Thursday, 29 March 2012

Seliratan cinta bab 6


                                          

Malam sedang berangsur pelan-pelan meninggalkan tetamu-tetamunya yang leka.
Datuk Shaari sedang santai di lounge sebuah hotel dengan ditemani Amin dan Rozana. Mereka baru sahaja selesai menikmati hidangan makan malam yang menyelerakan.
“Maaf Datuk, saya nak ke bilik air sebentar.” Rozana bangun dari duduknya. Tas tangan mahal hadiah dari Datuk Shaari diberikan pada Amin tentulah dengan niat ‘kau tolong jaga ya.’ Meski tidak dizahirkannya menjadi sebutan. Amin memang memahami maksudnya. Dia bersedia mempertahankan kepercayaan orang kepadanya. Apa lagi Rozana.
“Eh berani ke pergi sendiri ni? Nak saya temankan?” ujar Shaari lunak.
Its okay. I pergi sorang pun boleh.”
Rozana tersenyum mendengar itu. Dia segera berlalu dengan diiringi pandangan Datuk Shaari dan Amin. Datuk Shaari mengangkat jari telunjuknya menunjukan maksud ‘bagus’. Hanya dia yang memahami maksud ‘bagus’ itu. Amin tidak ambil peduli apapun tanggapan datuk itu.
Ketiadaan Rozana membebaskan matanya melilau merata. Dia menghalakan pandangan ke arah satu sudut. Tiba-tiba dia ternampak sekumpulan model jelita keluar dari lif. Matanya terpaku memandang. Terpesona amat. Cantik-cantik.
Kesemuanya laksana sekumpulan rerama yang berwarna-warni coraknya sedang mengepak sayap kecilnya. Sungguh teruja memandangnya. Amat mempesonakan mata.
Seorang waiter lalu di sisinya menuju ke arah  pelanggan yang sedang menunggu khidmatnya. Datuk Shaari memegang tangan lelaki itu dengan sopan.
Tidak terlalu keras menariknya kerana bimbang apa yang ingin diketahuinya tidak dilayani sekiranya bersikap terlalu kasar. Sesaorang itu sentiasa memiliki perasaan halus di jiwanya dan harus dijaga agar tidak tercalar. Firasat hatinya mengatakannya. Dia masih ada sifat sopan dan tahu menghormati perasaan orang lain.
“Siapa tu?” Pemuda waiter yang memiliki raut wajah yang tampan itu menoleh ke arah yang ditunjukan lelaki yang belum melepaskan pegangannya pada tangan kirinya.
“Oh itu. Nadia. Dia model. Di atas tu ada ‘fesyen show.’ Dah habislah agaknya.”
“Ye ke? Terima kasih.” Waiter itu meninggalkan pelanggan yang bertanya dan mengganggu perjalanannya untuk melakukan tugasan seterusnya. Pelanggan itu menghadiahkannya segaris senyuman manis yang menenangkan perasaannya. Memberi sedikit kekuatan pada jiwanya untuk meneruskan tugasnya seterusnya yang ternyata sangat memenatkan. Dan menuntut terlalu banyak kesabaran untuk berhadapan dengan pelanggan-pelanggan yang beragam kerenahnya.
Datuk Shaari memandang Amin yang terpana menanti buah ucapan yang bakal terhambur menjadi beban kepadanya. Dia yakin akan jadi begitu.
“Nadia... sedap nama dia. Seayu wajahnya kan Amin.” Pandangannya tepat menujah anak mata yang terkedip-kedip merenungnya di hadapannya.
“Saya faham Datuk. Tersangat faham. Bila?” Tersengih Amin sambil menutur kalimat itu.
Anytime. Lagi cepat lagi bagus.” Shaari terpandangkan Rozana yang mengatur langkah laksana model di pentas peragaan menghampirinya. ‘Dia datang!’ Lagu ghazal Ahmad Fadzil dari Johor itu yang malar hijau itu terdendang di telinganya.”
“Dia dah datang tu, jaga mulut.” Katanya kepada Amin. Rozana menempati semula kerusi yang ditinggalkannya. Dia menarik kerusinya hampir bersebelahan dengan Datuk Shaari. Rapat di sisinya.
“Amboi wanginya.” Aroma tubuhnya singgah lunak ke deria bau orang yang dekat dengannya. Bibirnya mengorak senyum ceria kerana merasa dirinya diberi perhatian. Juga penghargaan yang berbaur menurut pertimbangannya.
“Tak kenal ke bau ni?”
“Hah… bau apa hah..” hidungnya terkemut-kemut seakan kucing sedang menghidu bau ikan segar. Aksi yang melucukan itu menyebabkan Amin tersengih sinis. ‘Pandainyalah datukni melawak.’
“Ala Datuk ni. Ini kan bau perfume yang Datuk hadiahkan pada saya siang tadi. Baunya sangat harum dan lembut. Sesuai sekali dengan citarasa saya.”
“Ye ke? Maaf tak perasan tadi. Hidung saya ni pun pelupa juga ye.” Datuk Shaari tersengih dan tersenyum bodoh dengan lawak yang sengaja dibuatnya.
