran kali ini tertunda kerana olah seorang dramatisnya. Situasi sebegini bukan sekali dua dialaminya. Sudah acap kali. Sangat hairan di hatinya, sikap seseorang yang dibayar dengan tinggi untuk melaksanakan tugasan yang disangkut ke bahunya tetapi melakukannya sambil lewa dan tidak ada komitmen yang fokus. Sepatutnya seseorang itu menjayakan tugasan yang diberi kepadanya dengan penuh tanggung-jawab.

                                                             *    *    *

Sarina sedang memandu Wira hitamnya. Anita di sebelahnya menemaninya seperti selalu. Wajahnya kelat menggambarkan perasaannya yang suram, tidak tenteram gara-gara perilaku Sarina. Tetapi Sarina langsung tidak mengambil kisah. Selamba sahaja. Dia tahu Anita sedang memandangnya dengan sinis. Dia tidak ambil pusing pun.
“Pasal kau lah shooting kensel hari ni. Kau tidak patut buat abang Jo begitu.” Suara Anita tinggi sedikit tonasinya seakan hendak menempelak. Tetapi dikawalnya agar tidak terlalu ketara.
“Apa pulak salah aku? Tiba-tiba saja dia angin satu badan, aku nak buat macam mana?” Sarina membalas kata-kata Anita dengan sanggahan alasan yang memenangkan dirinya. Apa pun dia tidak mahu kalah dan tidak merasa langsung bahawa dirinya yang patut di persalahkan.
‘Johan tu yang tak reti nak bersabar. Salah kita sikit nampak je. Nak tunjuk sangat kononnya dia tu berkuasa dan boleh marahkan orang ikut suka…boleh belah. Ini Sarinalah.’ Dia menggumam dalam diamnya.
“Memang pun salah kau. Talipon kau tu asyik berbunyi je. Dahlah tu budak ekstra tu asyik terlupa dialog je, manalah dia tidak berang.” Anita melepaskan pandangannya ke jalan raya yang disesaki kereta berjejal-jejal menghala arah yang tidak diketahuinya.
Di pinggiran jalan anak-anak sekolah beruniform lengkap sedang berjalan ke pondok menunggu bas dan ada yang telah duduk di bangkunya menunggu bas tiba. Dia terkenang-kenang melalui saat-saat itu bersama Sarina di kampungnya suatu ketika dulu.
“Ah sudahlah. Elok juga tidak sambung shooting, kan kita ada janji hendak bertemu dengan Datuk Shaari.” Ujar Sarina masih mempertahankan kewajaran sikapnya yang mengambil mudah dalam menangani sesuatu perkara.
Hilang terbang memori itu di tepis suara Sarina yang mengawang di ruang maya.. Dia kembali berhadapan dengan Sarina hari ini. Bukan Sarina sepuluh tahun lalu. Wajah itu ditatapnya polos.
Anita terpinga-pinga mendengar tutur bicara Sarina dan sukar menghadam-lumatkan maksudnyanya. Dia terkeliru dengan nawaitu itu. Apa pula motifnya kali ini. Dia tertanya-tanya. Siapa pula agaknya watak terbaru yang tiba-tiba berada di dalam drama hidup peribadi kawannya itu. bingung pula dirinya memikirkan gelagat Sarina.
“Datuk Shaari mana pulak ni? Hari tu Datuk Shamsi. Hari ni Datuk Shaari pulak. Sampai bila kau hendak berhenti kerat orang-orang tua tu hah?” rasa jengkel hatinya yang tidak senang dengan tingkah temannya itu terhambur juga.
Mudah-mudahan niat baiknya hendak menegur sikap kawannya yang keterlaluan pada pandangannya tidak di salah-ertikan. Hatta Sarina mahu menerimanya dengan baik. Seorang rakan yang baik wajar menegur rakannya sekiranya tingkahnya itu semakin keterlewatan dari batas-batas hidup yang bernilai. Anita memegang kepada prinsip itu.
“Kau cakap tu baik-baik sikit. Mulut kau tu ada insuran ke? Bila masa pula aku kerat orang-orang tu. Datuk-datuk tu yang murah hati sangat. Sanggup berhabis duit kerana aku. Dia orang bagi, aku ambil. Rezeki jatuh ke riba, buat apa hendak ditolak. Membazir saja. Membazir tu bukankah kerja syaitan.” Dia tersenyum senang.
Bijak pula mengutip firman yang terbiasa pada pendengarannya setiap kali menjelang bulan Romadan. Alim ulama, ustaz, ustazah sering mengingatkan muslimin-muslimat jangan menyediakan juadah secara berlebihan sewaktu hendak berbuka puasa kerana tidak semuanya habis dimakan.
Bila tidak habis dimakan tentulah dibuang dan membazir. Janganlah membazir kerana membazir itu kesukaan syaitan. Dan mencemari kesucian bulan yang mulia. Pantas saja dia mengutip kalimat itu dan mengulangi menyebutnya di hadapan kawannya yang terkedu. Terkesima.
 Langsung tidak mempedulikan ocehan temannya yang sentiasa dianggap hendak mengatur cara hidupnya. Dia merasa dia jauh lebih berpengalaman dari Anita dalam mengharungi hidup sebagai artis. Dia cukup arif. Dan Anita tidak perlu menegurnya begitu begini. Sebaliknya Anitalah yang sepatutnya mendengar dan menuruti apapun katanya.
“Kau hantar aku balik dulu. Aku penat. Hendak berehat. Lagipun banyak kerja yang hendak dibuat sebelum kita bertolak ke pulau. Kau hendak pergi jumpa Datuk mana sekalipun kau pergi. Aku tidak akan ganggu urusan kau. Dan jangan pandai-pandai nak libatkan aku pulak.” Anita tidak kuasa lagi hendak bertegang leher dengan Sarina yang sukar dirubah sifat kebiasaannya itu.
“Ala Nita please…Ini kali pertama aku jumpa Datuk tu. Kawan aku si Amin tu baik dengan Datuk tu. Dia jadi pembantu Datuk tu. Kau ikutlah aku temankan aku. Aku tidaklah malu seorang diri.” Dia menyentuh bahu Anita dengan tangan kirinya lunak. Sementara tangan kanannya kemas memegang stereng keretanya, mengawal pergerakanya agar tidak tersasar dari laluan sebenar..
“Selama ini bila kau keluar bertemu datuk-datuk, aku tidak pernah pun temankan. Kau tidak pernah sebut pun kau malu hendak berjumpa datuk-datuk yang kaya raya tu? Pelik sungguh. Kalau malu tidak payah jumpa. Lagipun kawan kau Amin tu kan ada. Tentulah dia boleh menjadi teman kau.”
Sarina sibuk mencari alasan untuk meyakinkan Anita agar mahu menemaninya.
  “Eh Amin. Amin kata dia tak ada. Tolonglah aku. Bukankah kau ni satu-satunya kawan baik aku. Susah senang kita sentiasa bersama.” Di matanya terawang-awang gelagatnya yang sentiasa mengganggu Anita membuat kerja-kerja sekolah yang diberi gurunya dengan mengajaknya mencari ikan di tengah sawah atau ronda-ronda di kuala melihat nelayan pulang dari laut.
Sewaktu kecilnya dia tidak langsung memperhatikan tentang pencapaian pembelajarannya di sekolah. Dia selesa dengan cara hidupnya yang sentiasa bersenang-senang dan mengabaikan kepentingan pelajaran.
Tetapi sikap Anita berbeza. Meski dia berkawan baik dengan Sarina tetapi sikap Sarina yang merugikan dirinya itu tidak mempengaruhinya.
“Ah itu bukan masalah aku.” Sarina terpana, menarik wajah masam mencuka demi mendengar buah bicara temannya. Dia tidak gemarkan jawapan yang singgah di cupingnya itu. Dia memecut keretanya dengan laju tanpa memperdulikan Anita yang kecut perut dan beristigfar bertali-temali.
“ Astagsfirullah. Hati-hati sikit memandu tu Ina. Apa yang hendak kau kejar. Datuk tu memang tak lari. Dia sedang tunggu kau tu. Dengan senyum manis dan rezeki yang melimpah-limpah hendak dicurahkannya ke riba kau.” Anita merasa kecut perutnya lantaran ketakutan bimbangkan aral yang akan menggangu kerana sikap Sarina memandu dengan tidak berhati-hati itu.
Memandu dengan berwaspada untuk mengelakan kemalangan dari terjadipun belum tentu terjamin keselamatannya, apa lagi jika memandu dengan cuai. Seakan dengan sengaja hendak mengundang nahas. Anita ngeri sekali memikirkan itu. Wajahnya pucat lesi. Kata orang ditoreh tidak berdarah. Hanya sekadar kata.
Sarina tersenyum polos. ‘Rasakan kau Nita. Tahu kau kecut perut.’ Dia menarik kakinya dari menekan pedal minyak. Kelajuan kereta yang dipandunya menurun normal.
Anita menghela nafas panjang dan mengurut dadanya.
                                                  

