بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

“Rizal sudah balik ya Min? Untung kau dapat bertemu dengan anak kesayangan  ya Min… hai tak sabar kau nak jumpa anak. ” Datin Majmin mengangguk, tersenyum lebar menyambut ucapan temannya yang sudahpun tahu ceritanya tanpa perlu dia menjelaskannya lagi secara rinci..
Dia mengharapkan gelongan rambut yang sedang dirungkai Ita akan segera berakhir dan dia boleh cepat pulang mendapatkan anak kesayangannya. Buah hati pengarang jantungnya yang satu itu. Sekian lama tidak bertemu, rindunya bukan kepalang lagi.
Gembira sungguh hatinya bertemu semula dengan insan yang tersayang yang telah hilang dari sisinya selama ini.
“Mon, aku balik dulu ya. Selamat tinggal. Take care.” Dia menciumi pipi temannya itu mesra, kanan dan kiri sebelum meninggalkannya.
“Apahal pun you call me.” Tukas Datin Maimon. Melepaskan pandangan pada Majmin yang mulai melangkah meninggalkannya.
Maimon mengambil tempat yang ditinggalkan temannya. Dia hendak membasuh rambut seperti sering dilakukannya. Seminggu sekali.
Dia seronok sesekali membiarkan jejari lembut wanita di salon memicit kulit kepala dan rambutnya akan mengerbang lembut laksana sutera, harum mewangi setelah usai dicuci.
Akar rambut pula akan tumbuh subur di kulit kepala. Demikian iklan shampoo rambut yang mempengaruhi nalurinya yang ditatap slot siarannya setiap hari di TV.
“Dia langsung tidak bimbang tentang cerita artis sibuk tekel Datuk seperti sibuk digosipkan dalam majalah sekarang ni. Riak wajahnya selamba je.” Datin Maimon memberi ulasannya setelah ketiadaan temannya.
‘Hai teman sendiri pun jadi mangsa umpatan.’ Detik hati Ita. Demikianlah resam manusia, bila berhadapan muka bukan main manis budi bahasa, setelah berpaling belakang, umpat keji pula yang kedengaran, demikian hati Ita merumuskan.
“Kenapa Datin bimbang sangat ke?” Dia bertanya sekadar mengisi masa sunyi dengan bualan ringkas.  Maimon tidak membalas pertanyaan itu. Tetapi hati kecilnya tetap mengiyakannya.
‘ Siapalah yang tidak takut kehilangan suami tersayang, ahli perniagaan berjaya, Datuk lagi. Kalau berani hendak ambil laki aku tahulah cara aku nak mengerjakannya’. Dia menggumam geram. Bibirnya diketapkan. Giginya dikancing rapat.
Apa yang menggeluti perasaannya hanya dia yang tahu betapa serabut dan kacaunya. Dia memang terlalu sayangkan suaminya. Dan tidak mahu kehilangannya. Apalagi hendak berkongsi dengan sesiapa yang mahu menjadi madunya.
Dia tahu bermadu itu sunah Rasullullah SAW tetapi Nabi yang mulia itu hanya memadukan isteri-isterinya setelah kewafatan Saidatina Khadijah Ummul Mukminin yang sangat dicintainya. Dia pun sangat rela sekiranya dia telah tiada suaminya itu hendak memadukan isterinya pula. Tapi tidak sekarang. ‘No way.’

                                                            