Fikiran Shaari melayang-layang hinggap pada meja Nadia dan rakan-rakannya yang sibuk bercerita tentang kejayaan persembahan sebentar tadi. Kehadiran Rozana di sisinya seakan tidak dipedulikannya. Dilupakannya.
Dia sudah terpikat pula dengan kecantikan Nadia. Dan asyik menatapnya tidak berkejip. Pada pandangannya sungguh tiada tolok bandingannya. Dia teruja. Perasaannya sudah menetap di situ.
“Datuk . ..hujung minggu ni ada parti di rumah kawan saya. Sudi tak Datuk temankan saya?” Suara Rozana yang lembut manja seperti tidak masuk ke dalam deria dengarnya. Hanya lalu saja dan melepasi cuping telinganya yang lebar dan tegak itu. Bebola matanya asyik mengerling kearah Nadia dan teman-temannya yang sedang riang bergelak-tawa.
“Eh Datuk ni dengar tak?” Dia masih alpa. Rozana merasa dirinya semakin dipinggirkan. Hatinya sebu dan layu.
“Datuk…” sergah Amin di sebelahnya.
“Hah…apa dia?” balas Datuk Shaari kalut dan terpinga-pinga. Dia kembali membawa pandangannya berhadapan dengan kedua-dua jasad yang tercongok di sisinya.
Rozana rusuh. Kehadirannya langsung tidak dipedulikan. Dirinya tidak dihargai lagi. Dan dia amat jauh hati. Datuk Shaari sibuk memberi perhatiannya terhadap Nadia, model cantik itu. Dia perasan itu.
Tas tangannya dicapai dan segera bergegas keluar dari ruang itu dengan deras dan kalut. ‘Datuk ni memang hidung belang. Pantang nampak perempuan ada rupa sikit, menggelitik macam cacing kepanasan. Aku tak rugi apa-apa kalau hilang dia pun. Ramai lagi Datuk yang lain sedang tunggu aku.’ Dengus hati Rozana.
“Eh...nak kemana tu?” Rozana tidak menjawab pertanyaan Amin itu. Langkahnya semakin jauh. Amin bangun cuba untuk menahannya. Tetapi Datuk Shaari memegang tangannya. Maknanya mencegahnya dari melakukan begitu. Dia duduk semula di kerusinya dengan rona rasa yang bercampur baur.
“Biarkan dia. Dia yang hendak balik. Bukan kita yang halau dia.” Shaari langsung tidak kisah dengan apa yang berlaku. Baginya sesiapa saja boleh duduk di sisinya sebagai seorang tetamu yang diundang.
Jikalau tetamu itu merasa tidak selesa bersamanya, dia tidak akan menahannya berlama di sisinya. Bolehlah kalau hendak angkat kaki ke mana saja. Sesuai dengan kemahuannya. Menurutnya kehendak dan kemahuan seseorang itu tidak boleh dipaksa-paksa. Wujudnya dengan sendiri sebagai naluri halus yang sukar dikekang.
“Susahlah macam ni Datuk. Dia tu kawan saya. Saya yang berusaha kenalkan dia pada Datuk. Apa pula kata dia pada saya nanti.” Amin merasa bersalah pula terhadap Rozana kerana Datuk yang diceritakan baik-budi dan perilakunya itu telah bersikap sebaliknya dalam sekelip mata. Memberi intepratasi diri yang melencong dari gambarannya.
“Biarkanlah…” sahut Datuk Shaari lembut cuba menenangkan hati pembantunya yang rusuh bersimpang-siur. Amin cuba melupakan kegundahan hatinya dan menumpukan perhatian pada reaksi baru yang bakal diwujudkan tuannya.
“Kau kenal model tu?” mulutnya dimuncungkan ke arah model yang dimaksudkannya.
“Kenal. Tapi gitu-gitu sajalah, tak kenal rapat. Kenal jugalah.”
“Kenapa kau tak bagitau aku?” Dia menggumam geram dengan sorotan mata yang tajam merenung Amin tidak berkejip.
“Ish Datuk ni. Takkan semua benda saya hendak bagi tau Datuk. Lagipun dia tu model tahap antara bangsa. Selalu ke luar negara. Jarang ada di sini.” Datuk Shaari sudah bangun dari duduknya. Tidak dipedulikannya omongan Amin tentang Nadia. Wajahnya serius lagi tegang.
Amin memandangnya sedikit hairan. Apa pula yang dimahukan Datuk itu kali ini? Dia menduga-duga kalut. Mencari-cari bohol rungkainya hendak dibuka. Belum terjumpa. Mindanya kusut dan berserabut memikirkannya.
“Aku nak balik. Kau tolong dapatkan nombor telefon dia.” Datuk Shaari sudah membawa dirinya yang tegap dan sedikit berisi menuju pintu keluar. Wajahnya yang serius meresahkan hati Amin.
Amin terpinga-pinga. Pandangannya dilontarkan ke arah  Nadia. Air di dalam gelas tinggi yang masih bersisa diteguknya pantas. ‘Kerja aku ni melayan kerenah Datuk ni nampaknya tidak akan habis-habis,’ getus hatinya. Dia segera bergerak pantas hendak menyaingi Datuk Shaari yang sudah jauh melangkah meninggalkannya.

                                                      

Friday, 23 March 2012

9 Mach 08

Anak bujangku baru saja pulang dari menghadiri taklimat/kursus tugasan sebagai kerani pilihanraya di pejabat daerah sini.

" Bila nak mengundi tu?" Tanyaku.
"Entah...kena tanya najib..{DS NAJIB}."

Aku tersengih menerima jawapan mudah itu sambil terkenangkan insiden mengundi dalam PRU12 8 Mach 08.
Hendak dijadikan cerita ic milikku tertinggal di Klinik Ihsan Kuala Terengganu kala aku mendapatkan rawatan sakitku di sana. Jadi aku rasa tak payahlah aku nak pergi mengundi kot. ic milikku itu sudah diambil dan disimpan keluarga di Terengganu tapi belum sampai kepadaku. Kalau hendak mengundi mesti nak gunakan ic.

Akupun leka dengan kerjaku di luar rumah sehingga jiranku memberitahu info yang diperolehinya daripada radio Pahang fm bahawa boleh mengundi dengan menggunakan dokumen penting diri yang lain selain ic. Suka hatiku mendengarnya. Dapatlah aku pergi mengundi walau nak berjalan pun tak berapa larat.
Aku bercadang nak gunakan kad OKU sebagai ganti ic.

Susah payah aku keluar mengundi dengan ditolong petugas-petugas undi di situ tetapi keputusan yangku harapkan menghampakanku dan ramai yang sealiran denganku.

Jangkaan jiranku yang mengatakan PRU kali ini ada geruhnya kerana ramai anakmuda yang memberi isyarat jari telunjuk ke bawah. Mungkin simbol kejatuhan.

Betul pula dugaan orang-orang biasa sepertiku dan jiranku idah kala diumumkan keputusan PRU12.
PKR DAP dan PAS saling bergandingan membentuk kerajaan dibeberapa buah negeri.

Sebelum ini telah berlaku beberapa kerumitan yang merunsingkan di dalam kerajaan sedia ada sehingga rakyat marhaen merasa mereka perlu mencari  parti alternatif yang kononnya akan menyelesaikan semua masalah yang terbentang.

