Sunday, 20 November 2011

HAPPY BIRTHDAY TUAN ARIFF TUAN UZAINI

SELAMAT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG PERTAMA CUCUNDA NENDA YANG COMEL...SEMOGA TUAN ARIFF BERADA DI BAWAH LINDUNGAN DAN RAHMAT-NYA...SENTIASA BEROLEH KESIHATAN YANG BAIK SEPANJANG HIDUP...MEMBAHAGIAKAN MAMA/PAPA NENDA-NENDAMU, SAUDARA-SAUDARAMU DAN MEREKA YANG MENGASEHIMU.


KELAK AKAN MEMILIKI KEJAYAAN DI DUNIA DAN AKHIRAT SEBAGAI USTAZ YANG PAKAR BIDANG DUNIAWI DAN UKHRAWI...INSYAALLAH..

Langkah-langkah meniti kedewasaan...

SELAMAT BERTUNANG AHMAD GEMAYEL ANAKANDA TERSAYANG RASHIDA OTHMAN DAN PASANGANNYA...SEMOGA JENJANG PELAMIN MENGAKADKAN JODOHNYA DAN KEKAL BERBAHAGIA SELAMANYA...AMIN.
HENDAK KE TANJUNG LINTASI PAYA
CENDERAWASIH BERTERBANGAN
SIRIH JUNJUNG LENGKAP SEMUA
DULANG KASIH MEMBAWA LAMARAN...

Friday, 18 November 2011

Salah siapa..

Entah kenapa kadang aku suka ketawa, kadangnya menangis pula. Berulang-ulang melakukan perihal serupa. Ketawa dan menangis yang tidak terniat untuk dilakukan...tetapi itulah yang berlaku. Apakah masalah yang sedang melandaku ini?

Apakah aku menangis sebab terkenangkan pengalaman masa laluku yang getir lagi perit. Terkenangkan usia kanak-kanak dan remajaku hanya terisi dengan kerja keras seawal tiga pagi menolong bapa berniaga di pasar borong. Dan aku kehilangan kegembiraanku melalui detik indah itu.

Atau terkenangkan kedukaan kesayuan hatiku kerana sering dicemuh, dibentak mak tiri yang pandai bermuka-muka itu di depan bapaku. Macam kisah mak tiri zaman dulu-dulu yang hanya baik kepada anak tirinya tika suaminya berada di sisi anaknya. Tika bapa tiada aku dikerjakannya cukup-cukup pantang silap sedikit.
Mungkin itu sebanya aku menangis teresak-esak kot...

Kenapa pula aku ketawa terbahak-bahak macam dirasuk setan...?

Mungkin sebab aku terlalu gembira setelah lari dari masalah yang membelenggu kehidupanku selama ini dengan meraikannya bersama-sama kawan-kawanku. Duit yang disimpan hasil dari perkerjaanku menolong bapa berniaga semuanya kuhabiskan membelanja teman berjoli sakan.
Maksud berjoli sakan yangku lengkapkan dengan mencuba pelbagai jenis dadah.

Kata ibuku yang menyedari kesilapanku; 'janganlah cari penyakit anakku. Allah mengurniakanmu tubuh badan yang sihat...kenapa pula hendak disakiti dengan penyakit. Orang yang sakit berhabis duit untuk mengubat penyakit sedang awak yang sihat berhabis duit membeli penyakit...'

Aku tidak peduli apapun kata ibu kerana aku terlalu gembira melalui saat-saat berkawan dengan ramai kawan
lantaran masa aku bersama bapaku aku disekat dari merasai semua itu. Aku kan masih muda dan bertekad hendak meninggalkan semua ini pabila tua sedikit.

Belum sempat hendak meninggalkan semua itu,begini pula yang terjadi kepada diriku. Semakin keliru dengan sikap pelik diriku yang ketawa menangis dan bercakap sendirian tanpa dapat dikawal.
Mungkin aku dah gila kerana mengabaikan nasihat ibuku itu.

"Kau jangan ambil benda-benda najis tu...sebab ramai yang dah mati kerananya dan ramai yang gila..."

Wednesday, 16 November 2011

Anehnya cinta...

Kata ibunya, "Tak payahlah kau berkahwin dengan dia sebab mak rasa dia ni tak berapa ok hendak diadikan isteri. Tak ingat ke dulu sewaktu kita sibuk-sibuk buat persiapan nak pergi meminang dia, dia boleh kata tak payah...sedangkan dia yang beria-ia meminta kita masuk meminangnya. Ini setelah dia putus dengan kekasih barunya dia datang pula mencari awak menagih cinta kononnya tak mahu kehilangan awak. Kecurangannya pada awak dulu apa maknanya. Mak dengar awak pun sudah ada pengganti dia...takkan nak tinggalkan sidia untuk berbalik dengan kekasih lama...tak masuk akal langsung..."

Tuesday, 15 November 2011

Musim...musim...musim...

Menjelang hujung tahun dipenuhi dengan pelbagai kesibukan-kesibukan yang rutin atau terjadual. Seolahnya musim-musim yang diketarakan di sini dipastikan berlaku...

Musim 1...Musim anak-anak berada di dewan peperiksaan bagi yang mengambil exam SPM dan STPM. Semoga anak-anak ini memperolehi kejayaan yang diharapkan untuk membina masa depan yang lebih cemerlang.

Musim 2...Musim cuti persekolahan dan sempenanya ramai yang mengadakan majlis pertunangan dan nikah/kahwin. Dan didoakan setiap majlis yang berlaku sempurna kelancarannya, tiada sebarang aral yang menggendalakan. Juga setiap pasangan yang bertemu jodohnya serasi berkekalan hingga akhir hayat.
Dan kita pun berpantun menurut adat:

Tumbuh merata pohon meranti
kayu merapoh tidak berduri
Tiara cinta mutiara hati
ingin disepuh ingin dipetri...

Musim 3...Musim tengkujuh/musim banjir...musim yang tidak diingini kerana ianya akan menyebabkan masalah kehilangan nyawa, harta benda dan kesusahan-kesusahan yang bersangkutan dengannya walau kesusahan dan masalah serupa tetap juga berlaku tidak mengira musim.

Saturday, 12 November 2011

Orkid-orkid pilihan

"Orkid jenis apa yang paling kak suka?"
"Kak suka butterfly...sebab orkid ni cantik dan rajin berbunga kalau dia dah mula keluar sulur bunga...butterfly ni tak payah kita nak kena potong sulurnya kalau dia dah habis berbunga...ada saja bunga-bunga baru yang akan berputik..."
"Tapi orkid-orkid ni tetap cantik walau apa jenisnya kalau dia rajin berbunga...samaada jenisnya dendrobium, vanda, cataleya..."
"Kalau kak beli orkid,macamana kak pilih?"
"Kak akan pilih orkid yang nampak sihat dan subur bukan setakat bunganya cantik saja...sebab kitakan tak berapa pandai nak jaga...kalau dia sihat subur lambatlah sikit dia nak mati...yang penting harganya tak mahal sangat..."
Aku tersengih saja lantaran terkenangkan cataleya yang ku beli cuma bertahan lima hari sebelum layu sedangkan harganya boleh tahan mahalnya.

Wednesday, 9 November 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN - bab 5

SUAMINYA berkerja keras untuk menjelaskan ansuran bulanan lori kecil itu dengan memulakan perniagaan membekalkan buah-buah kelapa yang diangkutnya daripada kawasan pertanian itu di Bagan datoh kepada pekedai-pekedai di daerah sini.

Kelapa memang merupakan bahan keperluan penting untuk masakan Melayu. Sudah tentu permintaannya sangat banyak sehinggakan tidak terpenuhi lantaran pohon-pohon kelapa yang baru ditanam di tanah rancangan di daerah sini yang kebanyakannya baru saja diteroka/dibuka belum lagi berbuah. Jadi bekalan kelapa terpaksa dibawa masuk daripada luar daerah atau daripada kampung-kampung tradisi sekitar sini.

"Abang ni sibuk sangat dengan berniaga sehinggakan saya dan Aida selalu saja abang tinggalkan..."
Rungut isterinya yang ternyata kesepian kerana sering ditinggalkan hanya bertemankan si kecil anak kesayangan.

"Kalau abang tak sibuk berniaga mencari duit macamana abang nak bayar ansuran lori tu...cubalah faham sikit...jangan pentingkan diri sendiri saja..."

"Tapi abang tu berkerja melampau sangat rajinnya sehinggakan tidak pedulikan kami langsung..."

"Sewaktu masih muda ni lah kita kena rajin berkerja mengumpul duit supaya kelak kita tidak susah pada hari tua..."

"Saya tengok jiran kat depan rumah kita tu peneroka juga tapi sentiasa ada di rumah. Paginya dia ke ladang. Balik dari ladang duduk saja berehat sambil membaca akhbar atau buku...tapi abang ni masa abang ni habis kat jalan saja...asyik angkut kelapa jual kelapa...masa untuk saya dan Aida langsung tak ada..."

Suaminya itu tersengih saja. Seolahnya cuba memahami isu yang menggelodak di hati isterinya itu.
"OK...abang akan cari masa untuk kita sekeluarga selepas ni. Tunggu abang habiskan menghantar kelapa-kelapa tu kepada pekedai-pekedai. Lepas tu abang bawa Ita bercuti ke Telok Intan..."

Zunita faham sangat maksud bercuti suaminya itu. Tentulah dengan maksud membawanya sekali ke situ untuk mendapatkan bekalan buah-buah kelapa yang diniagakannya.

Sunday, 6 November 2011

SELIRATAN CINTA ... bab 2 Novel adaptasi skrip drama TV dengan izin karya Fauziah Abd.Samad. Diedit oleh: Noorlaila Ghafar penulis novel HIJRAH HATI terbitan DBP

Dato Shaari sedang berada di pejabatnya. Seorang gadis setiausaha menemaninya berbual kata. Sesekali terdengar kikihan manja seakan tergeletek amat perasaan dicuit gurau senda antara kedua-duanya. Perbualan yang sangat mesra di antara bos dan sekretarinya tiada apa yang mengganggunya. Berlaku dalam suasana harmonis yang selesa.
Amin menerjah masuk ke bilik bosnya seperti kebiasaannya tanpa mengetuk pintunya terlebih dahulu. Gadis setiausaha bingkas dari duduknya dan segera meluru keluar sambil mengepit fail di tangan.. Amin yang terjengul tiba-tiba mengejutkannya. Berderau darahnya menyimbah ke muka. Jantungnya berdegup kencang kerana keterkejutan.
Bimbang pula tersebar gosip hubungan mesra antaranya dan bos dijaja kemana-mana. Tukang canangnya tentulah Amin yang gemar bermuka-muka itu. ‘Bukan boleh percaya sangat ‘mamat’ pengampu seorang ni,’ desis hatinya.
Jika kabar-angin yang bukan-bukan itu sampai ke pendengaran tunangnya tentu haru-biru jadinya. Gadis itu tidak mahu berita sensasi begitu mengeruhkan hubungannya dengan tunangnya. Sudah tidak beberapa bulan lagi akan ke jenjang pelamin pula. Banyak persiapan yang telah dibuat. Kalau tidak jadi gara-gara mulut Amin yang celupar itu, alangkah malunya.  
            “Kau ni kenapa haa. Ingat pejabat ni bapa kau punya ke. Main terjah ikut suka je,” sergahnya dengan renungan mata tajam bersinar. Amin terkedu dijerkah bosnya.
            “Maaf Datuk. Sebenarnya adahal penting sangat. Sebab tu saya nak cepat. Datuk tengok ni. Ada artis baru Datuk. Mesti Datuk berkenan punya.” Amin menyuakan sebuah majalah hiburan  keluaran terbaru pada Datuk Shaari yang terkepit kemas dalam genggamannya.
Dia berharap kepanasan hati bosnya hanya ‘hangat-hangat tahi ayam.’ Tidak setara mana panasnya. Sekejap lagi sudah suam-suam kuku. Kembali normal sediakala.
Dato Shaari segera mencapainya. Kemarahannya kerana diganggu tadi ketika dia sedang berdua-duaan dengan setiausahanya cepat pula mereda. Amin lega melihat wajah Datuk Shaari tidak setegang tadi. Sudah setenang ayam tambatan dan tidak segarang harimau di kandang. Dia semakin berani menghambur bicara.
“Cantik Datuk. Bak bidadari.”
“Hah? Secantik Rozana ke?”
“Ini lagi hebat Datuk. Kecor air liur dibuatnya. Memang ngam dengan Datuk.” Amin ligat menggula-gula propa yang sangat diminati Datuk Shaari mutakhir ini. Dulu Datuk Shaari tidak begitu lakunya.
Dia hanya meniru contoh seorang rakannya seorang ahli perniagaan IT bertaraf dunia yang sering mengundang model-model jelita dan artis cantik untuk bersama pelanggan yang berurus-niaga dengannya. Katanya sebagai penyeri suasana dan melancarkan urusan bisnis yang hendak dijalankan. Supaya licin dan sempurna.
Dia cuba memperaktikan apa yang diamalkan kawannya itu sehingga dia pula yang terseret ke dalam kancah golongan manusia berparas cantik dengan kelebihan sebagai artis pelakon, artis penyanyi atau model  ini. Sehingga tidak dapat lari dunia yang sangat obses pada keindahan dan kecantikan itu. Dia sangat mengkaguminya.
