Tuesday, 28 February 2012

Durian runtuh!!! Hah? Bila tu? FGVH (FELDA GLOBAL VENTURES HOLDING) apa tu...

Anak tangga pertama penyenaraian FGVH sekaligus `durian runtuh` yang amat dinantikan peneroka bakal dilalui rabu ini....

Sebaris ayat yang dipetik dari akhbar Mingguan Malaysia tulisan Amir firdaus khan.

Dan masing-masing riuh bercerita mengenainya. Apalagilah mereka yang terlibat langsung dengannya. Maksudnya kaum kerabat penerokalah tu.

"Kau dah gi buka akaun idah?"
"Kenapa? Nak buat apa?"
"Kau ni orang ramai berpusu-pusu ke bank buka akaun...kau duk diam je..."
"Sibuk-sibuk nak buka akaun buat apa?"
"Kau ni buat-buat tak tahu pulak...mestilah nak ada akaun sebab kan nanti felda nak masukan durian runtuh kat dalam tu...."
"Iye ker?...berapa banyak?"
"10 ribu kau..."
Banyak tu....
Selesai bicaraku sore itu bersama jiran sebelah rumahku. Perbicaraan yang bersalut kekeliruan.

"Bang Din dah buka akaun?"
"Kenapa hang tanya?"
Jiranku itu memulang tanya walau aku pasti dia faham maksudku.
"Orang kat pejabat felda tu tak habaq apa-apa pun kat aku..."
Tersengih bang Din bilaku ceritakan sumber infoku.
"Kaya kita kalau dapat duit banyak lagutu no...."
Ha...ha...ha.....ha..

Saturday, 18 February 2012

Dilemma isteri kedua peneroka...


"Suka saya tengok kawan saya yang dah lama menjanda kini dah jadi isteri peneroka...hidupnya nampak senang-lenang, mewah makan minum, banyak duit, tinggal kat rumah batu...berbanding saya yang tinggal kat rumah buruk tepi laut yang sentiasa berkerja setiap hari menjemur ikan di pengkalan nelayan..."
Kak zie tersengih saja mendengar komen anak saudaranya yang baru tiba dari Kuala Muda ke rumahnya semalam dengan menaiki bas.
pic tohid rosdi

"Senangnya sekejap saja tu..."
"Apa maksud maklong?"
"Kawan hang tu kahwin dengan duda peneroka...selagi laki dia tak mati senanglah dia. Bila laki dia dah mati, anak-anak dia dengan arwah bini dia yang tertulis dalam surat perjanjian masa nak jadi peneroka akan mai ambil balik semua reta laki dia. Apa dia nak tuntut? Kawan hang tu bukan ada reta sepencarian dengan laki dia. Semua reta yang ada diperoleh dengan arwah isteri pertama. Sudahnya kawan hang tu terpaksa balik kampung jugak..." Jelas maklongnya dengan yakin justeru dia adalah isteri peneroka yang tidak kering peluh berkerja di ladang bersama suaminya.

"Macam tu ka maklong?"
"Hang tak percaya ka? Selama aku duk sini, itulah yang aku nampak berlaku. Hang tak payahlah nak berangan nak kawin dengan peneroka walau hang ni janda. Baiklah hang kerja jemur ikan tu...duit yang dapat duit hang...tak habis nak makan boleh simpan. Tiap tahun hang boleh berjalan-bercuti mai rumah aku...banyak yang aku dengaq cerita bini baru terpaksa jaga peneroka yang sakit terlantaq...lepas tu mai anak-anak tiri halau dia dari rumah bila ayah depa dah mati...kesian kan..."

"Tapi kalau dah jodoh nak buat lagu mana kan maklong..." balas anak saudaranya itu.
Emak saudaranya hanya memandangnya sinis tanpa kata-kata.

Tuesday, 14 February 2012

Imbasan-imbasan

Terawang sepintas lalu
namun sentuhannya terasa
ngilu...kelukaan........

Lunturkan bayangan muram
hapuskan...hembuskan
sekuat hati
agar menjauh...

Dan penderaan yg mengulit
kebas...kebal...
dapatkah menukarnya sesuka rasa?

Imbasan-imbasan itu
kembali bergentayangan
seolah frem lukisan kehidupan
yang retak seribu...

Bersama masa bakal ia berderai
masakan bercantum semula...