Friday, 9 March 2012

Seliratan cinta bab 5/2


 Shopping Complex itu tidak begitu ramai pengunjungnya. Mungkin agaknya keadaan yang lengang itu disebabkan waktu sekarang orang-orang yang di opis sedang berkerja. Begitu juga di sekolah atau di tempat-tempat lain.
Bukan sekarang masanya untuk membeli-belah jika tidak teramat penting. Atau keperluan yang sangat mendesak. Biasanya sesaorang itu hanya akan melakukan urusan sampingan setelah menyelesaikan tugasan utama.
Dua orang lelaki sedang membelek perfume yang berjenama buatan luar negara yang diletakan di dalam lemari kaca yang khusus untuknya.. Barangkali lelaki-lelaki ini sudah usai tugas utamanya. Sekarang ini melakukan urusan sampingan pula.
“Yang ini wangi Datuk. Cuba cium.” Amin memberikan sebotol kecil minyak wangi kepada Dato Shaari. Dicapainya. Dia mencium baunya. Bergerak keningnya. Dahinya berkerut. Wajah yang bergaris dengan kerutan menjengah anak mata Amin. Menuturkan reaksi yang tidak disenanginya.
“Ini bau jantan. Tidak sesuai. Kau pilih untuk kau sudahlah. Biar aku yang pilih apa yang aku hendak.” Tegas sekali bunyi suaranya siap dengan arahannya.
“Saya pun boleh pilih juga ke?” Tanya Amin dengan penuh rasa gembira.
“Eh.. Tanya pulak dia. Sejak bila dah pandai bertanya ni. Sudah… kalau nak, pilih cepat. Jangan sampai aku ubah fikiran pula nanti.” Amin tidak sabar lagi hendak memiliki pewangi kesukaannya.
Dia tercari-cari jenama dari luar negara dengan harga yang tidak mampu dia membayarnya. Matanya liar menjengah segenap sisi.
‘Sesekali dapat merasa belanja Datuk biarlah berbaloi barang yang hendak dibeli. Orang hendak belanja, bukan kena beli sendiri. Lupakan dulu tentang kempen beli barangan tempatan. Barangan tempatanpun asasnya banyak elemen impot.’ Demikian kalbunya mencongak kira. Membenarkan keputusannya.
Melihat telatah Amin sebegitu Datuk Shaari menggelengkan kepala. Cepat pula Amin menemukan apa yang dicarinya. Dan  membawa pewangi pilihannya pada gadis jurujual yang tersenyum membalas sengihan lebar pelanggannya. Senyuman yang mempunyai makna yang tersendiri. Yang boleh ditafsir pemilik diri.
Datuk Shaari masih menilik pewangi-pewangi yang diimpot dari Peranchis dengan begitu teliti. Ternyata di kotaknya wangian itu yang di ekstrak dari bunga mawar, jasmine, lavender, anatalia dan aneka bunga-bungaan lagi.
Haruman lembut dari bunga-bunga itu memang kesukaan ramai wanita. Termasuk isterinya. Tiba-tiba saja dia terkenangkan isterinya. Isterinya yang gemar mencium harum bunga mawar di laman rumahnya.
Dia sendiri tidak tahu apakah perfum kesukaan Datin Majmin. Dibiarkan saja isterinya itu mengurus semua keperluan dirinya. Membeli sendiri apa saja kemahuannya. Tentang ongkosnya, dia tidak pernah berkira. Sebut saja.
Isteri yang ditinggalkan itu bersendirian agaknya sedang menonton TV seperti kelazimannya. Menunggu dengan setia kepulangannya. Seorang wanita cantik, suatu ketika dulu yang pernah merebut rasa cintanya, sangat dikasihinya dan tidak mahu kehilangannya.
Terbayang pula saat-saat indah melewati musim percintaan semasa di kolej dahulu. Sentiasa bersama-sama mengulangkaji pelajaran, ke librari atau ke padang permainan. Hubungan yang sangat akrab laksana isi dengan kuku. Ibarat irama dan lagu. Irama dan lagu yang tidak dipisahkan. Rosak lagu pincanglah irama. Ah…itu cerita dulu-dulu.
Dia menepis ingatan itu jauh-jauh. Nostalgia lama yang ingin dilupakan. Dan kembali menumpukan pada susunan kotak minyak wangi di dalam cermin yang pelbagai saiz dan ukuran.
“Mana satu agaknya yang aku nak pilih ni?” dia masih termangu. Merenungnya dengan ralit. Begitu teliti sekali hendak menentukan pilihan yang tepat. Amin memerhati gelagat datuk itu.
“Hai tak jumpa lagi apa yang nak dibeli Datuk?” tukas Amin. Dia sudah kembali ke sisi Datuk Shaari setelah meletakan barangnya di kaunter jurukira.
                                               