                                           

Thursday, 20 September 2012

DI PERJALANAN INI

DI PERJALANAN INI KITA BERTEMU
SETELAH DI PERSIMPANGAN BERPISAH PULA
SELEKOH ITU MENYINGKIRKAN PANDANGAN MATA

MAYA MENEMUKAN KITA SEMULA
SETELAH BERPISAH SEKIAN LAMA

TERLAKARLAH BICARA CANDA
DARI WAKTU KE WAKTU

DAN WAKTU MENETAPKAN
PERTEMUAN TERUNGKAI DENGAN  PERPISAHAN

HANYA SEBENTAR BERBAHAGIA MENGUBAT LARA

HADIRMU DI UJUNG MALAM MENEMANI MIMPI
MEMBAWA KABAR DUKA
BAHAWA KITA BERPISAH JUA...

SETIAP KALI MEMBACA NOTA-NOTAMU
TERIMBAU WAJAH POLOSMU
MENGARANG KENANGAN PILU.....

AL FATIHAH Untukmu sdra RUSDAN TEH...sahabatku.


Tuesday, 18 September 2012

PUDING-PUDINGAN

Bukan puding desert tu... tapi puding tanam-tanaman. Puding memang cantik warna daunnya dan beraneka. Begitu juga dengan bentuk daunnya yang yang pelbagai rupa.

Cara menanam puding tidaklah susah, ambil saja keratan batang dan buang sedikit kulitnya bahagian hujung; cucuk ke dalam polibeg yang diisi tanah bercampur sedikit pasir. Biar padat agar keratan batang puding elok berdiri tegak.

