Monday, 30 January 2012

SELIRATAN CINTA 1... bab 4 Novel adaptasi skrip drama TV dengan izin karya Fauziah Abd.Samad. Diedit oleh: Noorlaila Ghafar penulis novel HIJRAH HATI terbitan DBP

. Rizal sampai di rumahnya menaiki airport limousine dari KLIA. Dia meninjau-ninjau persekitaran rumahnya. Dilihatnya tiada sebuah kereta pun yang berada di dalam garaj. Rumah itu lengang dan sunyi, seperti kosong tidak berpenghuni.
Dia menekan loceng pintu beberapa kali. Sosok tubuh seorang wanita pertengahan usia terkocoh-kocoh keluar dari rumah itu menghampirinya. Dia terpana menerima senyuman manis dari lelaki kacak di hadapannya.
Dia mengamatinya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Senyumnya terorak lebar setelah mempastikannya..
            “Eh… Rizal dah balik. Kenapa Datin tak bagi tau pun Rizal nak balik.” Sapanya dengan sangat teruja kekagetan.
            “Saja nak beri kejutan pada Mak Kiah.” Balasnya mengusik mesra pembantu rumahnya yang dianggapnya saudaranya sendiri itu sambil menyalaminya. Mak Kiah telah lama ada di dalam kehidupannya semenjak dia mula mengenal orang. Pengasuhnya sejak dari kecil kata mamanya.
            “Ada sajalah kau ni Rizal..” Mak Kiah mengambil beg Rizal dan membawanya ke dalam rumah. Rizal mengikuti langkah yang diaturnya pendek-pendek itu.
            “Sunyi saja rumah ni, tidak ada sesiapa ke di rumah? Mama dan ayah ke mana?”
            “Masuklah ke rumah dulu Rizal. Datuk pergi kerja. Datin pula ke salon.”
Rizal berpuas-hati dengan penerangan Mak Kiah. Dia tidak bertanya lagi Teramat biasa cerita itu kepadanya.
Rutin yang telah lama berlaku. Sejak dirinya mengenal dunia dan kebanyakan isinya. Ayahnya tentu saja pergi berkerja mencari rezeki sebagai memenuhi tanggung-jawabnya menyara keluarga.
Mamanya pula tentu memberi masa untuk merawati diri sendiri dengan sedikit keselesaan setelah berpenat lelah menyempurnakan tugasannya. Bukan ganjil untuk difikirkan secara terlalu mendalam.
Dirinya terus dibawa mendaki tangga ke tingkat atas hendak menjengah biliknya yang telah ditinggalkannya sepanjang pengajiannya di luar negara.
            Dia menanggalkan pakaian yang menyaluti dirinya sejak di kota New York sehingga berjam-jam di dalam pesawat. Sudah tidak selesa lagi dirasa pakaian itu berada di tubuhnya. Sudah lencun dengan peluh. Bau tubuh dan bau peluhnya yang hamis bercampur baur. Dia rimas.
            Dicapainya tuala bersih yang tergantung di lemari, membalut tubuh renjongnya yang sederhana tinggi dan bergerak ke bilik mandi. Air pancutan seperti rintik hujan menjamah tubuhnya. Dia merasai kesegarannya. Berbahagia sekali rasanya dapat bermandi-manda di dalam bilik air sendiri, di rumah sendiri, di tanah air sendiri. Sungguh tidak tergambar nikmat yang dirasakannya. 
                                                 