 Shopping Complex itu tidak begitu ramai pengunjungnya. Mungkin agaknya keadaan yang lengang itu disebabkan waktu sekarang orang-orang yang di opis sedang berkerja. Begitu juga di sekolah atau di tempat-tempat lain.
Bukan sekarang masanya untuk membeli-belah jika tidak teramat penting. Atau keperluan yang sangat mendesak. Biasanya sesaorang itu hanya akan melakukan urusan sampingan setelah menyelesaikan tugasan utama.
Dua orang lelaki sedang membelek perfume yang berjenama buatan luar negara yang diletakan di dalam lemari kaca yang khusus untuknya.. Barangkali lelaki-lelaki ini sudah usai tugas utamanya. Sekarang ini melakukan urusan sampingan pula.
“Yang ini wangi Datuk. Cuba cium.” Amin memberikan sebotol kecil minyak wangi kepada Dato Shaari. Dicapainya. Dia mencium baunya. Bergerak keningnya. Dahinya berkerut. Wajah yang bergaris dengan kerutan menjengah anak mata Amin. Menuturkan reaksi yang tidak disenanginya.
“Ini bau jantan. Tidak sesuai. Kau pilih untuk kau sudahlah. Biar aku yang pilih apa yang aku hendak.” Tegas sekali bunyi suaranya siap dengan arahannya.
“Saya pun boleh pilih juga ke?” Tanya Amin dengan penuh rasa gembira.
“Eh.. Tanya pulak dia. Sejak bila dah pandai bertanya ni. Sudah… kalau nak, pilih cepat. Jangan sampai aku ubah fikiran pula nanti.” Amin tidak sabar lagi hendak memiliki pewangi kesukaannya.
Dia tercari-cari jenama dari luar negara dengan harga yang tidak mampu dia membayarnya. Matanya liar menjengah segenap sisi.
‘Sesekali dapat merasa belanja Datuk biarlah berbaloi barang yang hendak dibeli. Orang hendak belanja, bukan kena beli sendiri. Lupakan dulu tentang kempen beli barangan tempatan. Barangan tempatanpun asasnya banyak elemen impot.’ Demikian kalbunya mencongak kira. Membenarkan keputusannya.
Melihat telatah Amin sebegitu Datuk Shaari menggelengkan kepala. Cepat pula Amin menemukan apa yang dicarinya. Dan  membawa pewangi pilihannya pada gadis jurujual yang tersenyum membalas sengihan lebar pelanggannya. Senyuman yang mempunyai makna yang tersendiri. Yang boleh ditafsir pemilik diri.
Datuk Shaari masih menilik pewangi-pewangi yang diimpot dari Peranchis dengan begitu teliti. Ternyata di kotaknya wangian itu yang di ekstrak dari bunga mawar, jasmine, lavender, anatalia dan aneka bunga-bungaan lagi.
Haruman lembut dari bunga-bunga itu memang kesukaan ramai wanita. Termasuk isterinya. Tiba-tiba saja dia terkenangkan isterinya. Isterinya yang gemar mencium harum bunga mawar di laman rumahnya.
Dia sendiri tidak tahu apakah perfum kesukaan Datin Majmin. Dibiarkan saja isterinya itu mengurus semua keperluan dirinya. Membeli sendiri apa saja kemahuannya. Tentang ongkosnya, dia tidak pernah berkira. Sebut saja.
Isteri yang ditinggalkan itu bersendirian agaknya sedang menonton TV seperti kelazimannya. Menunggu dengan setia kepulangannya. Seorang wanita cantik, suatu ketika dulu yang pernah merebut rasa cintanya, sangat dikasihinya dan tidak mahu kehilangannya.
Terbayang pula saat-saat indah melewati musim percintaan semasa di kolej dahulu. Sentiasa bersama-sama mengulangkaji pelajaran, ke librari atau ke padang permainan. Hubungan yang sangat akrab laksana isi dengan kuku. Ibarat irama dan lagu. Irama dan lagu yang tidak dipisahkan. Rosak lagu pincanglah irama. Ah…itu cerita dulu-dulu.
Dia menepis ingatan itu jauh-jauh. Nostalgia lama yang ingin dilupakan. Dan kembali menumpukan pada susunan kotak minyak wangi di dalam cermin yang pelbagai saiz dan ukuran.
“Mana satu agaknya yang aku nak pilih ni?” dia masih termangu. Merenungnya dengan ralit. Begitu teliti sekali hendak menentukan pilihan yang tepat. Amin memerhati gelagat datuk itu.
“Hai tak jumpa lagi apa yang nak dibeli Datuk?” tukas Amin. Dia sudah kembali ke sisi Datuk Shaari setelah meletakan barangnya di kaunter jurukira.
                                              
