بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Subuh memang sunyi pun. Hanya suara serangga-serangga yang tidak ketahuan jenisnya mersik halus. Kalau hujan tentu kita pasti suara katak yang menggema. Bukan katak-katak tu memanggil hujan kot...tapi mungkin sedang berzikir dan memohon hujan agar berhenti justeru hujan yang lama mencurah menyebabkan makhluk-makhluk Allah itu kedinginan amat.

Dan subuh yang hadir mutakhir ini menjadi terlalu sunyi kerana suara muazin tidak mengumandangkan azan daripada surau yang berhampiran menyeru menunaikan solat untuk menuju kejayaan. Kenapa jadi begitu? Tentulah ada sebabnya. Jikalau tidak tentu tidak terabai surau dengan suara yang penuh hikmat itu.

Sebenarnya tok bilalnya tiba-tiba demam dan tidak dapat nak menapak ke surau pada setiap subuh hari. Betapa berharga suara tok bilal yang sering mengumandangkan azan itu dirasakan setelah suaranya tidak terdengar lagi. Begitu kehilangan sekali.

Dahulu tukang azannya adalah jiranku Md. Rodi. Setiap subuh akan terdengar langkahnya yang diatur dengan derap yang serupa ritmanya. Dan kami semua jirannya sangat kenal dengan derap langkah yang teratur mencelah subuh sunyi itu.Kini tidak ketara lagi ritma langkah itu lantaran beliau telah melangkah jauh meninggalkan kenangan murni itu untuk menemui Ilahi yang menjanjikan kejayaan.

Al-fatihah untuk arwah Md. Rodi yang sangat baik itu. Dan tempatnya yang istimewa itu diganti jiranku bang Din dengan segera. Surau itu tidak sempat sunyi dengan laungan azan. Tiba-tiba bang Din demam pula. Demam urat kata isterinya kerana terlalu rajin berkerja. Tidak ada lagi suara azan yang menerjah subuh sunyi walau tetap kedengaran azan dari masjid yang sayup-sayup kejauhan.

Aku pula yang kegelisahan justeru merasakan azan yang tidak kedengaran menemani subuhku adalah suatu kehilangan yang tidak tahu bagaimana hendak digambarkan...

2 comments - "Subuh sunyi"

HappyIrfa delete icon 3 November 2011 at 13:34

mak saya kata..'jangan marah ayam berkokok.dia pun berzikir juga.

kat taman saya ni pelik..jam 9.30 malam baru azab isya'huhu

paridah delete icon 4 November 2011 at 12:37

benar irfa...semua makhluk Allah berzikir untuk penciptanya...Azan isyak lambat xper kot...mungkin ada galangan untuk azan menepati masa sepatutnya..

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”