Kini dia adalah peminat golongan itu dan sentiasa mendekati, mengikuti perkembangannya. Perantaranya adalah Amin kerana dia adalah seorang yang luas pergaulannya dalam ruang yang bersangkutan ini dan sentiasa berusaha hendak memenuhi hasrat tuannya. Tanpa sebarang olah dan bantah. Akur pada perintah.
“Ini boleh dapat ke Amin?” Amin terdongak mengadap Datuk Shaari.
“Eh datuk punya pasal, apapun saya boleh bagi. Kalau nak suruh saya uruskan untuk jadi yang nombor dua pun boleh.” Dia tersengih dengan yakin kerana terasa mampu melakukannya tanpa aral.
“Ish.. jaga sikit mulut tu. Untuk nombor dua, kau tak payah nak ajar aku. Aku ni dah berguni garam aku telan. Kalau aku nak pasang nombor dua dah lama aku buat. Aku yang akan pilih, bukan kau. Aku hanya akan pilih orang yang aku berkenan saja. Bukan sembarangan.” Matanya tidak lepas dari menatap majalah.
Hatinya amat kagum dengan wajah-wajah cantik penghias lembar majalah itu. Di selak lagi lembar seterusnya. Memang wajah-wajah perempuan dijadikanNya sangat cantik memikat. Sukar sesiapapun menafikannya. Bisik nuraninya.
Dibiarkan saja Datuk Shaari tekun melayani hobi terbarunya itu kerana dia juga yang mendapat pulangannya. Setiap artis atau model yang diperkenalkannya sekiranya menepati cita rasa Datuk Shaari untuk dijadikan teman sosial seketika dia akan diberi ganjaran yang tidak mengecewakannya. Rezeki Datuk yang mewah dan melimpah ruah itu mengalir juga sedikit ke poketnya.
Dia tahu juga tentang sepotong ayat al quran yang menyebut setiap rezeki yang diberikan itu ada hak orang lain bersamanya. Jadi tunaikanlah zakat. Dia berharap Datuk itu telah menunaikan zakatnya kerana dalam setiap laporan kewangan tahunan syarikat ada terpapar di akhbar di keluarkan sekian-sekian juta RM untuk zakat perniagaan.
Nampaknya Datuk itu tidak lokek berzakat kerana zakat akan menyuburkan rezekinya hingga melimpah-ruah dan mengalir ke poketnya menjadi haknya. Cuma caranya saja yang menyeleweng.
Dia tidak peduli apa maksud penyelewengan dari fahaman agama. Yang penting poketnya berisi. Dan dia boleh menjalani kehidupan yang senang kerana poket tidak kosong. Penuh berisi RM.  
“Agaknya yang ni boleh dapat tak?” Yang ditanya hanya menyeringai tanpa sebarang jawapan. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak mengatur jawapannya. Dia membalik-balik minda fikirnya yang kiri. Menurut pakar, otak sisi kiri metah kreatif.
“Itulah Datuk, dulu lagi saya dah cakap. Kalau Datuk berminat kenapa tidak berusaha mencuba. Citarasa artis ini nampaknya orang-orang yang berumur setara datuk. Tidak muda sangat tidak tua sangat. Sedang-sedang. Ini bila sudah terlepas pada yang lain barulah Datuk menyesal gigit jari.”
“Buat apalah mencuba kalau hasilnya memang sudah dijangka. Dia hanya memilih Datuk yang dicintainya. Bukan sembarangan orang. Kau mana tahu bagaimana perasaan orang yang jatuh cinta dan dilamun cinta. Sebab cara hidup kau ni mudah. Main sapu semua. Pendek kata ‘bujur lalu melintang patah.’”
“Habis buat apa nak tanya lagi. Redha je lah. Biarlah artis pujaan itu berada dalam dulang cintanya dengan berbahagia. Datuk tengok sajalah. Bukannya rugi apa-apa.”
“Pandai pula kau bercakap ya Amin,”gerutunya dengan geram.
 Wajah anggun wanita secantik Cinderella pada anggapannya itu di tatap dengan ralit sebelum menutup lembarnya. Dan mengkesampingkan majalah popular itu di sudut meja.
“Hai Sitti Nurhalliza, kenapalah kau tidak pilih aku. Aku pun Datuk juga. Banyak harta juga.” Keluhannya dilepaskan lemah dan perlahan. Amin tersengih di sisinya. ‘Hai ada hati juga datuk ni nak pikat Sitti Nurhalliza, tak tengok cermin kot, rupa pun retak seribu. Ada hati nak pikat artis paling top. Kalau aku tu lain la, tampan, bergaya, muda.’ Gumam kalbunya sinis.  

Friday, 4 November 2011

SALAM AIDILADHA

SELAMAT  HARI RAYA KORBAN
MAAF ZAHIR BATIN BUAT SEMUA PENGUNJUNG BLOG DAN PARA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT
TERUTAMA BUAT SAUDARA MARA YANG SEDANG MENUNAIKAN IBADAH HAJI
SEMOGA SEGALA AMAL SEMPURNA DILAKUKAN DAN MEMPEROLEHI HAJI YANG MABRUR



Wednesday, 2 November 2011

Subuh sunyi

Subuh memang sunyi pun. Hanya suara serangga-serangga yang tidak ketahuan jenisnya mersik halus. Kalau hujan tentu kita pasti suara katak yang menggema. Bukan katak-katak tu memanggil hujan kot...tapi mungkin sedang berzikir dan memohon hujan agar berhenti justeru hujan yang lama mencurah menyebabkan makhluk-makhluk Allah itu kedinginan amat.

Dan subuh yang hadir mutakhir ini menjadi terlalu sunyi kerana suara muazin tidak mengumandangkan azan daripada surau yang berhampiran menyeru menunaikan solat untuk menuju kejayaan. Kenapa jadi begitu? Tentulah ada sebabnya. Jikalau tidak tentu tidak terabai surau dengan suara yang penuh hikmat itu.

Sebenarnya tok bilalnya tiba-tiba demam dan tidak dapat nak menapak ke surau pada setiap subuh hari. Betapa berharga suara tok bilal yang sering mengumandangkan azan itu dirasakan setelah suaranya tidak terdengar lagi. Begitu kehilangan sekali.

Dahulu tukang azannya adalah jiranku Md. Rodi. Setiap subuh akan terdengar langkahnya yang diatur dengan derap yang serupa ritmanya. Dan kami semua jirannya sangat kenal dengan derap langkah yang teratur mencelah subuh sunyi itu.Kini tidak ketara lagi ritma langkah itu lantaran beliau telah melangkah jauh meninggalkan kenangan murni itu untuk menemui Ilahi yang menjanjikan kejayaan.

Al-fatihah untuk arwah Md. Rodi yang sangat baik itu. Dan tempatnya yang istimewa itu diganti jiranku bang Din dengan segera. Surau itu tidak sempat sunyi dengan laungan azan. Tiba-tiba bang Din demam pula. Demam urat kata isterinya kerana terlalu rajin berkerja. Tidak ada lagi suara azan yang menerjah subuh sunyi walau tetap kedengaran azan dari masjid yang sayup-sayup kejauhan.

Aku pula yang kegelisahan justeru merasakan azan yang tidak kedengaran menemani subuhku adalah suatu kehilangan yang tidak tahu bagaimana hendak digambarkan...

Tuesday, 1 November 2011

Realiti bukan mimpi

Buat rimpi padi muda
biar wangi harum baunya
biar mimpi menjadi nyata
biar pelangi mewarnainya

Baju kedah pakai ke kota
bunga melati oleskan pipi
Bukan mudah bagai dikata
kerna realiti bukan mimpi

Sampah sarap atas permatang
diterbang angin hingga seberang
apa diharapkelapa sebatang
pohonnya condong ke laman orang


Berbaju merah bersongkok merah
bersepuh cerana emas suasa
berdiri marah duduk pun marah
dalam lena membakar rasa

Sri kedah indah dilagu
buah peria di kebun cina
Waktu indah telah berlalu
tika ria telah sirna
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...