Apabila banyak tunas baru yang keluar bolehlah ditanam ke tempat yang ditentukan.

Puding ini selain cantik dipandang boleh juga dijadikan sayuran atau rampaian kepada jenis masakan rendang dll.

Sunday, 16 September 2012

SYHH...GOSSIP-GOSSIPAN

"Aku nak cerita kat hampa ni...hampa jangan cerita kat orang lain pulak..." Kedua-dua rakan sejiranan tersengih saja tanpa mengaku apa-apa.

"Cerita apa tu sampai kak Sah beria berpesan gitu..."

"Hampa tau sebenarnya bakal menantu Ani tu bukannya peguam...takdak kerja apapun..."
"Mana kak Sah tau...pandai-pandai jer bawa cerita..." Soal Idah yang memang rapat dengan Ani ragu.
"Aku tahulah...anak saudara aku bukan ke berkawan dengan budak tu..."

"Ishy nampak bergaya je dengan kereta besar takkan takde kerja..."
"Bergaya dengan kereta pinjam," balas kak Sah sinis.
                 
Di suatu hari.

"Apa yang riuh-riuh kat rumah kak Sah malam tadi?" Ina bersuara.
"Ani dan anak beranaknya bertengkar dengan kak Sah, katanya kak Sah cerita bukan-bukan tentang bakal menantunya..."
"Mesti sebab kau yang sampaikan pada Ani cerita kak Sah hari tu kan..."
Idah tersengih saja.

Saturday, 15 September 2012

SENANG SANGATKAH BERANAK?

"Senang sangatkah beranak tu?"
"Kenapa kak tanya gitu?"
"Yele nampak la ni macam beranak tu senang sangat sebab selalu saja ada berita orang beranak lepas tu dibuang merata." Kak Yah terdiam seketika sebelum bicaranya bersambung lagi.
"Aku dulu nak kahwin pun takut, takut kena beranak. Beranak tu sakit sangat ooo, bertarung nyawa antara hidup dengan mati nak melahirkan nyawa baru ke dunia. Sebab tu ada yang koma bertahun-tahun dan mati kerana beranak. Ingat beranak ni main-main ke, suka-suka hati je nak beranak. Beranak berani sangat tapi nak membelanya tak berani pulak ye..."
"Isyh kak Yah ni tak baik kata gitu...masalah orang kita tahu..."
Allah menurunkan ujian terhadap hamba-hamba-Nya dan kita harus bersedia mencari solusinya.
Sebelum beranak perlu berada dalam dunia perkahwinan. Alam perkahwinan sarat dengan cabaran. Apalagi setelah beranakpinak. Jadi sebelum beranak sediakan diri untuk menghadapi segala kemungkinan.

Friday, 14 September 2012

SELIRATAN CINTA BAB 17/2


“Habis… sudah muktamat keputusan untuk balik kampung jadi graduan pengurus kebun sawit?” Tanya Rizal kepada Fareez yang sudah menghabiskan suapan terakhir mi goreng di pinggannya.
Dia meletakan garfu dan sudu di atas pinggan dan menyodorkan nya ke tengah meja. Milo ais di dalam gelas tinggi dihirup pula sehingga tinggal ketul-ketul ais di dasarnya yang bakal mencair sendiri.
“Nampaknya sudah tiada alternatif lain, terpaksalah ke situ. Seperti ikan pulang ke lubuk. Sirih pulang ke gagang. Pinang pulang ke tampuk. Tak gitu?” tersengih Rizal mendengarkan perumpamaan atau bidalan entah yang mana satu kartegorinya ditutur teman itu.
Dia minat juga dengan subjek bahasa Melayu semasa bersekolah tetapi baginya amat rumit memahami segenap perkara yang bersangkut-paut dengannya. Dia amat keliru hendak membezakan antara perumpamaan, pepatah-petitih, peribahasa, bidalan, simpulan bahasa atau kosa kata.
Baginya semua sama. Bahasa Melayu yang sangat indah itu sudah menjadi sesuatu yang menyulitkan daya fikirnya pula. Dia lebih suka subjek sejarah kerana hanya perlu mengingat fakta yang tetap.
Tidak perlu terlalu berfikir kreatif untuk menghasilkan pantun atau syair. Lebih-lebih lagi gurindam atau puisi yang puitis. Biarlah mengkaji sejarah yang restrospektif sifatnya. Dia suka. Dia merasa dia bukan dilahirkan untuk menjadi seorang sasterawan.
“Aku ni sudah lama berada dalam suasana yang sama sejak lama dahulu. Bila aku lahir saja, aku sudah nampak pokok sawit menghijau di hujung kampung. Sentiasa bermain-main di ladang sawit, menolong ayah aku membersih ladang, membaja, pruning, meracun semak dan berbagai kerja lagi. Macam kau kata kerjanya berat dan perlukan kederat. Kalau boleh aku nak juga mencuba dan merasai suasana yang baru selain berada di sekeliling pokok-pokok sawit. Kata cikgu aku semasa aku sekolah dulu, luaskan sikit pandangan jangan hanya berfikir di lengkongan mandala sawit saja.” Lirih sekali graduan Kejuruteraan Alam Sekitar itu bersuara.
“Eh… begitu pula… kalau gitu apa kata kau ikut aku saja? Selesai masalah kau.” Spontan saja saranan itu meluncur di bibirnya. Seakan jawapan sebegitu memang ditunggu-tunggunya.
“Nak buat apa? Sepatutnya aku yang ajak kau ikut aku. Kau pun bukan ada kerja. Kalau kau ikut aku kita boleh sama-sama menolong ayah aku menguruskan kebun dan ternakan lembunya. Banyak juga lembu yang ayah aku bela. Lebih dari 100 ekor rasanya. Ayah aku tu tidaklah kaya tapi hidup kami sekeluarga tidak susah.
Bagaimana kalau kita buka perniagaan yang berasaskan tani? Kita buka ladang ternak lembu secara besar-besaran. Sekarang ini permintaan untuk daging lembu sentiasa meningkat. Terutama untuk musim perayaan dan musim kenduri kahwin. Banyak lagi yang sedang aku fikir untuk majukan lagi usaha ternak ayah aku tu. Apa kata kau join aku. ”Fareez membuat usulan yang amat meyakinkan sambil merenung Rizal memohon kata putusnya.
“Soal perniagaan tu kita fikirkan kemudian. Aku memang nak beritahu kau dari tadi tap…i,” ujar Rizal tersekat-sekat. Fareez tersenyum dan segera mencelah.
“Kenapa? Apa dia? Kau tidak ada duit hendak bayar minuman dan makanan ni? Tak ada hal..aku ada duit... tapi nampak gaya dressing macam anak lord je.” Fareez merenung Rizal dari hujung rambut hingga hujung kaki. Maknanya menyeluruhi dari atas ke bawah. Sungguh segak bergaya.
Tetapi dia hairan kenapa penafsiran tentang teman barunya itu bercanggah dari penilaiannya. Nampaknya keupayaan seseorang itu tidak boleh diukur dari penampilan luarannya saja. Fareez memutuskannya begitu.
“Bukan begitu.” Sahut Rizal tersenyum melihat gelagat Fareez yang memandangnya seperti seorang Pegawai Polis sedang menginterograsi seorang pesalah berat. Dia pasti Fareez telah menanam benih prasangka serong terhadapnya. Dia tidak menyalahkan Fareez kerana berpemikiran sebegitu.
“Nampak gayanya, aku terpaksa tukar cara aku berpakaian.” Sahut Rizal tersengih dan serba tidak kena.
“Kenapa pulak. Okaylah tu apa.” Fareez semakin menyedari sikapnya itu membuatkan temannya itu tidak senang duduk. Dia cuba untuk menjernihkan suasana kembali. Tidak mahu menimbulkan ketegangan di tengah perkenalan yang mula hendak terjalen dengan mesra.
“Apa pun aku hendak kau ikut aku. Nanti kita tengok apa yang boleh kita sama-sama buat untuk mengubah penghidupan kita. Kau kata kau dah jemu tinggal di kebun sawit kan? Kau nak pula rasa pengalaman baru?”
Fareez terangguk-angguk mengakuinya. Memang itupun pengharapannya.
Rizal mengangkat tangannya membawa ke hadapan mukanya memerhati jarum jam yang berputar setiap detik.
“Aku rasa bas ke timur sudah hendak bertolak ni. Elok kita cepat-cepat ke stesyen sana, nanti terlepas bas susah pula.”
Rizal membayar harga minuman dan makanan yang telah dimakan sebentar tadi. Kedua-duanya melangkah meninggalkan restoran kecil itu menghala ke setesyen bas yang terletak di bahagian bawah bangunan itu.

                                           *    *    *

Rizal memandang keluar bas dari jendela yang dibiarkannya terbuka. Menikmati panorama alam sekitar di sepanjang lebuhraya. Lembah Kelang sudah ditinggalkan. Kini laluan bas sedang memasuki lebuhraya Karak arah ke timur.
Lebuhraya yang dibina dengan teknologi tinggi Korea itu melalui banjaran Titiwangsa yang menjadi mangsa tarahannya.Di kiri-kanan jalannya terserlah kehijauan hutan belantara yang di selangi di antaranya ladang sawit dan getah juga dusun-dusun buah-buahan. Tidak ada sebarang bangunan yang tegak berdiri di sepanjang lebuhraya kecuali plaza tol dan kawasan rehat dan rawat berdekatan bandar Temerloh.
 Di sisinya Fareez sedang membelek-belek sebuah majalah hiburan yang dibelinya di kedai di Hentian Putra.
 Wajah yang tertera di kulit luarnya tersenyum kepadanya. Cantik dan manis orangnya pada pandangannya. Rizal hanya mengerling gelagat temannya itu yang mula menyelak sehelai demi sehelai lembaran majalah itu.
Ketika itu juga lantas ia terkenangkan mamanya. Mamanya yang gemar membaca majalah seperti Fareez. Hatinya diserbu sayu mengenangkan kesedihan mamanya yang ditinggalkan hanya kerana kepentingan dirinya ingin mencari ketenangan jiwa. Menyesal pula rasanya. Tetapi langkah yang dibuat, pantang undur baginya.
Dia cuba melelapkan matanya, cuba melupakan gangguan-gangguan yang mengasak jiwanya. Bas terus melaju di lebuh raya pantai timur yang baru saja siap pembinaannya.                 

