Sunday 13 May 2012

SELIRATAN CINTA...bab 8


Anita dan Sarina bergegas memasuki sebuah pejabat produser yang aktif menerbitkan drama-drama untuk siaran TV. Kedua-duanya adalah dramatis yang sering membintangi drama-drama dari syarikat ini ataupun yang dikeluarkan syarikat yang lain.
Tetapi kedua-dua dramatis ini sangat selesa jika ditawarkan untuk berlakon drama terbitan Encik Rosli dari syarikat Drama Kita. Syarikat ini dirasakan memberi bayaran yang setimpal dan sentiasa menunaikannya mengikut waktu yang dijanjikan. Kebajikan dan kesusahan artis-artis yang terlibat dengan produksi ini juga diperhati.
“Hai Nita…Sarina... dah sampai pun.” Rosli menyambut kehadiran kedua-dua gadis itu dengan senyuman.
“Mestilah kena tiba tepat menepati waktu Encik Rosli. Janjinya hendak tandangani surat perjanjian kontrak berlakun pada pukul 9.00 pagi. Saya harap saya dan Sarina tidak terlambat.” Dia mengerling Sarina yang amat payah hendak dikejutkan dari tidurnya di awal pagi  walau disengguh tubuhnya beberapa kali sehingga terpaksa dibasahkan mukanya dengan tuala berair.
Mengenang insiden itu dia tersenyum sendiri. Sarina yang terjerit-jerit terpekik terlolong marahkan dirinya kerana menekap mukanya dengan tuala yang basah dingin. Menyebabkannya bingkas bangun dari katil dan mengejar pelakunya. Ditumbuknya bahu Anita sedang Anita cuma terkekeh-kekeh tertawa.
“Nita ni Encik Rosli, semuanya hendak cepat dan tepat masanya. Hingga saya ni yang jadi mangsa kerana hendak pastikan betul prinsip yang dipegangnya.”
“Kenapa?” Tanya Johan yang hanya berdiam dan memandang saja sejak tadi.
Sarina merasa serba-salah pula hendak menceritakan apa yang dialaminya sebentar tadi. Dia bimbang persepsi produser dan pengarah drama terhadapnya akan merudum prestasinya lantaran cerita yang tidak memihak kepadanya itu.
“Kita nikan artis Melayu Malaysia. Orang Melayu sangat berpegang dengan janji Melayunya. Kalau janji nak jumpa pukul 9.00, jawabnya pukul 9.30 atau tidak pun lewat sikit pukul 10.00.” Sarina tersengih dengan hujah yang dipertahankannya.
 Rosli dan Johan saling berbalas senyuman. Anita pula yang mengetap bibirnya kegeraman. ‘Kalaulah kita ni bodoh, jangan ditunjukan kebodohan kita tu pada orang lain Sarina oii. Simpan saja kebodohan tu dalam batu jemala di atas kepala tu..’getus hatinya dalam diam. Dia tidak suka sesiapa pun mentertawakan temannya itu kerana sikap ambil mudahnya.
“Itu Melayu dulu Sarina. Melayu zaman purba. Melayu kini mesti pantas dan menepati waktu, seiring dengan perubahan masa. Jika tidak kita akan tertinggal jauh di belakang dan berada di takuk lama. Hidup ini tidak statik Sarina, sentiasa berubah. Awak pun jika masih dengan mentaliti ‘janji melayu’, saya tidak akan ragu-ragu untuk menggugurkan nama awak dari senarai dramatis yang akan berlakon drama ini.” Jawapan produser drama itu sangat mengejutkan Sarina. Terpana seketika.
Wajah teman yang dijelingnya tersengih kepadanya. ‘Rasakan kau, kan aku dah cakap tadi.’ Dia kalut dan menggelabah. Warna wajahnya yang ceria sebentar tadi kesuraman.
“Tapi saya menepati waktu kan Encik Rosli. Maknanya keputusan Encik Rosli itu
tidak akan menjurus kepada saya.” Ujarnya mulai risau tidak menentu. 

No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist