بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

“Tidak untuk ketika ini. Tetapi di masa depan jika awak masih yakin berpegang dengan janji Melayu itu nampaknya terlepaslah peluang untuk meraih keuntungan bersama syarikat ini yang berpegang pada motto ‘cepat dan tepat pasti jaya’.”
            ‘Seakan motto PDRM pula (Polis Diraja Malaysia)’ getus hati Sarina.
Dirasakannya khutbah yang diberi produser drama yang masih muda dan baru berkahwin itu laksana seorang motivator yang memberi ceramah motivasi kepadanya.
Membosankan. Memeningkan kepalanya yang malas untuk mentafsir dan menghazam maksud baiknya. Tetapi demi menjaga periuk nasinya terpaksa ditebalkan juga cupingnya untuk menerima ocehan yang tidak memenuhi seleranya itu.
            “Mana dokumen kontrak tawaran berlakon drama untuk kedua-dua artis ni? Sarina dan Anita ni ada appointment dengan wartawan majalah hiburan pula selepas ni.” Rosli menerjah tanya kepada gadis pembantunya.
Seorang PRO (Pegawai Perhubungan Awam) syarikat yang tugasnya khusus kepada tanggung-jawabnya menjaga kepentingan dramatis-dramatis yang telah diberi kontrak tawaran berlakon.
Orangnya tampak elegan dan sofistikated perawakannya. Haslinda. Dia meninjau pandang ke mana-mana. Mencari-cari sesaorang lagaknya.
            “Kemana pula si Lela ni?” gadis itu tercari-cari sekretari Encik. Rosli.
            “Lela…”jeritnya. Tiada sahutan balasnya. Sepi.
            “Biar saya tengok samaada dia ada di luar,” Anita menawarkan jasa baiknya untuk meninjau keberadaan Lela. Barangkali Lela sedang menyiapkan sesuatu yang belum beres tentang dokumen perjanjian itu. Kerana di dalam perjalanannya memasuki bilik Encik Rosli sebentar tadi, dia melihat Lela sedang tekun mengadap skrin komputer.
 Sebenarnya Anita tidak gemarkan cara Haslinda yang meninggikan suaranya memanggil sesaorang dan berharap orang itu akan membalas panggilan dengan cepat tetapi malas bergerak dengan pantas untuk mencari dan mengambil tahu sebab-musabab akan kelambatannnya. Apalah guna membuang masa setakat memeritkan tekak terjerit-jerit begitu.
            Benar sekali dugaan Anita, Nurlaila ditemuinya sedang mencetak terma perjanjian di kertas terakhir yang sudah disusun rapi di dalam beberapa buah fail. Tertera nama Sarina pada fail yang sedang dipegangnya di bahagian atas. Fail yang di bawahnya tentulah tertera namanya. Dia mengagak saja.
Nurlaila sudah bangun dari duduknya yang lama. Menegakan tubuhnya dan mengibas-ngibas ponggongnya. Merapikan semula susun-letak pakaian di tubuhnya.
            “Cepat sikit Lela, Encik Rosli dah sibuk cari kau tu.” Nurlaila terkocoh-kocoh mengemasi dokumen yang akan dibawanya masuk ke bilik pejabat ketuanya.
            “Gitulah Nita, Encik Rosli tu semua kerja dia nak cepat menepati masa tetapi masa yang cukup tidak diberi untuk aku siapkan kerja ni. Apapun beritahulah awal-awal, ni tidak, hari ni nak sain perjanjian, pagi tadi bila aku masuk opis dia suruh aku siapkan semua dokumennya. Kelam-kabut aku nak buat. Mujur juga dokumennya memang tersimpan dalam folder computer dan tidak banyak yang perlu diubah, tapi penatlah juga.” Anita turut kasihan menatap wajah layu yang keletihan kerana mindanya terdera itu.
            Kadang-kadang kita inginkan orang lain memenuhi nilai-nilai norma yang kita amalkan tetapi kita lupa di satu sisi orang lain itu tidak berupaya hendak mengikut rentaknya. Di sini telah berlaku salah tanggapan penerimaan, menurut Anita.
            “Awak ke mana ni Lela?” Tanya Haslinda gusar. Lela melepaskan senyuman yang dipaksa bermain di bibirnya. ‘Lebih sudu dari kuah lah pulak dia ni…bos tak berbunyi pun. Dia pula yang sibuk.’ Getus hatinya mengeram haba.
            “Tak ke mana. Di luar tu saja. Siapkan semua dokumen yang perlu ni.” Balasnya hambar. Di letakannya timbunan surat-surat yang perlu di tandangani kedua-dua artis drama itu untuk mengesahkan kedua-duanya menerima tawarannya dan tertakluk pula kepada beberapa syarat tertentu yang mesti dipatuhi.
            “Sarina dan Anita boleh turunkan tanda tangan pada ruangannya.” Tukas Encik Rosli. Johan menghulurkan pen yang di ambil dari kocek bajunya kepada Anita. Dokumen itu telah disemak terlebih dahulu sebelum dia menurunkan tanda tangannya. Dia meneliti setiap syarat yang terkandung di dalamnya. Setelah berpuas hati baru dia menandatanganinya.
            Giliran Sarina pula untuk tugasan yang serupa. Cepat dan pantas. Yakin amat. Gurisan tanda tangan terus tercoret tanpa sebarang kerja kaji yang sepatutnya.
            Selesailah acara itu. Bersalaman pula secara formalnya. Menurut kebiasaan yang dilakukan setelah sesuatu urusan itu dipersetujui kedua-dua belah pihak.
Tidak ada sebarang bantahan yang berbangkit.
                   
                                                                        


Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”