بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
pic TOHID ROSDI

Indah sungguh desa ini. Terletak di kaki gunung Jerai kawasan jelapang padi. Ada laut yang membiru dengan pulau bidan, pulau kelongsong, pulau bunting yang mengapung di tengah laut. Pemandangannya indah sekali.

Suatu ketika dulu di sinilah desa mastautin aku, mak, ayah dan adikku. Kami tinggal di sebuah pondok buruk
yang beratapkan daun nipah dan berlantaikan buluh yang disusun. Sederhana sekali buatannya. Asal boleh berlindung dari panas dan hujan untuk meneruskan hidup siang bersambung malam saja. Susahkah hidup begitu? Entahlah...

Tika aku mula masuk sekolah dengan gembiranya aku menapak sejauh dua batu dari desa ku di kuala Dulang. Sekolahku yang berbentuk L terletak di tengah- tengah kampung Dulang Kecil. Aku pula tinggal sebelah kuala berdekatan laut. Kawan-kawanku yang kukenali di sekolah ini ramai juga yang tinggal disebelah ulu. Sebelah ulu tidak ada laut tapi hanya luas dengan petak bendang.

Sebelah kuala dekat dengan laut namun petak sawah bendangnya luas terhampar. Dapatlah aku bernain air di bendang sambil menemankan mak dan kawan-kawan yang berderau dengannya menanam padi menggunakan kuku kambing. Ada lagikah kuku kambing tika ni? Dah jadi sejarah. Kuku kambing dah masuk muzium.

Masa menuai sudah tiba. Padi masak menguning emas. Emak ke bendang lagi. Kali ini untuk mengerat padi pula dan ayah bersedia untuk memukul padi yang dikerat itu untuk memisahkan padi dari tangkainya. Ada lagikah tong padi dengan kain layar di tengah bendang kini yang digunakan pak tani memukul padi?
Langsung tidak kelihatan lagi.

Pabila padi yang dituai sudah terkumpul dijemur pula di atas tikar yang dibentang. Kerja aku pula mengawasinya agar tidak dikerumuni ayam-ayam yang banyak berkeliaran. Tatkala hampir petang padi pun kering dan angin mulus bertiup halus. Inilah masanya menguroi padi untuk memisahkan padi bernas dengan padi hampa. Apa tu? Maksudnya padi bernas, padi yang ada berasnya dan yang hampa pula tak berisi.

Hendak menukar padi menjadi beras terpaksa pula menumbuknya menggunakan lesung rindik/lesung kaki. Kerja akulah menumbuk padi tu. Mak pula menjaga muka lesung agar beras tidak berserak ke tanah. Susahkan  proses hendak mendapatkan sesuap nasi tika tu...

Malam bulan mengambang penuh ada pesta mengemping pula. Di kawasan tempat mengemping diterangi cahaya jamung yang dibakar diperbuat daripada daun kelapa kering. Harumnya bau padi pulut yang digoreng hingga meretih dan dimasukan ke dalam lesung tangan. Irama antan bertingkah menumbuk emping kedengaran harmoni. Malam tidak lagi sepi dengan perbualan riang sambil menikmati keenakan emping yang digaul dengan kelapa.

Masih adakah lagi suasana begitu di desa itu kini? Rasanya hanya tinggal kenangan...

2 comments - "Nostalgia indah...ceritera sebuah desa..."

Irfa delete icon 12 April 2012 at 09:23

saya tak penah melalui saat spt ini tp apa2 yg berkaitan dengan citer sebegini amat meyentuh hati saya

emping padi itu mengingatkan saya pada arwah atok..beliau selalu belikan emping padi masa pulang kerumah makngah saya di Pahang.kami makan emping tu merendamkan dalam air teh panas..sedap sgt(masa tu tak penah jumpa fast food)

paridah delete icon 13 April 2012 at 09:25

ye irfa kini hanya nostalgia buat yg lahir sesudah negara merdeka apalagi generasi baru hari ini...kat Pahang mungkin ada lagi pesta mengemping kat sebelah Pekan. makan emping direndam dgn air kopi pun sedap irfa...

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”