Saturday, 11 February 2012

SELIRATAN CINTA 1... bab 4/2 Novel adaptasi skrip drama TV dengan izin karya Fauziah Abd.Samad. Diedit oleh: Noorlaila Ghafar penulis novel HIJRAH HATI terbitan DBP


Haseena menyambut dua tamunya dengan senyum teramat manis. Pelanggan tetapnya itu rajin mengunjungi salonnya sekiranya kedua-duanya memerlukan khidmatnya. Kedatangan kedua-duanya memang sangat di alu-alukannya. Ibarat ‘kurang tapak tangan nyiru ditadahkan.’ Pelanggan yang sentiasa membawa rezeki kepadanya.
 Sekurang-kurangnya dia boleh bercerita pada pelanggan-pelanggannya yang baru berjinak-jinak dengan khidmat salonnya bahawa salonnya itu sangat istimewa perkhidmatannya, sehingga mampu menarik golongan Datin-datin isteri-isteri Datuk-datuk bergelar yang ternama mengunjunginya.
Itupun salah satu strategi pengiklanan perniagaan juga menurutnya. Untuk melariskan lagi perniagaannya. Bukan senang juga hendak bersaing dengan peniaga-peniaga non-bumiputera yang telah lama bertapak di bidang ini. Perlukan semangat yang tegar gigih. Bukan calang-calang.
Amat kompetetif dan sengit sekali. Jika tidak sabar kerana sering rugi pada mulanya kerana pelanggan jarang-jarang mengunjungi salonnya, tentu sudah lama dia tutup kedai.
Dia sentiasa berusaha memperbaiki diri dan mencari di mana kesilapannya. Bimbingan dari agensi kerajaan seperti MARA (Majlis Amanah Rakyat) didapatkan. Badan ini memang dikenali dengan iltizam membantu bumiputera yang berminat dalam perniagaan memajukan diri.
Dan  berkat kesabaran dan kesungguhannya dia mampu juga bertapak dengan teguh. Sukar hendak menggoyangkan atau menumbangkan perniagaan yang berdiri jitu itu kini.
Kata seorang penceramah agama yang sering muncul di kaca TV; amalkan membaca surah al-waqiah setiap malam jumaat supaya Allah mempermudahkan rezekinya dan dia mengambil anjuran itu.
Disamping usaha yang tidak putus-putus dan doa-doa yang dipohon akhirnya dia dirahmati dengan kejayaan. Dia bersyukur ke hadzratnya.   
            “Ita temani Datin berdua ini saya hendak keluar sebentar.” Haseena menggamit pembantunya yang sedang menyusun semula majalah di raknya setelah ditarik keluar, dibelek, dibaca dan diletakan dimana saja oleh pelanggan-pelanggannya.
Tugas Ita mengemaskannya seketika untuk diserakan semula pelanggan-pelanggan Haseena. Dia tidak tidak boleh mengeluh bosan mengulangi rentak yang serupa kerana sememangnya dia dibayar untuk itu.
            “Maaf Datin berdua kerana tidak dapat hendak melayani Datin seperti selalu, sebab ada urusan sedikit yang perlu diselesaikan. Datin buatlah salon saya ni seperti rumah sendiri. Datin pun bukan tak biasakan…maafkan saya terpaksa berangsur dulu.” Haseena manis berbahasa dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir mengucap pamitan. Sambil melambai tangan di muka pintu salonnya. Kedua-dua datin itu mengucapkan selamat jalan dan jaga diri kepada Haseena.
            “Ita kau blow sikit rambut aku ni agar blond sikit.” Majmin sudah mencapai kerusi dan menghenyakan ponggongnya di atasnya. Ita mencapai hairdryer di kaunter di tangan kanan. Tangan kirinya menyikat rambut Datin Majmin. Datin Maimon duduk di kerusi sebelahnya menyelak sebuah majalah fesyen.
            “Majalah mana yang dia orang cakap tu?” Ita termangu sejenak. Mindanya ligat berputar, berusaha memahami maksud pertanyaan Datin Maimon. Dia masih keliru tercari-cari fakta yang pasti.
