Thursday, 29 September 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN - bab 4


Tika sedang menjalani masa berpantang dia menerima tawaran Operasi isi penuh yang dilancarkan kerajaan untuk mengisi jawatan Pembantu Perancang Bandar di Kuala Terengganu. Bukan main suka hatinya. Impiannya untuk menjadi staff kerajaan pasti akan tercapai.

Kesukaan hatinya bukanlah tiket untuk melaksanakan apa saja keinginannya. Izin daripada suaminya tentu saja diperlukan. Itupun kalau suaminya mengizinkan. Bagaimana pula dengan sikecil yang sentiasa tidak lepas dari sisinya?

Tegakah dia meninggalkannya? Mana mungkin kot. Kebahagian dianugerah Allah gelaran ibu amat bermakna sekali baginya. Bukan mudah memperolehinya. Merenung wajah bayinya yang polos bersih selalu tidak pernah merasa jemu.

Ditambah dengan kebahagiaan yang dirasakan kerana suaminya mengasehinya berlebih-lebihan. Keutamaan yang ada di hatinya kini cuma dua; anaknya dan suaminya.

Nampaknya akan berkuburlah angan-angannya untuk menjadi wanita berkerjaya melainkan hanya menjadi suri sepenuh masa rumahtangga melayani suami dan anaknya yang tercinta.

Wednesday, 28 September 2011

Secebis kisah 2

Syawal mengansur diri. Kehadirannnya disambut dengan penuh kegembiraan. Dan diisi dengan acara-acara untuk memeriahkannya sempena meraikan kejayaan berpuasa di bulan Romadan. Puasanya sebulan jadi perayaannya juga berlangsung selama sebulan juga.

Tidak ada salahnya tentang itu. Meraikannya sambil mengadakan rumah terbuka untuk menjamu rakan-rakan tatkala berkesempatan sangat baik. Justeru mengeratkan silaturahim yang berlaku dalam pertemuan yang dianjurkan itu.

Tetapi pesta makan-makan besar-besaran kerana meraikan Aidilfitri ini memudaratkan juga kot...Seorang jiranku tiba-tiba jatuh tersungkur lantaran kakinya tidak dapat berpijak lagi. Lemah sekali. Katanya mungkin disebabkan tekanan darahnya yang melonjak tinggi justeru menikmati makanan-makanan yang sangat enak di hari raya tanpa kawalan.

Kini jiranku itu terlantar di atas katil sementara menantikan usaha-usaha pengubatan secara tradisi atau memoden memulihkan kesihatannya seperti sediakala.

Aku doakan jiranku itu segera sembuh dari kelumpuhan kecilnya.Lagipun tidak lama lagi keluarganya akan mengadakan kenduri perkahwinan anak perempuannya yang kedua. Tentu saja kudrat suri itu sangat-sangat diperlukan untuk menguruskan kelancaran majlis itu kelak.

Kelumpuhan separa mahupun total memang amat menyusahkan empunya diri dan mereka disekeliling diri itu. Moga jiranku ZAI...yang baikbudi dan ramah itu bersabar dengan takdirnya dan segera pulih cergas seperti sediakala...

Tuesday, 27 September 2011

Secebis kisah

Usia Aqil Harris baru empat tahun. Namun jadual hariannya padat sekali. Seawal enam pagi sudah bangun bersiap bersama mamanya yang akan ke sekolah dan papanya yang ke pejabat di tengah bandaraya KL.

Aqil tentulah tidak akan mengikut mama atau papanya tetapi ada halanya sendiri, Papanya akan menghantarnya ke sebuah TADIKA di tengah bandar Selayang. Aqil belajar menulis, membaca, melukis, menyanyi dan pelbagai aktiviti yg telah terjadual.

Hingga jam 12 tengahari Aqil akan berada di tadika itu sebelum dijemput mamanya atau rakan mamanya kerana anak rakan mamanya juga belajar bersama dengannya.

Setelah pulang Aqil menghadiri kelas bahasa Inggeris pula selama dua jam. Belajar lagi. Tamat kelas bahasa
Inggeris terus saja ke rumah rakan mamanya untuk belajar mengaji pula. Uhh,,padat sekali jadual Aqil seharian. Moga pengisian ilmu yang begitu padat tika usia muda akan melekat di minda.
Aku terkenangkan anak-anak sebaya Aqil di desaku. Mereka juga mendapat pendidikan awal seusia 5 tahun.

Ketinggalan sedikit. Dan tidak ada galakan untuk belajar menguasai bahasa Inggeris sejak muda. Berbeza sungguh dengan cara orang-orang di bandar yang sangat mementingkan kemahiran berbahasa itu. Sudahnya anak-anak di desa akan sentiasa ketinggalan. Idea Dr.M tentang PPSMI dikesampingkan pula...

Friday, 23 September 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN - bab 4

Suaminya meneruskan visinya. Dia mengushakan kebunnya dengan sangat rajin. Dan isterinya yang setia itu membantunya setiap hari. Sebenarnya suaminya tidak pernah memaksanya untuk berlenggeng tangan bermandi peluh di kebun. Cuma dia yang merasa rimas berada di pondok melayani kerenah ana-anak kecil kakak iparnya di pondok. Biarlah kulitnya hitam sedikit tidak mengapa, asalkan hatinya tidak tersiksa dengan suasana yang tidak digemarinya.

Tidak lama dia berada di sini. Hanya lima bulan sahaja. Tatkala kandungannya sudah tiba saat untuk dilahirkan, suaminya menghantar isterinya pulang ke rumah mertuanya. Leganya rasa hatinya. Mungkin.Dia berada di tengah keluarganya kembali.

Dengan bantuan seorang kenalan baiknya yang juga seorang bidan kerajaan dia dibawa ke hospital di bandar berhampiran untuk melahirkan anak sulungnya. Dia terjerit-jerit melepaskan kesakitan
yang terlalu dan tidak berdaya untuk menahannya tanpa rasa malu.

Ketika itu dirasakan suaminya terlalu mengasihinya. Suaminya itu menjaganya dengan sebaiknya.
Mungkin dia juga sangat teruja hendak bergelar bapa. Anak pertamanya itu sangat comel. Kulitnya putih melepak seputih kulitnya.

Suara nyaring pabila menangis dan esakan menjadi-jadi seolah-olah usianya sudah beberapa bulan. Sedangkan baru semalam dilahirkan. Berbahagia sungguh pasangan itu menerima anugerah Allah yang sangat istimewa itu di dalam kehidupan mereka.

Mereka mula merancang sesuatu demi sebuah keluarga yang baru saja terbina. Tanpa sebarang penghasilan bagaimana mereka hendak menyara kehidupan. Apalagi dengan kehadiran cahaya mata penyeri rumahtangga mereka. Masakan hendak mengharapkan hasil dari kebun sawit yang baru saja ditanam.

Wednesday, 21 September 2011

Pabila alam bersedih

Wajah mendungnya gelap berkabut
hati pun kelam berserabut
segera berhasrat memujuk
agar wajahnya bertukar cerah
dengan doa-doa InsyaAllah

Bimbangkan kesedihannya
akan menggenangkan air mata

Air mata alam yang berlinang
lantaran kesedihan akan tangan-tangan yang zalim
yang merosakan menghancurleburkan
kedamaian ketenangan keharmonian

Hati berderau risau
tatkala menentang wajah alam
seakan berkata
sekiranya kesedihanku tidak terbendung
airmataku tidak lagi bergenang
malah akan terus tumpah
hari demi hari

Bakal menenggelamkan
busut busut bukit bukau gunung ganang
mentelah rumah rumah

Bersediakah?
Masih adakah bahtera Noh penyelamat?

Janganlah biarkan alam bersedih...

Sunday, 18 September 2011

Di bumi ini akar kita bererambut...


Pilihan kita sudah pasti
untuk mengisi hidup ini
tidak susah hendak dicari
sudah tersedia dipusakai

Ketuanan kita istimewa
hak kita segala-galanya
dijaga dipelihara sebaiknya
jangan mudah ambil lewa

Dari Perlis hingga ke Sabah
tanah kita terbentang indah
hak yang termaktub sudah
berani pertikai terima padah

Tanah kita saujana juga
samudera luas mengelilinginya
gunung ganang menunjanginya
bukit bukau memasakinya

Susah juga menjaganya
apalagi mengurus khazanahnya
emas perak mutiara-mutiara
mentadbir dengan bijaknya

Sudah tentu ramai tersilau
harta pusaka kilau kemilau
ingin miliki tanpa berkalau
tipu auta tak siapa hirau

Memang susah mengatur siasah
agar tiada olah masalah
jangan tak kena asyik berbalah
menuntut pusaka bumi bertuah

Sukar pula nak berbahagi
tanah ini hanya satu
langitnya juga satu
selain berkongsi tanpa ragu
demi memelihara amanah
untuk anak anak bangsa juga
cucu cucu

Tuesday, 13 September 2011

Lukisan hati



Apakah kedongkolan yang berbongkol-bongkol
di dalam hatinya menyusahkannya
meratakannya sukar sekali
menjadikannya ruang lapang
terang lagi kosong
membingungkan

Angkatlah doaku ini
ya ALLAH
ambillah kembali ke sisiMU
segumpal hati dongkol yang berbongkol-bongkol itu

Anugerahilah
sekeping hati yang baru
suci bersih
lagi wangi lagi putih

Biarlah terlukis semula
corak ceria
dengan warna warni kesukaannya

Dan hembuskan taufik dan ilhamMU
agar corak kegemarnnya
adalah kecintaanMu jua
mencipta damai buat suasana

Saturday, 10 September 2011

6787 HIKAYAT LEMBAH SUNYI - SAMBUNGAN - bab 3


"Kenapa abang tu kak?"
"Kenapa pulak? Apa yang peliknya?"
Dia yang bertanya. Tetapi pertanyaannya dipulangkan tanpa jawapannya. Keresahan melanda hati samaada masih mahu mengulangi pertanyaan serupa meminta jawapan pasti.