*   *   *

            Haseena menyambut dua tamunya dengan senyum teramat manis. Pelanggan tetapnya itu rajin mengunjungi salonnya sekiranya kedua-duanya memerlukan khidmatnya. Kedatangan kedua-duanya memang sangat di alu-alukannya. Ibarat ‘kurang tapak tangan nyiru ditadahkan.’ Pelanggan yang sentiasa membawa rezeki kepadanya.
 Sekurang-kurangnya dia boleh bercerita pada pelanggan-pelanggannya yang baru berjinak-jinak dengan khidmat salonnya bahawa salonnya itu sangat istimewa perkhidmatannya, sehingga mampu menarik golongan Datin-datin isteri-isteri Datuk-datuk bergelar yang ternama mengunjunginya.
Itupun salah satu strategi pengiklanan perniagaan juga menurutnya. Untuk melariskan lagi perniagaannya. Bukan senang juga hendak bersaing dengan peniaga-peniaga non-bumiputera yang telah lama bertapak di bidang ini. Perlukan semangat yang tegar gigih. Bukan calang-calang.
Amat kompetetif dan sengit sekali. Jika tidak sabar kerana sering rugi pada mulanya kerana pelanggan jarang-jarang mengunjungi salonnya, tentu sudah lama dia tutup kedai.
Dia sentiasa berusaha memperbaiki diri dan mencari di mana kesilapannya. Bimbingan dari agensi kerajaan seperti MARA (Majlis Amanah Rakyat) didapatkan. Badan ini memang dikenali dengan iltizam membantu bumiputera yang berminat dalam perniagaan memajukan diri.
Dan  berkat kesabaran dan kesungguhannya dia mampu juga bertapak dengan teguh. Sukar hendak menggoyangkan atau menumbangkan perniagaan yang berdiri jitu itu kini.
Kata seorang penceramah agama yang sering muncul di kaca TV; amalkan membaca surah al-waqiah setiap malam jumaat supaya Allah mempermudahkan rezekinya dan dia mengambil anjuran itu.
Disamping usaha yang tidak putus-putus dan doa-doa yang dipohon akhirnya dia dirahmati dengan kejayaan. Dia bersyukur ke hadzratnya.   
            “Ita temani Datin berdua ini saya hendak keluar sebentar.” Haseena menggamit pembantunya yang sedang menyusun semula majalah di raknya setelah ditarik keluar, dibelek, dibaca dan diletakan dimana saja oleh pelanggan-pelanggannya.
Tugas Ita mengemaskannya seketika untuk diserakan semula pelanggan-pelanggan Haseena. Dia tidak tidak boleh mengeluh bosan mengulangi rentak yang serupa kerana sememangnya dia dibayar untuk itu.
            “Maaf Datin berdua kerana tidak dapat hendak melayani Datin seperti selalu, sebab ada urusan sedikit yang perlu diselesaikan. Datin buatlah salon saya ni seperti rumah sendiri. Datin pun bukan tak biasakan…maafkan saya terpaksa berangsur dulu.” Haseena manis berbahasa dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir.

Sunday, 29 January 2012

Misteri keris kecil

Dia memperlihatkan keuzuran mental n fizikal yang merisaukan ahli keluarganya. Tidak sudah-sudah masalah yang menggelutinya ekoran niat baiknya hendak menghentikan penagihannya terhadap dadah. Rupanya bukan semudah yang disangkanya untuk menganggap pengambilan pelbagai jenis dadah sebagai kesilapan masa remaja yang ingin dilupakan.

Sudah dihantar untuk rawatan pemulihan di PERSADA Sg. Besi selama dua tahun dan hasilnya dia berjaya mengekang dirinya daripada mengambil najis itu namun jiwanya seakan rosak. Seolah bukan dirinya yang sebenar lagi.

Sanggup dia menebang pokok-pokok buah-buahan di sekeliling rumahnya dan menjadikannya lapang seperti negeri yang dilanggar geroda. Emaknya hanya mampu memandang saja dengan kesal menyesak dada. Melarangnya masakan terdaya. Emak bimbangkan golok di tangan anaknya akan menebang dirinya pula.

Selesai kerjanya menebang pokok dia membongkar pula longkang simen di sekeliling rumahnya. Bukan ringan dan mudah untuk mengangkat longkang yang sangat berat itu tapi dia mampu melakukannya.

Kerosakan-kerosakan yang dilakukan si anak seolah dirinya kerasukan itu tidak dibiarkan emak lagi setelah menentang mata anaknya yang merah menyala bak saga.

Akhirnya anak emak itu dibawa berubat ke Taman Permata Gombak. Perawat-perawat di sini adalah ahli Persatuan silat Malaysia dan kebanyakan terdiri daripada guru-guru juga staff kerajaan atau swasta.
Mereka ini merawat pesakit dengan menggunakan keris kecil yang ditusuk di tapak kaki pesakit.

Bahan-bahan yang sangat diperlukan untuk proses pengubatan anak emak ini adalah daun durian belanda, limau nipis dan kelapa.

Dengan izin Allah anak emak telah sembuh dengan bantuan perawat-perawat yang ramah, berbudi bahasa dan sangat baik.

Friday, 27 January 2012

Pelarian

Sekiranya boleh laksana angin
tentu mudah meresapi
setiap alur nadi
dan
menolak segenap kerikil
yang menghalangi laluannya...

Sekiranya boleh laksana ombak
yang bergerak dan berolak
setiap yang melintas
pasti dipintas....