            “Majalah?” matanya menentang bebola mata Datin Maimon yang mencerlang sinarnya.
            “Ala tentang gossip Nurima dengan Datuk tu.” Tukasnya serius agar pembantu itu prihatin.
            “Entahlah. Tak pasti pula. Tapi Datin carilah dalam susunan majalah dalam rak tu. Mesti ada di mana-mana. Saya ni sibuk dengan kerja saya je, tidak ada masa nak perhatikan semua tu Datin.” Ita mengakui kelemahannya dengan jujur. Dia hanya minat berkerja tetapi tidak minat membaca.
Walaupun bacaan ringan yang boleh membuat minda sesaorang itu selesa bersantai. Ita memang pun tidak suka membaca sewaktu sedang berkerja kerana ianya akan mengganggu tumpuannya kepada kerja yang hendak dilakukannya.
Dia hanya fokus kepada kerjayanya. Kerjanya itu memang memerlukan stamina yang banyak kerana terpaksa lama berdiri dan sering bergerak ke sini sana memenuhi permintaan pelanggan yang hanya duduk santai di kerusi.
Leka pula membaca majalah yang dipenuhi foto-foto artis wanita yang jelita @ artis lelaki yang tampan. Setelah mengambilnya di dalam rak sengaja pula lupa hendak meletakannya kembali di tempatnya. Tetapi dibiarkan bersepah merata, sesuka hati saja.
            “Yang mana satu agaknya ya?” dia berpaling pada Majmin.
            “Kenapa kau risau ke?” Majmin menentang anak mata yang beralis tebal itu. Dia tersenyum sedikit memerhati riak yang berolak di wajah temannya..
            “Mahunya tidak risau, dibuatnya laki aku yang sedang dipancing artis tu tidak ke naya rumah-tangga aku. Porak peranda jadinya. Laki aku tu pun boleh tahan juga merenyamnya. Kalau memandang wanita cantik, bukan main lagi dia. Sampai tidak berkelip biji mata. Terjojol bulat macam bola pingpong.” Dia mengulas sikap suaminya yang menjengkelkan itu.
            Dibiarkan saja temannya itu melancarkan ocehan yang sedang menyerabuti mindanya dilerai satu persatu. Dia tersenyum sedikit. Dia merasa lucu mendengar ayat Maimon yang hujungnya.
Ita mengerling gelagat Datin Maimon. Ada senyuman kecil tersungging di bibirnya. Mendengarkan dengan asyik cerita alam rumah-tangga orang. Alam yang belum ada keberanian dalam dirinya untuk diterokainya. Belum ada serunya lagi untuk menghuni alam yang sangat mencabar itu. Kata hatinya begitu.
            “Suami kau tu tidak gitu Mon. Janganlah perasaan kau tu melebih-lebih pulak, Sham tu aku kenal sangat. Dia tu mudah mesra dengan sesiapa saja. Cakapnya memanglah berdegar-degar dan takut kita mendengarnya. Katanya semua gadis cantik hendak ditekelnya. Tapi tidak dibuat pun.” Majmin menterjemahkan firasat pandangannya tentang perwatakan temannya. Suami Maimon temannya.
Kata pepatah tong yang kuat bunyinya bila dipalu biasanya kosong. Firasat Majmin menyetujuinya.
            “Kau mana tahu apa yang ada dalam hati perut dia Min.” Datin Maimon mencebik bibirnya. Tidak yakin dengan sanggahan temannya tentang suami yang sentiasa dicurigai kesetiannya itu.
            “Kami sudah lama berkawan Mon. Sejak dari sekolah rendah, menengah hinggalah ke kolej. Dia memang begitu orangnya. Aku tahu hati budinya. Buktinya perkahwinan kau dan dia kekal hingga kini walaupun kau selalu beritahu aku, suami kau asyik mengejar artis cantik. Tapi aku rasa, apa yang kau dengar itu hanya gossip orang. Kadangkala ada juga manusia yang tidak gemar melihat kita berbahagia.” Hati rusuh temannya itu cuba ditenangkannya.