                                                                *    *    * 

 Rizal sudah menyiapkan dirinya dengan berpakaian mengikut keselesaannya. Berbaju T biru kelabu serta berseluar jin yang seakan warna bajunya. Dia turun ke laman rumah, duduk di bangku batu menikmati flora tanaman mamanya.
Petang yang redup dan angin mulus berhembus nyaman menyapa wajahnya. Banglo putih bertingkat satu di pinggir bandar itu memang tempat penginapan yang selesa buat Rizal dan ibu-bapanya. Sudah berpuluh tahun seisi keluarganya menghuni di situ.
“Lambatnya mama ni balik. Selalu ke mama keluar Mak Kiah?” dia sudah bangun dari kerusi yang didudukinya dan mengatur langkah menghampiri pasu ros merah . Sekuntum bunga itu yang sedang membuka kelopak disentuhnya. Terpesona dengan keindahannya. Sesungguhnya Allah itu maha indah. Subhanallah.
“Macam inilah Datin setiap hari Rizal. Kadang-kadang malam pun dia tidak ada di rumah.” Rizal agak kaget dengan kenyataan itu. Dia berpaling dari tatapan asalnya mengadap Mak Kiah pula.
Nampaknya ada sesuatu isu yang tersembunyi selama ketiadaannya tidak diketahuinya. Wajar diketahuinya. Dia kembali duduk di bangku batu. Anak matanya mengekori gerak kerja sepasang tangan yang semakin lisut kulitnya itu mengatur hidangan petang buatnya.
“Ke mana pula mama keluar malam-malam?” pertanyaannya menggambarkan kerusuhan yang terpamer di wajahnya. Dia runsing memikirkannya. Tidak menyenangi apa yang didengarinya. Di hatinya bersarang prasangka yang ingin dikais kebenarannya.
“Datin ke kelas fardhu Ain di masjid bersama kawan-kawannya. Kadang-kadang kelas itu di adakan juga di rumah kawan-kawannya secara bergilir.’ Rizal tersenyum sedikit. Nafas kelegaan yang menyesak dadanya dilepaskan. ‘Pandai juga Mak Kiah ni buat aku gabra.’
“Begitu ke… Mak Kiah ni bercakap bukan main suspen. Menakutkan saya je. Saya ingatkan mama keluar malam ke disko ke, dangdut ke. Kalau masuk kelas begitu baguslah. Menambahkan ilmu untuk perjalanan ke akhirat. Umurpun sudah makin meningkat. Tidak ada apalagi yang hendak dicari. Melainkan membuat persediaan hendak ke negeriNya.” Ujar anak itu yang sangat prihatin diatas kemashlahatan mamanya di dunia dan di akhirat kelak. Seorang anak yang soleh sentiasa mendoakan kesejahteraan mama yang dikasihinya.
 Mak Kiah sudah selesai menghidangkan minuman panas dan sejuk yang dibawanya. Dia tidak tahu yang mana satu kemahuan tuan muda itu, jadi dia membuat kedua-dua jenis minuman. Untuk memudahkan kerjanya.
Jadi tuan mudanya itu boleh memilih mana-mana minuman yang disukainya. Tanpa dia perlu berulang-alik ke dapur lagi. Penat juga hendak berjalan dari halaman di hadapan menuju ruang dapur nun jauh di hujung. Dia pun sudah berusia.
Tenaga yang ada metah sedikit. Dan tidak boleh terlalu berkuat sangat. Kepenatannya sangat terasa setelah mengeluarkan terlalu banyak tenaga. Tenaga yang dimiliki hari ini perlu disimpan untuk kegunaan esok pula. Itulah kata hati mak Kiah.
“Datin tu kesunyian. Sejak mutakhir ini, Datuk amat sibuk. Sentiasa balik lewat malam. Jadi Datin pun isilah masanya dengan kegiatan-kegiatan yang boleh melupakan kesunyian yang dirasakannya.” Mak Kiah menceritakan kebenaran pada penerimaannya.
“Setiap malam ke ayah keluar?” ditenungnya mata yang menatapnya bening itu memohon penjelasan.
“Bolehlah dikatakan tiap-tiap malam. Kadang-kadang habis waktu pejabat pun tidak balik ke rumah. Barangkali sibuk sangat datuk tu dengan kerjanya.” Bila ekonomi yang menguncup semakin pulih dari kegawatan pada 1997 tentulah pemulihannya yang amat perlahan itu menuntut kerja keras yang tidak sedikit. Rizal mengandaikannya begitu. Boleh jadi ada kebenarannya di situ. Dia ingin menerima kewajaran sikap itu.
Rizal terdiam. Keluhan berat dilepaskannya. Tetapi sukar pula hendak percaya seseorang yang begitu taksub berkerja sehingga mengabaikan rumah-tangganya. Sebab dahulunya sifat ayahnya tidak sebegitu.
 Sentiasa ada waktu yang telah ditentukan samaada untuk berkerja atau bersama keluarga. Walakian sibuk sebagaimana sekalipun. Aneh juga cerita yang didengarnya ini dirasakannya.
“Ye ke ayah tu sibuk berkerja sehingga tidak punya waktu bersama mama Mak Kiah?” masih juga dia bertanya sedang tangan mencapai sepotong kuih talam pandan yang hijau dan harum dengan bau pandan. Agaknya Mak Kiah menyediakannya untuk mamanya kerana kuih itu memang kegemaran mamanya. Diapun turut menyukainya.
“Entahlah Rizal, iya atau tidak. Tapi itulah yang selalu Datuk cakap bila Datin tanya kenapa Datuk balik lewat.” Mak Kiah tidak berani hendak menentukan kata putusnya kerana dia tidak mahu dia dirujuk sebagai pembantu rumah yang sibuk menjaga tepi kain majikannya. Dia hanya menceritakan apa yang dilihat dan didengarnya. Tidak menokok tambah walau sedikit.
“Habis mama tidak kisah bila ayah sering tidak balik rumah kerana kononnya sibuk berkerja?” Rizal bertanya lagi seolahnya dia tidak yakin bahawa itu yang sebenarnya berlaku. Dugaannya mengatakan bahawa memang ‘ada udang di sebalik batu.’ Begitulah menurut firasatnya. Firasat yang sangat diyakininya.
“Tak tahulah mama kamu tu jenis apa orangnya, baik sungguh. Apa yang Datuk cakap semuanya benar semata. Tidak nak berkuit, berkotek bertanya.”
Rizal menghela nafas dan menariknya dalam-dalam. Mudahan tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini yang mengeruhkan hubungan kasih sayang antara mama dan ayahnya. Dia mendoakannya begitu. Dia ingin berada di tengah keluarganya dalam suasana yang harmoni persis dilaluinya suatu ketika dulu.