Sekiranya dapat laksana burung
pasti akan terbang ke langit
meninggalkan bebanan duka
di celah awan gemawan
dan
bibir kembali mengorak senyuman
justeru telah terlerai olah hidup
yang sangat perih...

Saturday, 21 January 2012

SELIRATAN CINTA 1... bab 3 Novel adaptasi skrip drama TV dengan izin karya Fauziah Abd.Samad. Diedit oleh: Noorlaila Ghafar penulis novel HIJRAH HATI terbitan DBP

Dato Shaari sedang berada di pejabatnya. Seorang gadis setiausaha menemaninya berbual kata. Sesekali terdengar kikihan manja seakan tergeletek amat perasaan dicuit gurau senda antara kedua-duanya. Perbualan yang sangat mesra di antara bos dan sekretarinya tiada apa yang mengganggunya. Berlaku dalam suasana harmonis yang selesa.
Amin menerjah masuk ke bilik bosnya seperti kebiasaannya tanpa mengetuk pintunya terlebih dahulu. Gadis setiausaha bingkas dari duduknya dan segera meluru keluar sambil mengepit fail di tangan.. Amin yang terjengul tiba-tiba mengejutkannya. Berderau darahnya menyimbah ke muka. Jantungnya berdegup kencang kerana keterkejutan.
Bimbang pula tersebar gosip hubungan mesra antaranya dan bos dijaja kemana-mana. Tukang canangnya tentulah Amin yang gemar bermuka-muka itu. ‘Bukan boleh percaya sangat ‘mamat’ pengampu seorang ni,’ desis hatinya.
Jika kabar-angin yang bukan-bukan itu sampai ke pendengaran tunangnya tentu haru-biru jadinya. Gadis itu tidak mahu berita sensasi begitu mengeruhkan hubungannya dengan tunangnya. Sudah tidak beberapa bulan lagi akan ke jenjang pelamin pula. Banyak persiapan yang telah dibuat. Kalau tidak jadi gara-gara mulut Amin yang celupar itu, alangkah malunya.  
            “Kau ni kenapa haa. Ingat pejabat ni bapa kau punya ke. Main terjah ikut suka je,” sergahnya dengan renungan mata tajam bersinar. Amin terkedu dijerkah bosnya.
            “Maaf Datuk. Sebenarnya adahal penting sangat. Sebab tu saya nak cepat. Datuk tengok ni. Ada artis baru Datuk. Mesti Datuk berkenan punya.” Amin menyuakan sebuah majalah hiburan  keluaran terbaru pada Datuk Shaari yang terkepit kemas dalam genggamannya.
Dia berharap kepanasan hati bosnya hanya ‘hangat-hangat tahi ayam.’ Tidak setara mana panasnya. Sekejap lagi sudah suam-suam kuku. Kembali normal sediakala.
Dato Shaari segera mencapainya. Kemarahannya kerana diganggu tadi ketika dia sedang berdua-duaan dengan setiausahanya cepat pula mereda. Amin lega melihat wajah Datuk Shaari tidak setegang tadi. Sudah setenang ayam tambatan dan tidak segarang harimau di kandang. Dia semakin berani menghambur bicara.
“Cantik Datuk. Bak bidadari.”
“Hah? Secantik Rozana ke?”
“Ini lagi hebat Datuk. Kecor air liur dibuatnya. Memang ngam dengan Datuk.” Amin ligat menggula-gula propa yang sangat diminati Datuk Shaari mutakhir ini. Dulu Datuk Shaari tidak begitu lakunya.
Dia hanya meniru contoh seorang rakannya seorang ahli perniagaan IT bertaraf dunia yang sering mengundang model-model jelita dan artis cantik untuk bersama pelanggan yang berurus-niaga dengannya. Katanya sebagai penyeri suasana dan melancarkan urusan bisnis yang hendak dijalankan. Supaya licin dan sempurna.
Dia cuba memperaktikan apa yang diamalkan kawannya itu sehingga dia pula yang terseret ke dalam kancah golongan manusia berparas cantik dengan kelebihan sebagai artis pelakon, artis penyanyi atau model  ini. Sehingga tidak dapat lari dunia yang sangat obses pada keindahan dan kecantikan itu. Dia sangat mengkaguminya.
Kini dia adalah peminat golongan itu dan sentiasa mendekati, mengikuti perkembangannya. Perantaranya adalah Amin kerana dia adalah seorang yang luas pergaulannya dalam ruang yang bersangkutan ini dan sentiasa berusaha hendak memenuhi hasrat tuannya. Tanpa sebarang olah dan bantah. Akur pada perintah.