                                        

Thursday, 13 September 2012

JOM TENGOK ORKID-ORKID YANG BARU NAK KEMBANG

Suka sangat hati melihat orkid-orkid yang baru mengorak kelopak. Kebanyakannya jenis hybrid dan vanda yang harum bunganya. Harganya kala dibeli dulu minima saja. Tak mampu nak beli orkid yang mahal. Tapi ok juga walau tak mahal tapi rajin berbunga. Tidaklah kita hanya memandang daunnya yang hijau semata.

Monday, 10 September 2012

MUSIM EXAM EXAM EXAM LAGI

"Kenapa asyik melamun saja...tak lama lagi kan nak periksa. Kata nak jadi dokter...macamanalah nak jadi doktor kalau study pun malas. Apa yang kita cita-citakan mesti dibentuk sejak awal lagi tau...ini belajar malas, cita-cita bukan main tinggi lagi. Umur masih muda lagi tapi sudah pandai nak bercinta...dah tu mula tak ingat dunia...asyik berangankan rupa boyfriend je. Belajar pun main-main. Dibuatnya boyfriend awak tu berjaya cemerlang dalam exam dan masuk universiti tinggallah awak termangu-mangu menyesal tak sudah. Sebelum terlewat mulalah gigih belajar tolong diri sendiri mencapai kejayaan. Berangan tu tak sampai kemana...."

'Betul juga kata emak tu. Kalau aku gagal exam alangkah malunya. Sedangkan aku dan dia sering bersaing di dalam exam untuk mendapat tempat pertama. Tapi bila aku tahu dia sukakan aku entah kenapa hatiku bagai terawang-awang kesukaan amat dan mula mencuaikan komitmenku terhadap pelajaran. Bodohnyalah aku. Tak boleh jadi ni...aku mesti bangkit menggapai cita-citaku. Masakan membiarkan dia seorang ke universiti sedangkan aku tertinggal di sini kerana kebodohan ku sendiri...'

"Sebelum masuk dewan exam tu buatlah sunat israk dulu...berdoalah semoga Allah permudahkan semua urusan sepertimana sinar mentari menyeluruhi alam ini. Solat hajat tu buatlah banyak-banyak  kali mohon agar Allah memperkenankan hajat yang diinginkan sebelum-sebelum tu...mak juga akan bacakan yasin untuk anak mak ni setiap hari agar anak makni tenang tika menjawab soalan..."

Demikian bicara yang pernah kedengaran antara emak dan anaknya pada suatu musim peperiksaan.

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR PMR SPM STPM BUAT SEMUA CALON-CALONNYA SEMOGA SUKSES CEMERLANG!


Saturday, 8 September 2012

SELIRATAN CINTA BAB 17


Rizal masih tercegat. Memandang bangunan Hentian Putra yang akan di masukinya sebentar lagi. Pandangannya merayau merata arah. Merayapi apa saja yang melintasi pandangannya.
Rizal mula melangkah masuk ke dalam bangunan itu tanpa berfikir panjang lagi. Sibuk sekali suasananya dengan kerenah manusia yang mengisinya membawa tujuan hendak meneruskan perjalanan jauh dengan perkhidmatan bas yang disediakan di sini.
Dia melihat ramai yang sedang beratur hendak membeli tiket di sebuah kaunter untuk perjalanan ke timur. Dia turut beratur dan meletakan begnya di tepi kakinya. Rencananya tidak berubah lagi di antara empat arah yang akan di tujuinya.
Samaada ke selatan ke rumah datuk di sebelah ayah, ke utara ke rumah nenek sebelah ibu, ke barat ke rumah seorang kawan rapatnya yang sama-sama belajar dengannya di US. Hatinya menetapkan untuk ke timur.
Seorang lelaki mundar-mandir berdekatan dengannya. Rizal buat tidak peduli saja. Barangkali lelaki itu sedang berfikir untuk menyelesaikan sebuah masalah yang rumit. Sebab itulah lelaki itu mundar-mandir saja sambil wajahnya menunduk ke bawah. Dia tidak menyangka yang lain selain itu. Dia ralit menyaksikan petugas di kaunter menghulurkan tiket bas yang di beli kepada seorang lepas seorang.
Tiba-tiba saja lelaki yang mundar-mandir itu menyambar beg Rizal. Rizal terpana melihat begnya di bawa lari. Seorang lelaki yang kebetulan melihat insiden itu bertindak berani dengan menampan lelaki itu dengan kaki yang diangkatnya tinggi hingga lelaki yang tersadung kakinya itu jatuh tersembam sewaktu dia melewatinya secara terburu-buru ingin melepaskan diri.
Beg itu segera disentaknya dari peragut itu. Lelaki itu terkaku panik. Dia memandang lelaki yang menjatuhkannya itu dengan pandangan gamam dan geram. Tidak menyangka sama-sekali bahawa strategi jenayahnya kali ini tertewas, tidak menjadi.
Ramai yang datang mengerumuninya. Masing-masing hendak melihat rupa sang penyangak yang kecundang itu dan juga rupa wira yang amat jarang boleh ditemui di dalam era kebanyakannya bersikap individualistik masakini. Hanya mementingkan kemaslahatan diri sendiri.
Rizal segera menerpa untuk mendapatkan begnya semula. Pengawal keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan bangunan dan isinya segera bergegas menghampiri lelaki yang jatuh tersungkur dan kedua-dua tangannya sedang dikilas seorang pemuda. Pengawal keselamatan itu mengambil alih tugas pemuda itu.
Si peragut segera dibawa keluar dari bangunan itu diiring dua orang lagi pengawal keselamatan kawan setugasnya.
“Terima kasih banyak saudara. Saya Rizalsyah. Saudara?” Rizal bersalaman dengan seorang pemuda sebaya dengannya, berwajah manis berbudi perkerti tinggi dan sanggup menolong sesaorang yang tidak dikenalinyapun. Sungguh mulia peri-lakunya. Demikian Rizal meletakan kayu ukuranya di bahu lelaki itu.
“Saya Fareez.” Dia memperkenalkan dirinya dengan gaya lembut bersopan. Senyumnya terorak manis di bibir. 
“Terima kasih banyak Fareez kerana sudi menolong saya. Jikalau beg saya tu hilang tentunya saya akan tersadai di sini dan tidak akan ke mana-mana.” Sekali lagi Rizal mengucapkan penghargaannya kepada kenalan barunya.
“Sama-sama. Saya menolong pun kerana saya berupaya menolong. Jikalau peragut tu lari ke arah lain tentu juga saya tidak terkejar dan berupaya menolong.” Ujar Fareez lembut merendah diri. Dia tidakpun merasa dirinya adalah wira sejati dan perlu menyombongkan diri.
“Jom lah saya belanja awak minum sebagai meraikan perkenalan kita dan sedikit penghargaan dari saya.” Rizal bersuara seperti kata pepatah orang berbudi kita berbahasa. Dan selari dengan kata pantun;
Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga.
Yang baik itu budi.
Yang indah itu bahasa.

“Gitu ke? Boleh saja. Tidak jadi masalah,” sahut Fareez mengatur langkah untuk memenuhi pelawaan Rizal. Mereka berjalan beriringan memasuki sebuah restoran kecil. Kali ini Rizal amat berhati-hati dengan beg yang dibawanya. Dia perlu lebih berwaspada agar kejadian yang berlaku sebentar tadi tidak berulang lagi. Begnya dipegang kemas dalam rangkulannya dan kejap.
Fareez dan Rizal sedang minum di medan selera Hentian Putra. Fareez memberitahu tujuannya berada di sini. Dia ingin pulang ke kampungnya setelah grad dari sebuah universiti awam di KL.
Sudah lama pula menumpang di rumah saudaranya menunggu peluang perkerjaan untuk dijawat tetapi langsung tidak ada. Kebanyakan temuduga yang dihadirinya di firma awam atau swasta menuntut pengalaman yang tiada padanya sebagai syarat utama.
Sekian lama menumpang di rumah saudara tanpa sebarang perkerjaan terasa juga tebal kulit mukanya. Hari ini dia bertekad untuk kembali ke kampungnya. Sungguh tidak diduga suratan hari ini menemukannya dengan sesaorang yang baik budi pada firasat hatinya ekoran insiden itu. Agaknya demikian yang tertulis di loh Mahfuz.
“Bila kau grad?” Rizal bertanya sambil tangannya mengacau air sirap bandung di dalam gelasnya agar sekata semua adunannya.
“Sudah lapan bulan. Aku tinggal dengan makcik aku di sini. Sudah banyak kerja yang dipohon, haram nak dapat. Semua kata aku tiada pengalaman kerja. Macam mana hendak ada pengalaman kerja kalau tidak pernah diberi peluang.” Protes Fareez pada alasan penolakan yang sengaja diada-adakan itu.
Dia pernah mendengar cerita jawatan yang diiklan itu hanya sebagai syarat semata-mata. Tetapi yang sebenarnya memang sudah ada pengganti. Kebanyakannya kroni kerabat staf dalam jabatan itu sendiri.
Dia tidak pasti kebenarannya. Tetapi jika ramai yang berkata demikian, susah juga hendak menyangkal wasangkanya. Memangpun dimaklumi setiap jabatan kerajaan atau swasta kebanyakan penjawatnya mempunyai relasi antara satu sama lain. Jikalau di dalam keluarga itu emak-ayahnya menjadi guru anak-anaknya juga semuanya terdorong ke lorong itu.
Begitu juga dalam bidang ketenteraan, polis atau sebagainya. Sedangkan dia yang dilahirkan sebagai anak petani di sebuah kampung pedalaman ingin mengubah persepsinya. Tidak mahu menjadi petani. Waima moden atau ortodok.
Susah sangat ke dapat kerja?” wajah teman di hadapannya direnung seluruhnya, tidak berkelip. Selama ini dia tidak pernah terfikir sampai begitu sekali keadaannya. Baginya peluang kerja sentiasa ada di syarikat milik bapanya.
Pokoknya samaada dia mahu berkerja dengan tidak saja. Bila-bila masa saja dia boleh menjadi jurutera kanan di syarikat perkapalan ayahnya.
“Sebab susah sangatlah aku nak balik kampung. Malu juga setelah merantau mencari kerja balik pula ke kampung dengan tangan kosong. Habuk pun tarak. Tapi takkan hendak menumpang rumah orang selamanya. Baiklah balik kampung. Boleh juga tolong ayah aku kait buah sawit. Sekarang ni peneroka tanah RKTP (Rancangan Kemajuan Tanah Persekutuan) sedang menuai hasil yang lumayan kerana harga BTS (Buah Tandan Segar) 520 RM bagi satu metrik tan. Jangkaannya harga komuditi itu akan melonjak lebih tinggi lagi. Ayah aku sekarang ni tentu tidak kisah sekiranya aku balik menolongnya di kebun. Ada juga hasil.”
“Lumayan juga hasilnya. Berapa luas kebun ayah kau?”
“Adalah lebih kurang 3.4 hektar atau dekat 10 ekar.”
“Tentu senang-senang boleh dapat 10 metrik tan buah sawit setiap bulankan? Jika 520RM harga BTB satu tan metrik maknanya ayah kau akan dapat 5200 RM untuk sekali tuaian. Wow hebat tu. Kalah gaji pengarah syarikat. Betul kata kau daripada jadi gelandangan di kota baiklah kau balik kampung jadi pengurus kebun sawit ayah kau tu. Tetapi kerjanya tentu sangat berat dan perlukan kudrat yang kuat.” Rizal terangguk-angguk menyetujui saranan kawannya.
Di samping memberi komen sebagai seorang anak yang tidak pernah merasa susah walau sedikit pun semenjak menjengah dunia..
“Kau jangan ingat pokok sawit tu akan sentiasa mengeluarkan hasil 10 metrik tan setiap bulan. Atau kali tuaian.
 Pokok pun ada moodnya. Ada masanya dia malas berbuah. Walau ditabur baja bertan-tan. Melawaslah dia.

 Kena musim buah sawit melawas melongolah peneroka macam ayah aku. Hasil yang ada pun cukup-cukup saja untuk sara-hidup.

 Bagi yang sentiasa beringat menabung semasa mewah tentu tidak akan merasa sebarang masalah sekiranya 

datang masa susah.” Rizal mendapat pengetahuan baru daripada satu sisi kehidupan yang tidak pernah dilaluinya.

Tuesday, 4 September 2012

ORKID BERBUNGA MERIAH MENYERI SYAWAL...

Kata Harliza Ramli seorang rakan fb, orkid-orkid saya habis mati kak, saya tak pandai jaga kot...

Sayangkan kalau orkid-orkid yang kita belai dan jaga mati kering semuanya.
Banyak juga orkid yangku beli di nurseri mati kering kerana aku tak berapa arif nak menjaganya. Lama kelamaan pandailah sikit.

Orkid ni perlu disiram setiap hari. Ada jenis orkid hybrid dan butterfly yang langsung tidak boleh terdedah kepada cahaya matari yang berlebihan.

Orkid-orkidku dibaja setiap dua minggu sekali dengan menggunakan tahi kambing yang sudah siap diproses. Caranya dengan mengambil beberapa sekup baja mengikut jumlah orkid yang hendak dibaja dan merendamnya selama seminggu. Kemudian bolehlah disiramkan. Jikalau ada tunas baru elakan terkena siraman baja takut mapus pula tunas tu...menulis dari pengalamanlah tu,,,

Semenjak kugunakan baja ini orkid-orkid rajin sungguh berbunga. Dan akupun leka menatapi keindahannya.