Tetapi hatinya pula yang dilanda resah. Ada sesuatu yang bermain-main menjentik kalbunya.
            “Jika dibandingkan antara Shaari dan Shamsi seperti bumi dan langit jauh beza perwatakannya. Shaari baik dan pendiam. Tentu rumah-tangga kau aman bahagia tanpa sebarang masalah berat yang merunsingkan seperti aku. Aku ni bila dapat tahu Sham mula intim dengan sesaorang mulalah berperang. Dunia rumah tangga aku langsung tidak  aman. Sentiasa berkocak dengan perang.” Datin Maimon membuka rahsia rumah-tangganyanya kepada Majmin.
Majmin sudah seringkali mendengar cerita begitu. Bukanlah sesuatu yang asing dan menjadi rahsia diantara mereka.
 Ita belum selesai lagi menggulung rambut Datin Majmin.
Dia melakukan dengan cermat dan berhati-hati agar hasilnya kelak memberi kepuasan dan tidak di pertikaikan.
Di samping itu dia turut mengikuti perbualan yang dianggapnya sangat menarik antara kedua-dua Datin itu. Dia tidak akan masuk campur. Tetapi menadah cupingnya lebar-lebar. Ceritera di sebuah sisi kehidupan yang sangat mengasyikannya.
            “Kau tidak payah nak puji sangat laki aku tu Mon. Jangan kau sangka orang yang tenang dan pendiam itu tidak banyak olahnya. Air yang tenang jangan sangka tidak ada buaya oii. Orang yang tenang dan pendiam begitu memang banyak menyimpan rahsia. Aku pun macam kau juga tidak yakin seratus peratus pada kejujuran laki aku. Tapi tidak adalah sampai nak bertegang leher setiap hari. Aku tidak ambil pusing dengan apa yang hendak dilakukannya. Kita ni sudah berusia, sudah matang, so be profesional. Sesuatu itu kita tangani dengan berhemah.Ada unsur konsultansi yang terselit bersama bicaranya yang lunak. Ironinya di hatinya madahnya berbeza.   
‘Masalah aku, hanya aku yang tahu Mon’ monolognya tidak menyapa bibir. Direnung wajahnya pada cermin yang terpasang sederet di dinding. Tersenyum tawar pada dirinya sendiri. Cermin itu seolah penuh dengan warna-warna pudar kehidupannya yang semakin muram.
Telefon bimbit Datin Majmin tiba-tiba berdengut lagu pilihan yang diset ke dalamnya. Dia menjawabnya segera. Wajahnya cerah berseri kegembiraan. Seakan mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka. Melambak-lambak pula.
“Hello…hey… bila balik ni?” senyumnya terorak lebar. Maimon memerhati riak di wajah temannya yang ketara riang, berbahagia. Dia menanti dengan sabar untuk meneka apakah berita yang diterima Majmin itu.
“Baru je sampai mama. Mama di mana tu? Baliklah cepat. Rindu nak jumpa mama.” Sahut suara yang dibawa buli-buli udara yang mengelombang kerana kecanggihan teknologi transformasi arus udara.
Dari zaman Alexander Graham Bell yang merekacipta talipon hingga kini sentiasa ada perubahan yang inovatif lagi kreatif menuruti peredaran masa. Tentulah untuk kegunaan maya sejagat.
“Ok. Sekejap lagi mama balik.” Dia memandang Ita yang juga sedang menujah anak matanya menantikan sesuatu keputusan yang bakal terbit ekoran dari panggilan yang diterima Datin Majmin itu. Ita pasti akan ada arahan baru yang perlu dipatuhinya.
“Maaf Ita. Nampaknya Ita terpaksa rungkai semula gelongan rambut ni. Lepas tu blow sedikit saja. Sebab saya nak cepat balik. Tak sabar nak jumpa anak saya yang baru pulang dari luar negara tu.” Ita tidak langsung bersungut kerana kerjanya tidak dapat disempurnakan sebaiknya.