“Ini boleh dapat ke Amin?” Amin terdongak mengadap Datuk Shaari.
“Eh datuk punya pasal, apapun saya boleh bagi. Kalau nak suruh saya uruskan untuk jadi yang nombor dua pun boleh.” Dia tersengih dengan yakin kerana terasa mampu melakukannya tanpa aral.
“Ish.. jaga sikit mulut tu. Untuk nombor dua, kau tak payah nak ajar aku. Aku ni dah berguni garam aku telan. Kalau aku nak pasang nombor dua dah lama aku buat. Aku yang akan pilih, bukan kau. Aku hanya akan pilih orang yang aku berkenan saja. Bukan sembarangan.” Matanya tidak lepas dari menatap majalah.
Hatinya amat kagum dengan wajah-wajah cantik penghias lembar majalah itu. Di selak lagi lembar seterusnya. Memang wajah-wajah perempuan dijadikanNya sangat cantik memikat. Sukar sesiapapun menafikannya. Bisik nuraninya.
Dibiarkan saja Datuk Shaari tekun melayani hobi terbarunya itu kerana dia juga yang mendapat pulangannya. Setiap artis atau model yang diperkenalkannya sekiranya menepati cita rasa Datuk Shaari untuk dijadikan teman sosial seketika dia akan diberi ganjaran yang tidak mengecewakannya. Rezeki Datuk yang mewah dan melimpah ruah itu mengalir juga sedikit ke poketnya.
Dia tahu juga tentang sepotong ayat al quran yang menyebut setiap rezeki yang diberikan itu ada hak orang lain bersamanya. Jadi tunaikanlah zakat. Dia berharap Datuk itu telah menunaikan zakatnya kerana dalam setiap laporan kewangan tahunan syarikat ada terpapar di akhbar di keluarkan sekian-sekian juta RM untuk zakat perniagaan.
Nampaknya Datuk itu tidak lokek berzakat kerana zakat akan menyuburkan rezekinya hingga melimpah-ruah dan mengalir ke poketnya menjadi haknya. Cuma caranya saja yang menyeleweng.
Dia tidak peduli apa maksud penyelewengan dari fahaman agama. Yang penting poketnya berisi. Dan dia boleh menjalani kehidupan yang senang kerana poket tidak kosong. Penuh berisi RM.  
“Agaknya yang ni boleh dapat tak?” Yang ditanya hanya menyeringai tanpa sebarang jawapan. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak mengatur jawapannya. Dia membalik-balik minda fikirnya yang kiri. Menurut pakar, otak sisi kiri metah kreatif.
“Itulah Datuk, dulu lagi saya dah cakap. Kalau Datuk berminat kenapa tidak berusaha mencuba. Citarasa artis ini nampaknya orang-orang yang berumur setara datuk. Tidak muda sangat tidak tua sangat. Sedang-sedang. Ini bila sudah terlepas pada yang lain barulah Datuk menyesal gigit jari.”
“Buat apalah mencuba kalau hasilnya memang sudah dijangka. Dia hanya memilih Datuk yang dicintainya. Bukan sembarangan orang. Kau mana tahu bagaimana perasaan orang yang jatuh cinta dan dilamun cinta. Sebab cara hidup kau ni mudah. Main sapu semua. Pendek kata ‘bujur lalu melintang patah.’”
“Habis buat apa nak tanya lagi. Redha je lah. Biarlah artis pujaan itu berada dalam dulang cintanya dengan berbahagia. Datuk tengok sajalah. Bukannya rugi apa-apa.”
“Pandai pula kau bercakap ya Amin,”gerutunya dengan geram.
 Wajah anggun wanita secantik Cinderella pada anggapannya itu di tatap dengan ralit sebelum menutup lembarnya. Dan mengkesampingkan majalah popular itu di sudut meja.
“Hai Sitti Nurhalliza, kenapalah kau tidak pilih aku. Aku pun Datuk juga. Banyak harta juga.” Keluhannya dilepaskan lemah dan perlahan. Amin tersengih di sisinya. ‘Hai ada hati juga datuk ni nak pikat Sitti Nurhalliza, tak tengok cermin kot, rupa pun retak seribu. Ada hati nak pikat artis paling top. Kalau aku tu lain la, tampan, bergaya, muda.’ Gumam kalbunya sinis.  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...