"Suami Ita tidak pernah bercerita kenapa abangnya begitu?" Suara kakak iparnya agak mendatar seakan cuba memahami gelodak perasaan adik iparnya itu tanpa menunjukan kejengkelan hati kerana diterjah dengan pertanyaan yang tidak disenanginya.

"Kau nak tahu? Adik Iman itu bukan ada masalah apa..."
Dia pula yang keliru dengan penjelasan yang ternyata kabur itu.

'Habis kalau tidak ada masalah kenapa abang Iman begitu. Langsung tidak tahu mengurus diri, sehingga semua keperluannya ayah yang uruskan. Hendak mandi dimandikan, hendak makan disuapkan, hinggakan pakaiannya pun ayah yang tolong sarungkan. Pelik.Nampak abang Iman tu cukup sifatnya macam orang lain. Maksudnya berkaki bertangan dan tidak lumpuh tapi kenapa sikapnya pemalas begitu?'

Jawapan kepada pertanyaan tentang itu mesti dicari juga. Wajah kakak iparnya direnunginya tajam.
"Apa nak buat Ita dah nasib dia nak jadi begitu." Lemah sekali luahan rasanya.
'Dah salahkan nasib pula.'

"Apa sebenarnya ceritanya kak? Ceritakanlah pada saya. Saya bukan orang lain. Ahli keluarga ini juga..."

"Betul nak tahu ni?"
"Eh! Betullah...ingat saya main-main pulak..."
Salima menarik nafas dan melepaskannya perlahan-lahan. Seolahnya ia sedang melepaskan bebenan yang termengkelan di salur pernafasannya.

'Mesti ceritanya sangat menarik ni...'

"Adik Iman tu mungkin sudah hilang semangat hidupnya. Jadi dia langsung tidak kisah dengan apa yang berlaku kepada dirinya..."

"Bagaimana pula boleh hilang semangat hidupnya?" Dia melontarkan pertanyaan sangsinya.
"Kecewa yang amat sangat kerana gagal dalam percintaannya..."
'Sebab kecewa dalam bercinta hingga jadi sampai begini. Ingatkan cerita-cerita begini berlaku dalam filem dan drama saja, rupanya realiti...' Zunita melayani monolog sepinya. Dia tersenyum sedikit.
'Boleh percaya ke?'

Wajah kakak iparnya berubah rona. Suram.
"Ita nampak macam tak percaya dengan cerita kakak. Kalau macam tu tak payahlah kakak nak sambung lagi..."

"Eh! Kakak ni itu pula yang disangkanya. Sebenarnya saya pelik kenapa orang yang putus cinta kecewanya begitu mendalam sekali sehingga merosakan diri sendiri?"

"Entahlah! Kakak sendiri pun tak faham. Dulu Iman seorang yang cergas, rajin berkerja. Tapi setelah kekasihnya dikahwinkan keluarganya dengan orang lain, dia berubah mendadak..."

Terhenti pula cerita Salima di situ membuatkan Zunita kehampaan menunggu.

"Iman seolah terlupa dengan apa yang perlu dilakukan demi hidupnya. Kerjanya setiap hari hanya mengulangi rumah kekasihnya itu sehinggakan keluarga kekasihnya itu naik jelak dan menyampah. Kata orang-orang keluarga kekasihnya itu telah membomohkan Iman sehingga dia menjadi tidak bermaya dan tidak berupaya lagi hendak mengayuh basikal ke rumah kekasihnya..."

Kali ini dia yang terkedu. Betapa hebatnya penangan cinta itu sehingga menjadikan seorang wanita menangis berhari-hari kerana kehilangannya lalu menjadi buta. Itu antara cerita yang dia tahu.Dan kini dihadapannya seorang pemuda yang kacak lawa telah hilang kewarasan mental dan semangat hidup. Kasihan sungguh.

Hatinya diserbu perasaan bimbang pula. Mengapa? Mungkin memikirkan kondisi keluarga suaminya yang merisaukan penerimaan akal sihatnya.

Kelihatan kepadanya keadaan ayah mertuanya yang agak tidak stabil mentalnya. Sering bercakap sendirian seolah ada teman di sisinya sambil mengutau-utaukan tangannya menunjuk ke sana sini. Hatinya cuak. Risau dirinya memikirkan apakah lagi masalah yang akan membelitinya di tengah keluarga ini.

Suatu ketika dulu sewaktu dia kecil, dia sering mengelakan diri daripada bertembung dengan seorang gila yang tinggal berhampiran masjid di kampungnya. Jikalau terjumpa juga dia akan lari sekuat hati untuk menjauhinya.

Sekarang bagaimana? Ke mana lagi dia hendak lari. Mertua dan abang iparnya yang berkeadaan begitu. Tetapi dia tidak pernah lupa mengingatkan dirinya bahawa setiap sesuatu yang berlaku adalah kehendak Allah jua. Ayah mertua dan abang iparnya tidak pernah meminta dijadikan sebegitu. Astagfirullah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...