Tuesday 2 December 2014

SELIRATAN CINTA ... bab 3 Novel adaptasi skrip drama TV dengan izin karya Fauziah Abd.Samad. Diedit oleh: Noorlaila Ghafar penulis novel HIJRAH HATI terbitan DBP

Dato Shaari sedang berada di pejabatnya. Seorang gadis setiausaha menemaninya berbual kata. Sesekali terdengar kikihan manja seakan tergeletek amat perasaan dicuit gurau senda antara kedua-duanya. Perbualan yang sangat mesra di antara bos dan sekretarinya tiada apa yang mengganggunya. Berlaku dalam suasana harmonis yang selesa.
Amin menerjah masuk ke bilik bosnya seperti kebiasaannya tanpa mengetuk pintunya terlebih dahulu. Gadis setiausaha bingkas dari duduknya dan segera meluru keluar sambil mengepit fail di tangan.. Amin yang terjengul tiba-tiba mengejutkannya. Berderau darahnya menyimbah ke muka. Jantungnya berdegup kencang kerana keterkejutan.
Bimbang pula tersebar gosip hubungan mesra antaranya dan bos dijaja kemana-mana. Tukang canangnya tentulah Amin yang gemar bermuka-muka itu. ‘Bukan boleh percaya sangat ‘mamat’ pengampu seorang ni,’ desis hatinya.
Jika kabar-angin yang bukan-bukan itu sampai ke pendengaran tunangnya tentu haru-biru jadinya. Gadis itu tidak mahu berita sensasi begitu mengeruhkan hubungannya dengan tunangnya. Sudah tidak beberapa bulan lagi akan ke jenjang pelamin pula. Banyak persiapan yang telah dibuat. Kalau tidak jadi gara-gara mulut Amin yang celupar itu, alangkah malunya.  
            “Kau ni kenapa haa. Ingat pejabat ni bapa kau punya ke. Main terjah ikut suka je,” sergahnya dengan renungan mata tajam bersinar. Amin terkedu dijerkah bosnya.
            “Maaf Datuk. Sebenarnya adahal penting sangat. Sebab tu saya nak cepat. Datuk tengok ni. Ada artis baru Datuk. Mesti Datuk berkenan punya.” Amin menyuakan sebuah majalah hiburan  keluaran terbaru pada Datuk Shaari yang terkepit kemas dalam genggamannya.
Dia berharap kepanasan hati bosnya hanya ‘hangat-hangat tahi ayam.’ Tidak setara mana panasnya. Sekejap lagi sudah suam-suam kuku. Kembali normal sediakala.
Dato Shaari segera mencapainya. Kemarahannya kerana diganggu tadi ketika dia sedang berdua-duaan dengan setiausahanya cepat pula mereda. Amin lega melihat wajah Datuk Shaari tidak setegang tadi. Sudah setenang ayam tambatan dan tidak segarang harimau di kandang. Dia semakin berani menghambur bicara.
“Cantik Datuk. Bak bidadari.”
“Hah? Secantik Rozana ke?”
“Ini lagi hebat Datuk. Kecor air liur dibuatnya. Memang ngam dengan Datuk.” Amin ligat menggula-gula propa yang sangat diminati Datuk Shaari mutakhir ini. Dulu Datuk Shaari tidak begitu lakunya.
Dia hanya meniru contoh seorang rakannya seorang ahli perniagaan IT bertaraf dunia yang sering mengundang model-model jelita dan artis cantik untuk bersama pelanggan yang berurus-niaga dengannya. Katanya sebagai penyeri suasana dan melancarkan urusan bisnis yang hendak dijalankan. Supaya licin dan sempurna.
Dia cuba memperaktikan apa yang diamalkan kawannya itu sehingga dia pula yang terseret ke dalam kancah golongan manusia berparas cantik dengan kelebihan sebagai artis pelakon, artis penyanyi atau model  ini. Sehingga tidak dapat lari dunia yang sangat obses pada keindahan dan kecantikan itu. Dia sangat mengkaguminya.
Kini dia adalah peminat golongan itu dan sentiasa mendekati, mengikuti perkembangannya. Perantaranya adalah Amin kerana dia adalah seorang yang luas pergaulannya dalam ruang yang bersangkutan ini dan sentiasa berusaha hendak memenuhi hasrat tuannya. Tanpa sebarang olah dan bantah. Akur pada perintah.
“Ini boleh dapat ke Amin?” Amin terdongak mengadap Datuk Shaari.