                                                             

12 comments - "Seliratan cinta bab 5"

Aku Penghibur delete icon 16 December 2014 at 21:53

bookmark dulu.. nmpk menarik cerita nie.. excited nk bce

paridah delete icon 16 December 2014 at 21:58

OK...TQ ACIK BACA BILA SENANG.

Aishah Amin delete icon 17 December 2014 at 00:43

jalan2 jumpa blog kak Paridah..bestnya, ada novel..nak bacaaaaaa. salam kenal kak

Jemputlah ke blog saya #projek2ribu

babYpose delete icon 17 December 2014 at 06:18

saya pun tak reti nak pilih perfume takut bau lain dari yang sepatutnya :)

Fidah Shah delete icon 17 December 2014 at 07:29

Dah lama tak baca novel...macam best aje ni

paridah delete icon 17 December 2014 at 10:09

tq aishah sudi singgah...salam kenal...novel menarik ni rugi xbaca heh..heh..

paridah delete icon 17 December 2014 at 10:11

kak lagi xtau asal wangi lembut sapu jer...tq babYpose

paridah delete icon 17 December 2014 at 10:13

best ni fidah rugi xbaca...cewah kan main promot.

Kakzakie delete icon 17 December 2014 at 11:39

Itulah kadang tindakan mak-ayah buat anak yg berserabut memikirkan.
Anak kalau boleh nak macam dulu tapi hakikatnya kena tunggulah ye PI:)

Ahmad Zu Mal Md Rayi delete icon 17 December 2014 at 11:39

Suka la Amin dapat perfume free yer...Untuk Datin ke Datuk nak beli tu ?

paridah delete icon 17 December 2014 at 14:14

heh..heh datuk beli perfume utk girlfrennya...tq zumal.

paridah delete icon 17 December 2014 at 14:16

yelah kakzakie anak2 ni memerhati jer gelagat ibubapa mrk...tq kakzakie sudi ikuti sambungannya.

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”