                                                                *    *    * 

 Rizal sudah menyiapkan dirinya dengan berpakaian mengikut keselesaannya. Berbaju T biru kelabu serta berseluar jin yang seakan warna bajunya. Dia turun ke laman rumah, duduk di bangku batu menikmati flora tanaman mamanya.
Petang yang redup dan angin mulus berhembus nyaman menyapa wajahnya. Banglo putih bertingkat satu di pinggir bandar itu memang tempat penginapan yang selesa buat Rizal dan ibu-bapanya. Sudah berpuluh tahun seisi keluarganya menghuni di situ.
“Lambatnya mama ni balik. Selalu ke mama keluar Mak Kiah?” dia sudah bangun dari kerusi yang didudukinya dan mengatur langkah menghampiri pasu ros merah yang. Sekuntum bunga itu yang sedang membuka kelopak disentuhnya. Terpesona dengan keindahannya. Sesungguhnya Allah itu maha indah. Subhanallah.
“Macam inilah Datin setiap hari Rizal. Kadang-kadang malam pun dia tidak ada di rumah.” Rizal agak kaget dengan kenyataan itu. Dia berpaling dari tatapan asalnya mengadap Mak Kiah pula.
Nampaknya ada sesuatu isu yang tersembunyi selama ketiadaannya tidak diketahuinya. Wajar diketahuinya. Dia kembali duduk di bangku batu. Anak matanya mengekori gerak kerja sepasang tangan yang semakin lisut kulitnya itu mengatur hidangan petang buatnya.
“Ke mana pula mama keluar malam-malam?” pertanyaannya menggambarkan kerusuhan yang terpamer di wajahnya. Dia runsing memikirkannya. Tidak menyenangi apa yang didengarinya. Di hatinya bersarang prasangka yang ingin dikais kebenarannya.
“Datin ke kelas fardhu Ain di masjid bersama kawan-kawannya. Kadang-kadang kelas itu di adakan juga di rumah kawan-kawannya secara bergilir.’ Rizal tersenyum sedikit. Nafas kelegaan yang menyesak dadanya dilepaskan. ‘Pandai juga Mak Kiah ni buat aku gabra.’
“Begitu ke… Mak Kiah ni bercakap bukan main suspen. Menakutkan saya je. Saya ingatkan mama keluar malam ke disko ke, dangdut ke. Kalau masuk kelas begitu baguslah. Menambahkan ilmu untuk perjalanan ke akhirat. Umurpun sudah makin meningkat. Tidak ada apalagi yang hendak dicari. Melainkan membuat persediaan hendak ke negeriNya.” Ujar anak itu yang sangat prihatin diatas kemashlahatan mamanya di dunia dan di akhirat kelak. Seorang anak yang soleh sentiasa mendoakan kesejahteraan mama yang dikasihinya.
 Mak Kiah sudah selesai menghidangkan minuman panas dan sejuk yang dibawanya. Dia tidak tahu yang mana satu kemahuan tuan muda itu, jadi dia membuat kedua-dua jenis minuman. Untuk memudahkan kerjanya.
Jadi tuan mudanya itu boleh memilih mana-mana minuman yang disukainya. Tanpa dia perlu berulang-alik ke dapur lagi. Penat juga hendak berjalan dari halaman di hadapan menuju ruang dapur nun jauh di hujung. Dia pun sudah berusia.
Tenaga yang ada metah sedikit. Dan tidak boleh terlalu berkuat sangat. Kepenatannya sangat terasa setelah mengeluarkan terlalu banyak tenaga. Tenaga yang dimiliki hari ini perlu disimpan untuk kegunaan esok pula. Itulah kata hati mak Kiah.
“Datin tu kesunyian. Sejak mutakhir ini, Datuk amat sibuk. Sentiasa balik lewat malam. Jadi Datin pun isilah masanya dengan kegiatan-kegiatan yang boleh melupakan kesunyian yang dirasakannya.” Mak Kiah menceritakan kebenaran pada penerimaannya.
“Setiap malam ke ayah keluar?” ditenungnya mata yang menatapnya bening itu memohon penjelasan.
“Bolehlah dikatakan tiap-tiap malam. Kadang-kadang habis waktu pejabat pun tidak balik ke rumah. Barangkali sibuk sangat datuk tu dengan kerjanya.” Bila ekonomi yang menguncup semakin pulih dari kegawatan pada 1997 tentulah pemulihannya yang amat perlahan itu menuntut kerja keras yang tidak sedikit. Rizal mengandaikannya begitu. Boleh jadi ada kebenarannya di situ. Dia ingin menerima kewajaran sikap itu.
Rizal terdiam. Keluhan berat dilepaskannya. Tetapi sukar pula hendak percaya seseorang yang begitu taksub berkerja sehingga mengabaikan rumah-tangganya. Sebab dahulunya sifat ayahnya tidak sebegitu.
 Sentiasa ada waktu yang telah ditentukan samaada untuk berkerja atau bersama keluarga. Walakian sibuk sebagaimana sekalipun. Aneh juga cerita yang didengarnya ini dirasakannya.
“Ye ke ayah tu sibuk berkerja sehingga tidak punya waktu bersama mama Mak Kiah?” masih juga dia bertanya sedang tangan mencapai sepotong kuih talam pandan yang hijau dan harum dengan bau pandan. Agaknya Mak Kiah menyediakannya untuk mamanya kerana kuih itu memang kegemaran mamanya. Diapun turut menyukainya.
“Entahlah Rizal, iya atau tidak. Tapi itulah yang selalu Datuk cakap bila Datin tanya kenapa Datuk balik lewat.” Mak Kiah tidak berani hendak menentukan kata putusnya kerana dia tidak mahu dia dirujuk sebagai pembantu rumah yang sibuk menjaga tepi kain majikannya. Dia hanya menceritakan apa yang dilihat dan didengarnya. Tidak menokok tambah walau sedikit.
“Habis mama tidak kisah bila ayah sering tidak balik rumah kerana kononnya sibuk berkerja?” Rizal bertanya lagi seolahnya dia tidak yakin bahawa itu yang sebenarnya berlaku. Dugaannya mengatakan bahawa memang ‘ada udang di sebalik batu.’ Begitulah menurut firasatnya. Firasat yang sangat diyakininya.
“Tak tahulah mama kamu tu jenis apa orangnya, baik sungguh. Apa yang Datuk cakap semuanya benar semata. Tidak nak berkuit, berkotek bertanya.”
Rizal menghela nafas dan menariknya dalam-dalam. Mudahan tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini yang mengeruhkan hubungan kasih sayang antara mama dan ayahnya. Dia mendoakannya begitu. Dia ingin berada di tengah keluarganya dalam suasana yang harmoni persis dilaluinya suatu ketika dulu.

                                                             5.

Datuk Shaari ditemani pembantunya Amin sedang menuju ke sebuah meja yang agak tersorok mengikut tempahan yang dibuat setiausaha peribadinya. Seorang waiter membawa menu dan seorang waiter lagi membawa dulang berisi minuman.
Thank you.” Dia mencapai menu yang dihulurkan gadis pembantu restoran hotel yang manis itu.
Later.” Katanya sepatah. Gadis itu berlalu dengan melepaskan senyuman yang khusus untuk pelanggan. Senyuman mesti. Begitu etika kerjaya perhotelan yang patut diikuti sekiranya dia ingin lama bertahan di bidangnya. Setakat ini dia masih sabar mengikutinya dengan akur.
Datuk Shaari berkalih duduk. Sudah kebas ponggongnya menempati kerusi empok itu. Tetapi orang yang dinanti tidak juga kunjung tiba. Datuk Shaari mulai gelisah. Berdiri salah, duduk pun salah. Itu yang dirasakannya.
“Dah setengah jam kita tunggu ni Amin. Mana budak tu?” rungutnya. Menjegilkan mata hitamnya yang bulat  kepada Amin.
“Budak mana Datuk?” balas Amin masih bermain-main dengan maksud pertanyaan Datuk itu walaupun dia memahaminya.
“Ieh… aku lesing pulak budak ni kang. Budak mana lagi... Rozana tulah.” Tangannya diangkat tinggi mengacah hendak menampar Amin yang menyeringai melihat gaya itu.
“Ooh... Rozana. Sebutlah nama dia. Ingatkan datuk tanya budak mana tadi.”
“Tadi dia sudah confirm dengan saya dia hendak datang. Sekejap lagi sampailah tu. Sabarlah sikit.” Amin mengeluarkan handphone dari sakunya. Dia menekan punat nombornya dan meletakan ke telinganya.
“Awak ni di mana Zana? Cepatlah datang.” Wajah Amin diintai matanya dengan pertanyaan. Datuk Shaari menunggu-nunggu perkhabaran yang ingin diketahuinya. Dia membalas pandangan Datuk Shaari lunak.
“Dia kata dia dalam perjalanan ke sini.” Jawapan yang klise pada hematnya.
“Boleh ke percaya tu. Cakap je dalam perjalanan, rupanya dalam perjalanan ke bilik air baru nak pergi mandi.” Datuk Shaari tidak yakin dengan kata-kata serupa yang sering digunakannya dalam menghadapi stuasi seperti itu. Alasan semata; penyedap perasaan orang yang mengharap ketibaan menepati waktu.
“Haa... itu pun dia dah datang. Panjang umur dia.” Amin terus bangun merapati Rozana yang kelihatan sedang melilau pandangannya mencarinya dan Datuk Shaari.
Dia membawa Rozana ke meja Datuk Shaari. Rozana menyambut huluran tangan Datuk Shaari. Bersalaman dengan mesra. Datuk Shaari menyeluruhi sekujur tubuh wanita cantik itu dengan pandangan kekaguman. Terkesima. Sungguh cantik, detak hatinya.
“Apa khabar Datuk? Saya Rozana.” Shaari terangguk-angguk. Dia tidak perlu mengenalkan dirinya kerana nampaknya dia memang dikenali.
“Saya tahu. Selamat berkenalan. Tengok di dalam gambar cantik. Tetapi rupa di luar gambar lagi cantik.” Puji-pujian memikat adalah bunga bergula aising di atas kek yang mesti dilakukan sebagai ‘presentation’ sebuah perkenalan baru menurut perkiraan Datuk Shaari. Mulutnya ringan dan tidak lokek menghambur bahasa manis begitu.
“Tak payahlah terlalu memuji Datuk. Cantik di gambar ke, di luar gambar ke, saya memang begini. Semula jadi.” Ucap Rozana menolak pujian yang seringkali didengarnya. Tetapi ada juga rasa riak yang terluah dari bibirnya tanpa disedarinya.
Datuk Shaari mengeluarkan bungkusan kecil yang sudah lama terperam dalam wallet kulit buaya yang sering dibawanya ke mana-mana. Yang mengisi pelbagai dokumen kecil namun penting kepunyaan peribadinya.
“Oh ya.. ini hadiah perkenalan.” Bungkusan kecil yang dibalut rapi siap dengan hiasan reben kuning itu di unjukan kepada Rozana. Berkaca anak mata Rozana menentang hadiah yang masih berada di tangan datuk itu.
“Eh…apa ni. Tak payahlah susah-susah Datuk.” Rozana seakan menolak hadiah itu tetapi hakikatnya dia terlalu girang menerimanya.
Pemberian dari seorang Datuk tentulah bukan sebarangan. Semestinya  sesuatu yang sangat bernilai dan mahal harganya pada penilaiannya. Rugi sekali jikalau menolaknya. Dia mencapainya dan membelek-belek luaran yang kemas cantik berbalut rapi itu.
“Tak ada susahnya. Terimalah. Ikhlas dari saya.”
“Bukannya susah pun Datuk kan. Main tenyeh kad kredit je,” tingkah Amin Namun tersipu-sipu malu apabila matanya menerima jelingan tajam Datuk Shaari. Dia faham maksud jelingan tajam itu. ‘Diam kau.’ Dia tunduk merenung air jernih di dalam gelas yang tenang tidak berkocak. Terkedu.
 Tidak berani menguntai kata apa-apa lagi. Takut tersilap masa dan ketika tidak menepati cara dia akan menerima padah seperti tadi. Sungguh memalukan. Di hadapan seorang artis ternama pula. Buat apalah bertindak bodoh hanya hendak memalukan diri sendiri. Fikiran anak muda itu mengatakannya begitu.
“Terima kasih banyak Datuk. Datuk ni memang pemurah. Dan baik hati sungguh.”
‘Memang baik sungguh Zana. Baik ada makna tu...’ Getus hatinya mengulang dialog M. Zain dalam filem Madu Tiga arahan Tan Sri P. Ramlee.
 Datuk Shaari tersenyum riang menghadapnya. Dia membalasnya. Penuh pengertian. Tersenyum pula memandang Amin yang tersengih cuma.

                                                          *    *    *

Malam masih muda. Mak Kiah sedang sibuk mengatur hidangan di atas meja. Datin Majmin sudah selesai solat berimankan anak terunanya. Tetapi masih berzikir setelah usai berdoa. Hatinya bersyukur kerana Rizal pulang ke pangkuannya dengan selamat. Solat sunat syukur pun telah dilakukannya sebentar tadi.
“Datin, Rizal turunlah makan. Makanan dah siap hidang ni.” Laung Mak Kiah dari ruang makan di bawah. Dia berharap kedua-dua beranak itu akan segera turun dan menjamah hidangan yang disediakannya. Dia ingin segera menyelesaikan tugasnya yang akhir buat hari ni sebelum menyambung semula keesokan, di subuhnya.
“Jom mama kita turun makan. Sudah lama kita tidak makan bersama. Tadi mama dah penat-penat memasak bersama Mak Kiah, sekarang masanya untuk kita makan pula.” Rizal berpaling menghadap mamanya. Dia sudah berdiri menyangkut kopiah putihnya dan kain sejadah yang digunakannya di tempat yang disediakan. 
Mamanya angguk saja. Menunduk. Jemarinya masih membilang biji-biji tasbih dengan sebutan zikir yang perlahan. Tinggal berapa puluh lagi kalimah zikir yang perlu dilafaz.
“Rizal turun dulu ya mama. Mama turun cepat tau. Rizal dah lapar ni.” Anak itu sudah meninggalkan ruang bilik solat itu. Dia membawa dirinya menuruni tangga menuju ruang dapur. Mak Kiah sedang menanti kehadiran kedua-duanya dengan matanya mengawasi setiap lauk-pauk yang tersedia samaada sudah mencukupi dan terhidang kesemuanya..
Datin Majmin segera menyelesaikan bacaan tasbihnya yang ke seratus. Mengkana putih bersih yang tersalut di badan telah dibuka dan disangkut di tempat yang disediakan.
Jejak langkah anaknya dituruti walaupun agak terlewat sedikit. Berhati-hati dia menapak menuruni tangga sambil bibirnya masih menyebut; subhanallahi walhamdulillahi walailahaillallah allahu akbar.
“Makan Rizal. Semuanya jenis makanan kesukaan Rizal. Mama Rizal yang masak. Mak Kiah tolong sikit-sikit je.” Rizal meninjau semua jenis lauk yang tersedia. Memang enak dan mengait seleranya. Tidak sabar rasanya hendak mencecahnya dan dibawa ke mulutnya.
Sudah lama pula tidak menjamah masakan mamanya sewaktu bertahun-tahun di luar negara. Tentu sangat luar biasa enaknya berbanding dengan mi segera dan berjenis-jenis makanan segera yang dihadapnya setiap hari di sana.
“Mana ayah, mama? Dari petang sampai ke malam tidak balik lagi. Sibuk betul.” Suara anak itu berbaur keralatannya.
 “Begitulah hidup ahli korporat Rizal. Sentiasa ada appointment dengan pelanggan.” Balas mamanya mudah. Menghapus sangkaan anak yang bukan-bukan terhadap ayahnya.
“Mustahil setiap malam. Ada aktiviti lain kot?” anak itu ragu-ragu hendak menyetujuinya.
“Tak baik cakap macam tu pada ayah Rizal.” Sanggah mamanya memberi sedikit didikan moral kepada anak yang telah dewasa itu. Rizal dari semenjak kecilnya telah diasuh dengan norma-norma yang hidup yang mulia agar berperkerti yang sewajarnya.
“Kalau sudah kenyataannya begitu. Apa pula yang tidak baiknya. Sesuatu perubahan yang berlaku tidak menuruti lazimnya, mesti bersebab. Mama tidak pernah tanya ke?” Rizal membuat penilaiannya dan menuntut mamanya memberi reaksi yang sepatutnya.
“Mama bersyukur dengan apa yang ada Rizal. Kita tidak boleh terlalu mengharapkan sesuatu itu berlaku menurut kemahuan kita semata.” Datin Majmin menyodorkan opor ayam kepada anaknya. Rizal tentu kepingin sekali hendak menikmati makanan itu, setelah sekian lama tidak merasainya. Demikian anggapannya.
“Makanlah Rizal. Mama dan Mak Kiah memasak semua jenis lauk kesukaan Rizal. Kalau ayah balik ni tentu dia terkejut tengok Rizal dah balik.”
“Rizal pun terkejut sangat melihat perubahan yang berlaku pada ayah dan mama.” Tukasnya bersahaja. Merenung wajah mamanya ingin melihat reaksi balasnya.
“Ish...budak ni. Apa yang merepek ni. Perubahan apa? Mama ok je. Apa pun ujianNya mama terima dengan tabah. Mungkin sesuatu yang berlaku itu mengandungi hikmah yang tersembunyi, yang tidak kita sedari.”

Saturday, 3 March 2012

Orkid menangis....????




"Cantik sungguh bunga-bunga orkid kak ni yer...rajin betul dia berbunga..."
Aku tidak membalas komen Zai itu, cuma tersenyum kesukaan.

"Kak tahu, Hamid selalu terjumpa orkid yang sedang berbunga cantik berjurai-jurai kat celah-celah pokok hutan atau pokok getah dalam kebun dia..."
Hamid yang Zai maksudkan itu adalah suaminya.
"Tapi Hamid tak ambil bawa balik pun..."
"Sayangnya! Kenapa Hamid tak ambik? Zai tak nak kot...Kalau tak nak ambil bagi kat kak..."
"Bukan saya dan Hamid tak suka orkid kak tapi takut orkid tu menangis..."
"Orkid menangis? Kau biar betul Zai..."sahutku kehairanan. Tak percaya le pulak.
"Yer kak orkid menangis nak balik ke tempatnya...seram pulak saya nak cerita..."
Kenapa agaknya boleh terjadi begitu?
"Ceritalah Zai..."
"Adik Hamid yang selalu datang ke rumah saya bercerita gitu...dia terjumpa orkid kat kebun dia, cantik sangat dia nampak, apalagi dia pungkis le bawa balik. Malamnya dia mula tak senang duduk bila terdengar suara halus
macam orang menangis kat laman rumah dia. Puas dia telek cari, rupanya orkid tu yang menangis kak...malam tu juga dia gi hantar balik ke kebun dia..."
Aku termangu sejurus. Memang aku biasa terdengar cerita-cerita aneh sebegitu. Dan aku juga tidak berani hendak mengambil tumbuh-an aneh cantik yang kutemui di hutan atau pinggir jalan yang berdekatan dengan hutan. Bimbang ada penunggunya yang mengikut pulang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...