“Eh datuk punya pasal, apapun saya boleh bagi. Kalau nak suruh saya uruskan untuk jadi yang nombor dua pun boleh.” Dia tersengih dengan yakin kerana terasa mampu melakukannya tanpa aral.
“Ish.. jaga sikit mulut tu. Untuk nombor dua, kau tak payah nak ajar aku. Aku ni dah berguni garam aku telan. Kalau aku nak pasang nombor dua dah lama aku buat. Aku yang akan pilih, bukan kau. Aku hanya akan pilih orang yang aku berkenan saja. Bukan sembarangan.” Matanya tidak lepas dari menatap majalah.
Hatinya amat kagum dengan wajah-wajah cantik penghias lembar majalah itu. Di selak lagi lembar seterusnya. Memang wajah-wajah perempuan dijadikanNya sangat cantik memikat. Sukar sesiapapun menafikannya. Bisik nuraninya.
Dibiarkan saja Datuk Shaari tekun melayani hobi terbarunya itu kerana dia juga yang mendapat pulangannya. Setiap artis atau model yang diperkenalkannya sekiranya menepati cita rasa Datuk Shaari untuk dijadikan teman sosial seketika dia akan diberi ganjaran yang tidak mengecewakannya. Rezeki Datuk yang mewah dan melimpah ruah itu mengalir juga sedikit ke poketnya.
Dia tahu juga tentang sepotong ayat al quran yang menyebut setiap rezeki yang diberikan itu ada hak orang lain bersamanya. Jadi tunaikanlah zakat. Dia berharap Datuk itu telah menunaikan zakatnya kerana dalam setiap laporan kewangan tahunan syarikat ada terpapar di akhbar di keluarkan sekian-sekian juta RM untuk zakat perniagaan.
Nampaknya Datuk itu tidak lokek berzakat kerana zakat akan menyuburkan rezekinya hingga melimpah-ruah dan mengalir ke poketnya menjadi haknya. Cuma caranya saja yang menyeleweng.
Dia tidak peduli apa maksud penyelewengan dari fahaman agama. Yang penting poketnya berisi. Dan dia boleh menjalani kehidupan yang senang kerana poket tidak kosong. Penuh berisi RM.  
“Agaknya yang ni boleh dapat tak?” Yang ditanya hanya menyeringai tanpa sebarang jawapan. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak mengatur jawapannya. Dia membalik-balik minda fikirnya yang kiri. Menurut pakar, otak sisi kiri metah kreatif.
“Itulah Datuk, dulu lagi saya dah cakap. Kalau Datuk berminat kenapa tidak berusaha mencuba. Citarasa artis ini nampaknya orang-orang yang berumur setara datuk. Tidak muda sangat tidak tua sangat. Sedang-sedang. Ini bila sudah terlepas pada yang lain barulah Datuk menyesal gigit jari.”
“Buat apalah mencuba kalau hasilnya memang sudah dijangka. Dia hanya memilih Datuk yang dicintainya. Bukan sembarangan orang. Kau mana tahu bagaimana perasaan orang yang jatuh cinta dan dilamun cinta. Sebab cara hidup kau ni mudah. Main sapu semua. Pendek kata ‘bujur lalu melintang patah.’”
“Habis buat apa nak tanya lagi. Redha je lah. Biarlah artis pujaan itu berada dalam dulang cintanya dengan berbahagia. Datuk tengok sajalah. Bukannya rugi apa-apa.”
“Pandai pula kau bercakap ya Amin,”gerutunya dengan geram.
 Wajah anggun wanita secantik Cinderella pada anggapannya itu di tatap dengan ralit sebelum menutup lembarnya. Dan mengkesampingkan majalah popular itu di sudut meja.
“Hai Sitti Nurhalliza, kenapalah kau tidak pilih aku. Aku pun Datuk juga. Banyak harta juga.” Keluhannya dilepaskan lemah dan perlahan. Amin tersengih di sisinya. ‘Hai ada hati juga datuk ni nak pikat Sitti Nurhalliza, tak tengok cermin kot, rupa pun retak seribu. Ada hati nak pikat artis paling top. Kalau aku tu lain la, tampan, bergaya, muda.’ Gumam kalbunya sinis.  

3 comments:

  1. Agak-agak PI kala artis cantik yg baca ini mesti tersengih-sengih.
    Lagilah kalau CT Nurhaliza yg baca mesti tersedak dia PI heee...

    ReplyDelete
  2. heh...heh...begitulah dunia arts dari kacamata seorang wartawan hiburan kak hanya ubah dialog asal kpd frasa....tq kakzakie.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist