بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Selepas berwisata sehingga ke sempadan Siam melalui Pendang Nami, Naka hingga ke Padang Terap berpatah pulang ke Alor Setar. Senja pun berkalih malam. Bermalam pula di hotel Sri Malaysia Alor Setar.

Paginya setelah sarapan ronda-ronda bandar sekejap dan singgah di Pekan Rabu. Anak-anak memborong kuih-kuih tradisi Melayu yang sememangnya banyak dijual di situ. Yang tidak lupa dibeli tentulah dodol, hakwa maskat dan putu kacang. Kuih-kuih lama kegemaranku. Susah nak dapat di mana-mana walau ada dijual dengan nama serupa tapi rasanya tetap berbeza.

Sudah selesai urusan di Pekan Rabu perjalanan diteruskan ke Kuala Kedah. Bukan hendak ke Langkawi tapi saja nak tengok-tengok apa yang menarik di situ. Hari ini Jumaat jadi tiada aktiviti nelayan di pengkalan. Tidak ada ikan-ikan yang dipunggah dari bot.

Sekejap saja perjalanan melalui kampung-kampung di tengah bendang yang hijau kerana musim padi baru ditanam sampailah ke kampung emak saudaraku di Kuala Dulang Kecil. Di sinilah juga tanah tumpah darahku. Awal persekolahan juga di sini.

Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat tumpah darah...tempat kelahiranlah tu.

Makcik tidak berapa sihat tapi tetap berusaha memasak hidangan tengahari. Kata pakcik la ni orang tidak turun ke laut keranaa ombak besar dan amaran tsunami jadi tidak ada hasil laut yang segar untuk dinikmati. Aku sebenarnya teringin hendak makan ikan-ikan laut sebelah sini kerana rasanya yang sangat enak dimasak apa saja.

Hidangan tengahari yang disajikan bersama air nira nipah yang manis. Lega rasa tekak dibasahi kedinginan dan rasa enaknya yang tidak terkata sambil mata memandang hijau padi yang terbentang di kaki gunung Jerai. Air nira ini makcik yang mengusahakan daripada pokok nipah yang tumbuh di sekitar rumah sejak ratusan tahun dulu.

Pakcik dan makcik berusaha pula mengait buah-buah mempelam yang nampak bergayutan di pohon untuk diberi kepadaku buat dibawa pulang. Baik sungguh kedua-dua bapa/mak saudaraku ini melayaniku dan anakcucu sebaiknya walau masa bersama sangat singkat.

Tidak sempat lagi hendak ke Yan bertemu seorang lagi emak saudara yang tinggal di sana kerana hari hampir malam. Bimbang lewat hendak menaiki feri ke Pulau Pinang dan sukar pula mendapat hotel untuk menginap. Sedikit waktu siang diusahakan juga untuk menziarahi pak Jang di Kuala Sg. Yen kecil dan seorang sepupu yang tinggal berhadapan hospital Yan.

Awal malam diredah berpandukan GPS yang selalu menyesatkan sehinggakan menantu terpaksa ramah berbahasa bertanya arah jalan kepada orang-orang di pinggir jalan sehinggalah dapat menaiki feri ke Georgtown.

Penat sungguh dilambung kereta, sampai saja di hotel terus bungkang. Solat musafir ditunda dulu untuk memberi kerehatan kepada tubuh dulu.

Tidur sekejap dah pun siang. Anak menantu plan nak ke Balik Pulau menaiki bukit hingga turun ke Batu Peringgi. Durian sedang bermusim. Lebat sekali buahnya kelihatan bergantungan di pohon-pohon yang di tanah tinggi. Singgah juga untuk makan durian-durian pilihan yang tersedia di pinggir jalan. Boleh tahan mahalnya tapi makan sajalah...sesekali bukan selalu.

Dari Batu Peringgi menyusuri jalan ke Padang Kota mencari pasembor. Disebabkan laut bergelora pasembor pun tidak berisi udang sotong atau ketam yang menambah keenakannya. Selera pun terburai menikmati pasembor yang biasa-biasa saja rasanya.

Masa untuk menaiki feri semula setelah perut diisi untuk meneruskan perjalanan pulang.

2 ulasan - "CUTI-CUTI MALAYSIA KE KEDAH DAN PULAU PINANG"

Elaine Chew delete icon 22 April 2015 6:13 PTG

Selamat cuti ! Boleh kunjungi 5* villa (Villa 827) di A' Famosa Resort di Melaka untuk cuti yang akan datang :)

www.villafamosaresort.com

paridah delete icon 18 September 2015 9:10 PG

HMM..OK ELAINE CHEW...TQ.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”