Saturday, 1 September 2012

SELIRATAN CINTA BAB 16


Kontrak perjanjian untuk berlakon di dalam sebuah drama terbaru terbitan syarikat Drama Kita sedang ditandatangani Anita dan Sarina. Anita begitu teruja bila membaca sekali imbas skrip drama yang mencatatkan lokasi penggambarannya akan diadakan di sebuah pulau yang indah di Pahang.
“Bila kami semua hendak berangkat ke sana Encik Rosli?” Tanya Anita.
“Sehari dua lagi. Pengurus Produksi saya masih di sana uruskan lokasi dan juga tempat penginapan semua yang terlibat di sana.” Anak matanya membalas pandangan Anita sebentar berkalih pula melihat Sarina yang keterujaan kerana kegembiraan yang dirasakan.
Sesekali melakukan penggambaran di lokasi yang agak jauh dari KL tentu dapat bertukar angin dan sungguh menyeronokannya. Banyak berjalan luas pandangan kata hati Sarina bertepatan dengan kesesuaian citarasanya.
“Wow shooting di pulau…seronoknya.” sela Sarina. Terseringai Sarina dengan sengihnya yang memperlihatkan barisan giginya yang putih bersih.
“Encik Rosli pun ikut sekali juga?” Tanya Anita kepada produser drama itu.
“Saya fikir tidak. Isteri saya tidak berapa sihat. Kenapa? Awak nak saya ikut sama ke?” Lelaki itu melirik wajah Anita dengan senyum. Sebuah wajah yang memiliki keperibadian yang sangat dikaguminya. Luhur dan ikhlas.
Jikalau dia belum lagi menikahi isterinya dia yakin cintanya akan berkalih kepada Anita pula. Selama ini ramai artis wanita yang cantik molek keluar-masuk produksinya tetapi langsung tidak diambil hirau. Kecuali yang ini. Tetapi terlambat pula mengenalinya setelah status bertukar daripada bujang kepada sudah berkahwin. Ralat juga hatinya. Namun pasrah pada ketentuan-Nya.
“Tidaklah. Kehadiran Encik Rosli di sisi isteri saya rasa lebih penting. Puan sakit apa Encik Rosli?” Rosli tersenyum menerima pertanyaan itu. Dia terkenangkan isterinya yang memesannya membeli buah-buahan yang masam untuk mengatasi selera pahit yang menguasai tekaknya. 
“Dia berbadan dua.” Perempuan yang hamil ini sangat banyak tingkahnya sehingga sukar lelaki sepertinya hendak memahaminya. Isterinya itu seorang yang indipenden. Tidak suka mengharapkan sesiapa membantunya dalam melakukan apa-apa perkara. Tetapi semenjak dia disahkan mengandung dan sentiasa loya-loya sikap ketidak-bergantungan kepada sesiapa telah berubah.
Dia sentiasa mengharapkan suaminya berada di sisinya selalu untuk memenuhi segenap permintaannya. Walaupun untuk mengambil segelas minuman untuk dirinya sendiri.
Kadang-kadang dia menganggapkan kerenah isterinya itu sengaja mengada-ngada. Tetapi kaum keluarga dan sahabat-handainya mengatakan elok diturutkan sahaja kehendak isteri yang hamil muda itu kerana biasanya bukan sifat semulajadinya tapi pembawaan bayi yang dikandungnya.
“Oh… tahniah. Tak lama lagi nak jadi ayah. Tentu seronok hendak menimang cahaya mata yang sulung.”
“Terima kasih.” Balasnya masih tersenyum manis. Wajah isteri yang sering mengingatkannya jangan terlalu rapat berhubungan dengan artis-artis di produksinya terbayang-bayang di kelopak matanya.
Cemburu seorang isteri yang menggambar cinta kasihnya yang terlalu, sekukuh tugu terhadap suaminya yang meranapkan semua harapan lain berpuing-puing menjadi debu-debu berterbangan. Hilang sudah ‘Anitanya’ dari imiginasi kabur.
Johan masuk melepasi Lela yang tersenyum kepadanya. Dia menunjukan kepada Lela majalah yang sedang ditatangnya. Lela ingin merebut majalah itu dari tangannya kerana terpandangkan gadis manis yang dikenalinya menjadi penghias muka hadapan kulitnya.
‘Nanti dulu. Aku hendak ke dalam menunjukannya pada produser dulu.’ Barangkali itu maksud kata isyarat mata yang diberikan pada tafsiran Lela.
‘Masuklah ke dalam, Encik Rosli pun ada tu.’ Demikian bisik hati Lela.
“Amboi…hari tu bukan main banyak alasan awak, tidak mahu pergi sesi penggambaran hari tu. Tapi Encik Rosli tengoklah gambar-gambar dia. Bukan main posing lagi. Mengancam habis.” Sarina dan Anita segera menghampiri Johan, tidak sabar lagi hendak melihat wajah kedua-duanya yang terpapar di majalah.
Sarina sibuk mengerling mencari wajahnya di ruangan itu. Tetapi tidak ada. Dia berharap aksinya akan tertera di ruangan sebaliknya.
“Nita tidak mahu pose begitu tapi jurugambar tu yang lebih-lebih. Itu pun banyak lagi pose yang Nita tolak.” Anita menceritakan perihal sebenarnya.
Ala macam mana hendak himpun peminat kalau setakat posing macam ni pun takut. Dan terkial-kial. Tak bergaya langsung. Tidak layak jadi artis kalau setakat posing biasa macam ni.” Sarina melepaskan sindiran pedasnya.
Anita terasa darah menyirap ke muka. Wajahnya bera. Rosli dan Johan saling pandang memandang. Kedua-duanya memang tidak hairan kerana pergeseran sesama artis, bersinggit hati antara satu sama lain memang perkara lumrah. Sentiasa saja berlaku di persada seni yang kecil ini.
Kadang-kadang sehingga sanggup membawanya ke mahkamah untuk mendapat pengadilan. Dan diberi liputan besar-besaran seperti kes yang melibatkan S. Aini dan S. Nurhaliza hanya kerana angkara mulut. Siapa yang salah, siapa yang benar, mahkamahpun tidak dapat memutuskannya. Kesnya hanya tergantung disitu dan akhirnya bakal dibuang dari fail ke dalam bakul sampah.           
Rosli melirik ke arah Anita yang terdiam tidak membalas. Dia faham hati Anita terguris. Dia dapat merasakan kedua-dua dramatis yang sering membintangi drama terbitan syarikatnya memang memiliki dua personaliti yang jauh berbeza.
Seorangnya begitu lepas laku dan seakan hanyut dengan dunia glamor yang tidak berpijak di bumi nyata. Sentiasa berada di awang-awangan dan merasakan dunia ini hanya statik di situ tidak berpusing-pusing membawa usia mengikut masa.
Sementara seorang lagi sentiasa menjaga adab dan tata susila seorang gadis yang tertib dan sopan walaupun berada di dalam dunia yang mengangap semua itu tidak relevan lagi.
Tapi kedua-dua sifat itu adalah gandingan serasi yang sensasi untuk menarik khalayak memilihnya. Ada pro dan kontranya. Sifat negatif dan positif itu sentiasa mewarnai kehidupan beriring-iringan seperti yang sering terpapar dalam setiap drama di TV. Ada watak protogonis dan antagonis.
“Jo jangan lupa bawa kamera ya. Saya perlukan still photos penggambaran di pulau nanti untuk diedarkan kepada media.”
“Jangan lupa gambar saya Encik Rosli.” Sarina tidak malu-malu menuturkan pesanan. Dia mengharapkan juga gambar cantiknya akan terpapar di merata media utama kerana pembambitannya dalam drama itu. Peranannya sebagai pelakon pembantu pun besar juga peranannya.
“Sudah tentu.” Balas Johan bersahaja.

                                         
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...