Wednesday, 8 February 2012

Nostalgia indah...ceritera sebuah desa...

pic TOHID ROSDI

Indah sungguh desa ini. Terletak di kaki gunung Jerai kawasan jelapang padi. Ada laut yang membiru dengan pulau bidan, pulau kelongsong, pulau bunting yang mengapung di tengah laut. Pemandangannya indah sekali.

Suatu ketika dulu di sinilah desa mastautin aku, mak, ayah dan adikku. Kami tinggal di sebuah pondok buruk
yang beratapkan daun nipah dan berlantaikan buluh yang disusun. Sederhana sekali buatannya. Asal boleh berlindung dari panas dan hujan untuk meneruskan hidup siang bersambung malam saja. Susahkah hidup begitu? Entahlah...

Tika aku mula masuk sekolah dengan gembiranya aku menapak sejauh dua batu dari desa ku di kuala Dulang. Sekolahku yang berbentuk L terletak di tengah- tengah kampung Dulang Kecil. Aku pula tinggal sebelah kuala berdekatan laut. Kawan-kawanku yang kukenali di sekolah ini ramai juga yang tinggal disebelah ulu. Sebelah ulu tidak ada laut tapi hanya luas dengan petak bendang.

Sebelah kuala dekat dengan laut namun petak sawah bendangnya luas terhampar. Dapatlah aku bernain air di bendang sambil menemankan mak dan kawan-kawan yang berderau dengannya menanam padi menggunakan kuku kambing. Ada lagikah kuku kambing tika ni? Dah jadi sejarah. Kuku kambing dah masuk muzium.

Masa menuai sudah tiba. Padi masak menguning emas. Emak ke bendang lagi. Kali ini untuk mengerat padi pula dan ayah bersedia untuk memukul padi yang dikerat itu untuk memisahkan padi dari tangkainya. Ada lagikah tong padi dengan kain layar di tengah bendang kini yang digunakan pak tani memukul padi?
Langsung tidak kelihatan lagi.

Pabila padi yang dituai sudah terkumpul dijemur pula di atas tikar yang dibentang. Kerja aku pula mengawasinya agar tidak dikerumuni ayam-ayam yang banyak berkeliaran. Tatkala hampir petang padi pun kering dan angin mulus bertiup halus. Inilah masanya menguroi padi untuk memisahkan padi bernas dengan padi hampa. Apa tu? Maksudnya padi bernas, padi yang ada berasnya dan yang hampa pula tak berisi.

Hendak menukar padi menjadi beras terpaksa pula menumbuknya menggunakan lesung rindik/lesung kaki. Kerja akulah menumbuk padi tu. Mak pula menjaga muka lesung agar beras tidak berserak ke tanah. Susahkan  proses hendak mendapatkan sesuap nasi tika tu...

Malam bulan mengambang penuh ada pesta mengemping pula. Di kawasan tempat mengemping diterangi cahaya jamung yang dibakar diperbuat daripada daun kelapa kering. Harumnya bau padi pulut yang digoreng hingga meretih dan dimasukan ke dalam lesung tangan. Irama antan bertingkah menumbuk emping kedengaran harmoni. Malam tidak lagi sepi dengan perbualan riang sambil menikmati keenakan emping yang digaul dengan kelapa.

Masih adakah lagi suasana begitu di desa itu kini? Rasanya hanya tinggal kenangan...

Saturday, 4 February 2012

SALAM MAULIDURASUL..SKETSA CINTA...

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL JUNJUNGAN YANG MULIA NABI MUHAMMAD SAW...SEMOGA KITA ADALAH UMATNYA YANG SEBENAR DIKASEHI, DICINTAI DENGAN SELAWAT DAN SALAM SENTIASA DI BIBIR DI HATI...


SKETSA CINTA


Aku terlalu mencintainya. Sungguh-sungguh. Namun ada yang lebih mencintainya, mengasehinya. Dan seruan cinta itu diturutinya. Kini tinggallah aku melayani kesendirian yang sunyi lantaran tiada lagi kekasihku itu di sisiku.


Sepanjang perjalananku mutakhir ini hanya imbauan-imbauan yang terimbas di skrin kenangan. Pastinya tidak mahuku hapuskan. Aku bersedia melayani kenangan yang membahgiakanku sambil bermain dengan kambing dan lembu ternakanku.


Pagi dan petang bertemankan kambing dan lembu.  pabila terasa bosan aku mengenderai saga biru memacunya keluar daripada kebun pisang yang menempatkan kandang ternakanku; entah ke mana hala tujuanku.


Kadang tanpa sedar aku sudah sampai ke Segamat, Kuantan atau Kuala Terengganu hanya dengan memandu santai melayan hiba hati sunyi. Jikalau dia bersamaku tentu tidak begini lakuku. Namun kehilangannya menyiksa jiwaku meski aku merelakannya.


Barangkali perpisahan kami seusai mengerjakan ibadah haji di Baitullah adalah takdir Allah. Kekasihku itu telah menyucikan diri dan rohaninya sebelum menyahut seruan cinta-Nya yang agung. 


Tapi aku merasa sangat ralat melihatnya terkulai di dalam pangkuan lantaran kelelahan menjalani kimo untuk membunuh kenser payudara yang dideritainya. Air mataku bercucuran  membasahi pipi cengkung isteriku kekasihku.............
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...